Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

The Sun, Zainal Epi, wanita muda dan rasuah Khir

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Selepas akhbar The Sun mengecilkan operasinya dan diedarkan secara percuma, saya jarang-jarang dapat menatapnya sehinggalah pada Khamis lalu, 28 November lalu, seorang teman wartawan menelefon bertanyakan apakah saya sudah menatap The Sun hari itu.

Saya kata, belum, dan mungkin saya tidak akan membacanya kerana jarang-jarang sekali saya melihatnya. Teman wartawan sebuah akhbar arus perdana ini minta saya mendapatkan juga The Sun hari itu. "Apa halnya?" gesa saya.

"Carilah dulu," jawabnya pendek, sambil menekankan pentingnya saya mencari juga The Sun hari itu.

"Ada hal si Toyol," katanya menutup perbualan kami.

Puas juga teman sekerja saja mencari seluruh KL The Sun pada petang itu. "Selagi tak dapat, hang jangan balik," saya seolah-olah menjadi kukubesi pula hari itu.

Sehingga waktu berbuka saya belum tahu apa sebenarnya yang terkandung dalam The Sun. Apa pun saya kira tentulah tiada lagi perkara-perkara panas yang boleh diungkit oleh mana-mana akhbar selepas berpuluh kes rasuah membabitkan Menteri Besar Selamgor itu saya adukan secara rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah.

Apatah lagi untuk mengharapkan akhbar The Sun membongkarnya. Begitupun saya masih ingat, antara akhbar arus perdana yang kerap membuat liputan bila saya berkunjung ke ibu pejabat BPR, sama ada di Putrajaya ataupun Kompleks PKNS Shah Alam adalah The Sun. Akhbar-akhbar lain hanya menghantar pemberita tetapi tiada apa-apa yang dilaporkan mereka.

Memang benar, dari satu segi isu rasuah dan amalan salahguna Khir Toyo seolah-olah tidak menjadi perkara yang perlu diperhatikan lagi. Ia sudah mencapai anti-klimaks.

Kawan-kawan saya sendiri sudah meluahkan rasa meluat mereka untuk membaca berita tentang rasuah Khir Toyo. "Memang dia perasuah hebat, tapi apa yang boleh kita buat dengan mendedahkannya di akhbar-akhbar nyamuk seperti Cabaran dan Memo. PM tak akan terusik untuk melakukan apa-apa, apatah lagi Pak Lah yang sentiasa mempertahankan Khir," kata salah seorang dari mereka. "Betul Lutfi, tak guna kau dedahkan kes-kes rasuah Khir lagi. Pemimpin atasan tak akan ambil peduli. Dedahkan mana-mana budak-budak perempuan yang muda belia usia mereka yang menjadi penama Khir-Karim Mansor, orang tak akan terkejut lagi. Lagi pun yang buat bising hanya akhbar-akhbar kecil, termasuk Harakah, akhbar-akhbar arus perdana langsung tak pernah mahu timbulkan lagi isu rasuah Khir ini," tambah seorang kawan, bekas wartawan, yang kini langsung tak minat untuk menulis lagi.

Berdepan dengan leteran kawan-kawan itu, saya hanya mampu berdiam diri, sambil mengharapkan agar isu rasuah Khir ini akhirnya akan ditanagi secara sewajarnya oleh BPR dan Jabatan Peguam Negara walaupun saya arif benar bahawa selagi Khir tiada masalah dengan PM, isu rasuahnya ini akan dipendamkan selama-lamanya.

Tapi bila malam itu saya menatap tulisan dalam The Sun, halaman 12, tulisan Zainal Epi, berjudul "Debate your way to be a consencus", saya menarik nafas lega. Akhirnya isu rasuah MB Selangor ini bersambut juga. Walaupun Zainal Epi hanya menimbulkan satu kes, daripada puluhan kes amalan korupsi Khir yang lain, saya kira ini satu permulaan yang baik. Zainal menimbulkan isu Khir mengendalikan mesyuarat mingguan Exconya, pada setiap Rabu, selepas saya membuat aduan kepada BPR. Oleh kerana Khir mensyakki bahawa ada beberapa anggota Exconya yang mendedahkan rahsia amalan curangnya mengagihkan kekayaan Selangor kepada kroninya, maka Khir mencari jalan untuk menghalang ia dari berterusan.

Maka Khir mendapat jalan pintas iaitu tidak lagi membenarkan sebarang kertas atau minit mesyuarat yang dibincangkan dalam mesyuarat Exco dibawa keluar, hatta untuk simpanan dalam fail Exco-exco tersebut. Lebih buruk lagi bilamana kertas-kertas penting mesyuarat yang selalunya diedarkan dua hari sebelum Rabu hanya diberikan kepada setiap anggota Exco bila mesyuarat bermula. Cuba kita bayangkan bagaimana Exco-Exco Kerajaan Selangor mahu mengadakan mesyuarat secara berkesan apabila mereka langsung tidak tahu menahu apa yang hendak dibincangkan.

Tambah memburukkan suasana sedia buruk itu bila segala minit mesyuarat dan kertas-kertas penting Exco yang berada dalam simpanan fail setiap Exco, sejak Khir menjadi MB iaitu pada minggu terakhir Ogos 2000, dikutip semula! Bayangkan, ya sekali lagi cuba anda bayangkan, bagaimana mesyuarat Exco sebuah kerajaan negeri seperti Selangor boleh berjalan dalam suasana seumpama itu.

Inikah akibat diri takut dengan bayang-bayang sendiri. Khir merasakan segala amalan salahguna kuasanya akan memerangkapnya bila-bila masa saja. Beliau tentu tahu bahawa sepanjang lebih dua tahun menjadi MB, tentu banyak tanah-tanah yang diagihkan kepada kroninya, menurut hawa nafsunya semata-mata. Khir arif benar bilamana beliau menaikkan kos sesuatu projek berkali ganda dan kemudiannya menyerahkan projek itu tanpa tender terbuka kepada syarikat yang dikehendakinya.

Saya mempunyai bukti yang cukup untuk bukan lagi "mensyakki" Khir terbabit dengan amalan terkutuk itu, tapi kini, dengan bukti-bukti itu saya "yakin" bahawa sememangnya Khir terbabit dengan amalan rasuah itu. Bagi saya Khir telah mengkhinati amanah dan aspirasi rakyat Selangor yang cukup muak dan jelak dengan sejarah hitam institusi menteri besar di Selangor.

Apa pun terima kasih Zainal Epi dan saya amat berharap dapat berjumpanya selepas raya nanti, bagi membincangkan kisah-kisah Khir yang terpendam selama ini.

Dan saya akan dedahkan mekanisme rasuah Khir itu secara terperinci selepas balik bercuti nanti, khususnya selepas saya dapat bertemu dengan seorang wanita muda yang sudah bersedia mendedahkan bagaimana namanya digunakan untuk "merompak secebis kekayaan Selangor" kepada saya baru-baru ini. Kali ini cerita rasuah Khir akan menjadi lebih real lagi. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir batin, moga Ramadhan yang ditinggalkan mampu menyuntik semangat baru menjalani hidup menurut tuntutan agama.






______________________
Terbitan : 3 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com