Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Jadilah Ansarullah

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan semua hadirin sekalian supaya bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa.

Muslimin sidang Jumaat sekalian,

Di dalam keadaan musuh-musuh Islam membina satu pakatan untuk memusuhi serta memusnahkan Islam dan umatnya, adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu yang mengaku dirinya beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk bersama-sama mempertahankan agama Allah S.W.T. Firman Allah dari surah At-Taubah ayat 41 yang bermaksud: "Berangkatlah (berjuanglah sama ada ringan ataupun berat perasaan kamu) dan berjihadlah di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa kamu, itulah yang baik kepada kamu sekiranya kamu mengetahui."

Mempertahankan agama Allah adalah jihad yang paling utama yang perlu dilakukan oleh setiap orang yang beriman. Oleh itu setiap mu’min dan muslim hendaklah menjadi ‘Ansarullah’ iaitu orang yang menolong menegakkan agama Allah di dalam erti kata sebenarnya. Firman Allah dari surah As-Saff ayat 14 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jadilah penolong-penolong agama Allah sebagaimana Isa bin Maryam berkata kepada golongan ‘Al-Hawariyyun’ (sahabat-sahabat karibnya): Siapakah yang akan menjadi penolongku kepada Allah (dalam menegakkan agamanya)?

Lalu Al-Hawariyyun berkata: Kamilah penolong-penolong agama Allah, lalu sebahagian daripada Bani Israil beriman dan sebahagian lagi kufur. Maka kami menolong orang-orang yang beriman lalu mereka menjadi orang-orang yang mencapai kemenangan."

Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Ayat di atas mewajibkan semua orang yang mengaku beriman kepada Allah, mengaku beriman dengan al-Quran dan hari akhirat supaya membantu menegakkan Islam. Setiap muslim hendaklah memastikan dirinya bersama-sama dengan ajaran Islam yang sebenar, di samping sentiasa menjadikan agamanya sebagai perkara utama yang perlu diambil berat.

Segala tindakannya dan ucapannya hendaklah di dalam usaha memartabatkan agama Allah S.W.T. sahaja. Dengan itu kita akan sentiasa berada di dalam hidayah Allah dan terselamat daripada terpesong dari jalan lurus yang ditentukan Allah ini. Sebenarnya Allah S.W.T. maha berkuasa dan maha perkasa. Dengan kekuasaan dan keperkasaan itu, Allah S.W.T. mampu untuk menjadikan semua makhluk beriman dan tunduk kepada syariat Allah.

Tiada sesuatu pun yang boleh menjadi halangan kepada Allah kerana Allah S.W.T. berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Firman Allah dari surah Yunus ayat 99 yang bermaksud: "Dan kalaulah Tuhan kamu menghendaki, pasti akan beriman yang berada di bumi kesemuanya."

Namun yang demikian, Allah S.W.T. telah menjadikan kepada tiap-tiap perkara itu mempunyai sebab dan musababnya, dan di sebaliknya ada hikmah-hikmah yang tertentu. Ini bermakna perjuangan untuk menegakkan ketuanan Islam di atas muka bumi ini perlu didokongi oleh umat Islam yang menjadi khalifah Allah di bumi ini. Oleh itu Allah S.W.T. mewajibkan kita agar berusaha menegakkan agamanya. Kewajipan ini sebenarnya adalah untuk manfaat diri kita sendiri dan bukan sebagai keperluan kepada Allah. Manusia yang menolong dan membantu agama Allah sebenarnya membantu diri mereka sendiri, kerana dengan itu mereka akan dikurniakan dua nikmat dan kurniaan yang amat besar iaitu:

Pertama: Kejayaan di atas muka bumi dengan tertegaknya syariat dan keadilan Islam.

Keduanya: Keredhaan Allah dan syurga yang lebih luas dari langit dan bumi, yang akan diberikan Allah kepada sesiapa yang mengorbankan harta benda, jiwa raga untuk Allah dan agamanya.

Firman Allah dari surah As-Saff ayat 10-13 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang dapat membebaskan kamu daripada azab yang amat pedih (azab neraka). (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan kamu berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahui. (Allah) akan memberikan keampunan kepada kamu daripada segala dosa kamu dan akan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, serta tempat kediaman yang baik di syurga ‘adnin’ itulah kejayaan yang besar.

Selain dari itu kamu mengharapkan kemenangan dari Allah dan pembukaan yang dekat, maka berilah berita gembira kepada orang-orang yang beriman."

Itulah kewajipannya manusia, untuk sama-sama perihatin kepada Islam dan berusaha untuk mendaulatkannya. Tetapi apa yang menyedihkan kita, kebanyakan umat Islam sekarang telah lupa tanggungjawab ini bahkan tenggelam di dalam urus kesibukan dunia. Mereka dialpakan oleh kesenangan dunia sedangkan yang memberikan kesenangan kepada mereka ialah Tuhan yang menyuruh mereka menegakkan agamanya. Mereka mengambil rezeki Allah tetapi lupa tanggungjawab mereka terhadap Allah. Inilah gejala kufur kepada nikmat Allah yang berkuasa kepada orang yang mengaku beriman dan bersyukur kepada Allah.

Tambah menyedihkan lagi apabila tiada langsung niat di dalam hati untuk menolong menegakkan agama Allah, bahkan sebaliknya menjadi penolong kepada musuh Allah yang ingin memusnahkan Islam. Ini sama ada disedari ataupun tidak, akan menjadi ejen kepada musuh Islam dan duri dalam daging masyarakat Islam. Kepada mereka Allah S.W.T berfirman dari surah Hud ayat 113 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu akan disambar api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun melainkan Allah, kemudian kamu tidak akan mendapat pertolongan (pada hari ini kerana perbuatan kamu itu)."

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita setia untuk bersama-sama Islam, walaupun di mana Islam itu berada, tidak kira sama ada ketika Islam berkuasa ataupun tertindas, semasa Islam disukai ramai ataupun bersendirian serta daging. Sabda Rasulullah dari Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: "Islam bermula di dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang (pada akhir hayat dunia ini) maka beruntunglah orang-orang yang dagang (bersama Islam)."






______________________
Terbitan : 20 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com