SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun TRAGEDI TRAGIK TERHADAP BAHASAKU ANGKARA PEWARIS MINDA KOLONIAL
Oleh Pengangguran! Merupakan perkataan yang membawa imej negatif, negatif dari aspek tidak ada pulangan ekonomi. Suasana keresahan yang mengakibatkan ketiadaan punca pendapatan secara tetap serta berterusan. Realiti kehidupan yang tidak disokong dengan pekerjaan yang stabil. Sekurang-kurangnya itulah tanggapan umum apabila dihadapkan dengan situasi wujudnya pengangguran. Satu realiti yang menakutkan! Asalnya kerana isu pengangguran itulah, maka matematik dan sains perlu diinggeriskan, kononnya "mereka yang menganggur itu adalah mereka yang tidak fasih bahasa Inggeris, sebab itu mereka tidak laku di pasaran kerja". Demikianlah telahan di kalangan para pemimpin politik Melayu berkuasa! Tanpa ada sebarang fakta yang konkrit, maka bagi memboleh orang Melayu khasnya, bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris, maka sains dan matematik perlu diinggeriskan. Persetankan dengan dasar pendidikan yang sedia ada, kerana kononnya dasar pendidikan kita, menyebabkan orang Melayu tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Demikian keputusan para pencinta bahasa Inggeris. Kononya ekonomi Malaysia tidak akan maju tanpa bahasa Inggeris. Itulah laku dan lagak sisa-sisa pewaris imperialis. Jadinya, pengangguran secara tidak langsung telah membencanakan bahasa Melayu. Pengangguran telah menyebabkan bahasa Melayu tersisih. Pengangguran menyebabkan bahasa Melayu tidak layak untuk dijadikan pengantar subjek Sains dan Matematik di setiap peringkat pendidikan! Dengan pelbagai alasan "kelayakan" maka bahasa Inggeris dinaiktarafkan dan dengan pelbagai alasan "ketidaklayakan" bahasa Melayu dikecilkan fungsinya. Persoalannya, sehingga kini, di saat gembar-gembur dan gegak gempita menginggeriskan sains dan matematik, pengangguran terus bercambah dalam masyarakat, dilaporkan terdapat hampir 21,000 siswazah menganggur, terutamanya di kalangan Bumiputera! Para pemimpin Umno terus menyalahkan ketidakfasihan berbahasa Inggeris, sebagai punca utama, "pendeknya bahasa Inggeris itulah segala-galanya" tanpa adanya satu pengesahan fakta yang konkrit serta jitu. Namun hakikatnya, penulis (pada 28 Oktober 2002, sewaktu sarapan di warung nasi lemak sotong, pekan Banting) telah menerima keluhan dari sepasang suami isteri yang kehilangan pekerjaan sejak hampir enam bulan yang lalu. "Nak tanya sikit ni, tempat encik kerja tu, tak ada kerja kosongkah? Saya ni dah lima enam bulan dah tak ada kerja, sejak syarikat tempat saya kerja dulu telah diambil alih oleh syarikat besar, saya diberhentikan, dah tu suami saya dulu kerja kat AS, tapi dah dihantar pulang, nilah sebab adanya bin, bin ni, semua yang ada bin, bin syarikat-syarikat AS hantar pulang, saya dah tanya banyak tempat, dah hantar banyak resume, tapi sampai sekarang tidak ada satu pun yang jawab, dulu saya belajar kat ITM bidang perakaunan, lepas tu sambung kat London, guna pinjaman MARA, jadi sekarang ni macam mana saya nak bayar hutang MARA, sewa rumah nak dibayar, kereta masih ada butang, jadi sekarang ni kami berdua jual otak-otak kat pasar malam, sebesar mana sangatlah pendapatan jual otak-otak, minta kursus perguruan tak dapat!" Apalah yang dapat penulis bantu, dengan hanya berkedudukan sebagai warga marhaen, cuma sekadar mampu mengilhamkan beberapa cadangan serta mencetusakan beberapa lorongan untuk bertindak. Soalnya apakah kerana pasangan ini tidak fasih berbahasa Inggeris, maka itu mereka menganggur atau mereka menganggur kerana terlebih fasih bahasa Inggeris? Para pemimpin Umno jangan bersifat hipokrit! Kefasihan berbahasa Inggeris belum tentu menjanjikan nikmat pekerjaan dan bahasa Melayu bukan menjadi faktor mutlak kepada pengangguran, apa yang nyata, selagi struktur ekonomi lintang pukang, maka selagi itulah fenomena pengangguran akan berleluasa! Meletakkan kesalahan terhadap ketidakfasihan berbahasa Inggeris di sebuah negera yang bahasa rasminya (Kebangsaan ) bahasa Melayu, memperjelaskan sikap prejudis kalangan elit politik memerintah terhadap bahasa Melayu, secara tidak langsung merupakan pengagungan mutlak terhadap bahasa Inggeris. Juga, memperlihatkan wujudnya dominasi ketara saki baki pewaris mentaliti kolonial dalam pembuatan dasar serta kelemahan ketara ketahanan diri bangsa Melayu. Mencerminkan mentaliti Melayu yang terperangkap dalam kerangka minda kekurangan. Tentunya para pendokong bahasa Inggeris merasa terhibur dengan segala lakonan yang dipentaskan oleh elit politik Melayu berkuasa bagi memartabatkan bahasa Inggeris dalam sistem sosial masyarakat Malaysia, secara beransur dijolok untuk mengambil alih paranan bahasa Melayu, secara perlahan-lahan. Apa pun alasan yang dikemukakan oleh elit berkuasa bersabit dengan pengutamaan terhadap bahasa Inggeris, merupakan satu kaedah terancang untuk membantutkan usaha membina bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi. Persoalannya apakah nasib bahasa Melayu menghampiri nasib yang menimpa bahasa Hawaii? "English perk: Critical allowance for more than 40 000 teachers from January". (Sunday Star. 10/11/2002) "40 000 guru dapat elaun RM 200". (Berita Minggu. 10/11/2002) Laporan Sunday Star mencatatkan "This allowance was among four special incentives proposed by the ministry in July when a decision to teach Mathematics and Science in English from next year was finalised". Manakala Berita Minggu melaporkan "Kira-kira 40 000 guru Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan dibayar elaun kritikal RM100 hingga RM200 sebulan berikutan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai Januari depan". Berasaskan kedua-dua laporan tersebut, memperjelaskan bahawa bahasa Melayu telah diberikan nilai ekonomi yang rendah. Sebaliknya bahasa Inggeris secara tidak langsung ditabalkan sebagai bahasa "berstatus tinggi dengan nilai ekonomi yang tinggi". Guru-guru yang mengajar subjek berbahasa Melayu seolah-olah "guru kelas dua", walaupun kedapatan di antara mereka yang fasih berbahasa Inggeris, namun disebabkan mereka ini mengajar "Sejarah atau Geografi atau Perakaunan atau Bahasa Melayu" maka mereka tidak perlukan insentif, begitulah pemikiran korup di kalangan perancang dasar "mi segera". Seolah-olah guru bahasa Inggeris dan mereka yang mengajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris mahkluk dari dunia lain yang perlu disintuklamau serta harus didewatakan dengan segala iringan material. Apakah jaminan bahawa segala insentif dalam bentuk ringgit Malaysia itu akan digunakan sepenuhnya oleh guru-guru terbabit untuk membeli bahan-bahan bacaan atau peralatan audio visual bagi mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris? Ini didasarkan kepada alasan Musa Mohamad bahawa insentif tersebut diberikan bagi membolehkan guru-guru terbabit menggunakannya untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta peningkatan ilmu (seolah-olah guru-guru bersubjekkan bahasa Melayu tidak perlu mepertingkatkan ilmu). Inilah nasib bahasa Melayu dan nasib guru-guru bersubjekkan bahasa Melayu, dipersendakan oleh politikus Melayu yang terkandas visi. Keadaan ini juga telah menyebabkan wujudnya jurang sosial di kalangan guru-guru dalam sektor pendidikan. Pemujaan terhadap bahasa Inggeris telah mengelompokkan guru dalam dua kategori layanan material sedangkan pada hakikatnya mereka mempunyai tanggungjawab yang sama. Apakah dengan ganjaran material serta pelbagai keistimewaan diberikan kepada guru-guru yang mengajar Sains, Matematik dan bahasa Inggeris akan menjamin peningkatan mendadak pencapaian para pelajar dalam kedua-dua subjek tersebut? Apakah kelayakan profesional yang melayakkan mereka menerima peningkatan emolumen sebanyak 10% daripada gaji asas? Jika demikian keadaannya, ternyata umpam materialistik telah digunakan untuk memunjuk guru-guru mengajar kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini dengan sendirinya mendedahkan dasar penginggerisan tersebut adalah dasar yang bersumberkan pemikiran materialistik. Situasi yang berlaku di kalangan guru-guru secara umumnuya menggambarkan realiti diskriminisasi sosial yang bakal dihadapi oleh masyarakat dalam konteks pertarungan antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam pasaran buruh. Kemungkinan wujudnya skim gaji berbeza di antara mereka yang lulus dari aliran Melayu dengan mereka yang lulus dari aliran Inggeris sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Hakikatnya penginggerisan sains dan matematik tidak dapat mengelakkan dari wujudnya dua aliran tersebut, sebagai memenuhi cita-cita sekelompok pemimpin politik Melayu dominan "berhala minda cauvinis Inggeris" yang hakikatnya buta budaya, sebaliknya terhijab dengan kekaguman harapan meninggi terhadap apa yang didatangkan dari negara "orang putih". Kemajuan dan pembangunan itu adalah apa yang dilakukan oleh orang putih, orang putih adalah model kemajuan! Demikian terserlah akan hakikat pola berfikir di kalangan mereka yang bersentimenkan pemikiran kolonial tersebut. Apapun situasinya, kemunculan golongan pewaris minda kolonial mendominasi takhta kekuasaan politik negera, merupakan satu malapetaka terhadap kelangsungan hidup bahasa Melayu. Juga, merupakan satu tragedi tragik terhadap dinamisme perkembangan perbendaharaan kata bahasa Melayu, khususnya dalam bidang Sains dan Matematik. Harus diingat, bahasa adalah merupakan alam pemikiran sesuatu bangsa!
Diterbitkan oleh : |