Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Ucapan Ezam 2002

Berikut adalah Ucapan Dasar Ketua Pemuda Keadilan, Sdr Ezam Mohd Nor, di Persidangan Agung Pemuda Keadilan 2002 di Sg Petani. Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Pemuda Keadilan, YB Sdr Saifuddin Nasution Ismail

Yang dihormati Saudara Pengerusi Persidangan,

Yang dikasihi rakan-rakan Exco Pemuda KeADILan, para perwakilan dan para pemerhati yang saya muliakan.

Ini ada satu berita penting: demokrasi di Malaysia sudah mati.

Yang dihormati Saudara Pengerusi Persidangan,

Yang dikasihi rakan-rakan Exco Pemuda KeADILan, para perwakilan dan para pemerhati yang saya muliakan.

Ini ada satu berita penting: demokrasi di Malaysia sudah mati.

Sejak kali terakhir kita berkumpul di Kemaman, kita terpaksa berhadapan dengan peristiwa besar yang bukan sahaja memberi kesan kepada keADILan sebagai sebuah parti politik, tetapi hala tuju negara Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah berkata, Malaysia semakin menjadi sebuah negara polis. Maksud Almarhum Tunku ialah demokrasi sudah luput. Jika Almarhum hidup, tentu beliau tidak akan kenal negaranya yang tercinta, kerana Malaysia sudah menjadi sebuah negara polis di mana semuanya tidak bebas tetapi terletak di bawah kuasa Mahathir.

Sedikit ruang demokrasi yang ada sebelum 1981, iaitu tahun di mana Mahathir mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, menjadi semakin sempit dan selepas itu tidak pernah dibenarkan bercambah dan berputik. Demokrasi yang muda ketika Mahathir mengambil alih tampuk kekuasaan, tidak ubah seperti anak kecil yang baru belajar bertatih, terus dipatah dan dilumpuhkan kakinya.

Tahun lalu sahaja menjadi saksi bagaimana sempitnya sedikit ruang demokrasi yang ada di negara ini, sehingga apabila berhadapan dengan asakan anti-demokratik pemerintah, institusi-institusi yang diberi tanggungjawab mempertahankan ideal demokrasi menikus. Bersama-sama ketakutan mereka, maka matilah demokrasi yang sedikit itu.

Seperti juga institusi demokrasi yang lain di negara ini, Parlimen kini hanyalah syarat untuk membolehkan BN mentaqliqkan pemerintahan mereka sebagai sebuah demokrasi, bukannya medan yang memberi ruang kepada suara rakyat untuk mentadbir negara.

Tahun ini Mahathir mengumumkan perletakan jawatan, lengkap dengan gaya primadonanya, tangisan yang tidak henti-henti, kerutan wajah yang menagih simpati, tidak ubah seperti jaguh bangsawan filem Cathay Keris zaman 60an Perletakan jawatan itu dilakukan dalam perhimpunan tahunan partinya sedangkan jawatan dan mandat Perdana Menteri terbit dari mandat rakyat yang diberi kepada Parlimen.

Jangan diharapkan demokrasi akan bangkit kembali dengan perletakan jawatan Mahatir. Ini kerana, seperti kisah seram Melayu, matinya tuan digantikan oleh hantu-hantu raya yang rupanya sebiji seperti tuannya - dalam bahasa moden disebut klon. Selama ini rakyat negara kita melalui mimpi ngeri, dan mimpi ngeri ini akan terus menghantui mereka kerana yang akan menggantikan Mahathir bukanlah pemimpin rakyat, sebaliknya daripada golongan elit-elit yang selama ini menghisap dan memerah kekayaan negara yang dibina oleh rakyat.

Golongan-golongan elit ini tidak pernah mengenal erti perit-jerih rakyat kebanyakan. Selama ini yang menggemukkan golongan ini ialah sistem korup Mahathir, mana mungkin mereka menamatkan sistem yang menyuap dan memontelkan mereka ini. Dan hantu-hantu ini hanya meninggalkan sisa-sisa dan bangkai yang sudah puas mereka telan dan jilat untuk rakyat kebanyakan.

Penulis Karim Raslan menyatakan kumpulan Bangsar Liberals harus bangkit untuk mengetengahkan demokrasi. Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Bangsar Liberals? Bukankah golongan ini golongan yang sama yang menuturkan kata-kata demokrasi tetapi sebenarnya mendokong pemerintahan elit BN yang memberikan kontrak dan kekayaan kepada mereka. Kumpulan Bangsar Liberals adalah pengamal sistem kapitalis totok yang tidak mempedulikan rakyat biasa. Kumpulan ini tidak ada hak untuk mengaku sebagai pendepan demokrasi, malah mereka yang memusnahkan demokrasi.

Pemuda Keadilan bukan sebahagian daripada Bangsar Liberals. Kita percaya demokrasi adalah tuntutan rakyat biasa dari kampung dan desa-desa, pelusuk rumah-rumah panjang dan rumah rakyat di kota-kota, mereka yang tidak dapat sebarang keuntungan daripada 21 tahun pemerintahan Mahathir. Kepada Pemuda Keadilan, tuntutan Bangsar Liberals adalah lawak jenaka Senario dan membohongi rakyat.

Saudara-saudara sekalian,

Selain Parlimen yang tidak lagi berfungsi, dalam bulan Julai tahun ini, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lantas, terjerumuslah institusi kehakiman - salah satu dari tiga cabang bebas yang sepatutnya saling memeriksa kekuasaan cabang-cabang yang lain iaitu perundangan dan eksekutif dalam sistem demokrasi - ke gaung krisis kredibiliti yang baru.

Bagi kita, adalah ironis apabila Ketua Hakim Negara yang kononnya dihormati, ketika menerima perlantikan Raja-raja Melayu menjadi Ketua Hakim Negara, berjanji untuk mengembalikan mutu dan kebebasan mahkamah negara - tetapi apabila terpaksa berhadapan dengan kes terbesar dalam kerjaya beliau, beliau tidak ada kekuatan moral untuk memutuskan hukuman yang seadilnya, walaupun gerak geri dan budi bicara beliau sebelum kes rayuan tersebut jelas memperlihatkan simpati beliau. Maka lengkaplah satu konspirasi.

Kemudian bulan lalu, Mahkamah yang sama membuat keputusan menerima permohonan habeas corpus untuk saya dan teman-teman mangsa ISA yang lain - tetapi seperti biasa, dengan gaya melepaskan tangan yang seolah-olah menjadi trademark penghakiman Mahkamah Malaysia alaf baru ini - Mahkamah tersebut masih belum mempunyai kekuatan moral untuk mengarahkan pembebasan kami, walaupun penghakiman mereka sendiri jelas menunjukkan bahawa kami tidak bersalah.

Malah penghakiman mereka menunjukkan bahawa polis, Menteri Dalam Negeri dan segala aparat kerajaan yang bertanggungjawab atas penahanan kami berniat jahat dan atas kepentingan politik dan bukannya atas kepentingan negara.

Begitu juga dengan keputusan menghukum saya dengan hukuman penjara kerana kononnya mendedahkan dokumen rahsia kerajaan. Di negara-negara yang menjunjung amalan demokrasi, perbuatan mendedahkan penyelewengan pemimpin kerajaan itu bukan sahaja dianggap mulia, malah pendedahnya akan diberi perlindungan yang sewajarnya. Tetapi di negara Malaysia yang demokrasinya sudah mati, perbuatan itu dihukum dengan penjara sedang si perasuah bermaharajalela tanpa malu. Pencuri lepas, penangkap pencuri masuk penjara.

Serangan terbaru yang memberi pukulan maut kepada ruang demokrasi di negara ini adalah pindaan Akta Pilihanraya dan pelbagai langkah yang akan diambil oleh Suruhanjaya Pilihanraya, kononnya untuk memastikan proses pilihanraya menjadi lebih telus. Secara idealnya, sistem demokrasi menggalakkan penyertaan rakyat di dalam proses demokrasi seperti pilihanraya, maka wang deposit diletakkan pada kadar yang terendah agar kebanyakan mereka yang berminat boleh sahaja menyertai proses pilihanraya. Kebiasaanya badan yang bertanggungjawab menyelia proses pilihanraya bertanggungjawab kepada Parlimen dan memberi peluang sama rata kepada parti-parti politik menyampaikan mesej mereka kepada rakyat.

Namun senarionya di dalam negara yang demokrasinya sudah mati seperti Malaysia berbeza sekali. Hanya parti yang dianggotai jutawan dan kelas elit hanya mampu menyertai proses pilihanraya, kerana wang depositnya hampir sama dengan harga sebuah rumah kos rendah!

Suruhanjaya Pilihanraya bukan sahaja menjadi Kementerian Pilihanraya kerajaan BN, tidak cukup dengan itu - peta pilihanraya pun hendak dilakarnya agar negara ini menjadi sebuah negara demokrasi pertama di dunia dengan hanya satu parti!

Memang Pemuda Keadilan sangsi terhadap perjalanan pilihanraya di negara ini, malah kita langsung tidak menaruh harapan kepada SPR. SPR adalah alat Barisan Nasional yang mandul dan terbelenggu. Pimpinan SPR adalah lembu yang dicucuk hidung, tidak berani menguak tanpa kebenaran tuannya, iaitu Barisan Nasional. Perjalanan pilihanraya seperti yang ditadbir oleh SPR adalah pembohongan semata-mata.

Mana-mana pihak yang mengatakan bahawa SPR adalah bebas adalah umpama katak yang duduk di bawah tempurung. Kemenangan kita di Lunas membuktikan bahawa SPR adalah musuh utama demokrasi. Tanpa keberanian Pemuda menghalang pengundi hantu, ugutan terhadap pengundi Cina dan India dan rasuah terhadap pengundi Melayu, SPR tentu telah berjaya melaksanakan tugasnya iaitu memenangkan BN walau apa pun kehendak sebenar pengundi. Lunas berjaya direbut kerana kita peka dan celik, bukannya kerana SPR adil. SPR tidak pernah adil.

Lihat sahaja apa yang dilakukan SPR dalam cadangan-cadangan terbarunya. Garis sempadan pilhanraya dilukis sesuka hati demi memenangkan calon-calon BN, khususnya menteri-menteri. Berbagai penipuan digunakan untuk memindah, malah memadam nama pengundi kita. Tidak cukup dengan itu, berbagai peraturan-peraturan bodoh dibubuh demi menyekat kemaraan Barisan Alternatif. Wang yang merupakan senjata utama Barisan Nasional kini merupakan kriteria utama menjadi calon. Kelayakan lain tidak perlu, asalkan banyak wang.

Ada yang bertanya, mengapa Keadilan tidak membuat bantahan rasmi kepada SPR? Untuk apa? Kita tahu SPR langsung tidak mengambil kira pandangan kita. Biarlah kita tayangkan SPR kepada rakyat dalam bentuknya yang sebenar, iaitu barua Barisan Nasional, hamba yang tidak mempunyai maruah.

Namun pilihanraya umum kesebelas masih penting untuk kita. Jika gelombang rakyat sangat kuat, seluruh jentera BN, termasuk SPR tidak akan dapat memesongkan keputusan pengundi.

Saudara-saudara sekalian,

Oleh kerana demokrasi sudah matilah, maka Barisan Nasional bermaharajalela dan beraja di mata bersultan di hati.

Kadang kala tumpuan kita dalam Barisan Alternatif dan gerakan reformasi menjadi berkecamuk dalam menghadapi onar dan auta pemerintah. Tumpuan yang berkecamuk ini sering melalaikan kita dari masalah pokok yang membenarkan onar dan auta itu terus menerus menindas kita.

Kalau demokrasi dan institusinya berfungsi, maka Mahathir tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pengisytiharan Malaysia sebuah negara Islam, walaupun itu nyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kalau demokrasi dan institusinya berfungsi, sudah tentu pemimpin dan aktivis alternatif, hatta penjenayah sekalipun akan diberi hak untuk dibicarakan terlebih dahulu sebelum dipenjara dan difitnah sesuka hati.

Kalau demokrasi dan institusinya berfungsi, kerajaan Pusat akan menghormati keputusan rakyat negeri Terengganu dan tidak akan campur tangan di dalam perjanjian royalti petroleum di antara Petronas dan kerajaan BA Terengganu.

Kalau demokrasi dan institusinya berfungsi, badan penyiaran yang dibiayai wang rakyat tidak boleh disalahgunakan untuk memburuk-burukkan seorang Menteri Besar parti lawan yang dipilih secara sah oleh pengundi di negeri tersebut.

Oleh yang demikianlah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak kita merenung sejenak pendekatan kita dalam menangani isu politik nasional, dan menyeru Saudara-saudara sekalian, teman-teman dari parti-parti alternatif yang lain - untuk kita menyusun senarai kepentingan kita dan meletakkan usaha menghidupkan demokrasi sebagai keutamaan nombor satu.

Saya ingin mengajak Saudara-saudara menginsafi susur galur sahsiah politik Republik Islam Iran, dalam usaha kita menghayati peri pentingnya tanggungjawab kita mendepani usaha mempertahankan demokrasi di negara ini.

Negara Iran yang ada pada hari ini lahir dari kacau bilau dan serpihan penderitaan berpanjangan selama lebih 70 tahun - menderita di tangan golongan elit yang tidak mahu melepaskan kuasa, menderita kerana buat sekalian lamanya tidak ada kesepaduan di antara penentang-penentang rejim Shah Reza Pahlavi dan ayahnya Reza Shah sebelumnya, menderita kerana apabila ruang demokrasi dan hak rakyat dikekang sedikit demi sedikit dalam masa 70 tahun itu, ramai yang memilih untuk menutup mata.

Apabila Reza Shah menggulingkan sultan dari dinasti Qajar dalam tahun 1925, mereka yang mempunyai kedudukan dalam hirarki sosial masyarakat Syiah Iran ketika itu - pentadbir, intelek, pedagang dan ulamak dari pusat-pusat pengajian Syiah seperti Qom dan Najaf - mengambil sikap tidak peduli kerana Reza Shah memberi gula-gulaan untuk menyedapkan hati mereka.

Dalam masa 20 tahun seterusnya, walaupun saban hari Reza Shah mengikis kebebasan dan penyertaan rakyat dalam perkara bersabit kehidupan mereka, golongan pentadbir, intelek, pedagang dan ulamak ini tidak akan bersuara kecualilah kalau kepentingan mereka diancam. Begitulah rupa masyarakat Iran sehinggakan dalam tahun 1953 apabila Dr Mohammad Mossadeq, Perdana Menteri yang popular digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh Jeneral Fazlollah Zahedi dengan bantuan CIA, hanya gerakan pelajar pro-demokrasi sahaja yang mengambil tindakan menunjuk perasaan menyatakan sokongan terhadap Dr Mossadeq. Dr Mossadeq sebelum itu cuba untuk mengembalikan semula pentadbiran petroleum Iran ke tangan rakyat dari tangan imperialis Barat.

Selama lebih dua puluh tahun selepas itu, kumpulan yang menentang rejim Shah Reza Phahlavi ditindas secara pecah dan perintah, kerana tidak ada kesepakatan dan kesilapan mereka mengambil sikap kemerosotan ruang demokrasi hanya menjadi isu jika ia melibatkan mereka.

Hanya dalam tahun-tahun 1970an, di bawah pimpinan tokoh-tokoh besar seperti Ayatollah Ruhollah Khomeini dari golongan ulamak dan Mehdi Bazargan dari golongan pro-demokrasi, kerjasama dijalinkan untuk menjatuhkan rejim Shah Reza Phahlavi - itu pun setelah puluhan ribu menderita di dalam kem-kem tahanan Savak termasuklah Bazargan sendiri, bekas presiden Iran Ali Hashemi Rafsanjani dan ulamak besar Ayatollah Ali Montazeri. Itu pun setelah ribuan rakyat tidak berdosa ditembak secara dekat oleh Savak dalam peristiwa kebangkitan 1963.

Dari imbasan pendek itu, saya percaya kita boleh bersetuju bahawa jika ruang demokrasi di negara ini dibiarkan terus mengecil sambil kita tidak mempunyai fokus dan kesepaduan mempertahan dan menghidupkan ruang demokrasi, sukar bagi kita untuk mencapai matlamat tersendiri kumpulan-kumpulan kita, apatah lagi membawa pembaharuan kepada sistem politik, ekonomi dan sosial di negara ini mengikut pegangan politik kita - pemerintahan bertunjangkan keadilan sosial tidak akan mempunyai harapan, jika pra-syarat utama iaitu sistem demokrasi yang berfungsi tidak wujud.

Oleh yang demikian, Pemuda Keadilan akan membawa mesej 'Kembali Kepada Demokrasi' sebagai tema utama dalam pergerakan kita dalam masa satu tahun yang akan datang. Pendidikan politik mengenai peri pentingnya hala tuju negara ini dikembalikan ke landasan demokrasi akan dibawa kepada ahli parti di peringkat akar umbi dan rakyat terbanyak.

Adalah tidak memadai sekiranya kita bergantung kepada ceramah semata-mata untuk menyampaikan mesej kita, apatah lagi dengan pelbagai sekatan dan batu halangan yang sengaja diada-adakan untuk menggagalkan sessi penerangan kita.

Unit IT dan Biro Penerangan Pemuda sudahpun menyediakan rancangan jangka panjang untuk mempelbagaikan alat sebaran kita - termasuklah dengan penggunaan radio internet, yang mana siaran ini disiarkan secara langsung hari ini untuk didengari di seluruh dunia. Selepas ini, Pemuda juga akan mengelola rancangan radio internet berkala yang akan memberi peluang kepada rakyat yang mempunyai kemudahan internet mendengar respons pemimpin Pemuda dan parti mengenai isu-isu semasa. Harapan kita ini akan meluaskan serba sedikit cakupan penyebaran maklumat kita.

Namun kita juga perlu realistik bahawa internet semata-mata tidak akan mampu menyampaikan mesej kita kepada golongan rakyat terbanyak. Secara tidak langsung ini adalah bukti kegagalan dasar pendidikan dan teknologi maklumat kerajaan BN, kerana kita pasti kalau dasar itu benar-benar berjaya, sudah tentu lebih ramai rakyat yang akan berpihak kepada kita. Apabila diberi peluang membezakan nilai berita yang disampaikan oleh saluran-saluran bebas seperti Malaysiakini, sudah tentu rakyat tidak mahu lagi mendengar berita propaganda murahan seliaan Zainuddin Maidin di RTM atau Utusan.

Hakikatnya dasar itu gagal dan penetrasi internet di negara ini masih rendah, jadi untuk menghidupkan ruang demokrasi kita perlu mencari jalan lain. Untuk itu, Pemuda percaya sistem penerangan pusat perlu lebih proaktif mewujudkan jaringan sebaran maklumat - sama ada melalui dosier mingguan pendek yang hanya mempunyai dua muka surat sahaja dan boleh disalin secara murah untuk edaran, sehinggalah kepada penerbitan VCD bermutu yang menyentuh isu-isu nasional dan membawa pendirian parti. Kita percaya penyeliaan rangkaian maklumat sebegini bukanlah perkara yang mustahil, dan dengan kerjasama sewajarnya dari jentera penerangan pusat kita berharap ia akan berfungsi secepat mungkin.

Pemuda ingin mengetengahkan tiga paksi utama bagi parti ini dalam tempoh setahun akan datang. Tanpa tiga kaki ini, kita akan kecundang. Tetapi yang sebaliknya, jika ketiga-tiga asas ini jitu dan kukuh, maka yakinlah Keadilan kerajaan yang seterusnya.

Kaki pertama ialah mengukuhkan sistem penerangan parti supaya segala maklumat dan isu sampai kepada rakyat. Kita berada dalam kongkongan yang sangat dahsyat. Barisan Nasional tahu jika rakyat diberi maklumat yang sebenar, segala pembohongan Mahathir dan kuncu-kuncunya akan terdedah. Kredibiliti Barisan Nasional akan runtuh sama sekali. Itu sebabnya kita ditekan kiri dan kanan, ceramah dilarang, sarana internet dipantau. Berita kita dihalang dan ucapan-ucapan kita disaring, malah disongsangkan.

Tetapi sebagai parti politik, kita tidak harus terlentang sambil melihat sahaja kongkongan ini berlaku. Jentera penerangan parti harus berjalan. Pemuda yakin jika tugas ini dilaksanakan dengan hemat, maka kerajaan Barisan Nasional akan mencanak ketakutan.

Pemuda akan terus melaksanakan tugas ini melalui laman web, ceramah, pentas Pemuda, rapat umum, Radio Pemuda, penerbitan, risalah dan lain-lain serana. Namun tugas ini tidak harus dipikul hanya oleh segelintir, malah jentera utama parti mesti menggembleng tenaga ke arah pencapaian matlamat ini. Ingatlah pesanan Goebbels, "Jika pembohongan diulang dan diulang, lama-lama rakyat akan percaya". Barisan Nasional sangat percaya kepada wasiat Goebbels ini. Kita harus menghancurkan agenda jahat mereka.

Kedua, Pemuda mahu mengingatkan parti bahawa idea kita mestilah berpasak di bumi rata, bukannya disauhkan di awang-awangan. Gerakan reformasi adalah gerakan rakyat banyak yang dahagakan perubahan. Kita mesti menjadi lidah mereka. Kita mesti melahirkan rintihan mereka. Kita mesti menyuarakan kehendak mereka. Kita mesti menjadi laungan harapan rakyat.

Dasar-dasar parti hendaklah imaginatif tetapi praktikal, berjiwa besar tanpa kelihatan mustahil, berasaskan kepada fakta-fakta bukannya impian, mengalir dari arus perdana bukannya arus sampingan, memanfaatkan rakyat bukannya segelintir ahli falsafah yang terkongkong dalam lingkungan elitis. Keadilan tidak harus menjadi parti yang membudayakan bayang-bayangan raja falsafah sambil memencilkan harapan rakyat kerdil.

Ketiga, Pemuda mahu kepimpinan parti membuka lebih banyak ruang kepada agen-agen perubahan. Sudah terlalu lama kita diperintah oleh kerajaan orang-orang tua yang penat dan lesu. Kita mesti mempunyai barisan kepimpinan yang berjiwa besar. Pemimpin-pemimpin kita mestilah mampu menurut resam bulan, iaitu menyinari malam yang gelap, menyuluh jalan kepada para ahli dan rakyat secara amnya. Namun bulan merupakan seri malam yang mampu memberi jalan kepada matahari apabila siang menyerlah.

Maksudnya ruang harus diberi kepada tenaga muda, golongan progresif, penyumbang buah fikiran yang bernas serta lain-lain golongan yang mampu menambahkan kepada kepelbagaian dan kekuatan parti. Bulan harus berkongsi hari dengan suria. Itulah putaran alam.

Keadilan adalah umpama lautan yang mengumpulkan air dari pelbagai sungai. Keadilan menghasilkan gelombang reformasi berdasarkan sumbangan dari alur-alur politik yang tersendiri. Pemuda mahu meneruskan budaya ini, namun pada masa yang sama, kita harus tegas bahawa sebagai parti politik, kita harus menyediakan ruang untuk diskusi dan menggubal kesimpulan daripada diskusi tersebut. Mesti ada hasil daripada sebarang perbincangan dan hasil itulah yang kita pegang sebagai fahaman parti.

Bercakap mengenai parti, Pemuda ingin memberi syor ke arah menyuburkan lagi amalan demokrasi dalam parti sendiri. Perlu kita ingat, jika kita ingin meyakinkan rakyat makna 'Kembali Kepada Demokrasi' dan bahananya jika demokrasi tidak wujud lagi di negara ini, rakyat terlebih dahulu perlu yakin bahawa keADILan mempunyai ruang demokrasi seluas-luasnya dan mengambil mandat ahli terbanyak dalam perkara-perkara pokok.

Pertama, Pemuda mengesyorkan supaya dalam proses memilih calon bagi pilihanraya yang akan datang, panel pencalonan di peringkat bahagian perlu diwujudkan untuk memberi peluang kepada ahli terbanyak di peringkat akar umbi memberi input mereka. Ahli-ahli keADILan di peringkat akar umbi akan berpeluang untuk turut serta dalam proses sebelum pilihanraya sendiri, dan pencalonan yang dibuat oleh mereka harus dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.

Kami percaya ini akan menjadikan keADILan satu-satunya parti di negara ini yang meletakkan penyertaan dalam proses demokrasi parti sehingga ke peringkat terbawah, di samping memastikan calon-calon yang dipilih benar-benar mendapat mandat dan restu ahli akar umbi.

Pada masa yang sama, kami juga percaya bahawa amalan ini boleh menghalang wujudnya budaya politik tidak sihat seperti yang membarahi Barisan Nasional, iaitu tiba sahaja pilihanraya, kuasa meletakkan calon disalahgunakan untuk menghukum mereka yang tidak sekapal dengan kem yang berkuasa, ataupun kuasa itu disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit pihak mereka.

Harapan kita dengan adanya mekanisme sebegini, kita akan berjaya mengurangkan permainan politik intra-parti dan memberi jaminan bahawa dalam sistem demokrasi tulen yang kita jaguhi, tidak ada yang kalah seperti mana yang berlaku di dalam parti-parti komponen BN.

Syor yang kedua mungkin dikira lebih ajaib, kerana ia melibatkan pemilihan pucuk pimpinan parti sendiri. Pemuda berpendapat sudah tiba masanya keADILan, sebagai sebuah parti yang lahir dari gelombang kebangkitan rakyat yang menjadikan demokrasi paksinya, merintis amalan memberi hak kepada ahli terbanyak untuk memilih pucuk pimpinan parti secara langsung.

Saudara-saudara sekalian,

Pemilihan parti secara perwakilan sudah terlalu lama diamalkan sehingga menjadi satu tradisi. Namun yang terbaik ialah apabila pimpinan dipilih setiap ahli, di mana setiap ahli satu ahli.

Pemimpin yang dipilih dengan cara sedemikian, mempunyai mandat kukuh, mandat dari ahli. Kedudukannya kukuh dan payah dicabar, terutama oleh komplot-komplot dan perselisihan dalaman. Pemuda Keadilan mahu merintis jalan sebegini supaya satu hari ini pucuk pimpinan negara pun dipiilih oleh rakyat secara langsung.

Maknanya proses pemilihan pucuk pimpinan parti adalah begini: bahagian akan mencalonkan calon pilihan mereka bagi sesuatu jawatan, dan dalam satu tempoh masa yang ditetapkan, bahagian-bahagian akan bersidang untuk membuang undi. Dengan cara ini, saya percaya kepimpinan keADILan di masa akan datang akan mempunyai mandat dan legitimasi yang tidak terbatas berbanding dengan sistem sekarang.

Saudara-saudara sekalian,

Pada masa yang sama, Pemuda percaya rakyat akan mengalu-alukan syor yang dibawa oleh keADILan untuk mewujudkan ruang demokrasi yang sudah pupus di negara ini. Pemuda berpendapat ini hanya boleh dilakukan dengan strategi serampang dua mata - iaitu pada masa kita membawa maksud politik kepada rakyat mengenai pentingnya untuk kita kembali kepada demokrasi, institusi-institusi demokrasi juga perlu diperkukuhkan bagi menghalang pemimpin autokratik terus menyalahgunakannya.

Pertama ialah institusi parlimen dan cabang perundangan di negara ini. Oleh kerana sistem politik kroni kapitalisme yang menjadi amalan di dalam BN, ahli-ahli Parlimen mereka yang dipilih melalui sistem pilihanraya tidak lebih dari budak suruhan yang dijadikan biduk di dalam permainan kuasa pemimpin-pemimpin parti mereka. Sepatutnya ahli-ahli Parlimen ini tidak diberi gelaran wakil rakyat di dalam Dewan Rakyat, tetapi 'wakil Najib', 'wakil Pak Lah', 'wakil Mat Taib' atau 'wakil Ling Liong Sik' kerana itulah sebenarnya fungsi mereka di dalam Dewan Rakyat, menjadi buah catur bagi ketua kem mereka untuk berebut kuasa di dalam parti, bukannya untuk mewakili kepentingan rakyat dan negara.

Akibat kemandulan ahli-ahli Parlimen BN ini, Dewan Rakyat hilang fungsinya sebagai majlis musyawarah kepentingan rakyat tertinggi di negara ini, kerana ahli Parlimen BN yang menjadi majoriti lebih banyak berfikir dengan perut dan tembolok gemuk mereka, bukannya dengan fikiran dan kewarasan.

Jika ada di antara mereka yang berhujah bahawa mereka perlu mengikut arahan pemimpin parti membabi buta dalam Parlimen, maka jelaslah mereka ini jahil murakkab tentang sahsiah politik dunia.

Tidak ada dewan perwakilan dalam dunia ini yang umpama lembu dicucuk hidung seperti yang berlaku di Malaysia, dari Yang Dipertua Dewan hinggalah ahli bentara hinggalah ke ahli Dewan, kesemuanya menurut telunjuk Mahathir Mohamad. Malaysia tidak ada Dewan Rakyat. Yang ada hanya Dewan Mahathir. Malaysia tidak ada Senator yang menjadi ahli Dewan Negara. Kesemuanya pesuruh Mahathir yang menjadi burung kakaktua mengulang kata-katanya tanpa menimbang dahulu implikasi perkataan-perkataan tersebut.

Oleh yang demikian, untuk mengelakkan Dewan Rakyat terus menjadi mandul seperti sekarang, Pemuda keADILan percaya satu langkah terbaik adalah menukar sistem pilihanraya sekarang kepada pemilihan berasaskan perwakilan berkala, atau lebih popular sebagai proportional representation. Seperti juga idea satu undi bagi satu ahli yang kami sebut tadi, sistem perwakilan berkala ini akan memberi makna yang lebih berkesan kepada setiap undi yang diberi oleh rakyat.

Jumlah kerusi Parlimen di dalam Dewan Rakyat akan diubahsuai mengikut jumlah undi popular yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding. Misalnya, walaupun parti kita hanya menang 5 kerusi Parlimen di dalam pilihanraya umum yang lalu, kita telah berjaya mendapat hampir 20% undi popular nasional. Jadi kerusi Parlimen keADILan, di bawah sistem perwakilan berkala, akan menjadi tiga puluh dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 150 kerusi. Sudah tentu pentadbiran dan pembahagian kerusi akibat peratusan undi popular ini adalah lebih rumit dari itu, tetapi yang pasti ia akan menjamin suara dan pilihan setiap pengundi akan memberi kesan kepada rupa bentuk Parlimen yang dipilih.

Lebih penting dari itu, sistem ini juga akan mempastikan pilihan golongan minoriti akan sentiasa terjamin, kerana walaupun undi yang diberikan kepada calon bukan Islam di kawasan campuran misalnya tidak memberi kemenangan kepada calon tersebut, tetapi jika undi popular nasional memadai tahap minimum, maka akan ada calon yang akan mewakili kumpulan itu di dalam Parlimen.

Pada masa yang sama, Pemuda keADILan juga percaya Dewan Negara, dalam bentuk dan fungsi yang sedia ada adalah tidak berkesan dan tidak mempunyai apa-apa makna di dalam sebuah sistem demokrasi. Oleh kerana ahlinya dilantik dan kerusinya sering digunakan untuk meletakkan tokoh-tokoh UMNO yang cukup tidak popular sehingga UMNO sendiri tidak berani menamakan mereka sebagai calon pilihanraya seperti Aziz Shamsuddin dan Zainuddin Maidin, sudah tentu mereka akan mengangguk melebihi belatuk setiap kali diarahkan oleh pemimpin-pemimpin BN.

Seperti juga Dewan Rakyat, Dewan Negara memerlukan reformasinya sendiri untuk menghidupkan semula ruang demokrasi di negara ini.

Cadangan memilih secara langsung ahli-ahli Dewan Negara bukan idea baru, malah pernah dicadangkan oleh tokoh seperti YDP Negara, Tan Sri Ben Stephens. Tetapi kerusi Dewan Negara bukanlah untuk orang yang bebas berfikir, tetapi adalah upah untuk para algojo BN. Muka-muka yang tidak laku dalam pilihanraya umum, mereka yang menipu demi melengkapkan konspirasi dan wakil-wakil parti nyamuk dalam Barisan Nasional, semuanya menjadi Senator. Gelaran mereka sangat gah, tetapi peranan mereka sangat kerdil.

Oleh itu, Pemuda keADILan mencadangkan supaya ahli Dewan Negara dipilih oleh pengundi setiap negeri. Jumlah wakil bagi setiap negeri pula tetap. Pilihanraya bagi Dewan Negara pula perlu diadakan bagi tempoh yang tetap, iaitu lima tahun sekali pada masa penggal Dewan Rakyat masih berjalan.

Dewan Negara, seperti juga dewan-dewan ketuanan di negara-negara lain, perlu diberi peluang menjadi badan penyiasat tertinggi untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat. Kesalahan dan kelakuan badan-badan kerajaan, seperti kezaliman polis, tindakan Peguam Negara membenarkan campur tangan politik di dalam proses menentukan pendakwaan mereka dan skandal pembaziran negara perlu dihadapkan di hadapan Jawatankuasa Terpilih Dewan Negara yang bertanggungjawab mendapatkan maklumat sebenar dari pemegang-pemegang kuasa eksekutif. Melalui cara ini sahajalah, Dewan Negara akan benar-benar berfungsi dan cabang eksekutif akan belajar untuk memikul amanah dan bertanggungjawab ke atas penyelewengan mereka.

Saudara-saudara perwakilan yang dikasihi,

Keadilan adalah sebuah parti politik. Parti politik mempunyai satu matlamat utama, iaitu mendapat kuasa memerintah. Kita tidak perlu malu dengan matlamat ini, malah kita patut berbangga atas niat kita untuk mengambil alih kuasa pemerintahan demi menubuhkan kerajaan yang adil dan saksama. Keadilan menyediakan alternatif yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Kita mahu mendirikan kerajaan yang berpaksikan pembaharuan dan reformasi. Kerajaan yang kita mahu adalah kerajaan yang bersih dan peka terhadap hasrat rakyat.

Oleh itu bila rakyat bertanya, "Apa matlamat kamu sebagai parti politik?", kita harus menjawab dengan jelas kita mahu membina kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat. Mandat ini merupakan terjemahan gelombang reformasi yang melanda negara semenjak Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat secara tidak adil dalam konspirasi politik yang sangat kotor pada bulan September 1998. Lebih daripada itu, kita mahu memenuhi harapan rakyat supaya zaman Mahathir diganti dengan era politik baru yang demokratik.

Tetapi sebelum kita mencapai kuasa untuk memerintah, kita harus membuktikan kepada rakyat bahawa kita mampu membina kerajaan yang lebih adil. Rakyat akan mengukur kemampuan kita. Rakyat akan menguji kebolehan kita. Rakyat tidak mahu lihat sekumpulan ahli politik yang tidak dapat membangkitkan kebanggaan dan keyakinan masyarakat.

Gelombang reformasi di seluruh dunia kerap melahirkan kerajaan yang lebih adil dan terbuka. Namun banyak juga kerajaan yang didirikan atas gerakan reformasi kecundang kerana kurang bersedia. Kerajaan Solidarity di Poland hanya bertahan lima tahun, walaupun dipimpin tokoh yang disegani, iaitu Lech Walesa. Begitu juga kerajaan Janata Dhal, pimpinan Moraji Desai di India. Malah di Thailand, kerajaan Chuan Leekpai, tokoh reformasi sepanjang dua dekad yang lepas juga akhirnya diganti oleh rakyat hanya sesudah satu penggal.

Matlamat Keadilan adalah untuk menjadi lebih utuh daripada kerajaan-kerajaan ini. Tidak ada gunanya kita mencapai kuasa dan kemudian dengan mendadak kehilangan sokongan rakyat. Parti kita harus menjadi apa yang dipanggil dalam politik parti pemerintah semula jadi (natural party of government).

Ini bukan suatu yang mudah. Kita harus memenuhi empat kriteria. Pertama, kepimpinan kita mestilah bijaksana dan disegani ramai. Kedua, kita haruslah mempunyai kelayakan dari segi kejujuran, pengalaman, kebolehan, kemampuan, keutuhan dan ketegasan yang tidak ada tolok bandingnya. Ketiga, kita mestilah lebih dekat dengan citarasa masyarakat. Keempat, kita hendaklah mengetepikan segala perselisihan faham dan perbezaan pendapat sambil menunjukkan imej perpaduan yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Tanpa memenuhi empat kriteria di atas, jangan harap rakyat akan beri kepercayaan kepada kita. Kesilapan Barisan Nasional dalam tahun 1999 ialah memperbodoh-bodohkan rakyat dan menipu mereka kiri dan kanan. Rakyat Malaysia bukannya masyarakat zaman batu yang buta politik. Seperti kata Dato' Seri Anwar Ibrahim, percayalah kepada rakyat. Mereka sudah masak dengan politik moden yang berasaskan meritokrasi, bukannya propaganda buta semata-mata.

Janganlah kita membuat kesilapan besar seperti pejuang revolusi Russia yang berjaya menukar kerajaan zalim Nicholas yang kedua, kemudian bertelagah dan lambat membuat keputusan hinggakan pihak lain berjaya merampas kuasa dan mewujudkan kerajaan yang penuh kebejatan selama lebih 70 tahun. Saidina Ali bin Abi Talib, Karamallah Wajhah berpesan, "Kebatilan yang tersusun akan mengatasi kebenaran yang bertempiaran".

Baru-baru ini, Eep Saifulloh Fatah mengingatkan kita bahawa reformasi hanya akan berjaya dengan saf yang tersusun, bukannya kerumunan yang kucar-kacir. Kata-kata ini sepatutnya menjadi cogan kepada Pemuda. Kita hanya akan berjaya jika barisan kita disusun umpama tentera Usamah bin Zaid, Tariq bin Ziad dan Ikrimah Abu Jahal yang berdiri bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, tanpa seincipun jarak antara satu soldadu dengan soldadu yang lain.

Namun sebelum kita mencapai tahap 'arifin sebegini, kita mestilah membetulkan parti.

Parti kita juga perlu diperkukuhkan. Memang benar kita bukanlah parti yang mempunyai tradisi politik yang panjang, malah umur kita masih belum menjangkau setengah dasawarsa. Dalam sejarah sahsiah tanahair, kita masih terlalu muda. Kejayaan kita masih belum dapat digarap sepenuhnya.

Begitupun, kita mesti mengukuhkan kedudukan dan strategi parti ini. Pemuda mesti mencorakkan Parti Keadilan yang akan mengisi ruang politik negara dalam dekad yang akan datang.

Pemuda mahu mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pucuk pimpinan parti terhadap cabaran yang mendepani kita. Kita tidak boleh teragak-agak dalam membuat keputusan yang tegas. Kita mestilah menjadi pelopor, bukan pengikut, Kita mesti menjadi orang yang mencorakkan kain yang putih dengan warna-warna yang bergemerlapan, bukannya orang yang membeli kain daripada penjaja jalanan. Kita mestilah mencipta sejarah, bukannya larut dalam arus deras perubahan yang semakin meruntun negara ini.

Pucuk pimpinan parti hendaklah berani menilai keberkesanan masing-masing. Kadangkala kita lupa bahawa kita adalah sebahagian daripada masalah, bukannya penyelesaian masalah. Kita tidak boleh membiarkan parti ini menjadi mangsa ugutan mana-mana puak, kabilah, kelompok mahukan kepentingan. Parti Keadilan tidak ada ruang, tempat dan masa untuk mereka yang meletakkan kepentingan peribadi dan kabilah di atas kepentingan ramai.

Pemuda tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang mencabul disiplin parti. Pemuda tidak akan berlembut terhadap mereka yang lebih gemar bermain politik sesama sendiri dan bukannya mendepani musuh negara, iatiu pemerintah zalim Barisan Nasional. Pemuda menegaskan parti ini bukan milik mana-mana individu mahupun kepentingan.

Kematangan berpolitik bermakna kita mampu berselisih hujah tetapi kemudian mengetepikan segala perbezaan pendapat demi matlamat jangka panjang. Biduk lalu kiambang bertaut. Air yang keroh dijernihkan. Bila rumah selesai, pahat jangan berbunyi lagi.

Ingatlah kepada amanat terakhir Mansur Shah, pemimpin dan pengikut adalah umpama pohon dan akar yang saling memerlukan.

Menguatkan parti bukanlah mudah. Tugasnya sangat getir. Tidak semua mampu untuk melaksanakan tugas ini.

Itupun tugas kita sebenarnya lebih sukar. Umum mengetahui parlimen kesepuluh sudahpun sampai ke penghujung usianya. Pilihanraya umum semakin mengimbau. Kita akan diuji sekali lagi. Cabaran getir ini akan meruntun segala tenaga yang boleh kita sumbangkan. Jatuh bangun parti ini mungkin bergantung kepada kebijaksanaan kita menangani ujian pilihanraya yang akan datang.

Ada yang bertanya, bukankah pilihanraya itu hanya mainan wayang Barisan Nasional? Bukankah pilihanraya itu satu penipuan, pengabur mata rakyat supaya negara ini kelihatan seakan-akan menghormati peraturan demokrasi? Bukankah pilihanraya membuang masa, wang dan tenaga?

Sebagai parti politik, pilihanraya adalah salah satu pilihan Keadilan untuk menyalurkan protes dan harapan rakyat. Kita menyertai pilhanraya umum sebagai memenuhi tuntutan rakyat supaya kita menyediakan alternatif terhadap kerajaan yang ada sekarang. Walaupun pilihanraya umum hanya permainan Barisan Nasional, jika kita tidak menyertai pilhanraya rakyat akan lebih sengsara. Mereka akan tertanya-tanya apakah tidak ada lagi yang sanggup ke depan untuk menjadi pejuang? Apakah tidak wujud lagi kumpulan yang menyeru kebenaran secara terang-terangan dan menentang kebatilan? Apakah fajar demokrasi tidak lagi akan menyingsing di bumi bertuah ini?

Pilihanraya bukan ujian kekuatan antara Barisan Nasional dan Barisan Alternatif. Sebaliknya ia adalah arena yang mempertunjukkan bagaimana BN sanggup menggunakan segala kezaliman demi mengekalkan kedudukan dan kekayaan pemimpin mereka. Pilihanraya juga merupakan pentas bagi kita memaklumkan kepada rakyat bahawa biar apapun tekanan yang dilakukan Barisan Nasional, kita akan tetap memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Pilihanraya adalah satu cara kita membuktikan bahawa lawan tetap lawan!

Bersedialah untuk menjadi tulang belakang parti dalam pilihanraya umum akan datang. Itu tugas kita pada pilihanraya 1999. Ia tetap menjadi tugas kita. Pemuda tidak akan berundur walau seinci dalam memastikan bahawa pertandingan kali ini sama sengit, malah lebih sengit daripada pertarungan tiga tahun dahulu.

Saudara-saudara sekalian,

Keinsafan mendadak rakyat mengenai hak bersuara sebagai pra-syarat pertama yang boleh menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara adalah lantaran rompakan di siang hari bersiri yang dilakukan oleh pimpinan BN sejak tahun 1981 lagi. Mereka yang belajar sosiologi dan tabiat manusia dalam lingkungan sudah tentu biasa dengan istilah ´Piramid Keperluan Maslow´, yang mana apabila manusia sudah memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, perkara-perkara seperti keinginan menyumbang secara intelektual di dalam lingkungan mereka dan idea kebebasan akan menjadi tahap keperluan yang seterusnya.

Dalam erti kata lain, apabila ekonomi negara semakin berkembang dan tahap sosio ekonomi rakyat meningkat, adalah menjadi satu perkara yang semulajadi apabila rakyat mahukan penyertaan di dalam proses demokrasi yang membabitkan hidup mereka.

Oleh kerana itulah, tidak dapat tidak rakyat akan bangkit membantah apabila peti khazanah negara dirompak sewenang-wenangnya. Skandal-skandal penyelewengan wang rakyat, dari BMF kepada Maminco sehinggalah kepada Perwaja, dan pelbagai pembaziran bail out setelah kegagalan dasar pensyarikatan yang dimegah-megahkan oleh Mahathir - tidak akan berjaya disembunyikan selama-lamanya kerana rakyat yang bijak zaman ini akan terus menerus menyanggah ketamakan pemimpin-pemimpin BN.

Pemuda KeADILan tidak menentang sembrono Dasar Penswastaan; tetapi seharusnya penswastaan bermatlamatkan peningkatan mutu dan kepentingan rakyat; bukannya untuk memperkayakan mereka dan keluarga mereka. Yang kita lihat, satu demi satu agensi yang dipindahkan kepada kroni-kroni Mahathir kini lingkup dan kerajaan terpaksa campurtangan semula dengan wang rakyat. Punah-ranahnya ekonomi tergambar dengan jelas sekali dalam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS). Sebelum diswastakan, MAS merupakan syarikat penerbangan yang ulung di rantau ini dan menjana keuntungan yang lumayan. Tetapi selepas diswastakan lebih kurang sedekad, kita melihat MAS menanggung kerugian dan menjadi momokan pelabur asing. Akhirnya, kerajaan bukan masuk menyelamatkan MAS, sebaliknya menyelamatkan keuntungan kroni mereka yang mentadbir MAS.

Siapa yang bertanggungjawab terhadap kerosakan ini? Mungkin ada yang menuding jari kepada mereka yang mengemudi MAS. setelah mereka diberi "tanggungjawab" itu oleh Mahathir. Tetapi bukankah orang yang bertanggungjawab sebenarnya Mahathir sendiri? Mahathir yang menyerahkan MAS kepada kumpulan yang dipilihnya sendiri. Mahathir menentukan sendiri bahawa MAS tersenarai dalam syarikat-syarikat yang hendak diswastakan. Malah Mahathir pernah menyenaraikan kerugian MAS sebagai kerugian "perlu" demi membina saf usahawan bumiputera yang "membanggakan".

Saudara-saudara sekalian,

Dunia selepas 11 Seprtember menghadapi ancaman perang yang sangat besar. AS dan sekutunya mahu membalas terhadap peristiwa yang menimpa mereka. Ini naluri semulajadi dan tidak menghairankan kita. Tetapi mengambil tindakan secara sendirian atau unilateral adalah strategi politik yang tidak boleh digunapakai dalam zaman di mana wujud sistem yang lebih baik seperti menggunakan saluran Bangsa-bangsa Bersatu.

Pemuda Keadilan menegaskan kita tidak menyokong mana-mana rejim yang menyiksa rakyatnya sendiri. Kesalahan Saddam Hussein terhadap rakyatnya, baik penduduk Kurdish, Shattel-Arab, utara dan selatan Iraq tidak dapat dibiarkan begitu sahaja. Malah kita mengecam kezaliman ini. Tetapi jika AS benar-benar percaya kepada demokrasi, jika AS berpegang teguh kepada mukadimah deklarasi kemerdekaannya yang menuntut kebebasan rakyat terhadap "kehidupan, kebebasan dan pencarian kebahagiaan", maka Amerika Syarikat perlu menimbangkan fakta mutlak, iaitu peperangan membawa kesengsaraan kepada rakyat terbanyak. Menukar rejim Iraq bukanlah perkara enteng. Apa pun rejim yang diletakkan oleh Amerika Syarikat tidak akan kekal jika ianya tidak turut disokong penduduk Iraq.

Perang bukanlah pertarungan antara koboi yang penuh dengan tenaga macho. Perang adalah kesengsaraan, pengaliran darah, kematian, kecederaan dan penderitaan. Jika ia dilakukan, perang mestilah merupakan pilihan terakhir. Malah, ia sepatutnya hanya boleh dilakukan jika tidak ada cara lain yang mampu diketengahkan sebagai alternatif oleh masyarakat antarabangsa. Sekuat mana pun Amerika Syarikat ia tetap sebahagian dari masyarakat antarabangsa. Amerika Syarikat perlu mendengar pendapat pihak-pihak yang lain, walaupun ia mungkin mengambil masa yang lama dan dendam terhadap tragedi 11 September tidak segera terbalas.

Saudara - saudara sekalian,

Kita ada dua pilihan - sama ada untuk mendepani cabaran yang digariskan - atau menikus dan menyorok di sebalik penderitaan rakyat pada zaman demokrasi mati ini.

Menjadi harapan saya agar Pemuda KeADILan khususnya dan Parti KeADILan seluruhnya mengambil pilihan pertama. Ini ialah tanggungjawab kita - sama ada kita lihat daripada segi moral, sivik atau agama, terutama generasi muda kerana kita akan mewarisi perjuangan ini. Menjadi tanggungjawab setiap satu antara kita yang berada di sini untuk menghidupkan demokrasi di negara kita. Rakyat menaruh harapan pada kita, jangan kita persiakan begitu sahaja.

Kita harus bersedia membaiki diri kita, merapatkan saf dan memastikan pertemuan kita di sini tidak sia-sia. Amat rugilah kiranya kekurangan dan kelemahan yang kita bicarakan di sini terus diamalkan pada tahun hadapan. Pada tahun hadapan kita wajibnya menjadi lebih gagah, lebih bersedia dan lebih matang.

Seketeriat BA Tk. Kumbar






______________________
Terbitan : 31 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com