Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Persoalan menyentuh tinggal puasa Ramadhan

Dijawab Oleh : YM Mufti Kerajaan Negeri Terengganu

Apakah yang harus dilakukan oleh seorang anak terhadap ibunya yang telah meninggal dunia yang diketahui ada meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan lepas?
– Mohd. Noor Jaafar, Kuala Ibai.

Bagi orang yang sakit yang berbuka pada bulan Ramadhan dan sakit itu berterusan sehinggalah beliau meninggal dunia tidaklah perlu diperbuat apa-apa terhadap hutang puasanya itu. Tetapi bagi yang sihat selepas daripada bulan Ramadhan dan masih belum menggantikan puasa yang ditinggalkannya dan meninggal dunia maka anaknya bolehlah melakukan puasa ganti untuknya atau mengeluarkan secupak makanan dari harta peninggalan ibunya bagi setiap hari yang ditinggalkannya untuk diagihkan kepada orang miskin.

Apa pandangan tuan mengenai seseorang yang telah meninggalkan puasa Ramadhan sekian lama dan telah menyedari kesilapannya itu dan ingin memperbaiki dirinya?
– Abdul Samad Din, Tanjung Jara.

Taubat adalah anugerah Allah S.W.T kepada setiap hambanya. Orang yang telah meninggalkan puasa itu hendaklah menggantikannya mengikut kemampuan dirinya disamping bertaubat dan meminta ampun pada Allah. Di dalam masalah ini dia dikehendaki membayar fidyah (secupak makanan) bagi setiap hari yang ditinggalkannya pada setiap tahun. Ini bererti sekiranya dia meninggalkan satu hari pada bulan Ramadhan lima tahun dahulu dia dikehendaki menggantikan satu hari tersebut dan ditambah dengan lima cupak makanan kerana lima tahun tersebut.

Apakah pandangan tuan tentang penggunaan ubat mata pada siang hari di bulan Ramadhan?
– Nor Amalina Sulong, Seberang Takir.

Penggunaan bahan tersebut tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kerana mata bukanlah anggota yang berongga sekalipun terdapat rasa ubat tersebut pada tengkoknya. Walaubagaimana pun disyorkan supaya penggunaannya dilakukan pada waktu malam hari atau sebelum subuh.

Apakah yang perlu dilakukan terhadap kayu-kayu binaan masjid atau surau yang telah dirobohkan?
– Zulkifli Mohd. Noor, Tepoh.

Alatan atau perkakas masjid yang telah dirobohkan dan masih boleh digunakan lagi hendaklah digunakan bagi pembinaan surau atau masjid yang lain supaya pahala daripada pewakafnya itu berterusan. Ianya tidak boleh digunakan bagi tujuan lain seperti membina rumah, wakaf dan sebagainya.

Apakah wajib mengerjakan sembahyang Jumaat ke atas orang yang bekerja di pelantar minyak?
– Hamdan Zainal Abidin, Kerteh.

Pekerja-pekerja di pelantar minyak di tengah lautan hanya diwajibkan menunaikan sembahyang zohor apabila masuk waktunya. Mereka termasuk di dalam golongan yang mendapat keuzuran bagi meninggalkan solat Jumaat.

Apakah dibolehkan berpuasa selepas 15 Syaaban bagi orang yang tidak pernah berpuasa sebelumnya?
– Nor Azlin Johan, Kuala Lumpur.

Terdapat larangan dari Baginda Nabi s.a.w. dari berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’aban. Larangan tersebut dikecualikan bagi orang yang telah biasa berpuasa sunat sebelumnya atau orang yang masih ada hutang puasa wajibnya.

Oleh yang demikian bagi mereka yang belum pernah berpuasa tetapi ingin berpuasa sunat pada bulan Syaaban dinasihatkan supaya mengerjakannya sebelum tanggal tersebut.

Apakah dibenarkan bagi seseorang wanita menggemukkan atau menguruskan dirinya dengan menggunakan ubat-ubatan atau makanan?
– Aini Hayati Sulaiman, Batu Enam.

Penggunaan ubat-ubatan dan makanan bagi tujuan tersebut adalah dibenarkan bagi wanita selama mana tidak mendatangkan kemudaratan kepadanya berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Aisyah r.a ketika mana beliau dikahwini oleh Nabi s.a.w. Tetapi makruh bagi seseorang lelaki menggemukkan dirinya melainkan sekiranya dia terlalu kurus.

Sesetengah golongan memakai pakaian khusus supaya dikenali oleh masyarakat sehingga tumpuan diberikan kepada mereka. Apakah perbuatan tersebut boleh dilakukan?
– Mohd Jaafar Zain, Kemasik.

Pakaian sedemikian yang dinamakan sebagai ‘syuhrah’ (masyhur) sekiranya dipakai dengan tujuan untuk menarik manusia kepadanya atau bermegah-megah dengan pakaian tersebut ianya dilarang di dalam syarak berdasarkan sabda Nabi s.a.w : "Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’, Allah akan memakaikannya pakaian seumpama itu di hari akhirat kelak kemudian dia akan dibakar di dalam neraka." [Riwayat Abu Daud]. Pakaian syuhrah tersebut tidaklah dikhususkan kepada pakaian yang berharga sahaja tetapi pakaian yang murah atau buruk pun termasuk di dalam makna larangan ini.

Apakah kaki wanita termasuk di dalam aurat?
– Rabiatul Adawiyah Ali, Kemaman.

Ya, kaki wanita termasuk di dalam aurat yang mesti ditutup.

Masyarakat kita biasa memakan makanan atau minuman yang masih panas. Apakah dibenarkan kita meniup minuman atau makanan tersebut supaya ianya sejuk?
– Alias Mamat, Besut.

Perbuatan demikian adalah makruh kerana menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w. Sebaik-baiknya dibiarkan makanan atau minuman tersebut untuk seketika supaya makanan itu dapat dimakan atau diminum dengan selesa, dengan tidak dihembus melalui mulut kerana dibimbangi ianya tercemar.






______________________
Terbitan : 24 Nov 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com