Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

SONTORO YANG KE KOTA

TERSIAR DI BORNEO MAIL HARI INI LEWAT KOLUM

Ismaily Bungsu

Namaku Sontoro. Sontoro bin Trisno Sumardjo. Memang namaku Sontoro. Abahku orang Jawa. Ibuku Dusun campuran Brunei. Aku tinggal di sebuah desa di pedalaman. Nama desa itu ialah kampung Brunei. Tidak jauh dari kota. Kira-kira lima puluh kilometer saja jaraknya.

Aku tinggal bersama kedua-dua orang tuaku yang sudah tua. Barangkali abahku berusia kira-kira tujuh puluh tahun, sementara ibuku semacam lima pulug tahun. Yang pasti hidup kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Susahnya bukan main dan kerana itulah aku selalu saja mendiamkan diri dan duduk sendiri di bawah pokok mempalam sambil melihat kerbau di bendang yang di belakangnya ada bangau yang selalu menghiburkan aku saban senja tiba.

Barangkali hanya aku dan ibuku serta abah saja yang hidup dalam keadaan yang teramat susah sangat ketika itu. Iya, ketika itu yang kira-kira tahun 1968. Hidupku tidak sama seperti orang lain. Aku sendiri tidak mengerti kenapa hidup keluargaku begitu derita dan susah sangat sehinggakan aku sendiri kekadang terpaksa ponteng sekolah kerana asyik membantu abahku untuk mencari kayu api di hutan yang nantinya dijual kepada taukeh Ah Pai yang tinggal di pekan buat belanja kami bertiga. Begitulah.

Sebenarnya aku hanya ke sekolah tiga atau empat hari saja dalam seminggu dan aku memangnya selalu saja meratapi nasib yang menimpa pada keluargaku dan oleh sebab aku amat sedih dan meratapi hidup ini saban waktu, maka aku kepingin saja berhenti dari terus belajar kerana niatku semata-mata hanya mahu terus membantu abah mencari kayu api di hutan untuk maksud menambah pendapatan.

Aku memang selalu saja menilai diriku yang tidak sama dengan anak-anak lain. Memang amat jauh berbeda. Kawan-kawanku selalu saja ke sekolah cukup dengan bermacam keperluan, malah aku lihat pencil, pen dan buku selalu berlebih-lebihan, tapi aku tidaklah seperti mereka. Aku sedih sangat. Benar-benar-benar sedih, tapi apakan daya aku kerana memang begitulah nasibku. Ustaz Brahim dan ustaz Jais kata semuanya adalah takdir dan aku kononnya harus pasrah.

Aku ke sekolah hanya dengan satu buku dan satu pencil yang dihadiahkan oleh cikgu Thalib kepadaku. Bajuku dan celanaku juga hanya satu. Baju dan celana itu hadiah abangku yang namanya Soenharjo yang jadi tentera, tapi Soenharjo sudah tidak ada. Sudah meninggal kerana kecelakaan jalan raya di Tawau. Sedih.

Baju dan celana sekolahku yang dihadiahkan oleh abangku itupun sebenarnya sudah koyak moyak. Memang aku tidak punya baju dan celana lain. Pakaian biasa memang ada tapi bukan untuk dipakai ke sekolah. Nah, kerana itu selepas sekolah aku terus saja membasuhnya dengan harapan esoknya aku akan memakainya semula. Kalau musim hujan dan bajuku serta celanaku basah, maka aku terpaksa tidak pergi ke sekolah. Begitulah.

Memang abahku tidak mampu untuk membeli pakaian dan peralatan yang diperlukan dan kerana itulah juga aku ke sekolah tanpa sepatu dan terpaksa pula berjalan kaki yang kira-kira dua kilometer jauhnya dari rumahku yang letaknya di hujung desa dan berhampiran Sungai Damit dekat bukit yang di pinggir bukit itu ada bermacam buah-buahan milik tengah Manahai, Tangah Galoh, Tangah Tamin dan Tangah Bakiri.

Memang aku ke sekolah tanpa sepatu. Iya, tanpa sepatu dan keadaan itu menyebabkan aku selalu saja diejek oleh kawan-kawanku, tapi aku tidak pernah marah kerana memang aku selayaknya dikata begitu. Lagipun abahku selalu pesan supaya jangan membalas kalau diejek kawan-kawanku di sekolah.

Ejekan kawan-kawanku itulah yang menyebabkan aku tidak kepingin ke sekolah, tetapi oleh sebab cikgu Ali Ahmad dan cikgu Zaharah selalu menasihatkan aku agar terus saja ke sekolah, maka akhirnya aku pergi saja tanpa mempedulikan ejekan orang lain hingga aku jadi lali kerana ejekan-ejekan semacam itu.

Memang aku sedih sangat. Terlalu sedih sangat. Benar-benar sedih sangat dan tidak seperti kawan-kawanku yang lain dan akhirnya oleh sebab keadaan hidup yang mendesak dan terdesak. Terdesak dan mendesak, maka akhirnya aku terpaksa jua mengambil keputusan untuk berhenti bersekolah demi membantu kedua-dua orang tuaku.

Abah yang sudah tua memang tidak berhalangan meski abah ada keinginan untuk menyekolahkan aku agar menjadi anak yang bijaksana seperti anak-anak lain, tetapi atas sebab keadaan yang tidak mengizinkan maka keinginan kedua-dua orang tuaku terpaksa dikuburkan begitu saja dan ternyata mereka merestui untuk maksud berhenti.

Suatu hari taukeh Ah Pai membawa aku ke kota. Katanya untuk mencari kerja demi membantu keluargaku. Memang aku suka. Abah dan ibuku tidak perhalangan untuk mengizin aku pergi. Lalu akupun pergi bersama taukeh Ah Pai.

Barangkali itulah pertama kalinya aku berpergian ke kota. Taukeh Ah Pai memang baik orangnya. Taukeh Ah Pai selalu saja membantu keluargaku ketika berhadapan dengan kesulitan. Orang lain tidak ambil peduli. Orang lain juga susah. Memang taukeh Ah Pai itulah yang selalu saja membantu. Memang dia baik sangat meski agama kami berbeda.

Nah, kala aku sampai di kota, aku lihat kota sama sekali lain.Tidak sama seperti keadaannya desaku yang penuh derita dan susahnya bukan main hebat. Memang aku tidak pernah membayangkan yang suatu waktu aku akan ke kota. Memang tidak pernah. Tidak pernah aku bayangkan bagaimana bentuknya kota yang selalu diperkatakan orang. Terasakan kala di kota aku semacam rusa masuk kampung. Benar-benar terasing. Amat terasing.

Di kota memang semuanya ada. Apa saja yang dimahukan bisa didapatkan. Soalnya semua bisa ada dengan cara adanya wang. Tanpa wang tentu tidak mungkin didapatkan apa yang diinginkan dan aku sedar bahawa orang kota hanya melihat wang dan sering saja memejam mata kapan melihat bahaya. Itulah yang aku tahu.

Baik di desa atau di kota aku masih terus berjalan tanpa sepatu. Memang tanpa sepatu. Sudah terbiasa. Iya, tanpa sepatu. Aku memang sedih. Amat sedih sekali. Sedih akibat kemiskinan yang menimpah keluargaku, tapi kesedihan itu langsung tidak pernah aku perkatakan kepada sesiapapun.

Di kota aku terus saja memikirkan dan meratapi kehidupan keluargaku dan kekadang aku memang amat kesal sambil bertanya diri bahawa kenapa saja aku dilahirkan dalam keadaan yang amat susah sangat. Iya, siapa kira-kira yang harus aku salahkan? Aku sendiri tidak pasti dan tidak tahu. Kekadang/bukan kekadang, malah selalu. Iya, aku selalu saja mengeluh dan mendesah. Mendesah dan mengeluh yang akhirnya aku terpaksa menyalahkan Tuhan melulu yang kukatakan Tuhan tidak adil padaku dan keluargaku. Astaga!

Kala di kota aku selalu saja teringat abah dan ibuku di desa. Terbayang sangat akan wajah abah dan ibuku yang sudah tua dan selalu saja tabah dalam keadaan apapun. Abah dan ibuku meski sudah tua, tapi tidak pernah sedih dan tidak pernah mengeluh/apa lagi mahu meratapi hidup yang sisa. Kedua-duanya selalu saja berdoa dan berdoa kala selesai solat. Itulah yang aku lihat kala aku ikut sama bersolat dengan mereka.

Memang aku selalu saja menyalahkan Tuhan dan memperkatakan yang Tuhan tidak adil, tetapi kekadang terfikirkan jua bahawa aku sendiri seharusnya tidak pantas untuk terus menyalahkan Tuhan dan akhirnya aku memilih untuk berdiam diri saja kerana aku fikir dengan cara berdiam diri tentu saja lebih bermakna untuk menilai kembali keadaanku dan keluargaku yang sebenarnya.

Sedang aku asyik duduk dekat tangga panggung lama di kota sambil meneliti kembali akan kehidupanku yang malang dan susah sangat di desa, maka tiba-tiba datang seorang tua. Iya, seorang yang sudah tua. Memang sudah tua. Benar-benar tua sambil menghampiriku dan menyentuh bahuku yang lalu dia berkata setelah memberi salam: "Sebaiknya tidak usahlah Sontoro sedih sangat. Sontoro sebenarnya cukup bernasib baik kerana masih memiliki kesemuanya" aku tersentak sebentar dan terdiam. Aku tatap wajah orang tua itu dan aku bertanya pada diriku sendiri tentang siapa saja orang tua yang yang ada di depanku itu.

"Sontoro tidak perlu kesal atau susah hati. Bapak tahu apa yang Sontoro fikirkan dan tahu sangat akan kesedihan Sontoro. Sontoro sedih kerana keadaan hidup tidak sama seperti orang lain, apa lagi kala Sontoro selalu memikirkan tentang hidup Sontoro yang tidak punya sepatu" aku hairan. Benar-benar hairan. Bagaimana orang tua yang tidak pernah aku ketemu itu tahu benar apa yang aku fikirkan. Aku diam dan tak berbicara, apa lagi mahu bertanya pada orang tua itu. Memang benar bahawa selama ini hidup aku tidak pernah punya sepatu.

"Tapi Sontoro tidak usah sedih. Sontoro masih punya nasib yang sangat baik, tapi bapak….." orang tua itu terhenti berbicara secara tiba-tiba yang entah kenapa dan menatap wajah Sontoro dengan wajah yang amat tenang dan santai. Sontoro terus saja diam dan hairan, tapi sesekali mencuba untuk terus menatap wajah orang tua itu yang dilihatnya seperti wajah abahnya di desa. Sontoro hairan. Benar-benar hairan tapi masih tidak berbicara dan asyik diam sambil merasa bingung.

"Sontoro masih punya kaki untuk dipakaikan sepatu. Itu bermakna Sontoro masih bernasib baik dan kerana itu bapak kata Sontoro sebaiknya tidak usah sedih sangat dan meratapi hidup. Berdoalah dan berusahalah duhai Sontoro" kata orang tua itu setelah kelihatan selesai menelan air liurnya yang singgah sebentar di tekaknya dan ternyata aku seperti biasa terus saja diam. Terpaku dan masih berfikir. Benar-benar bingung.

"Nah, cuba saja Sontoro lihat bapak!" kata orang tua itu lagi sambil mengangkat kain yang menutupi kakinya. Aku terkejut sangat. Benar-benar terkejut. Sesuatu yang tidak aku sangka. Iya, memang tidak aku sangka langsung. Aku semacam tidak percaya. Benar-benar tidak percaya. Ternyata orang tua yang hadir di depanku benar-benar merubah fikir dan menyentak mindaku. Ternyata kala melihat keadaan itu aku lagi-lagi tidak mengerti. Terdiam dan memang tak terdaya untuk berbicara.

Memang aku terdiam dan tak berkata apa-apa. Memang aku terdiam langsung. Barangkali itulah pertama kalinya aku melihat orang yang tidak punya kaki, tapi masih punya semangat yang kuat untuk terus hidup. Tentunya berbeda dengan aku. Aku benar-benar sedar dan orang tua itu benar-benar memberikan keinsafan padaku betapa Tuhan itu sebenarnya memang adil.

Orang tua itu menatap wajahku dengan tenang sekali serta semacam dia mengharapkan sesuatu padaku yang tentu saja dia mahu aku tabah menghadapi segala yang ditentukan oleh Tuhan. Tentu begitulah harapan orang tua itu dan sebelum pergi meninggalkan aku di tangga panggung kota, ia sempat menasihatkan agar jangan sampai aku bersedih yang amat sangat kerana di dunia ini katanya masih ada berjuta lagi manusia yang nasibnya lebih sengsara dan derita dari hidupku dan keluargaku di desa. Lagi pula dia berkata bahawa sedih katanya memang tidak baik kala sedih itu sendiri membentuk perwatakan, hinaan yang merosakkan.

Kata-kata orang tua itu cukup memberikan kesan yang mendalam padaku. Memang benarlah kata ramai orang bahawa hati yang penuh syukur, bukan sahaja merupakan kebajikan yang terbesar, melainkan merupakan induk segala kebajikan yang ada di dunia ini. Itulah kenyataan Cicero yang hingga saat ini aku terus ingat, tapi ramai sangat yang tidak mensyukuri apa yang sudah dimiliki, tetapi selalu menyesali apa yang belum mereka capai. Memang begitulah dasarnya manusia yang ada. Kenapa iya? (21/10/02)






______________________
Terbitan : 26 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com