Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

KISAH BENAR DI AMPANG JAYA

Pada Ahad malam, 13 Oktober 2002, pemimpin-pemimpin UMNO di Ampang Jaya mungkin sedang tersenyum lebar.

Sebuah ceramah PAS sedang dalam proses di gagalkan. Mungkin mereka begitu gembira dan berpuas hati kerana mereka tidak payah mengerahkan jentera penerangan ataupun pemuda-pemuda untuk menjalankan kerja-kerja kotor itu.

Pada malam itu pihak polis telah mengadakan sekatan di jalan-jalan ke arah Taman Maju Jaya, Ampang Jaya. Semua kenderaan ditahan. Pihak polis telah memberitahu terdapat perhimpunan haram di taman tersebut. Orang-ramai disuruh balik.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebuah ceramah memang diadakan di taman tersebut. Walau bagaimanapun ceramah oleh Ustaz Haji Ahmad Awang, seorang ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dan Saudara Iskandar Abu Samad, bekas calon PAS bagi DUN Lembah Jaya diadakan di dalam bangunan.

Kenyataan SUHAKAM bahawa sebarang perjumpaan di dalam bangunan tidak melanggar undang-undang tidak dihiraukan oleh anggota polis yang berkawal. Janji Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt. Azmi Hashim, bahawa sesi-sesi perhimpunan di dalam premis tidak melanggar mana peruntukan undang-undang juga telah tenggelam di dalam kehangatan malam. Akta Polis yang membenarkan ceramah di dalam bangunan juga telah dihumban entah ke mana.

Malah tidak cukup dengan sekatan jalan, setiap penjuru di sekeliling bangunan di mana ceramah diadakan dikawal oleh pihak polis. Penduduk tempatan yang berjalan kaki untuk mendengar ceramah pun dihalau pulang. Maka sudah tentulah ketawa besar pemimpin-pemimpin UMNO itu yang tidak perlu bersusah payah untuk menangkis penerangan-penerangan PAS.

Tetapi kenapa Taman Maju Jaya ? Sepanjang bulan September dan Oktober telah dianjurkan ceramah-ceramah oleh ahli Parlimen PAS di taman lain. Tidak ada sekatan kerana tidak perlu sekatan kerana tidak melanggar undang-undang. Tetapi kenapa perlu dikepung Taman Maju Jaya ?

Pertentangan yang hebat di antara PAS dan UMNO menyebabkan UMNO sudah terlalu nazak di taman itu yang menyebabkan UMNO perlu meminta bantuan luar. Selama ini bendera-bendera PAS yang dipasang kerap hilang entah ke mana. Kain-kain rentang yang dipasang hanya dapat bertahan beberapa hari. Majlis Perbadaran Ampang Jaya yang dibiayai oleh wang rakyat dijadikan budak suruhan yang setia kepada UMNO.

Pemimpin-pemimpin UMNO Ampang Jaya menyedari zaman IT bukan lagi zaman pemuda tahan lasak. UMNO tidak ada lagi pemuda kerana yang tinggal hanyalah mereka yang sedang menunggu untuk mengaut kontrak-kontrak. UMNO tidak lagi berupaya untuk berhadapan dengan PAS secara “gentleman”. Oleh itu tidak ada pilihan lain bagi UMNO.

Imej PAS tidak terjejas pada malam itu. Masyarakat sudah faham bahawa PAS seperti penduduk Palestin sentiasa ditekan, sentiasa ditindas. UMNO tidak lagi peduli kepada imejnya. Imej UMNO yang sudah merudum, terus merudum. Tetapi yang paling terjejas adalah imej polis.

Ramai juga yang bertugas malam itu berkata mereka hanya menurut perintah. Mereka hanya mencari rezeki yang halal untuk menyara anak, isteri dan mungkin keluarga di kampung. Mereka tidak terdaya untuk melawan arahan yang telah diberikan. Nampaknya mereka benar-benar ikhlas.

Kalau dulu apabila terdapat kanak-kanak yang berkata hendak menjadi polis bila besar kelak, kawan-kawannya akan memujinya. Ketika itu polis dianggap wira, mempertahankan negara dari serangan pengganas komunis. Tetapi hari ini sekiranya ada kanak-kanak yang berkata hendak menjadi polis maka terdapat kawan-kawannya yang berkata, "Engkau nak jadi UMNO ke ?". Walaupun ini hanyalah gurauan kanak-kanak tetapi pendapat sedemikian dikongsi oleh ramai rakyat Malaysia.

Tidak hairan mereka berpendapat begitu. Setelah Mahkamah memutuskan polis bertindak jahat menahan pemimpin-pemimpin muda KeaAdilan, masyarakat tidak ada pilihan untuk melihat polis sebagai alat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Ini amat merbahaya sekali. Jika masyarakat tidak menghormati polis maka siapa akan menguatkuasakan undang-undang ? Ditakuti juga masyarakat akan akhirnya tidak akan menghormati undang-undang negara. Tetapi ini bukan salah mereka. Pihak polis mestilah membersihkan imej mereka. Setelah peristiwa "ISA Mala Fide", orang mengangap polis itu UMNO dan UMNO itu polis.

Di Ampang Jaya imej polis teruk terjejas. Seorang konstabel telah dituduh merogol dua orang tahanan warga asing di Balai Polis Ampang. Bukan satu tapi dua dan semuanya pada malam yang sama. Begitu bertenaga anggota polis kita tetapi alangkah baiknya sekiranya tenaga itu digunakan untuk membanteras jenayah.

Walaupun konstabel itu telah dilepaskan oleh hakim kerana hubungan seks itu dikatakan suka sama suka tetapi amat memalukan bagi setiap anggota polis kerana telah berlaku penzinaan di dalam balai polis. Kalau berlaku di dalam pub, disko atau lounge karaoke, masyarakat mungkin tidak akan terkejut. Tetapi berlaku di dalam balai polis. Balai polis yang merupakan nadi kepada segala perancangan untuk membanteras jenayah telah dijatuhkan akan martabatnya.

Sebelum ceramah 13 Oktober, YB Mahfuz pernah dikepung di Ampang Jaya, YB Azmin dikepung, Dr. Hatta dikepung, Allahyarham Presiden dikepung dan Nik Aziz juga dikepung. Tetapi sepanjang bulan September dan Oktober, YB Husam tidak dikepung, YB Abu Bakar tidak dikepung, Dato’ Tuan Ibrahim tidak kepung dan Ustaz Kamal Ashaari juga tidak dikepung. Ramai menafsirkan pihak polis telah menginsafi akan perbuatan mereka. Maka bolehlah diteruskan dengan kerja-kerja menjaga keamanan dan menangkap penjenayah.

Memang benar, beberapa hari sebelum ceramah di Taman Maju Jaya, telah diumumkan pihak polis berjaya menyelesaikan 30 kes samun di sekitar Ampang.

Tetapi tafsiran itu adalah bagai mimpi di siang hari. Disangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Kita sama-sama bersedih dengan ramai yang benar-bernar ikhlas berusaha untuk memastikan negara kita aman dan sejahtera bagi seluruh rakyat Malaysia. Tetapi akibat dari kegilaan UMNO untuk meneruskan kuasa, mereka yang ikhlas ini juga telah terkena akan lumpur-lumpur yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang menyangka “dunia ini ana yang punya”.

Tepat sekali apabila YB Kerk dari DAP berkata polis telah diperbodohkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Kerk tidak menghina polis. Tetapi pemimpin-pemimpin UMNO yang menghina polis dengan menyuruh mereka melakukan kerja-kerja politik mereka. Mana tidaknya untuk memantau hari keluarga PAS pun UMNO terpaksa menghantar SB. Tidak ada ke lagi ahli-ahli UMNO yang sanggup menghadiri program-program PAS ? Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO fikir jika ahli-ahli mereka menghadiri program PAS, mereka akan terus menjadi PAS. Maka terpaksalah SB menjalankan kerja-kerja itu untuk mereka. Sekarang siapa yang menghina polis ? Siapa yang memperbodohkan polis ?

Ben Kwaleigh
Cheras Indah
16 - 10 - 2002






______________________
Terbitan : 16 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com