Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Permit untuk ke neraka

Assalamu’alaikum semua,

Saya banyak sekali menerima e-mail yang dikirim melalui suaraulama@yahoo.com. Saya sangat menghargai setiap kiriman e-mail tersebut. Terima kasih di atas usaha saudara-saudari semua dalam membantu menyebarkan kebaikkan agama islam dan ilmu yang di perolehi. Walau bagaimana pun kiriman saya ini bukan untuk tujuan yang suka-suka tetapi adalah kewajipan saya dalam menyampaikan pula ilmu yang saya tahu berdasarkan yang ada pada saya. Semalam saya tidak membuka e-mail yang dikirim dan baru hari ini saya berkesempatan membukanya. Perkara ini sudah lama saya ingin sampaikan tetapi waktu tidak mengizinkan kerana urusan harian. Tetapi pada hari ini saya benar-benar terkejut di atas satu gesaan atau suruhan yang diminta oleh si penghantar e-mail. Perkara ini nampak gayanya tidak boleh saya diamkan lagi. Saya terpanggil untuk membetulkan keadaan yang berlaku kerana jika saya tidak berbuat demikian, saya juga akan dikira bersubahat dan membenarkan segala kepalsuan berlaku depan mata saya. Saya yakin saudara-saudari semua tertanya-tanya apakah sebenarnya perkara yang ingin saya tegaskan di sini. Yakinlah ini bukan perkara main-main tetapi perkara ini benar-benar serius dan ia merupakan satu penipuan atau pendustaan ke atas nama baginda SAW. Dalam islam ia dianggap jenayah yang sangat berat. Yang saya maksudkan di sini ialah berkenaan e-mail yang bertajuk [NISFU SYAABAN, AMALKAN HARI INI!!!]. Saya yakin ia dikirim semalam (hari isnin) berdasarkan tajuk di atas. Sabda RASULLULLAH saw:

“sesungguhnya berdusta ke atas ku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta keatas orang lain ( menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atas ku dengan sengaja , maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.” –hadis riwayat Al-Bukhari, muslim dan selain mereka, hadis ini adalah mutawatir)

Saudara-saudari semua,

Apakah tidak cukup amalan ibadat Rasullullah SAW sehingga kita sanggup mengamalkan atau memperbaharui ibadat yang di tetapkan, walaupun kita menganggap ia lebih baik dari amalan biasa?. Apakah kekurangannya ibadat baginda?. Saya begitu kesal sekali di atas fenomena yang berlaku akhir-akhir ini terutama sekali yang melibatkan agama. Agama wajib di pelihara, bukan mencabuli kesuciannya!. Tahukah anda semua baginda adalah orang yang paling mulia di atas bumi ini, dan setiap amalan yang dilakukan oleh baginda itu sangat-sangat di sukai oleh Allah SWT di samping melakukan amalan yang sangat sempurna. Tak cukupkah itu semua???. Dan tahukah anda semua setiap amalan yang di perbaharui dalam agama adalah BIDA’AH SEMATA-MATA. Setiap bida’ah adalah kesesatan dan setiap yang sesat adalah neraka tempatnya.

Saudara-saudari,

Sebagai umat islam, agama kita sangat menggalakkan mencari ilmu. Tak kira bagaimana sekalipun caranya tetapi alangkah bagus berguru atau mencari guru yang muktabar ilmunya! Walaupun islam menggalakkan kita mencari ilmu tetapi bukan sewenang-wenangnya agama membenarkan kita menceduk bulat-bulat setiap apa yang kita jumpa di dalam buku, internet, dari sahabat yang tidak berpengetahuan dalam bidang agama dan juga dari guru yang tidak berpengetahuan dalam bidang tersebut walaupun dia seorang yang bergelar ustaz, imam mahupun khatib. Seseorang yang pakar dalam undang-undang civil tidak semestinya pakar dalam undang-undang syariah. Seorang yang pakar dalam ekonomi tidak semestinya pakar dalam pengurusan, seorang yang pakar dalam bidang kedoktoran kanak-kanak juga tidak semestinya pakar dalam bidang kedoktoran sakit puan begitu juga seorang yang pakar dalam ilmu wahyu tidak semestinya pakar dalam ilmu hadis. Jadi atas dasar apakah orang yang tidak berpengetahuan langsung dalam bidang ilmu hadis tersebut kemudian apabila mendapatnya terus sahaja menyebarkannya kepada orang ramai tanpa merujuk kepada takhrij dan tahqiq (keputusan) hadis tersebut kepada mereka yang berilmu untuk memeriksa ketulenannya. Saya yakin kebanyakkan orang apabila terjumpa sesebuah hadis terus sahaja di sebarkannya kepada orang lain tanpa usul periksa. Ini bahaya sungguh saudara-saudari. Tidak takutkah terhadap ancaman Allah swt kepada mereka yang membantu menyebarkan kepalsuan dan pendustaan terhadap rasullullah SAW. Atas alasan apa ?. Kalaupun kerana kebaikkan yang di perolehi dari amalan tersebut harus di kongsi kenapa tidak periksa dahulu!. Kerana ituWAJIB BERGURU supaya ilmu mantap dan tidak tergelincir dari landasan islam yang sebenarnya!. Astghafirullah hal adzim... kenapa mesti jadi orang yang sombong dalam mencari ilmu, lebih-lebih lagi ini berkaitan agama Allah. Kenapa tidak mencari guru? Saya kesal sungguh dengan keadaan umat islam sekarang ini. Kadang- kadang ada yang menganggap tidak perlu berguru dalam mencari ilmu kerana ilmu itu boleh di perolehi melalui buku mahupun yang lebih bahaya sekali ialah internet! Tidak terfikirkah bahawa kadang- kadang ilmu yang di sampaikan itu rekaan semata-mata atau tidak terfikirkah bahawa penulisnya itu bukan mereka yang arif dalam bidang tersebut dan perawinya itu seorang yamg pendusta atau jahil ilmu agama? Nak cari kebenaran dan keredhaan Allah dalam islam kena berguru! Saya cukup terkilan apabila ada (kemungkinan) yang mengetahuinya tetapi tidak memperbetulkannya. Lebih malang lagi ada yang baru sebulan dua dalam di pusat pengajian tertentu kemudian apabila dia keluar ditengah-tengah masyarakat dengan membawa huraian-huraian yang salah tentang islam di sana-sini. Dan ada juga orang, asal yang dia jumpa itu bernama ustaz atau ustazah apa yang dikatanya terus ditelan bulat-bulat dan mentah-mentah.

Saudara-saudari,

Kebanyakkan hadis yang menyatakan fadhilat-fadhilat yang dinyatakan dalam amalan sunat adalah maudhu dan dhaif. Baik ia amalan bulan rejab , syaaban mahupun fadhilat solat terawikh pada bulan ramadhan, KESEMUANYA adalah dhaif dan maudhu .

Beramal berdasarkan hadis palsu adalah HARAM hukumnya saudara-saudari. Bukan ke lebih elok jika beramal dengan hanya mengharapkan keredhaan Alllah SWT semata-mata kerana Allah SWT itu maha pemurah. Bukankah itu lebih selamat!!! Setiap amalan kebaikkan kita tidak di biarkan begitu sahaja. Jika beramal atau beribadat untuk mendapat keredhaan Allah SWT sampai bila-bila pun kita dijamin selamat dunia akhirat. Itulah bahayanya orang yang berbuat kebaikkan dengan mengaharapkan balasan. Saya kadang kala menjadi tidak sampai hati untuk menyampaikan tentang kepalsuan hadis-hadis yang dinyatakan apabila melihat ada yang bersungguh-sungguh berpuasa dan bersolat tertentu semata-mata untuk mengharapkan ganjaran yang di perolehi, sedangkan ganjaran dan amalan itu hanya rekaan semata-mata. Itu yang dikata “yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berkeciciran” . Nabi SAW bersabda”

“jangan kamu berdusta ke atas ku, sesiapa berdusta ke atas ku maka dia masuk neraka.” (HR Al-Buukhari dan Muslim).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram bahkan, meriwayatkannya tanpa menerangkannya kepada orang yang mendengar dan orang yang menyebarkannya tanpa merengkan akan kepalsuannya juga haram. Apatah lagi beramal dengannya. Kata imam Ibn Al-Salah (meninggal 643h)

“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.”

Saya ambil antara contoh hadis yang begitu popular di malaysia:

“rejab bulan Allah, syaaban bulanku dan ramadhan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang di reka-reka oleh ibn jahdam dan dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan rejab.

Kerana itulah ibn al salah menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukkan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdullillah. (ibn al salah, ‘Ulum al –hadith , m.s 99)

Kata al-imam ibn Qayyim Al-Jauzziyah (wafat 751h):

“Hadis-hadis mengenai solat raghaib pada jumaat pertama bulan rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas rasullullah saw. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas nabi SAW. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam nisfu syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas 400 tahun kemunculan islam (ibn al qayyim, al-Manar al-Munif, m.s95-98).

Saudara-saudari semua,

Bukannya tidak ada hadis sahih mengenai kebaikkan malam nisfu syaaban. Ada ...tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu. Cuma ini sahaja hadis yang boleh di pegang dalam masalah nisfu syaaban:

“Allah melihat kepada hamba-hambanya pada malam nisfu syaaban, maka dia ampuni semua hamba-hambanya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci-membenci).” Riwayat ibn hibban, al bazzar dan lain-lain. Al-Allbani mensahihkanhadis ini dalam Silsilah al-Hadith al-Sahihah. (jilid 3, m.s135 cetakan Maktabah al-Ma ‘arf, riyadh).

Hadis ini tidak mengajar apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Kata dr. Yusuf Al Qardhawi dalam menjawab soalan berhubung malam nisfu syaaban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa meraka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang islam. Bahkan di sebahagian negeri , orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak berganyung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah di petik dari golongan salaf (para sahabat,tabi ‘in dan tabi’ tabi ‘in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-quran dan as sunnah) juga bercanggahan dan bertentangan maknanya...perhimpunan ( malam nisfu syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang islam adalah bida ‘ah dan di ada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikkan itu adalah mengikut salaf, segala keburukkan itu adalah bida ‘ah golongan selepas mereka dan setiap yang diada-adakan itu bida ‘ah dan setiap yang bida ‘ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (DR. Yusuf Al-Qardhawi, jilid 1, m.s382-383, cetakan Dar Uli al-Nuha, beirut).

Justeru itu hadis-hadis palsu mengenai bulan rejab dan bulan syaaban dan juga fadhilat solat terawih hendaklah di hentikan penyebarannya agar kita tidak termasuk dalam golongan orang yang menyebarkan penipuan. Lebih malang lagi sekarang ini media massa dan cetak juga menjadi ejen dalam menyebarkan kepalsuannya dan tidak ada yang mengambil inisiatif untuk menerangkan kepalsuannya. Kalau ada sekalipun yang mengahantar kiriman tetapi malang sungguh kerana tidak mendapat tempat atau perhatian. Apakah orang lain tidak berilmu sehingga mengenepikan ilmunya semata-mata kerana ulama yang di lantik kerajaan tidak mengeluarkan fatwa mengenainya. Alangkah bod*hnya orang yang mengenepikan kebenaran yang disampaikan dan berusaha memperbetulkan kesilapan mereka. Islam tidak memberi kuasa kepada golongan agama atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang mereka suka kemudian menyandarkannya kepada agama. Dan islam juga bukannya agama yang boleh dihukum berdasarkan logik akal! Ia tak terjangkau oleh akal fikiran kita. Kata al-syeikh muhammad bin muhammad abu syahbah ( seorang ulama hadis al azhar):

“ masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau ilmu dirayah (mengenai teks hadis). Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis-hadis tersebut. Apa yang mereka pentingkan ialah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebihan, pelik dan ajaib yang islam tiada kaitan dengannya . mereka ini sepatutnya di halang dari berceramah, memberi nasihat dan tazkirah.”

Dan ini pula kata Dr. Yusuf Al-Qaardhawi berkenaan amalan puasa di bulan rejab:

“berpuasa didalam bulan adalah maqbul dan mustahab, ke atas semua perkara.tetapi bukanlah datang dari Rasullullah SAW bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan ramadhan. Beliau banyak berpuasa di bulan syaaban,tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itula sunnah nabawiyyah...Beliau berpuasa dan berbuka setiap bulan, seperti riwayat mengatakanL (beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.) (riwayat bukhari, muslim dan abu daud). Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan rejab, sebagaiman yang kita lihat sebelum ini, aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan rejab, syaaban, ramadhan dan 6 hari di dalam bulan syawal, dan menamakannya “Al-Ayam Al-Baidh”, selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yang ke 8 dari Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan 6 hari saling berhubungan, mereka hanya akan berbuka apabila tiba hari A’id. Ini tidak datang dari Nabi SAW ataupun dari para sahabat ataupun dari Al-Salaf Al-Saleh.... Maka mereka berpuasa sehari dan berbuka sehari. Tidak ada berterusan dalam berpuasa. Semua kebaikkan adalah menurut salaf dan keburukkan adalah dari rekaan para khalaf. Barangsiapa yang ingin ber ‘iitiba’ dan inginkan ganjaran, maka ia harus mengikut Nabi SAW dimana tidak berpuasa sepenuhnya di dalam bulan rejab dan tidak berpuasa sepenuhnya di dalam syaaban. Dan ini adalah lebih utama.

Ibn Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Katanya:

“ibnu hajar dalam makalahnya ada menyebutberkenaan dengan terdapat hadis-hadis yang melarang berpuasa rejab sepenuhnya, maka beliau berkataL (“larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yang berpuasa memuliakan jahilliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad (niat)yang bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yang dia berpuasa, atau pada malam tertentu berqiamullail, maka beliau percaya yang dilakuakn itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yang baik atas apa yang diletakkan dan tidak mengapa baginya, maka ia adalah ditegah (mahzhur), dan makna penegahan itu di dalam hadis nabi SAW bersabdaL “jangan mengkhaskan hari jumaat untuk berpuasa dan jangan mengkhaskan malamnya berqiamullail”.-riwayat muslim. Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa ianya yang didalamnya terkandung puasa nazar, ibn hajar lebih cenderung menegahnya, dan sebagaiman yang dinaqalkanoleh Abi bakar al-thorthorshi di dalam bukunya “bid’ah wa hadith”bahawa bulan rejab di benci olehnya kerana 3 jenis:

1. Sesungguhnya jika orang islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan..

2. Menjadikan ia seperti kefarduan ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yang kekal.

3. Keerana puasa ini mempunyai fadhilat khas dan puasa-puasayang lainnya kalau dengan itu apa yang dijelaskan oleh Rasullulah SAWL “berkata ibn dhiyaL “puasa adalah amalan kebajikkan”, tidak terdapat fadilat berpuasa di dalam bulan rejab maka perkara itu di tegah darinya. Tamat apa yang di naqalkan oleh ibn hajar.”

Antara contoh hadis palsu fadilat bulan rejab:

barangsiapa yang mengerjakan solat maghrib pada permulaan malam rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-fatihah & qul huwallah hu ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salam pada solat ini dengan 10 sakam, maka tahukah kamu apa ganjarannya? – ini hadis palsu (diriwayatkan oleh Al-Jaauzaqanniy dari anas, kemudian beliau berkata ini adalah hadis maudhu(palsu).)

1. barangsiap yang melakuakn solat pada malam nisfi rejab 14 rakaat dengan membaca fatihah 1x pada rakaat, qul huwallah hu ahad 20x, qul a’udzuu birabbil falaq 3x, qul a’udzuu birabbin nas 3x kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat ke atas ku 10x, kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30x maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat- hadis palsu, dalam sanadnya terdapat beberapa rawi yang majhul.

2. Barang siapa puasa sehari dalam bulan rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan.- sangat dhaif rawinya bernama al-furaat bin as-saiib, dia seorang yang matruk.

3. Barang siapa berpuasa 3 hari pada bulan rejab, dituliskannya ganjaran puasa 1 bulan & barangsiapa yang berpuasa 7 hari pd bulan rejab maka Allah tutupkan drpdnya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barang siapa yang berpuasa 8 hari pada bulan rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga , dan barangsiapa yang berpuasa separuh dari bulan rejab maka dia dihisab dengan mudah. – hadis palsu rawinya bernama Abaan seorang yang matruk.

Diriwayatkan dari musnad ahmad rasullullah saw bersabdaL

“seorang lelaki telah bertanya Rasullullah SAW , katanya: bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas bulan ramadhan? Maka rasullullah SAW berkata: jika aku berpuasa selepas ramadhan, maka berpuasalah di bulan haram (zulkaedah, zulhijah, muharam dan rejab), maka sesungguhnya di dalamnya dari taubat Allah SWT keatas satu kaum, dan terdapat taubat di dalamnya untuk satu kaum lain”

Jadi di sini jelas sekali tidak ada amalan tertentu dan juga tidak ada fadhilat yang khusus untuk bulan tersebut melainkan terdapatnya keampunan dari Allah SWT. Walau apa sekalipun ganjarannya ia semua disisi Allah SWT sahaja pengetahuannya. Sebagai hambanya dan umat nabi muhammad, tugas kita adalah beribadat sahaja sebagaimana ibadat yang dilakukan oleh baginda, bukan tugas kita dalam menentukan ganjaran yang bakal di perolehi dengan ganjaran yang melampau-lampau. Saudara-saudari semua ingin saya tegaskan di sini kalaupun orang itu imam dan dia banyak melakukan ibadat, belum tentu ibadat dia itu diterima!!!kalau ibadat tidak diterima maka ganjarannya pun tidak di perolehi.

Kesimpulannya:

hadis – hadis bulan rejab dan bulan syaaban kebanyakkannya adalah maudhu (palsu) pendustaan kepada baginda SAW. kita dilarang memilih-milih hari atau malan tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus. tidak ada fadilat khas yang di tujukan pada bulan rejab dan bulan syaaban, yang ada cuma fadhilat umum kepada keempat-empat bulan-bulan haram. (zulkaedah, zulhijah, muharam dan rejab) Ia merupakan bulan yang di hormati dan diharamkan berperang melainkan jika diperangi. Dan di sunatkan berpuasa dalam hari-hari putih dalam bulan ARAB iaitu 13,14 dan 15 (setiap bulan ada hari putih iaitu hari yang dinyatakan di atas di samping puasa sunat khamis dan puasa isnin) tidak ada zikir atau solat khas untuk bulan rejab dan bulan syaaban. bulan rejab seperti bulan-bulan haram yang lain disunatkan melakukan puasa dan bertaubat. Bukan berpuasa dalam hari atau bulan tertentu kemudian terus terampun dosa sebagaimana bayi baru lahir sebaliknya disarankan melakukan banyak solat taubat. Alangkah mudah betul kehidupan ini jika begitu. Bagi orang yang malas sembahyang, melakukan jenayah, melanggar perintah Allah tak perlu risau kerana untuk hapuskan dosa itu mudah sahaja dengan beramal atau berpuasa di bulan rejab dan syaaban serta melakukan solat tertentu dalam bulan tersebut terus terhapus dosa ibarat bayi baru lahir. Tahun depan kalau buat dosa lagi tunggu sahaja bulan rejab dan syaaban. Kalau begitu saya pun nak! kaedah berpuasa dalam bulan haram ialah-

i/ hari yang ke 9,10, 11 di bulan MUHARAM

ii/ berpuasa hari khamis, jumaat, sabtu

iii/ berpuasa pada bulan rejab tidak sepenuhnya dan syaaban tidak sepenuh bulan

iv/ berpuasa pada hari Assyura (10 muharam) dan hari arafah (9 zulhijah)

1. rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yang lain kecuali kelebihan bulan-bulan haram.

2. tidak boleh hanya berpuasa bulan rejab sahaja sedang bulan haram 3 yang lain itu tidak langsung di beri keutamaan melakuakn puasa.

3. tidak ada dalil yang mengatakan bahawa menziarah kubur pada bulan rejab mempunyai kelebihannya.

AWASI lah dari terlibat dalam menyebarkan hadis-hadis maudhu(palsu), kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yang mendustakan Rasullullah SAW dan barangsiapa membantu menyebarkannya siapkanlah diri untuk menempah tempat duduknya di neraka. (na’uzubillahhu min zalik)

Ikutlah role model terulung dunia baginda SAW. Firman Alllah SWT

“demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Raasullullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (susah dan senang) [al-Ahzab:21]

akhir sekali berhati-hatilah dalam menyebarkan hadis, periksa dahulu ketulenannya dan bertanya kepada ulama hadis yang muktabar ilmunya. Lebih-lebih lagi hadis yang menyatakan amalan tertentu dan fadilatnya yang melampau-lampau itu adalah hadis palsu dan hadis dhaif (lemah)

minta maaf sekiranya bahasa yang digunakan agak kasar bunyinya tetapi dalam hal ini saya perlu bertegas. Segala kebaikkan itu datang dari Alllah SWT dan segala yang buruk itu datang dari saya sendiri. Sama-samalah ambil iktibar darinya. Dan wajib bagi orang yang menyebarkan amalan tersebut membetulkannya kembali dan memohon maaf kepada mereka yang menerima email tersebut.

wassalammu’alaikum warahmatullahhi wabarakatuh

15 syaaban 1423

22 oktober 2002

**Mati Hanya Sekali, Jadikannya Di Jalan Allah**
Hidup Tanpa Hudud Membawa Kehancuran






______________________
Terbitan : 26 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com