Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Umno hanya berani upah orang anjur demonstrasi - Haji Hadi

Oleh Hafiz Mohd Baqi

IPOH, 30 Disember (Hrkh)- Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS tidak pernah menjadi dalang kepada mana-mana demonstrasi sebaliknya parti itu sendiri yang mengadakan demonstrasi bersama para penyokongnya.

"Setiap demonstrasi yang disertai PAS kerana membantah sesuatu adalah anjuran PAS sendiri dan kita mengibarkan bendera-bendera kita, begitu juga dengan parti BA yang lain.

"Kita tidak seperti Umno yang hanya berani mengupah orang sahaja untuk berdemonstrasi tetapi mereka sendiri pengecut untuk berbuat demikian.", ujar beliau ketika berucap di majlis Diskusi Politik baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu mengulas perkara itu sebagai membidas tuduhan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad yang mendakwa PAS adalah dalang kepada banyak demonstrasi yang diadakan di negara ini.

Ustaz Hadi turut merujuk kenyataan Dr Mahathir itu ekoran demonstrasi membantah kenaikan gaji wakil rakyat Terengganu sebanyak 20 peratus yang disertai 60 orang petani dan nelayan di Wisma Darul Iman baru-baru ini didalangi Umno.

Menurut beliau, maklumat tersebut (didalangi Umno) adalah benar berdasarkan temuramah antara pegawai kerajaan dengan petani dan nelayan tersebut.

"Ada di antara mereka ketika disoal mengakui tidak tahu tujuan sebenar demonstrasi itu, tetapi datang kerana diupah sepuluh ringgit", katanya.

Dalam ucapan beliau selama dua jam itu, Haji Hadi turut mengulangi cabaran kepada pimpinan Umno agar mengumpul lebih ramai lagi rakyat yang tidak berpuas hati dengan isu gaji wakil rakyat itu dan boleh dibuat di Stadium Darul Iman.

"Kita tidak larang bahkan kita akan datang memberi penjelasan", ujar beliau lagi.






______________________
Terbitan : 30 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com