Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

RESPON KEPADA KENYATAAN AKHBAR DATUK MOHAMAD RAIS ZAINUDDIN

KENYATAAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR MALAYSIA JORDAN (MPPM)
RESPON KEPADA KENYATAAN AKHBAR DATUK MOHAMAD RAIS ZAINUDDIN
TIMBALAN PENGERUSI ALUMNI KELAB UMNO

Pihak Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM) mengalu-alukan kedatangan Ahli Alumni Kelab Umno ke Jordan dan ingin memberi respon kepada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Alumni Kelab Umno, Datuk Mohamad Rais Zainuddin dalam kenyataan kepada akhbar pada Selasa 26 Nov 2002 , mengenai dakwaannya pelajar jordan ketara dipengaruhi Pas hanya kerana enggan bersalaman atau bertegur sapa dengan tiga ahli Alumni Kelab Umno yang mengunjungi pelajar di negara ini.

Terlebih dahulu pihak MPPM berasa sedikit kecewa dengan dakwaan yang dikeluarkan dan pihak Alumni Kelab Umno yang terdiri daripada golongan profesional yang tidak sepatutnya mengambil perkara remeh seperti ini sebagai neraca mengukur mahasiswa Jordan.Dakwaan ini adalah keterlaluan dan tidak berasas, kerana saya sendiri telah menegur dan bertanya khabar kepada mereka di Kuliah Syariah ,Universiti Mu’tah pada Isnin 25 Nov dan berkenalan dengan mereka. Pertemuan kami tidak lama kerana saya terpaksa menghadiri kelas.Memang kebanyakan pelajar di sini sibuk dengan kelas pengajian dan tidak sempat untuk bertegur dengan sesiapa, tambahan pula tiga Ahli Alumni tersebut tidak memaklumkan kehadiran mereka kepada pihak Kedutaan , Jabatan Penuntut Malaysia atau pun MPPM. Mereka bertiga hanya menziarahi Universiti,tempat yang pelajar sibuk dengan pengajian dan tidak menziarahi kebanyakan rumah rumah pelajar yang ada melainkan rumah rumah pelajar Ahli Kelab Umno Jordan.Bukan mereka saja yang tidak pernah ditegur oleh pelajar disini bahkan kebanyakan tetamu yang datang dari malaysia yang terdiri daripada ibu bapa pelajar atau jemaah umrah dan haji pun tidak sempat ditegur oleh kebanyakan pelajar di sini kerana terlalu sibuk dengan pelajaran.

Keengganan pelajar bersalaman atau bertegur sapa dengan mereka tidak boleh dijadikan asas penglibatan pelajar di sini dengan parti politik PAS.Keengganan tersebut juga disebabkan sikap Ahli Alumni Kelab Umno tersebut yang suka membuat provokasi politik kepada pelajar. Saya sendiri terkejut di hadapan saya dalam pertemuan pertama saya dengan mereka di Kuliah Syariah, Universiti Mu’tah pada Isnin 25 Nov 2002 yang lalu saya terdengar mereka mengatakan saya orang kerajaan kerana menegur mereka dan beberapa orang pelajar yang berkopiah putih yang mereka lihat sebelum itu dituduh sebagai orang PAS kerana tidak menegur mereka.Sebagai golongan yang bakal memimpin negara mereka tidak membuat provokasi politik kepada pelajar yang masih segar dengan semangat untuk belajar dan menuntut ilmu di Jordan.

Dakwaan Timbalan Pengerusi Alumni Kelab Umno, Datuk Mohamad Rais Zainuddin bahawa pelajar di sini terlalu berpolitik dan tidak menumpukan kepada pelajaran adalah tidak benar.Ini adalah kerana pelajar di sini sibuk dengan pelajaran dan hanya terlibat dengan kegiatan pelajar yang dianjurkan oleh MPPM. Perkara ini juga disahkan oleh beliau sendiri dalam tinjauannya mendapati kebanyakan pelajar yang ditemuinya ikhlas datang untuk belajar ke Jordan tanpa terpengaruh kepada fahaman politik. Walaupun begitu,tidak dinafikan sebilangan kecil pelajar di sini taksub dengan ideologi politik sehingga sanggup menubuhkan kelab parti politik dan menidakkan kuasa yang ada pada Jabatan Penuntut Malaysia dan MPPM.Sekaligus terus memecahbelahkan kesatuan pelajar yang ada dan mewujudkan ketegangan di kalangan pelajar.Kelab Politik yang ada di Jordan sekarang ini hanyalah Kelab Umno Jordan yang ditubuhkan beberapa tahun yang lalu telah berjaya membuat provokasi politik dengan dibantu oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK) , Kementerian Penerangan Malaysia iaitu saudara Effendi bin Yusuf.

Dalam kenyataannya juga,Datuk Rais menyatakan seorang Pelajar tanpa disebut namanya mengakui pemimpin Pas sering membuat kunjungan dengan alasan menemui sanak-saudara atau mengadakan majlis perjumpaan berbentuk agama. Pihak MPPM mengakui ramai pemimpin daripada tanah air datang mengunjungi pelajar pelajar di sini sejak kebelakangan ini yang terdiri daripada parti pemerintah dan pembangkang. Pihak MPPM dan seluruh mahasiswa Jordan mengambil sikap terbuka merai dan menyambut kedatangan semua pihak dan menganggap kehadiran mereka semua adalah sebagai pemimpin negara kami dan kami sebagai rakyat Malaysia wajib menyambut dan mentaati mereka.Ini jelas apabila MPPM dan seluruh pelajar di sini menyambut dan menghadirkan diri dalam setiap majlis dalam siri lawatan semua pemimpin dari tanah air.Perkara ini juga disahkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia Ke Amman.Di sini pihak kami ingin melaporkan lawatan pemimpin dari Malaysia seperti berikut:

Bil

Nama Pimpinan

Tarikh

Anjuran/Tempat

1

Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat

Menteri Besar Kelantan

25 April 2002

MPPM dan Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan  (KMKJ) / Mu’tah

2

Dato’ Amrin Buang

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia

8 Mei 2002

MPPM / Dewan Malaysia, Amman

3

Dato’ Seri Syed Hamid Albar

Menteri Luar Malaysia 

2 Jun 2002

MPPM / Pejabat Kedutaan Malaysia , Amman

4

Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman

Penasihat Agama Y.A.B Perdana Menteri

Datuk Hj. Zainal Abidin Ab Kadir

Ketua Pengarah JHEK

2 Ogos 2002

MPPM / Dewan Malaysia, Amman

5

Dato’ Hj. Harun Taib

Exco Kerajaan Negeri Terengganu

2 Sept 2002

MPPM dan Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA)/ Mu’tah

6

Haji Taijadin Bin Hj. Saberan

Ketua Penolong Pengarah Bahagian  Keselamatan Negara,

Ustaz Wan Muhammad Abd Aziz

Pegawai JAKIM dan Kementerian Pendidikan Malaysia 

4 & 5 Sept 2002

MPPM / Amman dan Mu’tah

7

 Y.A.B Dr Muhamad Khir Bin Toyo

Menteri Besar Selangor

21 Sept 2002

MPPM dan Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan (BKASJ)/ Dewan Malaysia, Amman

8

Datuk Sukarti Bin Wakiman

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah

28 Sept 2002

MPPM dan Kesatuan Mahasiswa Sabah Jordan (KMSJ) / Amman

9

Dato’ Abdul Rashid

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

8 Okt 2002

MPPM dan Majlis Mahasiswa Pulau Pinang Jordan (MUTIARA) / Amman

10

Datuk Hj. Zainal Abidin Ab Kadir

Ketua Pengarah JHEK

Datuk Mustafa  Taib

Penolong Ketua Pengarah JHEK

27 Okt 2002

MPPM / Dewan  Malaysia , Amman

11

Dato’ Seri Abd Hadi Bin Awang

Menteri Besar Terengganu

9 Nov 2002

MPPM dan Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA) / Mutah

Laporan di atas membuktikan bahawa pelajar jordan terbuka dan tidak dipengaruhi oleh PAS seperti yang didakwa oleh Datuk Rais.Pihak MPPM mengharapkan kerjasama daripada semua pihak agar mendapat maklumat yang tepat sebelum membuat apa apa dakwaan. Sebarang dakwaan yang tidak tepat dan tidak berasaskan kepada fakta akan mengeruhkan lagi keadaan.

Mazrisyam Bin Sharif
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan
Sesi 2001/2002
28 November 2002






______________________
Terbitan : 29 Nov 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com