Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Ketidaktepatan Laporan Berita di UM

Pengarang,
Utusan Malaysia

Tuan,

Ketidaktepatan Laporan Berita di UM

Saya merujuk kepada laporan dalam akhbar tuan, Utusan Malaysia bertarikh 18 November 2002 dalam ruangan `Dalam negeri' dengan berita bertajuk : "160 penduduk Nasi Dingin terpaksa berbuka di luar perkarangan masjid".

Terlebih dahulu terima kasih kami ucapkan kerana melaporkan peristiwa tersebut untuk tatapan umum. Walau bagaimanapun kami berasa kesal kerana hampir semua fakta berkaitan dengan Jawatankuasa Masjid dan majlis tersebut adalah tidak betul.

1. Majlis berbuka puasa tersebut adalah anjuran UMNO cawangan Kg. Nasi Dingin, bukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seperti yang dilaporkan akhbar tuan.

2. Jawatankuasa Masjid tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk pihak UMNO untuk mengadakan majlis berbuka puasa di masjid asalkan ia melalui prosedur yang ditetapkan. Dalam hal ini pihak kami kesal dengan kenyataan Setiausaha UMNO Nasi Dingin, En. Hanafi Mat Yusof yang menyatakan kami tidak membenarkan majlis tersebut berlangsung di masjid. Hakikat yang sebenarnya ialah :

a. Pada 12 November 2002 pihak Jawatankuasa Masjid telah menerima surat permohonan daripada pihak UMNO Caw. Nasi Dingin yang bertarikh 10 November 2002 (kami menerimanya pada 12 Nov. 2002) untuk mengadakan majlis berbuka puasa di masjid.

b. Pada 13 November 2002 kami telah memberikan surat jawapan kepada pihak UMNO dan salinan kepada Pegawai Pembangunan DUN (UMNO) dan Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu yang menyatakan keputusan akan dibuat dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Masjid pada 15 Nov. 2002 dan Pengerusi dan Setiausaha UMNO dijemput hadir dalam mesyuarat tersebut. Turut dijemput ialah Pegawai Pembangunan UMNO Dun Kuala Berang. Tujuannya untuk mendapatkan beberapa maklumat secara khusus berkaitan majlis tersebut sama ada ia berbentuk satu pihak (yakni UMNO sahaja) atau melibatkan seluruh penduduk kampung.

c. Pada 15 Nov. 2002 mesyuarat Jawatankuasa Masjid yang dipengerusikan oleh pegawai agama dari PADHT telah diberitahu oleh setiausaha UMNO yang hadir iaitu En. Hanafi Mat Yusof sendiri bahawa mereka menarik balik permohonan kerana mahu mengadakan majlis tersebut di bangunan UMNO, yang menurut laporan akhbar tuan menyatakan Pusat Kegiatan JKKK.

d. Oleh kerana pembatalan tersebut maka pihak kami telah menulis surat pada hari itu juga menyatakan bahawa pembatalan hasrat UMNO telah menyebabkan permohonan mereka telah dengan sendirinya terbatal. Kami tidak menyatakan bahawa kami menolak permohonan tersebut tetapi pihak UMNO sendiir yang membatalkannya.

Oleh kerana itu kami berasa kesal dengan dakwaan bahawa pihak Jawatankuasa Masjid tidak membenarkan pihak UMNO mengadakan masjlis berbuka puasa di masjid. Lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh orang yang sama membatalkan surat tersebut. Sila rujuk kepada minit mesyuarat JM di PADHT untuk mendapatkan fakta sebenar.

Kami lebih kesal kerana pihak UMNO mengatakan jawatankuasa masjid mempunyai unsur politik dalam hal ini. Sukacita dijelaskan bahawa pihak kami mengandungi ahli yang terdiri daripada parti UMNO dan PAS. Jadi unsur politik atau parti mana yang mempengaruhi keputusan kami?

Mengenai dakwaan pegawai agama dari PADHT turut mengahalang UMNO mengadakan majlis tersebut di masjid adalah satu dakwaan yang tidak berasas. Hakikatnya beliau telah menyatakan pada awal ucapannya bahawa masjid seharusnya bebas daripada pengaruh mana-mana politik kepartian, sama ada parti kerajaan negeri atau parti pembangkang. Itu adalah dasar yang kita telah sedia ketahui.namun beliu tidak pula menyatakan bantahannya terhadap permohonan tersebut kerana ia masih belum dikemukan pada mas itu oleh pihak UMNO.

Kami berharap pihak tuan dapat membetulkan laporan akhbar tersebut dengan menyiarkan surat kami ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan diucapkan terima kasih

Sekian, terima kasih.

"Bersama Hayati Keindahan Islam"

"Membangun Menurut Islam"

Yang menjalankan tugas

Hairoma Bin Sulong
Setiauasa
Jawatankuasa Masjid
Kg. Nasi Dingin
Hulu Terengganu.

LAWATILAH LAMAN WEB KAMI : http://nadionline.tripod.com






______________________
Terbitan : 30 Nov 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com