Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Persatuan Bahasa, Dewan Bahasa, Pertubuhan Bahasa Melayu di mana?

Dua NGO Cina bantah -- Dong Zong, Jiao Zong anggap BI menghakis bahasa ibunda

Oleh: OPAT RATTANACHOT

KAJANG 11 Nov. - Dua pertubuhan Cina yang terkenal dengan sifat cauvinisnya yang tebal, Dong Zong dan Jiao Zong hari ini membantah keras pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang disifatkannya sebagai satu cubaan untuk menghakis terus bahasa ibunda mereka.

Kedua-dua pertubuhan itu, yang lebih dikenali sebagai Dong Jiao Zong (DJZ), turut membantah peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut diadakan dalam bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Dalam kenyataan empat muka yang diedarkan kepada pemberita pada sidang akhbarnya di sini, ia menyatakan bahawa ``ini adalah satu kesimpulan yang tidak dapat dinafikan yang diperoleh daripada sejarah dan realiti masyarakat Cina dalam usaha pembangunan pendidikan selama ratusan tahun.''

Menurut Presiden Dong Zong, Quek Suan Hiang, bantahan tersebut dibuat setelah pihaknya berpendapat formula yang dipersetujui oleh Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 31 Oktober lalu tidak menyebelahi bahasa Cina.

Malah, katanya, setelah mengkaji formula tersebut, Dong Jiao Zong berpendapat bahawa pendekatan yang diguna pakai itu adalah bersifat sementara kerana hanya melibatkan satu tempoh peralihan selama empat hingga lima tahun.

``Menteri Pendidikan semalam telah mengumumkan bermula dari tahun 2008, peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dijalankan dalam bahasa Inggeris bagi semua aliran sekolah.

``Ini bermakna bermula dari tahun tersebut, semua sekolah akan menggunakan bahasa Inggeris dan matlamat akhirnya menuju ke arah penggunaan bahasa itu tercapai,'' katanya selepas mesyuarat selama dua jam antara kedua-dua pertubuhan itu.

Dong Jiao Zong adalah gabungan pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persekutuan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia.

Suan Hiang berkata, keputusan untuk melaksanakan formula itu bukan sahaja menafikan status bahasa ibunda pelbagai kaum, bahkan meminggirkan penggunaan bahasa ibunda dalam bidang Sains dan Matematik.

Isu pelaksanaan dasar baru pendidikan negara itu mendapat perhatian pelbagai pihak apabila Dong Jiao Zong membantah keputusan kerajaan untuk melaksanakannya di SJKC mulai tahun depan dengan alasan ia akan menghakis identiti kaum itu.

Bantahan itu menyebabkan lima parti Cina dalam BN iaitu MCA, Gerakan, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) beberapa minggu lalu gagal menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu.

Bagaimanapun, pada 31 Oktober lalu, Dewan Tertinggi BN telah bersetuju mengguna pakai formula baru dengan beberapa pengubahsuaian tanpa menjejaskan dasar yang telah dipersetujui oleh kerajaan.

Melalui formula tersebut, sejumlah empat waktu akan diperuntukkan untuk mata pelajaran Matematik dan tiga waktu lagi untuk Sains pada peringkat darjah satu di SJKC mulai tahun depan.

Menurut Suan Hiang lagi, formula yang dikenali `2-4-3' itu disifatkan oleh pihaknya sebagai amalan yang bertentangan dengan norma pendidikan.

``Malah ia juga dibuat tanpa berasaskan hasrat rakyat,'' ujarnya.

Beliau menegaskan, pelaksanaan formula tersebut juga menyebabkan murid-murid di SJKC terpaksa menanggung beban yang lebih berat termasuk masa pembelajaran yang lebih panjang berbanding rakan-rakan mereka di sekolah kebangsaan.

Katanya, Dong Jiao Zong tetap dengan pendirian bahawa penggunaan bahasa ibunda dalam mata pelajaran Sains dan Matematik sudah memadai kerana murid-murid di SJKC mampu menguasainya dengan baik.

``Oleh sebab itu, kita tidak harus mengulangi semula pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut seperti yang dicadangkan oleh formula itu dalam bahasa Inggeris,'' katanya.

Menurutnya, walaupun pada dasarnya kerajaan tetap dengan pendirian untuk melaksanakan formula tersebut tetapi pihaknya percaya masa akan menentukan segala-galanya.

``Pendirian kita cukup jelas, kita tetap membantah keras pelaksanaan dasar ini kerana kita harus pastikan bahawa sistem pendidikan ibunda pelbagai kaum tidak akan hilang di Malaysia,'' jelasnya.






______________________
Terbitan : 12 Nov 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com