Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PINTU PERBINCANGAN PERLU DIBUKA

Satu persidangan yang agak bersejarah dan besar juga ertinya telah diadakan di Bangkok pada 22-24 November baru-baru ini. Sebanyak 77 buah parti politik dari 29 buah negara Asia, dengan lebih 240 orang perwakilan telah bertemu. Menariknya, mereka datang dari parti-parti pemerintah dan juga pembangkang, yang berlainan haluan serta latar belakang. Sebenarnya, ini adalah lanjutan persidangan pertama yang telah diadakan di Manila dua tahun lalu.

Tujuan persidangan ini ialah menggalakkan pertemuan dan dialog di kalangan pemimpin-pemimpin politik untuk mengenal pasti masalah-masalah besar di Asia dan memikirkan cara-cara lebih baik untuk mengatasinya, demi menegakkan perdamaian serta kebebasan dan mempertingkat kebajikan serta martabat manusia. Ini memang cita-cita murni, tetapi tidak mudah dicapai. Namun begitu persidangan ini sangat berguna, kerana ia memberi platform kepada parti-parti yang sehaluan untuk merapatkan jaringan hubungan dan para pemimpin sealiran mengukuhkan saliturrahim.

Seperti biasa apa yang berlaku di luar lebih bermanfaat daripada yang berjalan dalam persidangan. Dalam persidangan, selepas perasmian oleh Perdana Menteri Thakin dari Thailand dan ucaptama oleh Hun Sen, PM Cambodia, setiap pemimpin parti diatur berucap seorang demi seorang. Walaupun dibataskan lima minit seorang saja, namun acara ini mengambil masa yang panjang kerana ramai terlibat. Yang baiknya, ada peluang untuk melihat dari dekat sambil mendengar pandangan menarik beberapa orang tokoh besar Asia dan dunia.

Oleh kerana persidangan disusun begitu rupa dan masa pun singkat, hanya satu bengkel perbincangan tentang ekonomi, politik dan sosial sempat diadakan, itupun selama tiga jam saja. Ternyata pertukaran fikiran dalam bengkel lebih memunafaatkan dripada hanya mendengar dengan pasif hampir 80 ucapan, yang banyak membicarakan tema hampir serupa. Tetapi, dalam perbualan di meja makan, di ruang legar dan dalam kamar pertemuan, lebih banyak yang berguna dapat dicapai.

Satu perkara baik yang cuba dibangkitkan dalam persidangan ini ialah semangat hormat-menghormati, kerjasama dan setiakawan di antara pelbagai parti serta pemimpin dari latar belakang serta haluan politik yang berlainan. Dari yang bercorak komunis kepada yang berasaskan Islam, dari yang berupa demokratik kepada yang bersifat ketenteraan hadir. Kebanyakan negara menghantar wakil di peringkat agak tinggi dari parti pemerintah dan pembangkang.

Semangat ini dilambangkan oleh peranan Thailand, yang menjadi tuan rumah. Walaupun parti Thai Rak Thai, selaku parti pemerintah, merupakan penyelenggara utama persidangan, parti-parti pembangkang lain, termasuk pembangkang, diundang serta dengan diberikan tugas penting juga. PM Thakin membuka majlis dan Ketua Pembangkang Chuan Lek Pai telah menutupnya.

Di Thailand, semangat ini bukan untuk ditunjukkan dalam majlis rasmi-ramian seperti ini saja, bahkan boleh dikatakan berlaku hampir sepanjang masa. Media terbuka luas kepada pembangkang. Bangunan awam boleh tidak dihadkan hanya kepada parti pemerintah. Semangat persidangan ini, yang diamalkan begitu baik oleh negara Thai itu sepatutnya boleh menjadi tauladan kepada banyak negara, terutama sekali Malaysia.

Di negara kita, semangat hormat-menghormati kurang sekali terdapat di antara parti pemerintah dengan parti pembangkang. Kerjasama hampir tidak wujud sama sekali. Para pemimpin BN selalu menyalahkan parti-parti pembangkang kerana kononnya selalu menunjukkan sikap permusuhan, mengeluarkan kata-kata kasar dan membuat fitnah terhadap parti utama dan pucuk pimpinan pemerintah BN.

Sebenarnya, salah satu sebab hal ini berlaku ialah kerana sesetangah pemimpin parti pembangkang merasakan mereka terlalu ditekan dan diburuk-burukkan dengan bermacam-macam rupa dan cara. Anggota-anggota parti pembangkang ramai yang ditahan di bawah ISA, dikenakan berbagai-bagai tuduhan yang tidak dibuktikan. Mahkamah dan polis diperalatkan pucuk pimpinan pemerintah sehingga hilang kewibawaan dan tidak dihormati orang ramai lagi.

Media yang dikuasai pemerintah berhari-hari bahkan berminggu-minggu mengulang tayang bermacam-macam tohmahan serta fitnah terhadap beberapa pemimpin pembangkang, tanpa meberikan peluang kepada mereka untuk menjawab. Kebebasan parti pembangkang untuk menerbitkan suara mereka lebih kerap sangat terbatas. Hak untuk mengadakan perhimpuan secara aman dan mengadakan ceramah umum dihadkan. Kekerasan digunakan untuk menyuraikannya. Sebaliknya, pihak pemerintah boleh buat apa mereka suka, bukan saja melalui parti bahkan lebih-lebih lagi dengan menggunakan segala jentera pemerintah.

Perdana Menteri Dr Mahathir selalu mengatakan bahawa tindakan marah di kalangan rakyat Palestin sehingga bertindak berani mati menentang regim Israel ialah kerana mereka diperlakukan secara tidak adil dan zalim. Semua orang akan menerima bahawa walaupun pemerintahan BN memperlihatkan unsur tidak adil dan zalim, ia tidaklah bertindak sampai seburuk regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Namun begitu beliau harus faham apa yang pemerintahan UMNO-BN lakukan mudah boleh menimbulkan rasa keciwa dan marah di kalangan anggota dan juga pemimpin parti-parti pembangkang.

Hampir dua tahun dulu Dr Mahathir telah menyeru supaya semua parti Melayu bekerjasama untuk menjalin perpaduan orang Melayu. Sungguhpun parti-parti dalam BA, menerima perpaduan itu penting, namun mereka berpendapat ia mesti melibatkan semua kaum agar tidak bersifat perkauman. Para pemimpin BA tidak mahu menyambut seruan itu, melainkan parti dan masyarakat bukan Melayu juga diundang serta. Akibatnya, mereka dituduh sebagai tidak patriotic dan tidak inginkan perpaduan.

Beberapa bulan lalu, tidak lama sebelum Ustaz Fadzil Noor meninggal dunia, satu majlis ucapan perdana telah diadakan mengenai isu Palestin, yang disertai bersama oleh Allahyarham dan Mahathir. Kedua-duanya berucap, akan tetapi malangnya Mahathir, selaku pemimpin parti dan pemerintah UMNO-BN telah menggunakan majlis itu untuk kepentingan politik sendiri. Tidak lama selapas majlis itu ramai pemimpin BN mengguna media sepenuh-penuh untuk menyerang dan memburukkan parti-parti dalam BA, terutama sekali PAS. Mahathir dan UMNO-BN yang beliau pimpin tidak menunjukkan keiklasan sama sekali untuk berbaik-baik dengan parti-parti pembangkang.

Beberapa bulan yang lalu Mahathir mempelawa melalaui satu sidang media supaya semua parti pembangkang menyertai BN, kerana mengikutnya negara sedang diancam serangan dari luar. Pelawaan itu dibuat selepas beliau memberi ucapan di sebuah majlis perhimpunan UMNO Pulau Pinang. Dalam sidang itu beliau menggesa keADILan supaya gulung tikar, kerana konon tidak mendapat sokongan rakyat lagi. Seruan ini dianggap sebagai lawak politik Mahathir saja dan tidak dianggap serius oleh sesiapa, apatah lagi parti-parti BA.

Sekiranya benar-benar serius mahu semua parti bersatu, mengapakah beliau harus membuat pengumuman terbuka sebelum merisik atau berbincang secara tertutup dulu dengan semua parti yang berkenaan? Sekiranya beliau sungguh-sungguh menganggap negara ini sedang menghadapi serangan musuh asing, mengapakah beliau tidak mengambil langkah menubuhkan sebuah Pemerintahan Perpaduan Nasional, yang boleh disertai oleh semua parti, pertubuhan dan tokoh berwibawa dalam negara ini?

Apabila semua pihak menyambut pelawaan Mahathir dengan dingin saja, segera beliau dan konco-koconya menuduh para pemimpin pembankang tidak patriotic, tidak mahu menyertai pemerintah menghapi musuh luar. Tetapi siapa yang dianggap musuh? Bukankah Malaysia mempunyai hubungan ekonomi dan ketenteraan yang baik dengan Amerika Syarikat dan Australia, sungguhpun sekali sekala pucuk pemimpin negara memalu gendang kosong menunjukkan kemarahan terhadap mereka?

Pada pandangan saya, benih semangat hormat-menghormati dan bekerjasama di antara parti pemerintah dengan pembangkang yang disemai di Bangkok itu baik juga ditaburkan di Malaysia. Langkah pertama menuju ke arah ini mesti diambil oleh pihak pemerintah. Merekalah yang menguasai segala cara dan alat yang boleh digunakan sebaik-baiknya bagi ketahanan negara, perpaduan masyarakat dan kebajikan rakyat. Bukalah pintu dialog yang luas di di antara semua parti politik dan kalangan semua golongan rakyat.

NOTA: Ulasan di bawah terbit di ruangan "Minda", dalam keluaran SUARA PRM yang sekarang dalam pasaran.






______________________
Terbitan : 24 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com