Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pemilu Ke 11: Awas Perangkap Politikus Penakut!!!

BA Bakal Diperangkap Lagi?

Tulisan Sdra Syed Hassan Al-Bawah bertajuk: 'Jerangkap Samar Untuk BA' yang disiarkan baru-baru ini dalam laman Tranungkite. Hendaklah diambil perhatian secara serius oleh para pemimpin BA, penyokong, pendokong BA dan seluruh rakyat majmuk Malaysia yang cintakan keadilan, kebaikan dan kebenaran. Memang UMNO yang menjadi kepada nombor satu kereta api BN sentiasa memasang jerangkap samar dan perangkap berbagai jenama dan pelbagai gaya bagi mengelirukan parti-parti pembangkang yang berpengaruh dalam negara ini. Matlamat mereka cuma dua. Satu agar UMNO/BN terus berkuasa sampai kiamat dan yang kedua, melumpuhkan seluruh kekuatan BA.

Sejak kebangkitan rakyat tahun 1998 yang digerakkan oleh DS Anwar Ibrahim. Kemudian disambung oleh para pemimpin penting parti-parti pembangkang di negara ini yang diketuai oleh Almarhum Datuk Fadzil Mohd Nor bersama Dr Syed Husin Ali (PRM), Sdr Lim Kit Siang (DAP), Dr Wan Azizah (KeADILan), para pemimpin NGO's, intelek, pelajar universiti dan seluruh rakyat majmuk Malaysia. UMNO/BN dan para pemimpin korup dan penakut, sejak itu dilanda sakit jiwa, gelisah dan gundah gulana memikirkan nasib mereka dihujung hari. Pilihanraya 1999 benar-benar membuat UMNO/BN tidak selesa hingga ke saat ini, sekalipun mereka memperolehi 2/3 majoriti di Parlimen serta menguasai banyak negeri. Mereka masih boleh senyum dan berpesta merai kemenangan. Seterusnya bolehlah merompak harta dan wang rakyat secara lebih teratur dan selamat dengan pelbagai gaya. Hingga rakyat di kampung terus buta akal dan kabur mata untuk melihat agenda merompak itu oleh para penyamun berlesen dikalangan para pemimpin UMNO/BN kaki auta, putar alam, putar belit dan penipu.

Yang Halal Dilarang, Yang Haram Jadi Halal

Sudah nasib parti pembangkang dan para pemimpinnya dalam negara yang dikuasai oleh UMNO/BN berkepalakan Dr Mahathir dan Pak Lah. Begitulah juga nasib rakyat yang menyokong pembangkang dan pendokongnya. Tidak ada ruang menikmati saat-saat indah dalam hidup mereka. Untuk mendapatkan keadilan dalam agihan ekonomi, pekerjaan, pendidikan, biasiswa dan sebagainya semakin hari semakin mengecil. Kalau adapun 'ruang selesa' terpaksa pula menggunakan pelbagai lorong yang amat sukar. Sebab kalau didapati ada anak penyokong parti pembangkang yang mahu mohon biasiswa mereka akan disoalsiasat dengan ketatnya. Kita boleh bayangkan seluruh birokrasi yang ada kaitan dengan UMNO/BN akan beroperasi menyaring dari ketua kampung, pengerusi JKKK hingga peringkat DO terpaksa diminta pelbagai sokongan. Apabila sudah jelas pemohon/pelajar itu anak penyokong kuat parti pembangkang. Janganlah terlalu berharap pandai manapun anak-anak kita kemudahan biasiswa itu hanya mudah untuk anak-anak para pemimpin/penyokong UMNO/BN, sekalipun anak-anak penyokong UMNO/BN itu sekadar lulus SPM pangkat 3 atau paling rendah dari itu kerana dia anak orang UMNO/BN mudahlah dapat apa saja yang dihajati.

Maknanya, harta rakyat dan negara ini seolahnya mahu digambarkan kepada rakyat sebagai harta sepencarian parti UMNO/BN dengan para pemimpin dan penyokong sahaja atau mahu diberitahu kepada rakyat bahawa harta negara dan rakyat itu hanya milik kepunyaan orang UMNO/BN dan para penyokong kuat mereka. Itulah kefahaman rakyat negara ini. Mereka tidak boleh buka fikiran lebih jauh dari fahaman sempit dan jumud itu.

Rakyat yang celik politik, tahu ilmu demokrasi dan faham apa itu kebebasan akan bertindak spontan bila hak mereka dilarang, disembunyikan atau dihalang, sebagaimana seorang anak kecil seklipun apabila kemahuannya dihalang, kesukaannya disekat atau permainan yang disukainya disimpan, disembunyikan atau dilarang anak kecil itu akan meronta-ronta, menangis dan bertindak spontan mengikut kesesuaian kebolehan yang ada pada dirinya. Agaknya tindak balas spontan rakyat ke atas beberapa siri sekatan yang sudah dan sedang berlaku dalam negara ini yang sengaja dilakukan oleh parti yang memerintah yang dikepalai UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir dan Pak Lah bagi tujuan menyekat kebangkitan rakyat secara politik. Pada semua yang dibuat atau disukai oleh rakyat terbanyak itu bukanpun salah dari segi peruntukan Perlembangaan Negara, tidak juga menyalahi amalan demokrasi itu dan paling tidak ia adalah hak-hak asasi rakyat yang merdeka dan bebas. Jadi kenapa mahu dihalang rakyat menjalankan program halal atau dibenarkan oleh undang-undang.

Helah Larangan Satu Perangkap Politik Politikus Penakut

Mengapa dan apa sebab parti pemerintah yang berkuasa di pusat iaitu UMNO/BN beria-ia sangat mahu membuat pelbagai helah larangan dan sekatan terhadap hak-hak rakyat untuk bersuara, berpolitik, mengkritik dan sebagainya. Rakyat faham dan tahu tentang mana yang salah dan yang mana dibenarkan oleh undang-undang. Pemimpin UMNO/BN jangan memandai-mandai dalam mengandaikan sesuatu perubahan reaksi rakyat negara ini. Sikit-sikit ekstrim, sikit-sikit al-maunah, sikit-sikit pengganas, KMM, sikit-sikit anti kerajaan, sikit-sikit ISA, polis, huru-hara dan semua yang mereka fikir adalah negatif dan buruk semata. Tidak pernah para pemimpin UMNO/BN berfikir hal-hal yang mendatangkan kebaikan dan positif dari reaksi spontan rakyat yang mengkritik UMNO/BN dan para pemimpin mereka yang rasuah, salahguna kuasa, menyeleweng dan mempertahankan seluruh pemimpin UMNO/BN yang terang-terangan berbuat salah, rasuah, jenayah, merompak dan sebagainya dalam negara ini.

Rakyat negara ini terutamanya mereka yang tidak menyukai pemimpin yang rasuah, rosak akhlak, pembohong, penjenayah dan pengamal 'double standard'. Mereka akan terus mengkritik dan memperbetulkan gaya kepimpinan dan pemerintahan yang cuma pandai cakap tak serupa bikin. Bayang anda boleh percaya, seorang pemimpin besar negara atau negeri di pentas agama mereka cakap tentang kehebatan, kesempurnaan Islam sebagai ajaran dan syariat, tetapi bila berada di pentas lain atau di pentas politik mereka cakap yang lain, mereka hina dan perlekeh hukum Islam yang lengkap dan sempurna yang telah mereka kata sebelum itu, Islamlah ajaran terbaik dan berupaya memimpin dunia. Apakah pemimpin serupa ini adalah jelmaan bapa munafik berbangsa Yahudi di zaman Rasulullah SAW dulu, seperti Tan Sri Abdullah Ubai, bapa Jahiliah Datuk Seri Abu Jahal dan ramai lagi Tan Sri dan Datuk Seri zaman itu lidah mereka cukup bijak bersilat di depan orang Islam ini... dan di depan orang kafir itu...

Berbeza dengan rakyat yang sekadar hidup macam 'ular sawa' asal perut kenyang cukuplah. Buat apa mahu kritik dan sanggah-sanggah cakap para pemimpin sejiwa dan sehati macam mereka juga. Melainkan bila mereka dibelasah atau dihimpit separuh mati baru mereka akan bangkit dan sedar. Serupa budaya ular sawa, jangan kacau tengah ia kenyang, bila kacau tuan yang bagi makanpun pasti dibelit sampai mati. Kita bukan ular sawa. Kita adalah manusia yang dianugerahkan akal untuk berfikir. Kenapa mensia-siakan akal anugerah tertinggi yang diberikan oleh Allah itu kepada manusia, sehingga mahu menerjunkan diri ke gaung kehinaan dan kerendahan.

Yang Tinggal Untuk Pembangkang Hanyalah Yang Terlarang

Sudah nasib parti pembangkang, pemimpin, penyokong dan pendokongnya dalam negara demokrasi dan Perlembagaannya yang menghalalkan rakyat berpolitik, berhimpun, bersuara dan boleh kritik pemimpin jahat, rasuah dan berbuat salah. Tetapi, bila erti demokrasi, kebebasan dan hak asasi disempitkan maksudnya kepada semata-mata menangkan parti UMNO/BN, pertahankan pemimpin UMNO/BN sekalipun ada kalangan mereka itu kepala rasuah, jahat, penipu, penjenayah, kaki perempuan, kaki rogol gadis, kaki judi dan sebagainya. Mereka itu tidak salah yang salah pembangkang dan para pemimpin pembangkang, sekalipun para pemimpin pembangkang lebih ramai yang betul, berakhlak mulia, menjauhi rasuah, tidak kaki judi dan sebagainya. Inilah gambaran realiti dalam negara sistemnya yang dikuasai oleh kepimpinan yang rosak moral dan bejat.

Maka dalam suasana seluruh sistem yang ada diekspliotasi dan dimanipulasi oleh sang penguasa 'politik elit' yang rakus dan tamak. Pembangkang dan para pemimpin dan penyokong hanya ampit sisa-sisa yang terlarang itu. Padahal, yang dilarang itu sebenarnya masih dalam senarai yang dihalalkan dalam amalan demokrasi dan mengikut Perlembagaan Negara. Cuba anda renung beberapa senarai dibawah yang dapat penulis catatkan, tentang barangan halal yang dijamin halal, baik untuk demokrasi, baik untuk rakyat yang sihat minda, baik untuk keadilan, hak asasi dan amat wajar diamalkan bagi menyihatkan kembali tubuh demokrasi dalam negara ini:

Larangan ceramah sudah
Larangan terbitan/cetakan berita BA sudah
Larangan berhimpun
Larangan demontrasi aman
Larangan mendapat perubatan pilihan pesakit
Larangan masuk mahkmah kepada penyokong
Larangan guna dewan untuk ceramah
Larangan itu ini...anda boleh senaraikan lagi!!!

Kemudian amalan haram menurut demokrasi dan Perlembagaan Negara, tapi dihalalkan oleh UMNO/BN, iaitu:

Perkudakan SPR sudah
Perkudakan intelek sudah
Baruakan pelajar universiti sudah
Baruakan gadis-gadis sudah dan masih berterusan...
Baruakan RTM sudah
Arah polis rampas bahan terbitan/cetakan parti pembangkang
Baruakan pegawai agama
Baruakan universiti/kolej
Baruakan institusi agama
Baruakan pegawai kerajaan dan pelbagai lagi

Ugut, Takutkan dan Tangkap:
Ugut rakyat supaya tidak mendekati pembangkang
Ugut pelajar akan ditarik biasiswa bila masuk kem pembangkang
Ugut pegawai kerajaan
Ugut pensyarah universiti
Tangkap pensyarah/intelek dengan tuduhan melulu
Ugut dan takutkan penyokong BA dan rakyat sudah
Tangkap pemimpin muda utama BA sudah
Lokapkan penyokong, pendokong dan rakyat jelata sudah
Gunakan mahkamah untuk salahkan pemimpin BA sudah dan
agenda ini masih berterusan.

Akhirnya, nanti semua pemimpin BA yang utama akan diheret ke mahkamah dan disabitkan kesalahan RM2,000 atau penjara atau kedua-dua sekali. Bila sudah habis cara lain, habis idea dan usaha mereka. Perangkap mahkamah adalah perangkap terakhir UMNO/BN bagi menyekat kebangkitan pembangkang dan rakyat pada pemilu ke 11 pada 2003/4 nanti. Andainya satu persatu pemimpin utama dan berpengaruh dikalangan pimpinan BA/PAS/KeADILan dan PRM disabitkan kesalahan mahkamah yang tidak melayakkan mereka bertanding pilihanraya, sebagaimana yang menimpa Sdr Lim Guan Eng dulu.

BA Umpama Pasukan Bola Yang Hebat Dan Memukau

Pimpinan BA mesti bangkit dan menyedari bahawa masa sudah semakin dekat kepada pilihanraya umum ke 11, ramai yang mengulas dan mengandaikan bahawa secepat-cepatnya pilihanraya ke 11 ialah Disember 2002 dan selewat-lewatnya pada pertengahan 2003 dan tidak mungkin ia diadakan pada 2004, walaupun sepatutnya pemilu ke 11 pada awal tahun 2004. Dalam keadaan negara dikuasai oleh arus politik menggila cara UMNO/BN yang tidak mahu kalah dalam pilihanraya, mereka mahu jadi parti pemerintah Malaysia sampai kiamat.

Itu otak orang-orang UMNO/BN fikirkan dan tanamkan ke dalam benak pemikiran rakyat. Semacam sudah tumbuh mengakar. Ketahuilah, setiap yang tumbuh akan tumbang dan mati jua akhirnya.

Rakyat sudah didedahkan pelbagai pendekatan pembangkang tentang usaha-usaha pembangkang untuk menguasai politik Malaysia, sekaligus menumbangkan gergasi politik Malaysia UMNO/BN. Gergasi yang sudah sakit, gergasi tua dan tidak bermaya lagi. Stamina Pembangkang di Malaysia kekadang sekadar mantap dan kuat pada garis pemula, manakala digarisan penamat kita kecewa. Kerana strategi untuk menang tidak diterap dengan baik dan berkesan. Kita seperti sebuah pasukan bola sepak yang cukup hebat umpama Brazil, mainan dalam padang bergaya, hebat, memukau dan menarik seluruh penonton, tiba-tiba diakhir perlawanan kita kecundang.

Kita tidak mahu itu yang terjadi. Sebaliknya, kita mahu kem Pembangkang yang akan mengambilalih tampuk pemerintahan negara ini, dalam parti-parti BA/PAS/KeADILan/PRM dan DAP (kita mengharap DAP akan lebih bersikap terbuka menilai erti politik dalam masyarakat majmuk Malaysia), kerana itu BA mesti menjadi pasukan hebat pada nama, hebat pada organisasi, hebat dan digeruni setiap musuh yang mahu berhadapan, menarik dan memukau seluruh rakyat negara ini untuk memberikan sokongan padu pada pemilu akan datang. Bukan itu saja, BA mesti memantap strategi dan mencari pendekatan politik yang manusiawi yang boleh diterima oleh rakyat majmuk di negara ini.

Kepimpinan UMNO/BN sudah tidak boleh diharapkan lagi. Rakyat perlukan sebuah kepimpinan lebih baik yang sekarang ini sudah dibentuk dibawah BA.

Perangkap dan jerangkap samar yang dipasang oleh UMNO/BN hendaklah dibuang, kalau tidak ramai para pemimpin BA dan rakyat atau penyokong akan termasuk. Anda boleh fikir bila sudah termasuk dalam perangkap atau jerangkap samar tikuspun akan mati, orang akan mati bila jerangkap samar musuh meletup. Kalau tidak mati, pasti kesan kecederaan akan membataskan keupayaan kita.

Kerana itu, BA hendaklah lebih berhati-hati. Medan politik berbeza dengan medan pertempuran. Bermain bola sepak di padang berbeza dengan berhadapan dengan medan rakyat yang lebih luas dan besar. Gunakanlah strategi politik yang sebaik-baik, terbijak dan terhebat bagi menumbangkan gergasi politik tua. Insya-Allah, BA dan pembangkang Malaysia mampu menguasai politik Malaysia dan menumbangkan UMNO/BN.

Takbir...Reformasi...
Lawan Terus Melawan
Lawan Sampai Menang.

Ibn Sabah,
28.10.2002M.







______________________
Terbitan : 31 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com