Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Apakah ini satu strategi atau tragedi?

Aku seorang reformis terlalu merindui obor kehangatan reformasi. Sudah sekian lama aku mengikuti senario politik negara pasca Sdr Ezam Mohd Noor. Setelah beliau di 'diamkan' di Kem Kemunting kemudian terus ke Kajang, aku amat-amati akan masa depan dan hala tuju parti-parti Barisan Alternatif, khasnya Parti KeADILan Nasional(PKN) yang sekarang dalam proses pertukaran nama hasil pencantuman dengan PRM.Dalam diam aku merasai PKN semakin terpinggir. Aku rasakan obor semangat reformasi semakin suam, tidak keterlaluan ianya aku rasakan akan lenyap.

Semangat kebangkitan rakyat yang mahukan keadilan, telah melahirkan parti ini. Rakyat yang membenci kebobrokan parti memerintah telah bersatu untuk melahirkan parti ini. Parti ini lahir dari semangat rakyat kebanyakan, rakyat yang terjaga dari mimpi, rakyat yang sudah celik politik, rakyat yang timbul rasa kesedaran, rakyat yang sudah insaf, rakyat yang inginkan perubahan. Itulah semangat reformasi. Rakyat idamkan reformasi politik, ekonomi, bidang kehakiman dan sistem pemerintahan negara yang lebih adil dan saksama. Rakyat sudah benci dengan sistem yang ada, budaya rasuah, budaya menindas, budaya taat membuta tuli, budaya bodek, budaya 5%, budaya kenal orang dalam,budaya agungkan pemimpin, budaya masuk politik jadi kaya dan sebagainya. Rakyat benci rata-rata penduduk D'sara Heights yang berjawatan menteri menghuni bungalow berjuta juta ringgit kerana rakyat tahu mana mungkin gaji menteri lima enam ribu boleh duduk bungalow Rm 2 juta!!!

Kesemua kebobrokan dan penyelewengan dapat dilihat disekeliling mata. Rakyat sudah tersedia maklum. Rakyat sudah faham dengan onak dan nanah dalam sistem yang ada.

Oleh itu, dengan kesempatan yang ada, dengan semangat yang membara rakyat turun ke jalan raya untuk menuntut reformasi supaya menjamin keadilan dan kesaksamaan. Dengan cara itu, rakyat tahu, itulah cara untuk meluahkan hasrat yang selama ini terpaksa dipendam. Kemunculan PKN dari jalanraya telah berjaya untuk menyatukan rakyat, supaya hasrat rakyat dapat disampaikan melalu saluran-saluran lain yang termaktub dalam perlembagaan. Rakyat menyambut baik kehadiran PKN. Rakyat menaruh harapan yang teramat tinggi pada PKN bagi mengetuai misi gerakan reformasi tulen.

Dengan lahirnya barisan pemimpin-pemimpin pemuda tulen yang diketuai oleh Sdr Ezam Mohd Noor, PKN adalah parti yang paling digeruni oleh regim Mahathir. Tidak keterlaluan kalau aku katakan, PAS jatuh no 2. Rapat umum rakyat yang di hadiri oleh Sdr Ezam membuatkan pihak polis terpaksa kena kerja overtime. Helicopter adalah satu kemestian bagi pihak polis. Water canon yang selama ini langsung aku tak pernah jumpa sebelum Sdr Anwar Ibrahim dipecat, telah menjadi satu kebiasaan. FRU yang selama ini hanya menjaga penonton kat stadium bolasepak terpaksa melibatkan diri untuk menangkap reformis kononnya perhimpunan haram. Lokap yang selama ini hanya untuk penagih dadah, telah dikongsi oleh para reformis.Suasana yang sebegini hanya terjadi apabila semangat rakyat membara.

Kini, PKN telah menghampakan aku dan rakyat lainnya. Aku rindu kan obor pembakar semangat reformasi. Aku rindu pada petang sabtu di hadapan Sogo dan Pertama Kompleks. PKN yang aku harapkan untuk terus membakar semangat rakyat, hanya sekarang sekadar bermesyuarat, press statement dan mengadakan majlis aidil fitri!!!!!

Aku masih ingat kata-kata pemuda di sumpah keramat..'satu anwar masuk, 1000 anwar akan lahir...satu ezam masuk, 1000 ezam akan lahir!! Tetapi, hakikatnya itu lah SATU-SATU nya Anwar Ibrahim dan SATU-SATUnya Ezam Mohd Noor!

Dimanakah pemimpin-peminpin pemuda yang masih 'diluar' sekarang? Apakah masing-masing masih lagi mabuk ketupat raya? Atau pun sedang berkempen utk diri sendiri bagi perhimpunan akan datang? Atau pun dok sibuk merangka press statement buat TV3suku? Atau pun sudah berkira-kira nak letak jawatan dan masuk UMNO? Atau dok pasang strategi secara senyap???? Atau pun dah termakan sumpah keramat sendiri?

Ramai telah menulis, barisan pemimpin pemuda sekarang sedang memasang strategi secara senyap. Bila tiba masanya, kita akan bertindak. Itu lah excuse yang aku dapat dari pemimpin-pemimpin pemuda yang aku jumpa. Pasang strategi apa, kalau rakyat pun tak tau??? Stategi secara senyap kononnya ada think tank sendiri. Sepatutnya biar rakyat tahu, apa jenis strategi dan tindakan yang bakal diambil oleh para pemimpin, sebab rakyat juga yang akan menggerakkan nya. Tanpa sokongan rakyat, siapalah PKN? Tanpa restu rakyat, siapalah PKN? Umno pun memasang strategi, tetapi strategi Umno yang bodoh tu tetap dilaksanakan. Mereka tidak takut pada risiko dan cemuhan. Dah jadi muka cipan si ZAM tu kena cemuh. Tetapi, itulah strategi UMNO. Cipan pun cipan la.....asalkan ada strategi!!!

Semangat rakyat perlu dibakar agar ia sentiasa membara. Semangat rakyat akan bangkit seandainya di tiup rohnya. Tetapi, siapakah dalam barisan pemimpin-pemimpin pemuda sekarang yang berani membakar semangat rakyat sekali lagi??? Di pentas ceramah-ceramah yang kehadiran pengunjungnya berkurangan kini, berdegar degar kita dengar para pemimpin kita cuba membakar semangat rakyat, tetapi selepas 12.00 malam, semuanya balik tidur. Semangat hanya kat pentas ceramah, esok pagi mensyuarat pasang strategi senyap.Aku merasa pelik dan ajaib, kenapa report-report polis hanya banyak di buat di zaman Ezam Mohd Noor, tetapi berkurangan di zaman Saifuddin Nasution? Adakah Ezam lebih cekap tulis report?? Atau pun, sekarang ni tiada apa lagi yang hendak di report? Ataupun sekarang ni, hanya buat report senyap-senyap akibat pasang strategi senyap-senyap???

Aku rasa Sdr Ezam dan kawan-kawan di kem Kemunting telah siapkan landasan dan arah tuju untuk pemuda bergerak sebelum mereka di tangkap. Oleh itu, fikir-fikir lah wahai pelapis pemuda-pemuda PKN bahawa, rakyat sedang memerhatikan anda semua. Jangan jadikan strategi anda semua menjadi satu tragedi. Seandainya semangat rakyat menjadi luntur, ianya pasti terjadi.

....Mr. Architect


.......................
Artikal sdr Mr. Architect terakhir di laman ini ialah pada 8 Januari 2000






______________________
Terbitan : 27 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com