Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Batu Putih: Anak menanggung kesalahan ibubapa

Assalamu'alaikum.

Apabila mengenangkan isu Pulau Batu Putih, ambo terkenangkan suatu peristiwa sedih pada suatu hari di dalam sebuah mahkamah.

Dalam kes itu, seorang anak memohon kepada mahkamah untuk berkahwin secara wali hakim, dalam keadaan beliau masih ada bapa. Maka bertanyalah hakim mengapa perempuan itu mahu berkahwin berwalikan wali hakim dan bukan wali mujbir/bapa kandung. Tentunya suspen jawapannya.

Maka tersemburlah satu sejarah pahit 20 tahun lampau di antara seorang ibu dan bapa. Ibu perempuan tersebut mengaku di dalam mahkamah bahawa anaknya yang mahu berkahwin itu adalah anak luar nikah hasil perbuatannya dengan seorang lelaki yang dipanggil oleh anaknya sebagai bapa.

Sianak diam membisu, tetapi siibu pula yang menangis terisak-isak kerana...mengenangkan nasib sianak hasil dari perbuatan ibunya dalam masa beberapa minit pada 20 tahun yang lampau? Dan mungkinkah juga kerana mengenangkan si anak hanya diberitahu tentang kisah sedih dan memalukan ini hanya beberapa hari sebelum beliau mahu berkahwin? Dan.. mengenangkan sianak terpaksa pula hidup dalam keadaan beliau tidak tahu apa masyarakat sekeliling akan beranggapan mengapa beliau berkahwin secara wali hakim dalam keadaan 'bapa'nya masih hidup? Dan banyak 'dan' lagi yang membuatkan siibu menangis...

Kalaulah ada sebuah time-machine... segalanya boleh diperbaiki. Tetapi setakat ini belum ada lagi.

Kalau Singapura masih dalam Malaysia, atau kalau Singapura tidak diserahkan kepada satu kuasa asing begitu sahaja tanpa setitik darah yang mengalir ke bumi, tentu tidak akan timbul seribu satu macam pertikaian dengannya. Pulau Batu Putih hanyalah salah satu sahaja isu remeh yang timbul atau sengaja ditimbulkan. Walaupun ianya memang real, tetapi kemungkinan lain yang lebih real dan ngeri daripada itu akan muncul selepas ini yang kita tidak tahu.

Walaupun media sibuk dengan pertikaian pulau sekangkang kera itu, tetapi ambo lebih melihat kepada pulau Singapura itu sendiri yang sudah lama terlepas dari tangan kita orang Melayu. Apa yang kita hadapi sekarang ialah akibat yang terpaksa ditanggung oleh seorang anak hasil kerja buruk ibubapanya dahulu. Soalan: bagaimana kita mampu bercakap untuk mempertahankan sebuah pulau sekecil padang bola sedangkan sebuah pulau lain yang jauh lebih besar dan berkepentingan daripadanya pun kita boleh serahkan kepada 'mereka' begitu sahaja?

Agaknya kita tidak begitu sensitif mengenai terlepasnya pulau Singapura kepada tangan orang asing kerana pada satu ketika dahulu (dan mungkin sehingga sekarang juga) kita menganggap 'mereka' itu juga sebahagian daripada heritage kita? Bahawa mereka telah seratus tahun tinggal di situ dan berhak ke atas pulau itu? Setiap kali punca penyerahan pulau Singapura ini ditulis di dalam akhbar tempatan, ambo begitu detail sekali untuk mencari jawapannya MENGAPA IBUBAPA KITA DAHULU BOLEH MELEPASKANNYA BEGITU MUDAH KEPADA ORANG ASING! Tetapi hampa...kerana jawapan yang boleh dibaca ialah 'ia satu keperluan ketika itu untuk mengelakkan satu masalah yang lebih besar daripada berlaku' atau 'untuk menyatukan bangsa' or something to that effect. Rubbish belaka.

Pernahkah kita dengar sebuah negara dalam dunia yang berlaku sedemikian rupa, iaitu menyerahkan tanah mereka kepada orang pendatang tanpa mempertahankannya dengan harta, darah dan nyawa mereka? Red Indian yang tidak berpelajaran itu pun tahu bila mahu menyerahkan nyawa mereka. Mengapa apabila Pulau Batu Putih ini ingin diambil mereka (sekarang 'mereka' itu sudah menjadi musuh kita, dulu pada 1963 mereka itu 'kawan kita' agaknya) baru kita sibuk nak pertahankan, sedangkan dulu mengapa tidak sesibuk ini apabila pulau Singapura itu sendiri mahu diambilnya? Ataukah adakah ketika itu, bukan mereka yang mahu sangat mengambil Singapura tetapi kita sendiri yang dengan segala rela hati yang mahu menyerahkan kepada mereka? Apa pulangannya kepada peribadi tertentu, kalau ada?

Kalau kita enggan melihat isu ini secara lebih menyeluruh, secara flashback, kita akan menghadapi masalah lain yang lebih besar daripada ini.

Beberapa hari lalu, ambo bercerita dengan ipar ambo yang memang rakyat Singapura original. Ini kerana orang rumah ambo pun orang sana. Ipar ambo kebetulan sangat religious dan menghantar anak-anaknya ke sekolah agama di sana. Entah bagaimana, beliau boleh bertanya dalam perbualan itu mengenai sekolah-sekolah agama di Malaysia. Kemungkinan beliau mahu menghantar anak-anaknya ke sekolah agama berasrama di Malaysia. Katanya kerajaan Singapura kini sedang menindas sekolah agama dan bilangan pelajar yang mahu ke sekolah agama telah dihadkan kepada beberapa ratus orang sahaja di seluruh negara. Maka peluang hanya terbuka untuk yang excellent sahaja.

Walaupun umat Islam Malaysia sendiri menghadapi masalah yang sama, dan dengan timing yang sama juga dengan Singapura, seolah-olah ada perancangan dan konspirasi rapi secara serentak di antara dua buah negara ini, tetapi keadaan umat Islam Singapura termasuk ipar ambo ini sangatlah serius. Kita masih ada puluhan pilihan lain kalau sebuah sekolah ditutup, ada sekolah lain. Tetapi mereka hanya ada tiga empat pilihan sahaja. Dan kini tiada pilihan langsung.

Sikap anti-Islam Singapura sepatutnya sudah dijangka apabila ibubapa kita orang UMNO dahulu mahu menyerahkan Singapura kepada orang asing yang bukan Islam itu. Kita sepatutnya berputih tulang menuntut pulau itu daripada penjajah British sebagaimana negara Cina menuntut kembali pulau Hong Kong daripada penjajah yang sama. Tetapi Islam bukan menjadi isu bagi kita, dulu dan kini, kerana kita sememangnya mengambil Islam sambil lewa. UMNO memang tidak berdaya melakukannya. PAS juga mungkin tidak. Tetapi satu sudah terbukti dan yang lagi satu belum.

Banyak lagi peristiwa akan berlaku dalam beberapa ratus tahun selepas ini yang akan mengubah peta dunia, khususnya peperangan. Peperangan biasanya akan mengubah peta dunia. Peperangan kita dengan bangsa Siam selama beberapa ratus tahun telah mengakibatkan sehingga kini negara Melayu Patani berada dalam kekuasaan Siam. Apakah ibubapa bangsa Patani begitu complacent ketika itu?

Tetapi apa yang akan berlaku selepas ini adalah kerana kita sendiri yang mencorakkannya pada hari ini.

Kerajaan Singapura yang pro-Israel dan anti-Islam akan lemas sekiranya sebuah kerajaan yang pro-Islam berkuasa di Malaysia, dan Indonesia sekaligus. Kebencian Singapura terhadap everything Islamic akan terjawab ketika itu. Jikalau sebuah peperangan dengan USA terpaksa diwujudkan bagi merealisasikan cita-cita ini, so be it. Tetapi tentunya ini tidak akan berlaku in our lifetime. Tetapi kita yang meletakkan batu asasnya sekarang. Kita yang menabur benihnya sekarang. Anak kita yang akan memakan hasilnya nanti, atau kalau tidak, merekalah yang akan menelan racunnya kemudian.

Kita tidak perlu aktif dalam sesebuah parti politik, jikalau dengan usaha sendiri pun kita boleh membawa sesuatu perubahan, walaupun melalui gabungan keduanya sekali adalah lebih baik. Masa hidup kita begitu suntuk untuk semua itu, tetapi we have to find time for it. Sdr Zulkifli Nordin pernah menjawab pertanyaan ambo ketika bertanyakannya bagaimana beliau boleh mencari masa sehingga boleh menghasilkan 3 ijazah pertama dan 4 diploma di samping menjadi seorang practising lawyer. Jawabnya, memang tak ada masa tetapi we have to create it.

Mulakan dengan keluarga kita dahulu, INSYA ALLAHU TA'ALA.

Salam,

HC

.................
Petikan Daripada FGR




______________________
Terbitan : 30 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com