SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Nikmat sakit sebelum roh melayang dari jasadOleh AHMAD LUTFI OTHMAN Sakit sering dikaitkan dengan musibah yang perlu dielakkan. Bila sakit banyak agenda yang dirancang tergendala. Ya, siapa yang suka terlantar memandang siling dan dinding sambil perit menahan kepedihan. Tidur malam terganggu, nafsu makan tersekat, malah angan-angan pun terpadam. Sakit kadang-kadang memutuskan ghairah terhadap kehidupan yang banyak diselaputi kepalsuan ini. Sakit mudah mengingatkan kita kepada kematian dan dunia baru selepas mati. Terbayang azabnya menanggung sakaratul-maut, kesepian (juga penyeksaan) di alam kubur, dahsyat dan huru-haranya Hari Kemudian, serta kekalutan di Padang Mahsyar, getirnya melalui sirat dan keluh-kesah berhadapan dengan timbangan amalan. Itulah antara gumpalan rasa yang saya tempuhi selama hampir dua bulan bercuti di rumah, ekoran sakit separuh badan, terutama tangan kanan. Terbayang jelas wajah kudus mak, yang rupanya sudah tiga tahun pergi buat selama-lamanya, diselangi kenangan bersama arwah bapa, Wan Om, Bang Lat, dan keluarga terdekat lainnya. Ia juga mengingatkan beberapa panggilan telefon kecemasan di tengah malam, yang memaklumkan ada kecelakaan yang menimpa, antaranya tentang kematian yang menyambar. Sakit rupanya membawa nikmat terutama sebagai pengajaran bagi mereka yang mudah lupa dan lalai dengan kesibukan rutin harian. Sakit mengejutkan kita tentang amalan dan bekalan yang perlu dilengkapkan sebelum nadi terputus dan degup jantung terhenti. Sakit seakan-akan satu rahmat dari Ilahi, untuk berhenti seketika, menarik nafas panjang, bermuhasabah dan merenung diri sedalam-dalamnya. Alhamdulillah kerana diberikan kesempatan menderita sakit, yang membolehkan kita mengenal kelemahan dan kealpaan diri, sebelum nyawa diregut. Sakit turut mengingatkan bahawa musuh utama insan, yakni syaitan tidak henti-henti menggoda dan menganggu. Dan masih ramai rupanya, masya-Allah, manusia yang diperalatkan oleh syaitan terkutuk untuk melakukan khianat sesama sendiri. Kalau dulu, saya menganggap perbuatan sihir dan ilmu hitam adalah mainan manusia purba, namun ia rupanya masih popular sebagai senjata memusnahkan lawan. Justeru, ia menyadarkan tentang peripentingnya membentengi diri, dengan amalan warisan para Nabi, di samping memperkukuhkan aqidah dan keyakinan kepada Ilahi. Sakit juga membuatkan kita lebih sabar dan tabah, serta bersedia untuk menerima kesakitan yang lebih memedihkan. Sakit mendatangkan lebih kekhusyukan dalam beribadah, melapangkan masa untuk menelaah kitab-kitab agama, dan berkesempatan bertemu para ulamak dan tok guru walaupun dengan niat awalnya untuk berubat. Doa dan ayat-ayat al-Quran menjadi basahan bibir, serta diulang dan diulang, hingga mendatangkan bekas di hati. Sakit melorongkan diri untuk redha menerima segala-galanya, hatta jika roh berpisah dari jasad. Terima kasih Tuhan dengan nikmat sakit itu. Namun, seperti juga peringatan dari khabar kematian di awal pagi, yang terasa kuat kesan hentakannya, tapi perlahan-lahan hilang, perlahan-lahan dilupakan; begitu juga dikhuatiri bila tubuh segar semula, sengal dan lenguh tidak terasa lagi, pusingan kehidupan bertukar menjadi seperti sediakala. Amal ibadat tidak menentu, kesempatan berteleku menangisi dosa terabai dan lebih malang, bila fardhu yang wajib pun menjadi tonggang-langgang. Benar sekali, kehidupan dunia ini cukup melekakan dan kita sering terperangkap. Semoga Ramadhan yang kita lalui dapat menyingkap dimensi kehidupan beragama yang baru, yang lebih mantap pengertian dan maknanya. Buat teman-teman seperjuangan, jadikan Ramadhan yang satu ini sebagai penyuluh dan cermin diri, yang pastinya mampu menyuntik semangat dan keyakinan berdepan ujian dan halangan lebih dahsyat nanti. Laluan kita ternyata dipenuhi onak dan duri. Hanya berbekalkan iman yang teguh, dilingkungi ibadah yang luhur, usaha pengkhianatan dan kecurangan manusia akan dapat diatasi. Dan diharap kita tidak mensesiakan janji Allah dengan seribu satu kelebihan di akhir 10 Ramadhan dan nikmat Lailatulqadar. Dampingilah al-Quran, kelak segala kerunsingan pasti hilang dan ketenangan datang sebagai panggantinya. Apa pun, akhirnya, jutaan terima kasih buat Ustaz Haron Din, Ustaz Rashid, Ustaz Ismail (adik Ibrahim Libya), Pak Bakaq Kulim, Pak Su Mail, Pak Bakaq Kulim, Dr Muhyiddin, Dr Halili, Dr Raymond dan ramai lagi yang banyak membantu.
Diterbitkan oleh : |