Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

China bakal mengatasi AS

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

ROMBONGAN Perdagangan Terengganu ke China dari 20 hingga 28 Oktober yang dipimpin oleh Dato’ Mustafa Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindusterian dan Sumber Manusia kerajaan Terengganu tidak terasa ke Negeri China lagi seperti yang saya lihat semasa mengikuti rombongan Tun Razak dalam tahun 1974.

Kiranya kunjungan bersama Tun Razak itu adalah suasana China sebenarnya, maka kunjungan bersama Dato’ Mustafa Ali ini terasa bagai ke Amerika dan ke Eropah. Ke Beijing dirasakan bagai ke Paris, ke Xi’an bagaikan ke London dan ke Guangzhou atau Kuantung bagaikan ke Berlin, menakala ke Shenzhen di sebelah Hong Kong persis ke Los Angeles.

Untuk melihat China dalam tahun 1974 dulu, kata pemandu pelancong di Beijing yang kami namakan Ali, pergilah ke Myanmar atau ke Korea Utara. Kunjungan ini adalah kali ketiga saya ke Tanah Besar China itu bersama pemimpin. Yang pertama mengiringi Perdana Menteri Tun Razak tahun 1974 bagi memeterai hubungan diplomatik Malaysia-China. Kedua tahun 1993 mengiringi lawatan rasmi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kunjungan ketiga ini dijadualkan untuk mengiringi Menteri Besar Terengganu tetapi di saat terakhir digantikan oleh Dato Mustafa. Beijing dan Guangzhou yang saya lihat tahun 1974 dulu adalah kota desa yang dipenuhi basikal. Motokar hanya beberapa buah saja. Kalau ada menteri dan kunjungan pemimpin asing lalu, maka adalah berderet-deret motokar. Kenderaan di jalan raya milik kerajaan dan syarikat kerajaan membunyikan honnya setiap saat.

Bangunan tiada yang tinggi dan usang pula. Jalan raya atau Lebuhraya yang ada malah mengalahkan jalan di Eropah dan Amerika dengan terbentang lebar dari lapangan terbangnya melalui Dataran Tiananmen dan Kota Larangan di tengah Beijing. Kira-kira kapalterbang sederhana boleh mendarat. Demikianlah suasananya.

Suasana

Yang saya lihat hari ini basikal tidak berapa banyak di Beijing walaupun ada. Motokar dan teksi memenuhi jalan dan sesaknya sudah menyamai masa-mana kota besar dunia. Hon sudah jarang berbunyi. Pencakar langit tumbuh di setiap lorong. Lebuhraya raksaksa tadi sudah kelihatan biasa.

Kuala Lumpur sudah ada jejambat sebelum Tun Razak ke China. Tetapi China tidak mengenalinya lagi. Hari ini lorong dan bangunan kota-kota yang dikunjungi itu redup oleh bayang-bayang jejambat. Adalah biasa kita mendongak ke langit melihat dahan dan daun-daun kayu. Adalah biasa pula bagi orang yang melalui jejambat melihat pohon-pohon besar sayup di bawah sana seperti melihat rumput hijau di bawah kaki.

Setinggi jejambat di Kuala Lumpur searas tingkat dua sebuah bangunan tinggi. Tetapi jejambat di Guangzhou misalnya searas dengan tingkat lima dan enam bangunan biasa. Suatu yang karut bagi maksud pepatah Inggeris ‘membina mahligai di angkasa.’ Bukan lagi dongeng pepatah itu di negeri China kerana bagi pembangunannya biasa saja ‘membina lebuh raya di angkasa.

Semasa bersama Tun Razak di zaman Mao Zedung dulu malamnya seperti kota berhantu, gelap menyelimuti alam. Kini semua kota-kotanya adalah sebuah kayangan bergemerlapan.

Di setiap tempat strategi dulu terpampang potret gergasi pemikir-pemikir besar komunis Mao, Stalin, Karl Marx dan Engels. Tetapi semua gambar itu sudah ghaib. Di satu dua tempat saja masih ada gambar Mao itupun tidak begitu menonjol. Dan kalau pun ada, agak ketara sedikit, poster gergasi tertera wajah bapa pembangunannya Deng Xiopeng, itu pun di satu dua tempat jua.

Siang malam sekarang kota Beijing menyiapkan keperluan Sukan Olimpik 2008. Jika tiada bangunan baru pun Beijing sudah dikira mampu menjadi tuan rumah sukan dunia itu. Tetapi ia perlukan lokasi yang diperlukan oleh sukan itu.

Sukan Olimpik 2008

Jika kota-kota China sudah dipenuhi oleh pelancong asing, maka tentulah Olimpik 2008 akan menjadikan China lebih sesak. Apakah pandangan rakyat China yang rata-rata miskin terhadap persiapan sukan terbesar itu? Di negara-negara maju di barat, biasanya rakyat membantah persiapan besar tuan rumah olimpik, kerana rakyat mengira wang yang besar itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat.

Pemandu pelancong Ali menjawab, ‘Rakyat mengharapkan ia satu rezeki.’ Adalah biasa bagi bangsa China sejak purba dikerah membina projek-projek gergasi seperti Tembok Besar China’, mahligai-mahligai seperti istana ‘Kota Larangan’ di sebelah Dataran Tiananmen itu. Sekalipun rakyat dijadikan abdi membina keagungan feudal maharaja-maharajanya, tetapi kerja rakyat itulah yang membawa jutaan manusia ke China.

Bukan saja Sukan Olimpik itu membawa orang ke China, tetapi tinggalan bangunan-bangunan itu nanti akan menjadi bahan tarikan pelancong. Antara yang dibina adalah kondo-kondo penginapan para olahragawan ke sukan itu. Tetapi tanpa sukan itu pun kondo tumbuh di mana-mana. Rakyat yang mendiami rumah-rumah komiun kini mulai pindah ke kondo. Sudah tentu ia tidak percuma lagi. Ia mesti dibayar. Mereka mempunyai cara untuk memungkinkan rakyat rumah komiun di zaman komunis dulu pindah ke kondo-kondo yang teratur itu.

Jika Amerika bangga dengan pembangunan IT di Lembah Silikon, kota Xi’an juga sedang membangunkan Lembah Siliconnya dengan projek ‘Jalan-jalan ke Xi’an dan Zon Pembangunan Teknologi Tingginya.’ Projek raksaksa industri teknologi tinggi ini sudah separuh berjalan dan jika siap dalam tahun 2012 nanti, lapan tahun sebelum Wawasan 2020 Malaysia selesai, dipercayai akan menjadi China sebuah negara kaya yang bila-bila masa saja setara dengan Amerika kalaupun tidak meninggalkan.

Apa yang dipanggil Jalan-jalan ke Xi’an dan Zon Pembangunannya atau HITZ adalah dijayakan bersama oleh pelaburan asing termasuk dari Taiwan. Syarikat-syarikat gergasi Taiwan agak terbuka datang membangunkan China. Taiwan masih sebuah wilayah yang dituntut oleh China. Dan Taiwan masih mengira ia sebuah negara berdaulat yang bersendiri. Adalah diketahui keselamatannya bergantung banyak pada sokongan Amerika.

China dan Taiwan masih dilihat beradu dumba. Dari segi politik masing-masing dilihat bermusuh. Tetapi saudagar-saudagar Taiwan agak terbuka untuk datang melabur di China dan di mana-mana saja di China. China melihat mereka sebagai rakyatnya dari wilayah Taiwan.

Kembalinya Hong Kong dan Macau dari tangan Inggeris dan Peringgi (Portugis) ke pangkuan China, membuka China kepada apa yang dikenali sebagai Satu Negara Dua Sistem. China mendakwa sistemnya adalah sosialis yang hidup bersama dengan Hong Kong dan Macau yang kapitalis. China tiada judi tetapi Macau ada kasino.

Satu negara dua sistem adalah suatu yang China dan dunia terima. Tetapi bagaimana pula dengan Taiwan? Mereka masih dilihat dua negara, tetapi yang berlaku ialah orang Taiwan seperti orangnya. Kedudukannya laksana ‘dua negara satu keyakinan’?

Peniaga-peniaga China yang saya temui tidak begitu keras lagi dengan isu Taiwan. Yang belum berlaku ialah Taiwan diisytiharkan sebagai wilayah China dengan Beijing sebagai ibu kotanya. Tetapi penyatuan rakyat kedua pihak sudah berjalan.

Penyatuan rakyat

Pemikir-pemikir ekonomi Turki pernah membukukan bahawa selepas Amerika, maka China yang akan menentukan paksi dunia sama dengan suasananya 2000 tahun dulu. Ketika itu China yang menguasai ekonomi, ilmu, ketenteraan dan lautan, serta kuasa yang menentukan hatatuju dunia. Ia beredar ke barat - ke Asia Barat - kira-kira 1,500 tahun dulu. Ketika itu Islam menjadi kuasa penentu kerana ia menguasai ilmu, ekonomi, ketenteraan dan lautan.

Enam ratus tahun dulu kuasa itu beralih ke barat iaitu ke Eropah. Penjajahan barat pula menguasai dunia. Sejak 200 tahun lalu ia ke barat lagi iaitu ke Amerika. Maka kuasa itu mungkin terus ke barat lagi. Sebelah barat Amerika adalah China. Rombongan perdagangan Terengganu baru pulang dari China. Mereka ke China dalam rangka berdagang sambil belajar, bukan sekadar melawat sambil belajar.

......................
Warta Darul Iman



______________________
Terbitan : 28 Nov 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com