Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kerajaan sedia kemudahan perumahan

Bahagian perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mempunyai visi iaitu mewujudkan peluang kepada setiap keluarga untuk memiliki tempat tinggal sendiri yang tersusun serta lengkap dengan kemudahan asas.

Sementara itu, misinya pula ialah ke arah penyediaan perumahan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan rumah khususnya golongan berpendapatan rendah seiring dengan kepesatan pembangunan negeri.

Tanah yang dimajukan tidak akan diberi milik kepada pihak pemaju tetapi diberi hak kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW). Tanah yang dimajukan tidak dibenarkan untuk cagaran atau gadai kepada mana-mana institusi kewangan untuk mendapatkan "bridging finance" oleh pemaju. Bagaimanapun pemaju boleh menguruskan "end financing" pembeli.

Kerajaan Negeri mengeluarkan semua penghuni-penghuni yang tinggal di atas tanah berkenaan sebelum diswastakan. Kos pengalihan penghuni ditanggung oleh pemaju sendiri. Pemaju dikehendaki berbincang dengan LTAW sebelum draf perjanjian disediakan. Draf perjanjian hendaklah disediakan dalam tempoh masa 30 hari dari tarikh Surat Kelulusan Dasar atau Perlantikan.

Harga premium tanah dikenakan pada kadar nominal iaitu dikira RM100.00 setiap lot rumah mampu milik (kos rendah). Manakala bagi rumah pangsa mampu milik (kos rendah) pula sebanyak RM100.00 setiap unit. Harga premium tanah yang lain ditentukan oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Pihak Pemaju dikehendaki membayar pulangan balik kepada LTAW sebanyak 10 hingga 25 peratus daripada jumlah hasil jualan. Penyediaan kemudahan komuniti seperti Dewan, Balairaya atau Tadika, Masjid atau Surau, Taman Permainan atau Alatan tidak diambilkira sebagaimana perkiraan pulangan balik.

Semasa perjanjian ditandatangani, pemaju dikehendaki menjelaskan bayaran kepada Kerajaan Negeri sebanyak minima 2.5 peratus daripada jumlah pulangan balik. Bayaran hendaklah dibuat atas nama Setiausaha Kerajaan Terengganu. Baki bayaran pulangan balik selebihnya hendaklah dibayar dalam bentuk wang tunai secara berperingkat setiap tahun atau bergantung kepada kaedah yang diterimapakai oleh LTAW.

Kenaikan harga jualan hendaklah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri. Sebarang keuntungan akan dibahagi dua pada kadar 50:50 antara pihak swasta dengan pihak LTAW. Dengan kebenaran, Pemaju boleh memasuki tapak projek sementara menunggu proses kelulusan pindah milik, pelan susunatur dan pelan bangunan diperolehi.

Jurukur Tempatan bertauliah hendaklah dilantik dalam masa 14 hari daripada tarikh surat setuju terima tawaran oleh pemaju bagi melaksanakan kerja-kerja ukur atau menentukan sempadan tanah. Pemaju hendaklah seboleh-bolehnya melantik dan menggunakan khidmat juru perunding dari tenaga kerja syarikat bumiputera tempatan bagi kerja-kerja perunding dan kerja-kerja kontrak.

Pemaju hendaklah melantik dan menggunakan khidmat peguam bumiputera tempatan dalam menjalankan projek mereka. Bagi menyegerakan pelaksanaan projek, pihak pemaju dikehendaki mendapat kelulusan kebenaran merancang dalam tempoh 60 hari dari tarikh surat tawaran kelulusan dasar dengan menyediakan pelan susunatur dan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan.

Pelan bangunan hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dalam masa 30 hari dari tarikh kelulusan pelan susunatur. Pihak pemaju dikehendaki mematuhi segala kehendak-kehendak yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dalam kelulusan Pelan Bangunan. Pemaju mestilah mendapat lesen pemaju atau permit iklan dalam masa 60 hari daripada tarikh kelulusan Pelan Bangunan.

Pihak pemaju perlu memulakan kerja-kerja pembinaan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kelulusan Pelan Bangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan. Pemaju dikehendaki menitikberatkan mutu ketukangan binaan yang baik ke atas pembinaan bangunan, rumah kedai dan sebagainya. Penggunaan bahan binaan ‘metal’ seperti kerangka tingkap atau pintu amatlah digalakkan.

Pemaju dimestikan membina Rumah Mampu Milik tidak kurang daripada 30 peratus daripada jumlah unit kediaman atau kedai dan dijual kesemuanya kepada pembeli beragama Islam. Keluasan binaan (rumah) hendaklah tidak kurang dari 198.12 meter persegi dengan mempunyai tiga bilik tidur iaitu 3.66 meter x 3.05 meter, 3.05 meter x 3.05 meter , 3.05 meter x 3.05 meter serta tandas dan bilik air berasingan.

Jika projek ini dimajukan mengikut fasa, sebanyak 50 peratus daripada unit Rumah Mampu Milik hendaklah dibina dalam Fasa I dan 50 peratus lagi dalam Fasa II. Cadangan harga jualan rumah kedai atau pejabat oleh pemaju kepada pembeli beragama Islam dan pembeli bukan beragama Islam hendaklah diangkat dan diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

Pengurangan harga sekurang-kurangnya lima peratus hendaklah diberikan kepada pembeli beragama Islam. Urusan penjualan adalah tanggungjawab pemaju. Syarat kelayakan pembeli bagi Rumah Mampu Milik termasuk warganegara Malaysia, pemohon atau suami atau isteri belum mempunyai rumah, sudah Berkahwin, pendapatan kasar isirumah tidak melebihi RM2,000.00 sebulan dan senarai pembeli mesti dikemukakan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pembeli yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri.

Pemaju dibenarkan memperuntukkan dan menjual masing-masing tidak melebihi 30 peratus daripada Unit Rumah Kos Sederhana, Rumah Kos Tinggi dan Rumah Kedai kepada pembeli bukan beragama Islam.

Pemaju dikehendaki menanam satu pokok bagi setiap satu buah rumah. Pemaju juga bertanggungjawab mendapatkan sambungan atau menyediakan bekalan air, elektrik dan longkang bagi projek yang dilaksanakan.

Projek yang dimajukan mesti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian projek. Jika gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kecuali kelulusan lanjut tempoh diberikan, maka Kerajaan Negeri berhak menamatkan pelaksanaan projek dan semua harta yang ada di atas tanah yang dimajukan ianya menjadi hak LTAW tanpa dibayar apa-apa tuntutan pampasan kepada pemaju.

Pemaju bertanggungjawab untuk mendapat Sijil Akuan Kelayakan Menduduki Bangunan ke atas projek yang dilaksanakan. Pemaju juga dikehendaki membina dan menyerah kepada Kerajaan kemudahan-kemudahan komuniti seperti Dewan Serbaguna, Bangunan Tadika, Surau, Padang Permainan atau alatan dan sebagainya, jika dikehendaki oleh Kerajaan Negeri.

Pihak pemaju dikehendaki bertanggungjawab dan menanggung segala kos pembaikian dalam tempoh masa kecacatan. Tempoh kecacatan ialah setahun daripada tarikh penyerahan projek.

Segala kos perbelanjaan guaman atau duti setem urusan pindahmilik tanah termasuk kepada LTAW, kos awalan, bayaran kebenaran merancang atau pelan bangunan, bayaran iktisas arkitek atau perunding, kos pembinaan, kos pasaran atau pengiklanan serta sebagainya ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.

Jika pihak pemaju gagal mengambil tindakan atau menunaikan tanggungjawab mematuhi mana-mana tempoh masa sebagaimana ditetapkan dalam perkara sebagaimana disebutkan, maka kelulusan dasar yang diberikan terbatal dengan sendirinya kecuali mendapat kebenaran secara bertulis.

Pemaju hendaklah menyiapkan projek mengikut jadual dan sekiranya gagal maka pemaju akan dikenakan denda kelewatan sebanyak 10 peratus daripada jangkaan sewaan bulanan semasa dan setempat. Pemaju juga tertakluk kepada Akta atau Pekeliling atau Arahan atau Keputusan Kerajaan Negeri dan syarat-syarat tersebut tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa.

Berhubung dengan permohonan projek, tujuan prosedur ini, ia disediakan sebagai panduan kepada pemaju-pemaju untuk menyediakan proposal permohonan bagi Projek Perumahan Penswastaan Di Negeri Terengganu. Semua permohonan yang dikemukakan hendaklah mengandungi maklumat-maklumat sebagaimana berikut:-

• Profail Syarikat satu salinan

• Pendahuluan atau Maklumat Syarikat termasuk Pengenalan syarikat, Nama syarikat, Tarikh beroperasi, Matlamat syarikat, Alamat surat-menyurat, Nombor telefon, no. faksimili, Modal Dibenarkan, Modal Berbayar, Pemegang Saham, Tarikh Penubuhan, Bank, Juruaudit, Jenis Perniagaan, Ringkasan senarai projek yang telah dan sedang dilaksanakan, Nama Konsultan atau Arkitek yang akan digunakan dengan menyertakan satu salinan Maklumat Korporat yang dikeluarkan atau disahkan oleh Pendaftar Syarikat.

• Biodata Ahli Lembaga Pengarah termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah, Pengarah Kewangan dan Pengarah Teknikal.

• Butir-Butir Pemegang Saham, Butir-butir pemegang saham yang terdapat dalam syarikat hendaklah dinyatakan.

• Sertakan Memorandum dan Articles termasuk Borang 11 Lembaga Pengarah (Pengerusi) dan Borang 11 Lembaga Pengarah Kewangan.

• Borang Yang Perlu Disertakan termasuk Borang 49, Borang 24, Borang 32A.

• Kertas Cadangan Projek (Proposal) sebanyak tiga salinan dengan menggunakan kertas saiz A4 serta bertetulang dibahagian tepi dengan ditulis nama syarikat.

Pemaju juga hendaklah membuat analisis dan potensi tapak projek dengan mengemukakan pengenalan, tapak cadangan, lokasi tapak cadangan serta menjelaskan jarak tapak dengan pusat bandar

Pemaju perlu menjelaskan ciri-ciri fizikal tapak cadangan termasuk keadaan tanah. Juga perlu dinyatakan sistem perhubungan sedia ada dengan menerangkan kaedah-kaedah perhubungan.

Sementara itu, ahli jawatankuasa teknikal untuk melihat projek yang diluluskan itu berjalan dengan baik, terdiri dari 11 agensi termasuk Pentadbir Tanah, Majlis Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, Syarikat Air Terengganu Sdn.Bhd (SATU), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan 11 Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pemaju bolehlah membuat Analisis Pembangunan Sekitar termasuk kepentingan tanah cadangan dan kemudahan asas atau infrastruktur sedia ada seperti masjid atau surau, tadika atau balai raya, perkuburan, taman rekreasi, perhentian bas atau teksi, perkedaian, perparitan, api atau air dan rangkaian jalan raya.

Analisis juga termasuk kependudukan dengan menjelaskan jumlah penduduk atau keluarga, taburan penduduk mengikut kaum atau agama dan pekerjaan utama penduduk setempat. Suatu yang agak penting juga perlu dikemukakan ialah Senarai Gambarajah Pelan termasuk Pelan Negeri Terengganu, Pelan Daerah, Pelan Mukim, Pelan Lokasi atau Tapak (Pelan Kunci)yakni radias sekitar 1 kilometer bagi kawasan bandar dan 5 kilometer bagi kawasan luar bandar.

Cadangan Pembangunan hendaklah menggunakan ‘Rajah Jadual Elemen Pembangunan sebagaimana contoh yang dikembarkan termasuk Objektif Pembangunan, Ciri-ciri pembangunan, Kesan Pembangunan yang dijangka berubah dari segi jumlah keluarga, keperluan asas, bantuan atau cadangan yang menyumbang bagi meningkatkan produk aktiviti penduduk dan peluang-peluang pekerjaan.

Pemaju juga perlu mengemukakan cadangan pulangan kepada Kerajaan berpandukan kepada harga jualan. Untuk memaparkan bentuk rumah yang ingin dibina pemaju boleh mengemukakan gambar rajah pelbagai jenis rumah termasuk dan lakaran sebenar artis, jadual Kerja atau tempoh pembinaan, anggaran kos pembangunan dan pembinaan, kadar pulangan dalaman (IRR), anggaran Pendapatan dan rumusan.

Semua maklumat dan kertas kerja hendaklah di alamat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan),Tingkat 10, Wisma Darul Iman, 20503 Kuala Terengganu.

Bahagian perumahan juga mengadakan sistem pendaftaran terbuka untuk orang ramai bertujuan untuk memberi peluang kepada semua rakyat mendaftar bagi membeli rumah, menyeragam serta memudahkan proses permohonan, menjimatkan masa dan kos pemilihan dan menjadikan sebagai data asas bagi perancangan untuk membina projek perumahan di negeri Terengganu.

Sistem itu merangkumi semua projek perumahan Kos Rendah di Negeri Terengganu termasuk Perumahan Kerajaan, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), anak syarikat Kerajaan Negeri atau Badan Berkanun, Penswastaan dan Pemaju Swasta.

Sementara itu, syarat-syarat kelayakan pemohon rumah Kos Rendah termasuk pendapatan Isirumah tidak melebihi RM2,000.00, berkahwin bagi lelaki dan bagi wanita dan mencapai umur 30 tahun pada tarikh tawaran tersebut.

Pemohon atau Suami atau Isteri belum memiliki rumah manakala keutamaan akan diberi kepada kumpulan yang berpendapatan rendah dan anak tempatan. Pegawai Kumpulan ‘A’ sama ada pemohon atau suami atau isteri atau setaraf dengannya, tidak layak memohon untuk mendapatkan rumah jenis tersebut.

Pemohon atau pasangan (suami atau isteri) hanya perlu mendaftar sekali sahaja untuk membeli satu unit Rumah Kos Rendah di mana-mana projek Perumahan dalam Negeri Terengganu.

Pendaftaran dibuat melalui satu borang permohonan yang seragam. Pemohon dikenakan bayaran sebanyak RM3.00 bagi setiap borang permohonan untuk pendaftaran bertujuan untuk menampung sebahagian kos serta bagi memastikan pemohon benar-benar serius.

Pendaftaran sentiasa dibuka kepada orang ramai pada waktu pejabat di Pejabat Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Tingkat 10, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Dan di semua Pejabat Daerah. Setiap pemohon diberi satu pilihan rumah dan dua pilihan lokasi mengikut daerah dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan semula ke pejabat berkenaan. Borang-borang tersebut akan disemak. Borang-borang yang lengkap akan diproses manakala borang yang tidak lengkap akan dikembalikan semula kepada pemohon untuk dilengkapi semula.

Pemerosesan pendaftaran dibuat melalui komputer di Pejabat Setiausaha Kerajaan (Perumahan) berasaskan kepada kriteria-kriteria yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri dengan sebaik mungkin, sempurna dan adil.

Semua permohonan ditapis dan disesuaikan dengan satu ‘database’ (Data Perumahan) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (Perumahan) yang lengkap mengandungi maklumat-maklumat pemilikan rumah daripada Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran atau daerah, PMINT dan pihak swasta.

Hasil Pemerosesan terbahagi kepada dua termasuk senarai pemohon yang layak, mengandungi senarai dan maklumat pemohon dan keputusan berdasarkan kepada keutamaan. Sementara senarai pemohon tidak layak, mengandungi senarai pemohon-pemohon yang tidak menepati kriteria-kriteria yang ditetapkan untuk Kos Rendah tetapi senarai pemohon ini akan ditawarkan Rumah Kos Sederhana.

Untuk temuduga, senarai nama dan surat panggilan akan dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan (Perumahan) kemudian proses temuduga akan dijalankan. Temuduga ini adalah tujuan pemeriksaan dan pengesahan dokumen-dokumen serta kesahihan kelayakan-kelayakan pemohon sebelum tawaran dikeluarkan iaitu bagi memastikan pemohon-pemohon yang dipilih adalah yang benar-benar layak sahaja.

Dokumen-dokumen yang perlu dibawa ialah Kad Pengenalan Suami atau Isteri. Surat Nikah atau Sijil Pendaftaran Perkahwinan, Penyata Gaji atau Penyata Bank Pemohon dan Suami atau Isteri, Surat Pengesahan Majikan sama ada belum atau sudah membuat pinjaman oleh pemohon dan Suami atau Isteri bagi yang bekerja dengan Kerajaan atau Badan Berkanun, Penyata Cukai Pendapatan Pemohon Suami atau Isteri jika ada.

Anggota Jawatankuasa Pemilihan terdiri daripada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan atau wakilnya, Pentadbir Tanah Daerah bagi Daerah atau kawasan terlibat atau wakilnya, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran atau Daerah bagi daerah atau kawasan terlibat atau wakilnya dan Setiausaha LTAW.

Proses keputusan temuduga mengambil masa lebih kurang tiga minggu. Setelah semakan dan siasatan dibuat, semua senarai pemohon yang berjaya akan diedarkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Pemilihan untuk pengesahan.

Senarai Pemohon yang layak akan dipamerkan untuk bantahan selama 14 hari.

Senarai pemohon yang layak dibuat tawaran adalah berdasarkan pemohon terdahulu dan mempunyai keutamaan tertinggi oleh Jawatankuasa Pemilihan.

Senarai pemohon yang berjaya akan diedarkan kepada pemaju atau Agensi Pelaksana untuk dibuat tawaran.

Surat tawaran rumah dan proses seterusnya dibuat aleh Agensi Pelaksana atau pemaju yang berkenaan.

Pertanyaan Awam boleh dibuat melalui Perkhidmatan Infoline Perumahan Negeri Terengganu untuk mengetahui status permohonan dengan menelefon 09-6267600 dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (Perumahan) juga mempunyai talian terus, 09-6265713/09-6265715






______________________
Terbitan : 6 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com