SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Najib cadang nama Jamaludin untuk kepung Pak Lah?Oleh MOHD SAYUTI OMAR (Cabaran) Tidak siapa menduga Dr Mahathir Mohamad akan melantik ahli Parlimen Rompin Pahang, Dr Jamaludin Jarjis sebagai Menteri Kewangan II. Tetapi itulah hakikat yang berlaku, Jamaludin yang dinobatkan media massa sebagai ahli parlimen paling smart. Beliau mengangkat sumpah memegang jawatan dan melindungi rahsia pada 21 November. Perlantikan itu pada saat Dr Mahathir hendak berangkat ke Perancis. Disebabkan menjadi amalan Mahathir akan melakukan sesuatu yang ganjil sebelum berangkat ke luar negeri, maka perlantikan Jamaludin itu sedikit sebanyak dilihat ‘ganjil’. Dr Mahathir mengambil masa lebih tiga tahun mengisi tempat yang dikosongkan Mustapa Mohamed. Mustapa tidak dapat dilantik ke jawatan itu apabila kalah dalam pilihanraya umum 1999. Jawatan Menteri Kewangan II diwujudkan ketika mantan TPM, Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. Sesiapa pun tidak boleh mempertikaikan tindakan Mahathir itu. Kuasa melantik itu adalah prerogatif sebagai PM yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa termasuk TPM Abdullah Ahmad Badawi yang bakal menjadi PM selepas Oktober tahun hadapan. Alasan perlantikan Jamaludin itu tentulah bagi meringankan tugas-tugasnya (Mahathir) selaku Menteri Kewangan dan PM. Sewajarnya kalau Mahathir mencari pembantu, kerja-kerja kewangan dan ekonomi terlalu banyak untuk dibereskan oleh beliau apa lagi dalam usianya sudah senja serta dalam situasi ekonomi negara yang muram begini. Perlantikan ketua penyokong kerajaan itu sekaligus menamatkan desas-desus yang berpanjang sebelum ini mengenai siapa bakal dilantik menjadi Menteri Kewangan menggantikan Daim Zainuddin yang berhenti pada Jun 2001. Walaupun Dr Mahathir mengambil alih kementerian itu namun ia tetap menjadi tanda tanya kerana orang beranggapan Dr Mahathir hanya memangkunya sahaja. Beberapa nama yang disebut-sebut sebelum ini termasuk Rafidah Aziz, Muhyuddin Yassin dan Najib Razak. Malahan nama bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah juga dijaja macam kueh bangkit basi. Jika diukur secara akademik memang Razaleigh paling layak. Bagaimanapun paling hangat diperkatakan ialah bekas Penolong Gebenor Bank Negara Dr. Awang Adek. Perletakan jawatannya di Bank Negara menguatkan hujah beliau dilantik Menteri Kewangan, apa lagi beliau baru sahaja memenangi jawatan Timbalan Ketua Umno Bachok, Kelantan. Tidak tahu siapa yang menonjolkan nama Awang Adek. Tetapi kelayakan yang ada kepadanya menyebabkan orang ramai merasakan Dr Mahathir akan melatihnya Menteri Kewangan. Pemilihan Awang Adek juga dikira sesuai sebagai mengganti Mustapa serta membolehkan seorang tokoh Kelantan ada dalam kabinet. Setelah Mahathir membuat penegasan beliau tidak tahu menahu, barulah nama Awang Adek tercicir. Bukan sahaja Awang Adek, tetapi semua nama dan tokoh berkenaan tidak ada yang berkenan kepada Dr Mahathir. Apakah mereka tidak mempunyai kelayakan ataupun sebarang tahi lalat sebagai menandakan mereka mempunyai tuah dan bernasib baik menjadi Menteri Kewangan tidak pula diketahui. Mahathir nampaknya mengelak dari mengambil orang-orang yang disenaraikan umum. Jika dibanding dengan ahli Parlimen Rompin itu, ternyata kelima-lima nama yang disebut itu tidak kurang hebatnya. Malahan mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ekonomi dan kewangan, seperti Rafidah, Ku Li dan juga Awang Adek. Jika nama Jamaludin hendak disenaraikan dalam carta calon Menteri Kewangan, beliau berada di tempat paling bawah. Namun Mahathir tidak melihat hakikat itu, sebaliknya melihat kebolehan dan keistimewaan lain yang hanya beliau seorang maklum. Jamaludin sebenarnya bukan calon untuk duduk di Perbendahara. Beliau bukan seorang ahli ekonomi yang menonjol dan dikenali. Beliau lebih dilihat sebagai ahli perniagaan dalam bidang industeri tenaga. Sebelum dilantik Pengerusi Tenaga Nasional beliau adalah Pengarah Urusan EPE Power Corporation Bhd yang terbabit dalam industeri tenaga. Rekodnya dalam pengurusan kewangan dan ekonomi masih belum tebal. Jamaludin berkelulusan Kejuteraan Elektrik dari universiti luar negara. Kecetekan pengalaman beliau dan latar belakangnya yang samar dalam bidang kewangan atau perbankan menyebabkan orang tidak pernah membayangkan beliau dipilih Mahathir menjadi Menteri Kewangan II. Hakikat ini boleh dilihat apabila tidak ada tokoh-tokoh kewangan atau perbankan membuat ulasan mengenai perlantikan Jamaludin. Tokoh korporat juga semacam sepi atau tidak berbau langsung perlantikan Jamaludin itu dapat mengatasi masalah ekonomi negara. Tahun 1988 beliau menjadi Pengerusi Koperasi Belia Nasional (Kobena). Kecemerlangannya di Kobena boleh dipertikai. Apakah Kobena hari ini masih hidup atau sudah mati? Nasib Kobena menjadi seperti Shamelin syarikat milih pertubuhan belia MAYC yang diketuai Sanusi Junid. Kalaulah keyakinan dan minat Dr Mahathir kepada Jamaludin berpandukan kepada kejayaan di Kobena, kenapa Mahathtir tidak mengukur sama Sanusi Junid untuk dilantik Menteri Kewangan dengan mengambil kira prestasi dan daya maju Shamelin yang sama hebat dengan Kobena? Rasanya pengalaman Sanusi sebagai bekas pengurus sebuah bank komersial lebih anggun daripada Jamaludin. Apa lagi Sanusi sudah berpuluh tahun bergelumang dalam ekonomi negara! Persoalan dan hakikat itulah menyebabkan perlantikan Jamaludin dikira dibuat bukan berdasarkan kebolehannya dalam hal ehwal kewangan tetapi ia faktor lain. Tetapi disebabkan Mahathir selalu bertindak lain daripada pemikiran orang maka keputusan itu dilihat cocok. Apa lagi orang Umno khususnya tidak berani membantah atau melanggari prerogatif yang ada kepada Mahathir. Tidak pula bermakna tanpa kritikan di atas kehendak Mahathir, ia bermakna pilihan Mahathir itu tepat. Lihat kes Dr Khir Toyo Edikromo, tidak ada sesiapa yang meramalkan Exco Pemuda Umno itu akan dilantik Menteri Besar Selangor. Khir sendiri tidak menduganya, melainkan hanya isterinya Zaharah Kechik yang bermimpi suaminya bakal menjadi MB, itu pun diceritakan selepas Khir dilantik. Tapi apa kesudahannya? Orang boleh menerima Khir Toyo sebagai MB yang kini sudah hampir sama hebat dengan bekas MB Selangor Mat Taib. Demikianlah juga dengan keadaan dan nasib Jamaludin Jarjis. Walaupun ada suara sumbang dan kesal dengan perlantikan itu, mereka tidak boleh berbuat apa-apa dan terpaksa menerima pilihan Mahathir itu persis seorang ibu yang menentukan suami untuk anak perempuannya. Walaupun seribu kali tidak logik, tidak cocok dan tidak munasabah, orang terpaksa juga menerimanya. Ramai merasakan tidak munasabah Jamaludin terus dilantik Menteri Kewangan II tanpa terlebih dahulu diberi pengalaman setiausaha parlimen atau timbalan menteri seperti lazimnya. Justeru perlantikan itu seperti ada motif lain. Orang ramai cukup yakin, selain tindakan politik Mahathir yang ganjil itu, ia adalah satu strategi peribadinya. Lantaran itu apabila menilai asal rahim politik Jamaludin, orang menyuluh perlantikan itu sebagai hendak mengukuh politik seseorang. Mahathir ada agendanya sendiri. Ia bukan dibuat iseng-isengan ataupun Dr Mahathir kehabisan “Daim” (calon) untuk menerajui Kementerian Kewangan. Umum bercakap perlantikan itu untuk mengukuhkan kedudukan Najib sebagai pemimpin ulung masa depan. Semua orang tahu siapa Jamaludin kepada Najib. Bagaimana mereka membina rangkaian politik di Pahang dan mengembangkannya di peringkat nasional. Seorang ahli Umno Pahang pernah menyebut, kalau sesiapa mahu sesuatu dari Najib, sila berjumpa Jamaludin. Bukankah Jamaludin dari kumpulan yang lahir daripada rahim politik yang sama dengan Najib. Jamaludin adalah salah seorang Exco Pemuda di zaman Najib ketuanya. Sebagai seorang ahli politik, Jamaludin bercita-cita naik ke atas, dan setiap yang mahu naik perlukan tangga. Tangga Jamaludin ialah Najib. Apabila Dr Mahathir mengisytihar Najib orang paling layak menjadi TPM selepas Abdullah Badawi menjadi PM, tentulah ia mahu melihat kata-katanya menjadi realiti. Dan untuk PM harus mengukuhkan kedudukan Najib, yang antara lain menyediakan pelapis yang akan mendokong Najib. Sisa-sisa usianya sebagai PM 11 bulan lagi perlulah digunakan untuk memperkasakan kedudukan Najib. Dengan perlantikan Jamaludin, Mahathir ingin memberi gambaran kepada umum bahawa Najib ada ‘kudanya’ sendiri. Jamaludin seolah-olah menjadi kenderaan untuk Najib tunggangi selepas menjadi orang besar kelak. Tentunya perlantikan Jamaludin, orang senegeri dengan Najib itu, akan memberi semangat kepada Najib. Dan Najib sendiri pasti gembira dengan perlantikan itu. Apabila Najib menjadi PM nanti beliau tidak susah-susah untuk memilih bakal Menteri Kewangan, kerana Jamaludin sudah ada, iaitu orang yang dibawa naik dan ditunjuki sendiri oleh mahagurunya, Mahathir. Walaupun serentak perlantikan Jamaludin turut sama melibatkan Teuku Adnan Mansor dan Zainuddin Maidin, namun mereka tidak merupakan mauduk yang menarik untuk dibincangkan. Kehadiran dua orang itu, selaku menteri penuh dan timbalan menteri hanya sebagai mengiringi penabalan Jamaludin. Tugas Zam sebelum ini pun sudah melebihi tugas Setiausaha Parlimen Kementeri Penerangan. Manakala perlantikan Teuku Adnan lebih dilihat sebagai ‘sedekah’ di atas kesetiaan dan kerajinannya menjadi Setiausaha Kerja Umno. Orang yang setia menyorong dan menarik kerusi apabila saban kali Mahathir mempengerusikan mesyuarat MT. Bagaimana reaksi Abdullah Badawi dan Najib? Mereka berdua tidak membuat apa-apa komen mengenai perlantikan itu. Abdullah dalam nada apologetik menjelaskan bahawa perlantikan itu telah dibincang bersamanya dengan Dr Mahathir, namun butiran lanjut tidak dijelaskan. Tetapi kita percaya, sesiapa pun nama yang dikemukakan Mahathir, Abdullah bersetuju sahaja. Biar apa pun Najib orang paling gembira dengan perlantikan kembar siamnya di Pahang itu. Perlantikan itu mendekatkan lagi beliau di belakang Abdullah. Setidak-tidaknya Najib merasakan saingannya Mahyuddin Yassin berkeseorangan dalam perlumbaan untuk mengikuti Abdullah. Dan yang tidak mungkin terfikir, silap-silap Najiblah yang menghulurkan nama Jamaludin untuk dilantik Menteri Kewangan II kepada Dr Mahathir. Tidak mustahil sebagai seorang paling layak untuk menjadi TPM, Najib diberi tanggungjawab itu.
Diterbitkan oleh : |