Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Memberhentikan bantuan kepada SAR satu kesilapan

Oleh: Banjar Hanyar

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Prof. Dr.Khoo Kay Kim yang berani menyatakan secara terus terang bahawa "Kerajaan sepatutnya tidak menamatkan bantuan kepada SAR. Pendekatan yang digunakan sekarang tidak membantu menyelesaikan masalah. Saya lihat masalah akan lebih berkecamuk kerana sebenarnya soal pendidikan dalam menentukan masa depan SAR telah dipolitikkan," (Utusan Melayu, 30 Disember 2002).

Sebenarnya tindakan kerajaan menamatkan bantuan kepada SAR itu memang satu kesilapan. Tindakan itu barangkali diambil secara terburu-buru dan tidak berhati-hati.

Mungkin kerajaan menyangka bahawa dengan mengambil tindakan seperti itu, SAR akan gulung tikar dan tidak dapat beroperasi lagi.

Akan tetapi, apa yang tidak diduga oleh kerajaan barangkali ialah tindakan kerajaan telah menimbulkan keazaman di kalangan pelbagai pihak untuk membela dan mempertahankan kewujudan SAR.

Di samping itu , sebagaimana yang dapat kita saksikan sekarang, tindakan kerajaan yang tergopoh gapah dan tidak bijaksana itu telah menimbulkan gelombang kemarahan dan penentangan daripada sebahagian besar orang-orang Melayu.

Gelombang kemarahan dan penentangan ini tidak akan dapat disekat, walaupun dalam beberapa hari ini akhbar-akhbar menimbulkan pelbagai berita dan ulasan yang negatif tentang SAR

Berita dan ulasan yang muncul secara tiba-tiba, yang mendakwa lepasan SAR akan menghadapi masalah besar untuk bersaing di pasaran pekerjaan, sebahagian besar gagal dalam peperiksaan dan sebagainya (Utusan Malaysia 30 Disember 2002), mungkin tidak dipedulikan oleh orang ramai; kerana orang ramai, khasnya ibu bapa memang sudah tahu tentang hal itu, dan sebahagian daripada mereka memang tidak mengharapkan sangat anak mereka bekerja makan gaji dengan kerajaan.

Bagi kebanyakan ibu bapa, pertimbangan mereka yang utama apabila menghantar anak ke SAR ialah untuk mendapatkan pendidikan agama yang sebaik-baiknya untuk anak mereka, di samping sekolah itu dijangka boleh membentuk akhlak yang terpuji. Soal pekerjaan barangkali dianggap sebagai soal nombor dua, dan boleh diatasi dengan cara bekerja sendiri atau bekerja di sektor swasata dan sebagaiya.

Jadi adalah satu lagi kesilapan pihak-pihak tertertu, jika terlampau membesar-besarkan soal kesukaran lepasan SAR mendapat pekerjaan, khasnya di sektor kerajaan, kerana itu bukan perkara utama yang diberi pertimbangan oleh ibu bapa..

Bagaimanapun, sebagaimana yang ditegaskan oleh Prof.Dr. Khoo Kay Kim, pendekatan yang digunakan oleh kerajaan untuk menangani masalah SAR ini akan (mungkin lebih tepat telah) mewujudkan satu kumpulan masyarakat yang tidak berpuas hati, dan apabila tidak puas hati kemarahan akan tercetus.

Apa yang dinyatakan oleh Prof.Dr.Khoo Kay Kim itu rasanya sudah dapat kita saksikan sekarang.

Golongan yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan ini (khasnya PAS) sudah pun melancarkan pungutan derma untuk mempertahankan kewujudan SAR, dan sebuah NGO (Teras) sudah merancang untuk menubuhkan barisan penentang penghapusan SAR yang dinamakan GEGAR.

Prof.Khoo Kay Kim membayangkan bahawa bahan kemarahan rakyat ini akan turut memberi kesan negatif dalam pilihan raya umum tahun 2004. Maksudnya barangkali undi yang diperolehi oleh kerajaan akan merosot berbanding dengan undi tahun 1999.

Jika benar demikian, mungkin ada juga bagusnya. Itu adalah pengajaran kepada pihak kerajaan yang telah bertindak terburu-buru, tidak bijaksana dan melakukan satu kesilapan yang besar.






______________________
Terbitan : 30 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com