SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Pada Ramadhan terdapat satu malam lebih baik dari seribu bulanSaudara-saudara muslimin sidang Jumaat sekalian, Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan semua hadirin sekalian supaya bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Bersempena dengan kita berada di bulan yang mulia ini marilah kita mendengar dan mengambil pengajaran dariapda satu hadis yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w. dari satu Khutbah yang khusus bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan dari Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah Walbaihaqi Wabnihaban yang bermasud: "Dari Salman Al-Farisi r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami di akhir hari dari bulan Syaaban lalu baginda bersabda: Wahai manusia sesungguhnya hampir menjelang kepada kamu bulan yang sangat besar lagi diberkati, bulan yang ada di dalamnya satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan, iaitu bulan yang Allah menjadikan puasanya sebagai wajib dan berdiri beribadat di waktu malamnya sebagai sunat, iaitu bulan kesabaran dan sabar itu balasannya syurga, bulan bertimbang rasa, bulan ditambah rezeki orang-orang yang beriman padanya. Sesiapa yang menjamu saudaranya berbuka puasa padanya adalah baginya keampunan dari Allah dan keselamatan dari api neraka, dan adalah baginya pahala seperti orang yang berpuasa dengan dia (orang yang berpuasa) tidak mendapat kurang daripada pahalanya sedikit pun, lalu mereka itu bertanya: Wahai Rasulullah bukanlah semua di kalangan kami dapat menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa. Maka bersabda Rasulullah s.a.w.: "Diberi pahala ini kepada sesiapa yang menjamu saudaranya berbuka puasa walaupun dengan sebiji buah tamar ataupun seteguk air atau seteguk susu yang diminum." Ramadhan adaah bulan permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan di akhirnya keselamatan diri dari api neraka. Maka berbanyak-banyaklah kamu melakukan empat perkara pada bulan ini: dua perkara untuk kamu mendapat dengannya akan keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara yang kamu sangat berhajat kepadanya. Adapun dua perkara untuk kamu mendapat keredhaan Tuhan kamu dengan keduanya iaitu: Kamu mengaku dengan yakin bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan kamu beristighfar memohon ampun kepada-Nya. Dan adapu dua perkara di mana kamu sangat berhajat kepada keduanya iaitu kamu memohon kepada Allah syurga dan berlindung dengannya daripada api neraka. Sesiapa yang memberi minum orang-orang yang berpuasa, maka Allah memberi minum kepadanya daripada (air) kolamku dengan satu teguk yang tidak akan dahaga sehingga dia masuk ke dalam syurga." Sidang Jumaat sekalian! Apa yang dibacakan tadi adalah merupakan satu khutbah yang cukup lengkap daripada Rasulullah s.a.w. yang mengandungi di dalamnya kata-kata yang mengandungi hikmat yang sangat besar daripada bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan, di mana bulan kita dijemput menjadi tetamu Allah S.W.T. yang dihidangkan di dalamnya dengan berbagai-bagai ibadat, di antaranya ibadat yang diwajibkan iaitu sembahyang lima waktu, menunaikan zakat yang telah diwajibkan kepada kita, dan berpuasa di bulan Ramadhan. Kita hendaklah menunaikan puasa pada bulan Ramadhan tepat pada bulannya, di samping kita mengerjakan ibadat-ibadat sunat yang dihidangkan di bulan Ramadhan al-Mubarak seperti kita mengerjakan sembahyang tarawih pada waktu malamnya, kemudian sembahyang tahjud dan sembahyang witir, membanyakkan bertadarus al-Quran (yakni) mengaji al-Quran untuk membetulkan bacaannya dan mendengar bacaannya untuk mengambil pengajaran daripadanya. Maka rugilah orang-orang yang tidak mengambil kesempatan daripada bulan Ramadhan. Sesungguhnya kelebihan berpuasa di bulan Ramadhan tidak akan dapat diganti dengan ibadat puasa selama-lamanya kepada sesiapa yang meninggalkannya. Sebagaimana maksud sebuah hadis sahih yang bermaksud: "Barang siapa meninggalkan satu hari daripada puasa di bulan Ramadhan tidak dengan uzur atau sebab yang diizinkan oleh Allah S.W.T. walaupun dia mengqada’nya, dia tidak akan mendapat pahala kelebihan satu hari itu, walaupun dia berpuasa sepanjang hayatnya. Maka rugilah ia dengan serugi-ruginya." Maka hendaklah kita berpuasa di bulan Ramadhan dengan rukun dan syarat yang diajar kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. Kita mestilah berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah S.W.T. meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari naik fajar sehingga jatuh matahari. Kita hendaklah memelihara rukun, dan syaratnya bukan sahaja dalam perkara yang wajib memelihara diri daripada perkara yang membatalkan puasa tetapi juga dalam perkara adab dan akhlak walaupun tidak membatalkan puasa tetapi boleh membatalkan kelebihan dan pahala puasa seperti mengumpat, bercakap dengan percakapan yang lucah, dan melakukan perkara yang diharamkan oleh syara’. Sidang Jumaat sekalian! Kita hendaklah berpuasa mengikut ketetapan yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang diumumkan oleh Allah S.W.T. dari surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Maka sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan anak bulan (ramadhan) maka hendaklah ia berpuasa." Ini dihuraikan oleh hadis Rasulullah s.a.w. daripada hadis Riwayat Al-Tarmizi yang bermaksud: "Jangan kamu mendahulukan puasa Ramadhan sehari atau dua hari (sebelum tiba bulan Ramadhan) kecuali kepada orang di kalangan kamu yang menjadi adat kepada-Nya berpuasa, maka berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Sekiranya kamu tidak dapat melihat anak bulan (kerana cuaca gelap) maka genapkanlah (bulan Ramadhan itu) sebanyak tiga puluh hari kemudian berbukalah (berharirayalah)." Rasulullah s.a.w. melarang kita berpuasa pada hari Syak iaitu sehari atau dua hari sebelum Ramadhan kecuali kepada orang yang menjadi adat kepada-Nya berpuasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis ataupun dia mengqada’ puasa sunat kerana dia meninggalkan puasa sunat seperti puasa ‘Ayyamu al-Biidi’ ataupun dia mengqada’kan puasa yang diwajibkan kepadanya yang mesti diqada’, maka tidaklah menjadi kesalahan kepadanya. Oleh itu hendaklah kita menunaikan puasa sebagaimana cara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dan seterusnya marilah kita menerima jemputan Allah pada bulan Ramadhan ini dengan kita menjadi tetamunya supaya kita mendapat keredhaan, kelebihan dan kurnia yang besar dari Allah S.W.T. Firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk kepada sekalian manusia, dan menjadikan keterangan yang menjelaskan petunjuk, dam (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau musafir maka (bolehlah ia berbuka kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain."
Diterbitkan oleh : |