Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Dr Mahathir pimpin OIC diragui

KOTA BHARU, 21 Okt - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik hasrat Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad untuk terus memain peranan menangani masalah dunia Islam, selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Oktober tahun depan.

Bagaimanapun, beliau melahirkan keraguan terhadap hala tuju bakal dibawa Dr Mahathir yang kini dianggap lebih cenderung ke arah sekular dan bukannya Islam. "Namun, Perdana Menteri sebenarnya mempunyai kebolehan sebagai seorang pemimpin dunia bersesuaian dengan sikapnya yang rajin bekerja, di samping sanggup menentang arus negara besar seperti Amerika. "Jarang ada pemimpin negara kecil seperti Malaysia yang sanggup menentang kuasa besar, tetapi yang menjadi masalahnya, ke mana hala tuju bakal dibawa olehnya nanti apabila menerajui kepemimpinan negara Islam," ujarnya di sini, hari ini.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan kesediaannya untuk memain peranan menangani masalah dunia Islam, biar pun setelah tidak lagi bergelar Perdana Menteri.

Akhbar hari ini melaporkan, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, beliau bersedia memainkan peranan menangani masalah dunia Islam setelah tidak lagi bergelar Perdana Menteri. Dr Mahathir memberitahu pemberita Malaysia selepas sesi dialog Perdana Menteri dengan anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Jeddah, di ibu pejabat JCCI, sejurus tiba di Riyadh, semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, Perdana Menteri sendiri acap kali bersuara untuk mengharamkan perkataan Islam pada nama pertubuhan di negara ini termasuk yang didokongi PAS. "Jadi, bagaimana nanti dia ingin membawa negara Islam ke arah yang lebih selamat, sedangkan beliau sendiri berusaha untuk membawa negara ini ke arah sekular. "Bukan itu sahaja, kemampuan Dr Mahathir untuk membentuk masyarakat Arab yang terkenal dengan sikap kasar juga amat diragui, apa lagi perjuangannya lebih mirip kepada sekular. "Kita takut masyarakat Arab tidak boleh terima kepemimpinan Perdana Menteri," ujarnya.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, umat Islam berhak muncul sebagai negara besar dunia kerana sejarahnya yang tersendiri. "Tetapi berani atau tidak.. berjaya atau sebaliknya Perdana Menteri membawa masyarakat berkenaan menjadi satu kuasa besar Islam dunia, itu yang perlu kita fikirkan bersama," ujarnya. Sehubungan itu, beliau berpendapat, untuk menjadi pemimpin negara Islam yang ulung, tidak cukup hanya dengan semangat, sebaliknya perlu berani di samping hala tujunya juga berpandu kepada Islam.

Orang yang buta Al-Quran mustahil dapat memimpin umat Islam dengan betul.






______________________
Terbitan : 25 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com