Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kahlid Sedar Dia Jadi Perkakas

Petang ini apabila terbaca rencana tulisan saudara Fathi (yang saya sertakan di bawah ini), entah mengapa tiba-tiba saya merasa sebak. Sedih dan pelik. Saya bukannya hairan dan sedih kerana perletakan jawatan saudara Khalid dari Berita Keadilan. Seperti ditulis Fathi, saya juga percaya nasib pengkritik memang 'malang' tidak kiralah samada namanya adalah Johan Jaafar, Khalid Jaafar atau siapa saja. Memang benarlah kata seorang kawan, tiada bezanya antara Berita Keadilan dengan Utusan, Harakah dengan Berita Harian. Mereka ini adalah 'perkakas' yang sanggup diperkakaskan, kuda yang suka ditunggangi. Jadinya, saya tidak hairan dan sedih tentang hal itu. Saya sudah maklum.

Seperti juga pengguna Internet yang lain, banyak berita dan informasi yang saya perolehi melalui alam maya berbanding bahan bercetak seperti majalah ataupun akhbar. Untuk mengimbangi pandangan dan pendapat tentang keadaan dan situasi di Malaysia saya membaca semua berita samada dari Utusan Online, Harakahdaily, Berita Harian, Malaysiakini, Berita Keadilan dan tidak terkecuali laman-laman web seperti Webreformis, Mahafiraun, M@rhain, Tranung Kite, Umno-reform dan banyak lagi.

Oleh itu, tidaklah menghairankan malah saya percaya jika saudara Khalid juga telah menerima nasib yang sama seperti apa yang telah diterima oleh saudara Johan Jaafar, saudara Lutfi dan yang senasib dengannya. Ada kebaikan disebalik terjadinya perkara ini. Fenomena ini terjadi hanya apabila saudara Khalid, Johan dan Lutfi menyedari bahawa mereka telah ditunggangi. Jika mereka masih belum sedar akan hakikat itu, mana mungkin mereka akan tersingkir sedemikian. Tahniah, syabas kepada mereka yang telah sedar dan moga-moga mereka tidak akan terkena lagi. Cuba bayangkan andainya mereka tidak menegur. Mereka akan hanya 'angguk' saja.

Saya semakin kuat mempercayai kebenaran tesis yang mengatakan bahawa "ahli politik di Malaysia ini adalah manusia elit berbanding rakyat marhaen". Golongan elit ini pantang dikritik dan kelemahan besar mereka adalah pujuk, rayu, puji dan 'ampu'. Sentiasa rugilah pengkritik elitis poltik negara ini dan amat beruntung jika anda mampu dan sanggup menjadi pengampu. Jika tidak mengampu pun, jangan sekali-kali anda mengkritik mereka. Elitis politik sama saja di mana-mana. Rakyat marhaenlah yang sentiasa rugi.

Malangnya, bukan semua manusia mendapat peluang menyedari bahawa mereka telah diperalatkan sebagaimana saudara Khalid menyedarinya. Saya percaya masih ramai manusia yang diperkakaskan ini belum tersedar dari lena mereka. Mereka ini ada di mana-mana. Di dalam pejabat jabatan kerajaan; di bilik pengarang akhbar; di masjid, gereja atau kuil; malah mereka ini juga mungkin ada di sebalik laman-laman web yang sedang anda layari ini. Inilah masalahnya - mereka tidak menyedarinya.

Pengalaman peribadi menulis sebegini menyedarkan saya kepada hakikat yang berlaku ini. Baru-baru ini saya amat merasa terguris apabila sebuah laman web terpaksa memohon keampunan daripada seorang elitis politik. Cerita ini bermula apabila ruangan lidah pengarang - Di Sebalik Tabir - laman Webreformis.net menegur Adun Lunas Yang Berhormat Saifuddin Nasution Ismail. Adalah dipercayai disebabkan tekanan pihak tertentu, pengandali laman tersebut terpaksa memohon maaf secara terbuka pada keesokan harinya. Saya berasa simpati kepada pengandali laman yang malang itu gara-gara tekanan itu terpaksa pula memberhentikan ruangan tersebut buat selama-lamanya.

Untuk menguji kebebasan laman web ini saya menghantar tulisan ini kepada mereka untuk siaran. Kita lihatlah hasilnya nanti. Sebelum ini pun saya ada meluahkan perasaan mengenai perkara ini dan menghantarnya kepada mereka juga, tetapi ternyata tidak dipedulikan langsung. Mungkinkah ini satu senarai hitam. Yang manghairankan, rupa-rupanya disebabkan teguran saya terhadap sikap pengandali laman Webreformis yang sanggup diperkakaskan itu menyebabkan saya turut disenarai hitamkan oleh laman-laman web yang lain.

Amat menyedihkan apabila laman web yang diharapkan untuk berjuang membebaskan rakyat dari kongkongan pemerintah zalim rupa-rupanya sedang dikekang pula kebebasan suaranya. Mungkin sudah tidak wujud lagi kebebasan hakiki sebagai mana yang dilaung-laungkan oleh para pengandali laman-laman web itu, dahulu.

Saya sentiasa percaya bahawa rakyatlah yang lebih penting untuk diutamakan berbanding elitis politik seperti Yang Berhormat Saifuddin yang ditakuti oleh pengandali laman web itu. Sebab itu saya tidak pun merasa gundah jika pandangan-pandangan melalui tulisan sebegini tidak diendahkan, sebab yang tidak mengendahkannya itu tidak sehebat mana pun. Sekadar berani dan hebat kerana menjadi perkakas saja bukanlah hebat. Khalid yang sedar itu memang hebat.

Enot Sabah (28.10.02)

................

Perginya pengarang ‘organ parti’

1:41pm Mon Oct 28th, 2002

Kerusi ketua pengarang akhbar sering disebut ‘kerusi panas’. Lebih-lebih lagi jika akhbar itu milik parti atau dilayan seperti organ parti. Jika tidak semua, sebahagian besar ketua pengarang tentu tahu darjah kepanasan kerusi masing-masing.

Semalam, dalam ucapan penangguhan perhimpunan agung Keadilan, presidennya mengumumkan peletakan jawatan Khalid Jaafar daripada Berita Keadilan. Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peletakan jawatan itu sebagai “menerima segala kritikan” daripada kalangan dalam parti.

Sehari sebelumnya, ketika perbahasan mesyuarat Pemuda, akhbar parti itu dianggap mempunyai ‘niat tidak baik’ atau ‘mala fide’ terhadap pergerakan itu. Kritikan keras itu dijadikan satu ketetapan Pemuda, walau tidak dikemukakan sebagai usul ke perhimpunan agung Keadilan.

Selain perhimpunan Pemuda, ketika membahaskan ucapan presiden, perwakilan juga tidak ketinggalan mengkritik akhbar parti, sepertimana Harakah pernah dikritik.

Kritikan ini berdasarkan, antara punca utamanya, laporan Berita Keadilan menjelang persidangan tahunan itu. Dalam edisi 22 Oktober, akhbar itu membuat tinjauan rambang tentang prestasi ahli majlis pimpinan tertinggi, Pemuda dan Wanita.

Tulisan bertajuk ‘Adakah pencapaian pucuk pimpinan Keadilan memuaskan?’ mengambil pandangan enam sumber, antaranya pengarah Suaram Cynthia Gabriel, penulis bebas, bekas penerbit laman web Radiqradio.com, Sonia Randhawa dan juga penolong setiausaha Keadilan Pulau Pinang, Ong Eu Leong.

Rumusan tinjauan itu: empat sumber menyatakan “tidak memuaskan”, satu “sangat tidak memuaskan” dan satu lagi “sederhana” bagi prestasi Pemuda. Sementara bagi prestasi Wanita, empat sumber menilainya sebagai “sederhana” dan selebihnya “tidak memuaskan”. Prestasi majlis pimpinan tertinggi nampaknya paling positif — lima menilai “sederhana” dan satu “memuaskan”.

Ekoran laporan ini, sumber-sumber terdekat dengan parti memberitahu, aktivis Pemuda menghantar rombongan menemui Dr Wan Azizah. Perbincangan ini bertujuan menyatakan aduan (atau bantahan) terhadap laporan tersebut. Beberapa orang kuat parti dirujuk berhubung laporan akhbar ini dan juga kedudukan ketua pengarangnya.

Khalid Jaafar, setiausaha akhbar Anwar Ibrahim ketika dalam kerajaan, akhirnya melepaskan Berita Keadilan. Akhbar parti ini beliau gerakkan kembali pada akhir 2000, selepas operasinya tergendala sekejap ketika dipimpin ketua penerangannya Ruslan Kassim pada 1999.

Nasib Khalid ini tidaklah ganjil. Ahmad Lutfi Othman ketika memimpin Harakah awal 1990-an lalu juga mengalami tekanan yang sama. Misalnya, pucuk pimpinan organ parti itu kurang senang dengan laporan — yang dikatakan ‘negatif’ — terhadap Anwar Ibrahim, waktu itu menteri kewangan. Pengarang Harakah ini tentu sangat jelas kedudukannya, dan juga ‘dukungan menipis’ yang diterimanya, apabila beliau kini dibicarakan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Kontroversi

Akhbar arus perdana juga mengalami nasib seumpama ini. Walau pada zahir kelihatan bukan sebuah organ parti, macam Rocket atau Suara PRM, ketua-ketua pengarang media perdana mengalami nasib yang sangat serupa dengan Khalid atau Lutfi.

Pada 1998, Johan Jaafar dan dua lagi orang kuat media — yang dikatakan ada hubungan dengan Anwar — di Berita Harian dan TV3 dipelantingkan selepas media ini membesar-besarkan keburukan kerajaan, antaranya laporan tentang Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Johan sendiri naik di Utusan Malaysia ekoran kontroversi yang mempelantingkan Zainuddin Maidin pada 1992. A Kadir Jasin serta beberapa wartawan kanan, selepas kemasukan Abdullah Ahmad, di New Straits Times juga mengalami senario yang seakan sama.

(Bagi orang politik, wartawan sejenis ‘hamba’ atau dalam istilah Rustam A Sani, ‘perkakas’. Atau, dari sisi lain, apa benar wartawan sendiri seronok diperkakaskan?)

Walau imejnya bukan organ parti dan pengaruhnya pula sangat meluas, elok juga jika kita kategorikan akhbar harian ini sebagai organ parti. Pertama, syarikat akhbar ini milik parti atau sahamnya dipegang oleh pemodal yang erat dengan pucuk pimpinan tertinggi parti (serta negara).

Kedua, majlis pimpinan tertinggi parti atau beberapa pemimpin kanan parti (serta negara) menentukan jatuh-bangun ketua-ketua pengarang ini. Bezanya satu sahaja: istilah ‘organ parti’ sesuai digunai pakai untuk parti pembangkang, sementara ungkapan ‘akhbar harian’ diertikan dengan penerbitan bercetak bagi sebuah kerajaan (yang tidak menghormati kebebasan akhbar).

Kurang profesional

(Lagi, akhbar prokerajaan terbit setiap hari, akhbar milik pembangkang terbit berkala. Kepada akhbar perdana tidak timbul isu memohon permit tahunan, tabloid pembangkang perlu memohon belas ehsan keizinan Kementerian Dalam Negeri. Wartawannya berasa mereka itu golongan profesional dan dibayar gaji lumayan, wartawan pembangkang ‘kurang profesional’ dan gajinya ala kadar mengikut kemampuan parti. Tetapi isu-isu ini bukan asasi, ia muncul akibat persaingan yang tidaksama rata. Batin isu ini masih sama — kedua-duanya menunaikan nafsu ahli politik.)

Hakikat hubungan kebebasan ketua pengarang dengan selera politik pemimpin parti sama sahaja — kedua-duanya mengongkong. Ada waktu-waktunya ahli-ahli politik menjadi terlalu sensitif dan berang tidak tentu pasal! Jenis kesensitifan dan keberangan inilah yang sering membingungkan wartawan di akhbar masing-masing.

Organ parti sering ditafsirkan tidak boleh — sama sekali — melencong daripada menjadi hamba atau kuli sepenuh masa parti. Jika ia cuba terkeluar sedikit, misalnya kritikan terhadap ulama dalam lidah pengarang Harakah atau tinjauan rambang Berita Keadilan itu, pemimpin-pemimpin utama parti, dan saya percaya pengikutnya juga, mesti mempertikaikan pengarang kanan.

Pertikaian itu termasuklah memecat atau menekannya hingga seseorang harus melepaskan jawatan. Tidak ada konsep, takrifan, garis panduan atau model apa itu yang dikatakan ‘organ parti’. Wujud tanggapan kaku serta simplistik seumpama itu — yakni akhbar sebagai alat promosi, propaganda atau hamba parti — tetapi apakah ia sah? Setidak-tidaknya untuk muhasabah parti, kalau pun tidak dalam konteks ‘kebebasan akhbar’ umumnya.

Tanggapan beku lagi simplistik ini tidak membuka ruang bergerak yang selesa kepada pengarang. Lebih-lebih lagi apabila memang tidak wujud pula batas-batas apa yang boleh dilaporkan dan apa pula yang ‘sensitif’ atau tidak boleh dilaporkan. Ruang bekerja seperti ini merimaskan. Jika dipertanggungjawabkan, tidak ramai wartawan sanggup memikulnya.

Perbezaan orientasi

Selain kesanggupan wartawan penggerak, apakah sihat sebenarnya untuk meneruskan tanggapan beku seperti yang difahami umum sekarang? Di manakah batas-batas sesebuah parti harus membuka ruang kritikan, perbezaan pandangan atau muhasabah melalui akhbar masing-masing?

Misalnya, pandangan kritis penyokong parti atau orang ramai terhadap sesebuah parti — apakah wajar dibaku-sampahkan? Atau, jenis kritikan atau analisa yang bagaimana harus diterbitkan, malah diberi keutamaan?

Kita tidak ada model itu dalam amalan sekarang. Selain soal perbezaan orientasi serta perwatakan antara wartawan dengan ahli politik, Harakah dan Berita Keadilan nampaknya menjadi mangsa akibat ketiadaan wacana ini, maksud saya wacana terbuka. Saya agak ragu-ragu apakah sebenarnya memang wujud apa-apa perbincangan serius, sekali pun tertutup, tentang isu-isu yang saya bangkitkan ini.

Gelanggang debat harus dibuka untuk mentakrifkan ‘kebebasan’ organ parti sebagaimana rancaknya wacana tentang kebebasan akhbar di negara ini. Semua orang, walau tidak meluas, dengan mudah menyebut media negara ini memihak dan tidak bebas. Ada sandaran analisa tertentu, ada kes, ada nilai yang diguna pakai untuk mengukurnya.

Tetapi tidak ramai orang menyedari bahawa organ parti juga perlu sejenis kebebasan tertentu, jika pun tidak sebebas media mandiri (independent). Bagaimana kita boleh tertinggal berwacana dalam hal sepenting ini?






______________________
Terbitan : 31 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com