SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Belanjawan Terengganu 2003Ucapan Belanjawan Negeri Terengganu Tahun 2003 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Keempat Dewan Undangan Negeri Kesepuluh pada hari Ahad, 15 Disember 2002 Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya, saya sebagai Menteri Besar Terengganu sekali lagi dapat membentangkan kepada Dewan yang mulia ini, satu Enakmen yang bernama Enakmen Perbekalan (2003) 2002. Enakmen ini dibentang bagi mendapat pertimbangan Dewan yang mulia ini untuk menggunakan sejumlah wang dari Kumpulan Wang Disatukan bagi membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perkhidmatan dan Pembangunan pada tahun 2003. Kenyataan lengkap cadangan untuk Belanjawan 2003 ini adalah seperti yang terkandung dalam Buku Anggaran Hasil & Perbelanjaan bagi tahun 2003 (Kembaran Kertas Dewan Undangan Negeri Bil. 10/2002). Sebelum saya bentang dengan lebih lanjut cadangan Belanjawan ini dan sesuai dengan suasana Hari Raya bulan Syawal tahun 1423H, maka saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidil Fitri" kepada semua ahli-ahli Dewan dan hadirin-hadirat sekalian serta seluruh rakyat Negeri Terengganu amnya. Mudah-mudahan berkat Syawal tahun ini akan memberi makna yang lebih besar kepada Kerajaan Negeri Terengganu dengan harapan semoga kegelapan ekonomi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri dalam tahun kebelakangan ini akan mulai bercahaya pada tahun 2003 nanti. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT Tuhan pencipta alam supaya harapan kita menjadi suatu kenyataan. Saya sekali lagi sebagaimana pada 2 (dua) tahun yang lalu memasukkan semula sumber petroleum sebagai hasil kerana beranggapan bahawa aktiviti-aktiviti carigali dan pengeluaran hasil petroleum di dasar laut Negeri Terengganu masih lagi menjadi khazanah negeri. Ia adalah hak rakyat negeri Terengganu yang patut disalurkan melalui Kerajaan Negeri tetapi bukan badan-badan yang lain selain dari Kerajaan Negeri Terengganu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud:- "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, Hari Akhirat, segala Malaikat, segala Kitab-kitab dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, kepada orang-orang yang meminta-minta, dan untuk memerdekakan hamba sahaya; mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, juga pada masa bertempur dalam perjuangan perang sabil. (Orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertakwa". dan selanjutnya firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang mualaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, orang musafir (yang keputusan perbelanjaan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".(Surah at-Taubah: ayat 60) Dalam hadis Al-Syarif, Sabda Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah meletakkan kewajipan ke atas orang Islam yang kaya supaya memberi sumbangan daripada harta mereka alas kadar yang dapat memberi kelegaan kepada orang miskin daripada kalangan mereka (sesama orang Islam). Dan sesiapa yang sanggup membiarkan orang miskin terus menderita lapar dan bertelanjang tanpa pakaian dan tanpa bantuan makanan yang boleh menyebabkan mereka merasa kenyang seperti orang kaya merasa kenyang maka ingatlah bahawa sesungguhnya Allah akan menghitung mereka dengan hitungan yang sangat berat dan mengazab mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya! Kerajaan berpendapat daripada aktiviti carigali dan pengeluaran petroleum itu Kerajaan akan memperolehi hasilnya paling kurang sebanyak RM540 juta setahun. la merupakan pendapatan utama Kerajaan Negeri di samping hasil mahsul yang lain. Maka Belanjawan 2003, saya mencadangkan sejumlah wang sebanyak RM826.9 juta dari Kumpulan Wang Disatukan Negeri dapat dibelanjakan pada tahun 2003. Sebahagian besar jumlah wang yang dicadangkan itu adalah bertujuan untuk Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri yang dinamakan sebagai Perbelanjaan Bekalan. Di samping itu, Kerajaan juga bercadang untuk memperuntukkan sejumlah wang di bawah projek-projek Pembangunan demi untuk kesejahteraan dan keselesaan rakyat Negeri Terengganu ini. KEDUDUKAN EKONOMI NEGERI TAHUN SEMASA 2002 Kita semua telah sedia maklum bahawa senario ekonomi dunia masakini berada pada tahap yang perlahan dengan keadaan tidak menentu susulan peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara-negara Barat. Di samping itu, jangkaan apa yang akan berlaku di Asia Barat kelak telah juga menambah kepada suasana ketidaktentuan ini. Akibatnya permintaan kepada barangan dan perkhidmatan telah menurun di merata-merata tempat terutama di negara-negara maju. Keadaan ini telah memberi kesan kepada negara-negara yang banyak bergantung kepada perdagangan untuk mengembangkan ekonominya. Walaupun begitu, ekonomi negara telah mula beransur kukuh tetapi dalam keadaan yang perlahan. Prestasi ekonomi negara telah juga memapankan ekonomi negeri. Ekonomi negeri Terengganu telah berkembang dengan kadar yang perlahan tetapi stabil pada tahun ini. Rangsangan pertumbuhan ekonomi masih lagi bergantung kepada tiga sektor utama iaitu perlombongan, perkhidmatan dan perkilangan. Sektor pembinaan telah kembali berkembang dengan perlaksanaan berbagai-bagai projek terutama yang melibatkan prasarana. Trend begini dijangka akan terus berkekalan sehingga tahun 2003, Insya Allah. Sektor pertanian dijangka akan memapankan lagi pertumbuhan ekonomi negeri kerana kenaikan harga komoditi dan juga penumpuan khusus oleh Kerajaan Negeri kepada pengembangan sektor ini. Dengan rangsangan sektor-sektor yang mempunyai kelebihan perbandingan di Terengganu pada tahun semasa, pertumbuhan ekonomi dianggarkan pada kadar 2.9%. Angka ini meningkat sedikit daripada tahun lepas. Keadaan ini disebabkan oleh sektor perkhidmatan, sektor pembinaan, sektor pertanian dan sektor perkilangan yang telah menyumbang kembali kepada pengembangan ekonomi negeri. Walaupun angka ini tidak "menarik" tetapi ia adalah selaras dengan struktur ekonomi negeri yang berkembang dengan perlahan tetapi mapan. Pelaburan langsung ke Terengganu masih lagi diterima pada masakini. Hampir kesemuanya diperolehi daripada pelabur-pelabur tempatan. Pada tahun 2003, unjuran pertumbuhan ekonomi dianggarkan pada kadar 3.4%. Angka ini diunjurkan berdasarkan jangkaan perkembangan sektor perlombongan kerana kenaikan harga petroleum; sektor pertanian kerana kestabilan harga komoditi dan sektor pembinaan kerana pertambahan projek-projek prasarana di Terengganu. Trend pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu dijangka terus stabil dengan dimangkinkan oleh sektor-sektor ini. Lazimnya sumbangan kepada KDNK negeri Terengganu adalah daripada sektor perlombongan diikuti oleh sektor perkilangan, kemudiannya sektor perkhidmatan, sektor pertanian dan sektor pembinaan. Sektor perlombongan dijana oleh industri petroleum. Walaupun begitu, sumbangan yang diperolehi dari sektor ini lebih secara tidak langsung daripada secara langsung. Sumbangan langsung sektor perlombongan adalah daripada aktiviti-aktiviti perkuarian dan perlombongan yang melibatkan mineral emas, bijih besi, bijih timah dan ilmenit. Sektor perkilangan masih lagi berkembang di Terengganu terutama dalam industri petrokimia dan industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan sumber. Sektor IKS adalah sektor pilihan di Terengganu kerana para usahawan dan tenaga kerja tempatan banyak menceburi dalam sektor ini. Industri petrokimia lebih tertumpu kepada pengeluaran produk hiliran yang kebanyakannya beroperasi di Kertih dan Cukai. Untuk IKS pula industri-industri yang aktif ialah dalam bidang perabot, pemprosesan hasil-hasil pertanian dan perikanan. Sektor perkhidmatan diterajui oleh industri pelancongan dan industri perdagangan. Pada tahun 2002, dianggarkan industri pelancongan menyumbang RM536 juta kepada ekonomi negeri Terengganu. Sektor pertanian masih lagi bertahan dengan kenaikan harga komoditi utama negeri iaitu kelapa sawit. Selainnya hasil-hasil pertanian tempatan seperti limau madu, duku, jagung menyumbang kepada aktiviti-aktiviti ekonomi sektor ini. Sektor pembinaan kembali cergas kerana pembinaan projek-projek kemudahan awam seperti sekolah, hospital dan lain-lain lagi. Penstrukturan gunatenaga negeri daripada sektor pertanian kepada sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan berjalan dengan agak perlahan kerana prestasi ekonomi yang perlahan. Walaupun begitu, trend penawaran dan permintaan kerja kepada sektor-sektor yang lebih memerlukan kemahiran dan pengetahuan dijangka akan terus berjalan. Pada tahun semasa sebanyak 28.4% gunatenaga bekerja dalam sektor pertanian, manakala 18% pula dalam sektor perkilangan. Sektor perkhidmatan pula menyumbang 39.7% kepada pekerjaan di Terengganu pada masakini. Dari segi pengangguran pula, negeri Terengganu telah pun mencapai tahap gunatenaga penuh dengan kadarnya sebanyak 3.6% pada tahun ini dan dijangka menurun lagi pada tahun hadapan. Cabaran Kerajaan Negeri dari aspek gunatenaga masakini ialah dalam memastikan bidang-bidang latihan kemahiran dan kursus-kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan dan kehendak industri-industri di Terengganu, khususnya dan juga di Malaysia, amnya. Negeri kita adalah sebuah negeri yang bertuah kerana telah dianugerah Allah SWT berbagai-berbagai sumber asli. Antaranya sebagaimana telah disebutkan ialah petroleum, emas, ilmenit, timah, punca air, flora dan fauna dan lain-lain lagi. Untuk memastikan anugerah ini berkekalan dari satu generasi ke satu generasi, Kerajaan Negeri akan mengamalkan konsep pembangunan mapan atau lestari atau "sustainable development", dengan izin. Konsep ini akan diasaskan dengan elemen-elemen hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Selain daripada itu, halacara-halacara pembangunan yang melibatkan sumber asli akan diuruskan dengan mengambilkira manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat setempat. Justeru, setiap program dan projek akan memelihara sumber asli dan juga alam sekitar. KEDUDUKAN KEWANGAN NEGERI TAHUN SEMASA 2002 Aset cair Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun 2002 ini dijangkakan masih kukuh. Ia mungkin dapat bertahan untuk tahun 2003. Dasar jimat cermat yang dilaksanakan beberapa tahun yang lalu akan diteruskan. Dengan itu, jumlah aset cair yang ada ini dijangkakan mencukupi untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, baki aset bersih tahun semasa dijangkakan akan merosot dan akan berkurangan berbanding dengan tahun 2001. Sehingga akhir tahun ini, Kerajaan dijangkakan akan dapat memungut hasil hanya sebanyak RM250 juta. Pengurangan hasil yang ketara daripada jangkaan Belanjawan yang telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini pada tahun yang lalu ialah Kerajaan masih belum menerima royalti petroleum daripada Petroleum Nasional Bhd atau Petronas. Sudah hampir 21/2 tahun Kerajaan Persekutuan telah mengingkarkan perjanjian yang telah ditandatangani dahulu. Selain daripada hasil petroleum, hasil sumber-sumber hutan juga menghadapi masalah. Kejatuhan harga kayu balak dan bahan-bahan kayu yang diproses di pasaran antarabangsa menyebabkan hasil mahsul hutan ini tidak dapat dikeluarkan. Dewan yang mulia ini juga telah meluluskan dalam Belanjawan yang lalu jangkaan hasil perhutanan sebanyak RM188 juta. Tetapi ia dijangkakan dapat dipungut tidak melebihi RM50 juta, walau bagaimanapun, ia telah meningkat berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Ini disebabkan kerajaan telah menaikkan kadar bayaran untuk premium perhutanan. Bagi meningkatkan kekurangan hasil daripada dua sumber utama yang disebut di atas, Kerajaan dari masa ke semasa berusaha menambahkannya tanpa membebankan kepada rakyat seperti meningkatkan kadar bayaran untuk premium perhutanan yang telah disebutkan tadi. Pada tahun 2002 ini, jumlah peruntukan yang telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini adalah berjumlah RM940.4 juta yang sebahagiannya terdiri daripada berbelanja untuk tanggungan berjumlah RM138.8 juta, belanja mengurus berjumlah RM591 juta dan perbelanjaan pembangunan yang berjumlah RM210 juta. Daripada peruntukan tersebut, jumlah yang dapat dibelanja adalah dianggarkan sebanyak RM262 juta yang terdiri daripada perbelanjaan mengurus berjumlah RM247 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM15 juta. Manakala hasil yang dijangka diterima dan dapat dipungut sehingga akhir tahun 2002 ini adalah sebanyak RM250 juta. Jumlah ini adalah berkurangan berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Jumlah yang kecil ini adalah berkait rapat dengan Kerajaan Negeri yang mengamalkan langkah berjimat cermat berikutan pemberhentian royalti Petroleum oleh Kerajaan Persekutuan itu. Perbelanjaan untuk emolumen merupakan perbelanjaan terbesar dengan jangkaan sebanyak RM147 juta akan dibelanjakan untuk tahun semasa 2002 ini. Kerajaan Negeri prihatin masalah-masalah kakitangan awam, dengan itu telah bersetuju menerima pakai dasar yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan, misalnya Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dibuat baru-baru ini. Perbelanjaan kedua terbesar ialah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dengan dianggarkan jumlahnya sebanyak RM61 juta akan dibelanjakan. Sementara itu, perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan, Aset dan perbelanjaan-perbelanjaan lain, masing-masing dijangka dapat dibelanjakan hanya sebanyak RM36.4 juta, RM3 juta dan RM0.4 juta. Bayaran untuk membayar balik hutang Kerajaan Persekutuan tidak akan dibuat untuk tahun 2002 ini. Selagi hasil royalti petroluem tidak diperolehi, maka tidak ada harapan untuk Kerajaan Negeri bagi membayar balik hutang kepada Kerajaan Persekutuan yang telah dibelanjakan sebegitu banyak semasa pentadbiran Kerajaan lama. Saya perlu menegaskan bahawa hutang yang banyak ini adalah warisan yang Kerajaan Barisan Alternatif terima daripada Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno dulu. Dari segi pembangunan, Kerajaan Negeri dijangkakan hanya dapat berbelanjakan sebanyak RM15 juta sahaja. la tidak termasuk kerja-kerja penyelenggaraan terutama penyelenggaraan jalan-jalan raya yang di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang dibelanjakan di bawah Kumpulan Wang Amanah sebanyak RM20 juta. Kerajaan sedar, kekurangan perbelanjaan awam dalam sektor ini tidak akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri. Tetapi Alhamdulillah, Allah SWT Maha Kaya, Maha Adil dan Maha Pemurah. Walaupun kekurangan perbelanjaan pembangunan oleh Kerajaan Negeri, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta terus datang bertalu-talu ke negeri ini yang mereka perkatakan sebagai Projek Pembangunan Wang Ihsan. Sebenarnya wang itu adalah hak Kerajaan Negeri tetapi dikawal dan digunakan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Perbelanjaan swasta pula, terutama sektor pelancongan, perumahan, perladangan, perlombongan dan perusahaan terus giat berjalan seperti biasa. Pertumbuhan ekonomi negeri tetap kukuh. Contoh yang paling mudah ialah rakyat dalam negeri belum ada yang mati kelaparan dan tidak cukup makan dalam masa pentadbiran Barisan Alternatif pimpinan PAS ini, sekaligus menafikan tuduhan pembangkang yang PAS tidak pandai mengurus kewangan sebagai satu alasan semasa mula memberhentikan royalti dulu. Dalam Rancangan Malaysia Ke-8 ini, Kerajaan Negeri mempunyai target untuk berbelanja sebanyak RM2.04 billion untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang bermula pada tahun 2001 hingga 2005. Dengan tekanan kekangan ekonomi yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat sekarang saya begitu pesimis untuk mencapai matlamatnya. Dalam hal ini, Jabatan Audit Negara telah membuat teguran kenapa projek-projek pembangunan yang telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini pada tiap-tiap tahun tidak dilaksanakan sepenuhnya. Pada tahun 2002 ini, Dewan telah meluluskan sebanyak RM88.6 juta untuk melaksanakan projek-projek pembangunan. Daripada jumlah itu, dijangkakan hanya RM15 juta dapat dibelanjakan. Kepada jabatan yang berkenaan, perlu saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja akan melaksanakan semua senarai projek-projek pembangunan yang diluluskan itu, malahan kita akan menambah bilangannya untuk dilaksanakan jika Kerajaan Persekutuan memulangkan semula wang royalti petroleum hak Kerajaan Negeri itu. Selain daripada wang royalti, Kerajaan Persekutuan juga telah membekukan sebahagian daripada pinjaman yang patut dikeluarkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan projek pembangunan melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan. Pembinaan rumah awam kos rendah di sektor awam terpaksa ditangguh kerana pinjaman berkenaan tidak disalurkan lagi kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sedangkan negeri-negeri lain masih diteruskan. Begitu juga dengan pinjaman, untuk projek-projek bekalan air di mana Kerajaan Pusat mengenakan faedah 2% sedangkan negeri-negeri lain di bawah Barisan Nasional mendapat pinjaman tanpa faedah. Dalam pada itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang bersetuju memberi secara geran kepada beberapa projek Bekalan Air Luar Bandar. Peristiwa 11 September 2001, serangan bangunan berkembar di New York, USA dan 12 Oktober 2002 di Bali, Indonesia, masyarakat antarabangsa dan juga sebahagian daripada rakyat Malaysia menganggap, orang Islam adalah pengganas. Bagi saya, negara kita juga telah membuat istilah serangan negara Barat ke atas ekonomi negara-negara membangun yang membawa kepada rusuhan, pembunuhan dan kejatuhan kerajaan juga dianggap sebagai pengganas. Dengan itu, saya ingin menambah di sini bahawa tindak-tanduk Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana yang saya sebutkan itu boleh dianggap sebagai pengganas; iaitu pengganas dalam negara sendiri. Kita tidak perlu melihat dan menyiasat pengganas di negara orang, tetapi lihat dan siasat dahulu pengganas dalam negara kita sendiri. STRATEGI BELANJAWAN 2003 Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa dan selaras dengan Manifesto Barisan Alternatif pimpinan PAS, strategi Belanjawan 2003 adalah untuk melaksanakan kerja-kerja yang boleh membawa kepada kebaikan ummah dan menolak segala apa yang memudaratkan. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-Haj, ayat 41 yang bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan". Prinsip Belanjawan Negeri 2003 masih terus memberi penekanan kepada dasar-dasar penjimatan dan perbelanjaan berhemah yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri. Jabatan-jabatan dan Agensi-agensi Negeri perlu memberi perhatian kepada perbelanjaan dengan lebih teliti supaya ianya menjurus kepada perbelanjaan dengan lebih teliti supaya ianya menjurus kepada peningkatan hasil dan menyokong kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Pegawai-pegawai Perkhidmatan Negeri diminta merancang dan merangka tindakan pengurusan secara strategik dan berkesan untuk mempastikan sumber kewangan digunakan dengan cara yang paling optimum bagi mencapai objektif jabatan dan agensi yang ditetapkan. Ini menepati firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan, ayat 67, yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu". Keutamaan adalah diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan hasil bagi memperkukuhkan kedudukan tabungan yang akan menjurus kepada kestabilan aliran tunai Kerajaan Negeri. Perhatian secara teliti hendaklah diberikan terhadap urusan perbelanjaan mengurus dan perolehan kerajaan serta pelaksanaan program pembangunan supaya ianya menyumbang kepada pertumbuhan dan peningkatan produktiviti serta KDNK. Perbelanjaan yang dicadangkan adalah menjurus kepada pembangunan Negeri yang bertemakan "Membangun Menurut Islam" dengan matlamat dan visi untuk menuju ke tahap pembangunan "Al-Falah". Setiap program yang dirangka bukan sahaja menyediakan pembangunan fizikal tetapi mencakupi juga usaha pembentukan masyarakat yang bertakwa, berdisiplin, berakhlak, berhemah tinggi serta berpegang teguh kepada konsep "Amar Ma'aruf Nahi Munkar". Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada dasar kewangan dan perbelanjaan yang ketat bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak perlu serta berlakunya pembaziran. Langkah berjimat cermat dimulakan di peringkat perancangan dan di mana boleh perbelanjaan mengurus dikurangkan kepada tahap yang sebenar dan optimum tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan. CADANGAN BELANJAWAN 2003 Dalam ucapan awal saya tadi saya telah menyebut bahawa Kerajaan Negeri tetap mengambilkira royalti Petroleum sebagai hak dan hasil Kerajaan Negeri untuk Belanjawan 2003 ini. Dengan itu, hasil Kerajaan Negeri pada tahun 2003 dijangka dapat dipungut sebanyak RM816.7 juta. Kerajaan tetap akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebagaimana yang telah dijanjikan. Dengan mengutamakan perbelanjaan yang berhemah, maka saya mencadangkan kepada Dewan yang mulia ini jumlah perbelanjaan mengurus untuk tahun 2003 diperuntukkan sebanyak RM826.8 juta. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM192 juta disediakan untuk perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan juga peruntukan untuk bayaran balik pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan. Saya juga mencadangkan sejumlah RM634.9 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan Bekalan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM145 juta akan dicarumkan untuk Kumpulan Wang Pembangunan Negeri. Pada keseluruhannya, cadangan ini lebih rendah sebanyak RM113.6 juta atau 13.7% jika dibandingkan belanjawan yang diluluskan untuk tahun 2002 ini. Begitupun cadangan Belanjawan ini Kerajaan akan mengalami defisit sebanyak RM10.1 juta atau 1.2% kekurangan berbanding dengan jangkaan hasil. Segala usaha akan digembleng untuk mengatasi masalah defisit ini, tetapi sudah pasti ia tidak akan membebankan rakyat. Penghapusan cukai-cukai seperti cukai bakul, cukai pintu, tol Jambatan Sultan Mahmud dan sebagainya yang telah diberikan sejak Barisan Alternatif yang dipimpin oleh PAS akan diteruskan. Kerajaan tidak akan berundur, malahan itulah pengorbanan kami yang dibuat secara ikhlas, suci hati dan telus, tidak perlu menjelajah ke kampung untuk melaungkan wang ihsan. Daripada jumlah cadangan untuk perbelanjaan mengurus yang saya sebutkan tadi, sebahagian daripadanya iaitu sebanyak RM175.1 juta atau 27.6% daripada jumlah perbelanjaan Bekalan, saya cadangkan untuk belanja emolumen kakitangan awam. Manakala peruntukan untuk Perkhidmatan dan Bekalan pula disediakan sebanyak RM67.2 juta dalam memenuhi keperluan jabatan-jabatan membiayai perbelanjaan pelbagai aktiviti, penyelenggaraan dan perkhidmatan. Komponen terbesar dalam peruntukan belanja mengurus cadangan Belanjawan 2003 ini adalah aktiviti Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Saya mencadangkan untuk tujuan ini adalah sebanyak RM378.1 juta, penurunan sebanyak 67.1% daripada peruntukan tahun semasa, manakala bagi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, sebagaimana yang telah saya cadangkan terdahulu jumlahnya adalah sebanyak RM145 juta. Sementara itu, caruman untuk Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air disediakan sebanyak RM15 juta. Caruman untuk Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri adalah sebanyak RM60 juta. Caruman kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri ini menunjukkan kerajaan prihatin kepada generasi yang akan datang hasil daripada Royalti Petroleum yang diperolehi pada masa ini meskipun ianya dilenyapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Sukacita saya maklumkan bahawa Negeri Terengganu pada masa ini mempunyai kakitangan awam seramai 11,337 orang. Mereka bertugas di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri. Daripada jumlah itu, sebahagian daripadanya iaitu seramai 3,305 orang bertugas di badan-badan berkanun negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan yang kurang kewangan untuk berdikari, Kerajaan tetap untuk membentu mereka, paling kurang membantu membiayai perbelanjaan mengurus mereka. Sehubungan dengan itu, saya cadangkan peruntukan sebanyak RM105 juta disediakan untuk mereka Dalam Belanjawan 2003 ini saya mencadangkan dua tanggungjawab baru perlu diambilalih sepenuhnya oleh pihak Kerajaan. Tanggungjawab itu ialah: (a) membiayai sepenuhnya perbelanjaan untuk Sekolah Rendah Agama Bersepadu Negeri Terengganu; dan (b) membiayai dan menguruskan sepenuhnya perbelanjaan untuk anak-anak yatim yang ditempatkan di Asrama Anak-Anak Yatim di Pulau Kerengga, Marang yang selama ini diuruskan oleh badan Perkaya. Sejak sekian lama Kerajaan Negeri telah membiayai sepenuhnya pengurusan dan pembangunan untuk Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri dan Maahad Tahfiz AI-Quran. Dalam Belanjawan 2003 ini, saya mencadangkan sejumlah RM50 juta diperuntukkan untuk membiayai belanja mengurus dan pembangunan Sekolah-sekolah Agama dan Maahad Tahfiz itu. Selain daripada itu, sebagai permulaan dicadangkan juga peruntukan sebanyak RM1.7 juta untuk membiayai belanja mengurus bagi Sekolah-sekolah Rendah Agama Bersepadu yang baru diwujudkan di Terengganu ini. Sukacita saya maklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan Negeri sejak 2 tahun yang lalu telah menubuhkan Sekolah Rendah Agama Bersepadu. Sebagai perintis, setiap daerah mempunyai beberapa kelas yang muridnya menumpang belajar di bangunan Sekolah-sekolah Menengah Agama yang sedia ada. Pada tahun 2003, murid-murid akan belajar dalam tahun 1, 2 dan 3 dan ia akan berkembang pada tahun berikutnya sehinggalah ke tahun 6. Tujuan sekolah ini ialah untuk mendidik anak-anak di peringkat umur yang masih muda tentang Islam dan dapat menguasai bahasa Arab dengan lebih baik. Mudah-mudahan generasi yang akan datang dapat maju dan membangunkan Negeri Terengganu Darul Iman ini dan negara amnya mengikut secara Islam yang sebenarnya. Saya suka memaklumkan iaitu mulai 1 Disember yang lalu, kerajaan telah mengambilalih tanggungjawab menjaga dan menguruskan hal ehwal anak-anak yatim yang tinggal di Asrama Anak-Anak Yatim Pulau Kerengga, Marang. Telah sekian lama asrama dan bangunan-bangunan di dalam kawasannya milik Kerajaan Negeri itu diuruskan oleh sebuah badan sukarela yang dinamakan Perkaya. Kerajaan kita sekarang bertanggungjawab terhadap anak-anak yatim itu dan secara senang hati akan menjaga mereka, memberi pendidikan yang sempurna dan membesarkan mereka menurut tatasusila, budaya dan peradaban Islam. Insya Allah anak-anak yang perlu dan dahagakan kasih sayang setelah peninggalan ibu atau bapa atau kedua-duanya itu akan mendapat bimbingan yang lebih sempurna untuk dunia dan akhirat. Bagi tujuan itu, saya mencadangkan sejumlah wang RM3 juta diperuntukkan kepada mereka melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri. Cadangan ini adalah merupakan tambahan kepada peruntukan yang telah sedia ada di Jabatan Kebajikan Masyarakat itu yang sekarang ini sedang digunakan perbelanjaannya untuk penghuni di asrama berkenaan. Dengan itu, di manakah ketulusan badan sukarela itu yang memperakukan bahawa selama ini perbelanjaan untuk anak-anak yatim itu disumbangkan sepenuhnya oleh pihak Perkaya? Atau mengeksploitasikan anak-anak yatim untuk kepentingan Perkaya sendiri, wallahua'lam! BELANJAWAN 2003 MENGIKUT SEKTOR EKONOMI Perindustrian Sektor perindustrian masih lagi menjadi sektor utama yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan ekonomi Negeri Terengganu. Sektor ini memberi sumbangan yang tinggi kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Terengganu secara langsung dan tidak langsung. Dalam kata-kata yang mudah sektor perindustrian ini sebagai sektor penjana kepada pertumbuhan ekonomi Negeri. Menyedari kepentingan itu, maka Kerajaan Negeri telah siap menyediakan Pelan Induk Perindustrian Negeri Terengganu (2001-2010) yang menjadi rujukan untuk membangunkan industri di Negeri Terengganu ini. Walaupun dalam keadaan kewangan negeri yang suram, Kerajaan sentiasa berusaha untuk menarik pelabur-pelabur asing untuk bersama-sama dengan pelabur dan pengusaha tempatan membuat pelaburan mereka di Terengganu. Kawasan perindustrian masih lagi luas untuk mereka dirikan kilang. Kerajaan telah menyediakan prasarana yang telah mencukupi, berbagai-bagai insentif yang menarik telah ditawarkan kepada mereka. Faktor utama yang lebih menarik ialah Negeri Terengganu berdekatan dengan sumber-sumber asli yang penting iaitu petroleum dan gas yang tidak terdapat di negeri-negeri lain. Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sentiasa bersedia membuat tawaran kawasan-kawasan industri yang telah dibangunkan dan berdekatan dengan sumber-sumber asli tersebut. Usaha-usaha promosi dan galakan pelaburan tetap akan dijalankan sama ada di dalam atau di luar negeri. Misi perdagangan sarna ada Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsanya atau Kerajaan Negeri secara bersendirian akan diadakan lagi untuk tahun 2003 ini. Kejayaan misi dagang kita baru-baru ini ke negara China, Amerika Syarikat dan Kanada dan Singapura membuktikan kejayaan besar yang telah dicapai. Misi dagang ke negara China adalah bertujuan untuk mempromosi produk-produk keluaran usahawan-usahawan Negeri Terengganu dan juga merisik peluang-peluang pelabur China datang ke Terengganu di samping mengintai peluang pelaburan di Negeri China untuk usahawan tempatan. Sasaran utama ialah untuk membuka ruang kepada usahawan-usahawan tempatan dan usahawan-usahawan China untuk melibatkan diri dalam perdagangan dan perindustrian dua hala. Misi dagang ke Amerika, Kanada dan Singapura, Kerajaan Negeri melalui pegawai-pegawai kanan telah turut serta dalam rombongan MITI ke negara-negara tersebut. TTH Exim sebuah syarikat swasta tempatan bersama-sama dengan UPEN telah dan akan memainkan peranan yang besar dalam merealisasikan misi dagang ini. Beberapa misi dagangan yang telah dibuat, kos yang ditanggung oleh Kerajaan adalah minima berbanding dengan misi dagang yang dibuat sebelum Barisan Alternatif mengambilalih pemerintahan Negeri Terengganu. Oleh itu, dalam belanjawan 2003 saya tidak mencadangkan jumlah yang tinggi untuk tujuan yang disebutkan di atas. la memadai dengan jumlah RM200,000 sahaja. Pelancongan Pada masa ini sektor pelancongan juga adalah penyumbang utama kepada KDNK Negeri. Sektor pelancongan yang terdiri daripada gabungan pelbagai perkhidmatan dan produk, telah memberi beberapa kesan positif kepada rakyat dan Kerajaan Negeri daripada segi sosial-ekonomi-budaya, iaitu antaranya: i) menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelbagai sektor perniagaan, perusahaan dan perkhidmatan melalui kesan penggandanya. ii) menjadi penggerak kepada keutuhan perhubungan antara rakyat dengan Kerajaan. iii) menjadi wahana pengekalan warisan budaya Melayu- Islam dan keindahan serta kebersihan alam sekitar. Dengan berpendirian bahawa pelancongan merupakan punca rezeki yang dapat mempertingkatkan keimanan terhadap Allah SWT dengan berdasarkan Al-Quran, antara lainnya Surah al-Mulk, ayat 15 yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi itu mudah digunakan bagi kamu, maka berjalanlah di setiap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan Allah. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan". Jumlah pelancong sama ada pelancong tempatan atau luar negeri telah bertambah dari masa ke masa. la terbukti dengan tempahan bilik-bilik hotel sentiasa penuh terutama pada musim-musim tertentu dan cuti perayaan, tambahan jumlah penerbangan dari Kuala Lumpur-Kuala Terengganu dan sebaliknya. Baru-baru ini Syarikat Penerbangan Air Asia memilih Kuala Terengganu sebagai destinasi barunya. Matlamat pemasarannya ialah untuk pelancong datang ke Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri juga telah mengenalpasti kesan-kesan yang negatif yang timbul daripada pembangunan pelancongan, seperti antara lainnya i) menyuburkan dan menggalakkan berlakunya perkara-perkara maksiat dan hedonisme (berpoya-poya), mengikis nilai-nilai keagamaan, kebudayaan dan keperibadian masyarakat tempatan. ii) menyumbang kepada kerosakan alam sekitar dan ketidakseimbangan ekosistem. Menyedari hakikat itu dan pentingnya sektor pelancongan Kerajaan telah menggubal dasar dan pelan tindakan pelancongan negeri yang baru. Saya telah melancarkannya pada 11 Oktober 2002 yang lalu iaitu sehari sebelum tragedi bom di Bali, Indonesia. Insya Allah, dasar yang baru ini dapat menghindarkan perkara-perkara yang negatif yang telah saya sebutkan tadi. la juga bertujuan memberi garis panduan, halatuju, strategi, perlaksanaan dan penguatkuasaan dalam sektor pelancongan negeri yang kita cintai ini. Dasar pelancongan ini bertemakan 'Negeri Pelancongan Berasaskan Islam'. Selaras dengan kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan Tema "Membangun Menurut Islam" dengan menjadikan Islam sebagai ad-din, Dasar Pelancongan Negeri Terengganu ini mendokong cita-cita untuk membentuk dan membangunkan sosio-ekonomi melalui sektor pelancongan sebagai suatu ibadat berasaskan prinsip "Amar Ma'aruf Nahi Munkar" sebagaimana dianjurkan oleh al-Quran, al-Hadis dan ijmak ulama ke arah: i) melahirkan masyarakat mujtama' yang makmur, aman tenteram, bahagia, bebas dan berdikari melalui industri pelancongan secara adil dan seimbang. ii) melibatkan semua pihak untuk merancang dan melaksanakan semua program pembangunan produk, kemudahan, perniagaan, keusahawanan, perkhidmatan dan promosi pelancongan berintipatikan dakwah, pendidikan dan pembangunan insan. iii) mempertingkatkan keimanan dan pengetahuan, ukhuwah, muhibah, merenungi dan bertafakur, bersyukur, mengambil iktibar dan mengagungkan kebesaran Allah SWT di muka bumi melalui pelancongan. iv) mewujudkan pelbagai bentuk perjalanan (siyahah) dan pengembaraan (sarar) seperti musafir, rehlah, safar, ziarah dan riadah dalam suasana aman, selesa dan selamat. v) membersih dan menghapuskan sebarang unsur negatif, kemungkaran, maksiat, syubhat dan yang melekakan dalam industri pelancongan vi) melindungi dan memulihara ekosistem dengan dikekalkan keasliannya berlandaskan konsep "Manusia adalah khalifah Allah S.W.T. yang diamanahkan menjaga alam ini" sebagai daya tarikan dalam sektor pelancongan vii) menjadikan Negeri Terengganu sebagai model destinasi pelancongan Islam yang unggul yang dapat diterima oleh semua penganut agama, bangsa, negara. Kerajaan Negeri telah, sedang dan akan sentiasa memastikan promosi dan pembangunan pelancongan diteruskan dari masa ke semasa bagi meneruskan lagi kecemerlangan sumbangan ekonomi kepada Negeri ini. Selama ini Kerajaan Negeri memberi kerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Pelancongan Malaysia. Strategi kita dalam sektor ini sama seperti sektor perindustrian, promosi lebih menguntungkan jika dilaksanakan bersama-sama dengan kementerian yang berkenaan. Rombongan pelancongan ke luar negara sering diikuti oleh pegawai-pegawai kanan negeri bersama- sarna dengan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia. Itulah menunjukkan kerjasama penuh diberikan oleh Negeri kepada pihak Persekutuan. Sebulan dua kebelakangan ini, pihak Kerajaan Negeri merasakan sedikit terkilan kerana pihak Kementerian Pelancongan telah tidak menepati perjanjian yang telah ditandatangani bersama mengenai dengan penubuhan Majlis Pelancongan Negeri. Dahulu dipersetujui dalam meterai perjanjian itu, pengerusi, pengarah dan beberapa pegawai dan kakitangan menduduki majlis itu hendaklah dicalonkan oleh pihak Kerajaan Negeri. Apabila majlis ditubuh, pencalonan dari negeri tidak diambil kira seperti yang telah dijanjikan itu. Dengan itu, suara Kerajaan dan suara rakyat Negeri Terengganu tidak boleh disampaikan kepada Kerajaan Pusat. Apa yang dibimbangkan ialah kemungkinan perlaksanaan Majlis Pelancongan itu akan bertentangan dengan dasar pelancongan yang baru dilancarkan itu. Pertanian Sektor pertanian dan pembangunan luar bandar masih lagi merupakan sektor yang penting dan diberi tumpuan oleh Kerajaan kerana ia memberi sumbangan kepada pengeluaran makanan. Sektor ini terlibat secara langsung dengan petani, penternak dan nelayan yang ramai dan purata mereka adalah miskin. Oleh yang demikian, Kerajaan tetap memberi fokus yang lebih kepada mereka. Kerajaan akan berusaha meningkat daya penegluaran industri mereka di samping membangunkan daya minda mereka melalui konsep 'community farming', dengan izin. Dengan itu, Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan seberapa ramai usahawan tani di Negeri Terengganu ini. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan telah merangka dan melancarkan Pelan Induk Pertanian Negeri untuk tempoh sepuluh tahun iaitu 2001-2010. Dalam pelan tersebut, Kerajaan telah merangka supaya petani, penternak dan nelayan tradisi akan bersama-sama usahawan tani atau syarikat-syarikat swasta yang menceburi dalam bidang masing-masing. Secara umum dalam sektor pertanian, kerajaan akan menumpukan kepada sasaran berikut: i) mewujudkan ruang-ruang pemasaran yang lebih luas seperti pasar borong dan pusat-pusat pengumpulan. ii) meningkatkan pengeluaran hasil dengan penggunaan input, pengetahuan dan teknologi terkini. iii) memperhebatkan pertanian secara komersial dengan menggalakkan penglibatan swasta. iv) menggerakkan sepenuhnya tenaga dan sumber yang ada ke arah meningkatkan pengeluaran secara berkesan. Bagi mencapai matlamat-matlamat yang dirancangkan di atas melalui pelan induknya sehingga 2010, maka saya mencadangkan sejumlah wang sebanyak RM65 juta diperuntukkan untuk sektor ini. Peruntukan yang diagihkan melalui Jabatan-jabatan Negeri dalam sektor seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Parit dan Saliran dan Jabatan Haiwan yang meliputi perbelanjaan-perbelanjaan untuk pengurusan dan pembangunan. Perumahan Dalam bidang perumahan Kerajaan Negeri telah menetapkan matlamat pelaksanaan perumahan bagi mempastikan supaya setiap keluarga mempunyai tempat tinggal sendiri dan menyelesaikan masalah pemastautin tanpa hak (setinggan). Di samping itu, Kerajaan Negeri juga merancang untuk menyusun semula perkampungan sedia ada dalam konsep pembangunan tersusun dan mesra alam yang lengkap dengan kemudahan asas (infrastruktur) bagi meningkatkan kualiti hidup dan kejiranan yang harmonis. Selain daripada memperbanyakkan pembinaan projek perumahan bagi memenuhi keperluan rakyat yang berpendapatan rendah Kerajaan Negeri juga merancang membina pekan-pekan kecil dan bandar-bandar baru supaya penempatan penduduk akan berada dalam keadaan tersusun dan terancang. Di samping pembinaan rumah, kerajaan juga akan melaksanakan projek pembangunan perumahan rakyat melalui konsep pemberian lot-lot perumahan kepada rakyat berkeluarga yang belum mempunyai rumah dengan menyediakan pelan-pelan pilihan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan Negeri telah mengamalkan dasar, strategi dan program pembangunan perumahan sepertimana berikut: i) mengadakan kuota/syarat pembinaan sebanyak 30% rumah mampumilik bagi projek penswastaan atau 25% bagi tanah milikan melebihi 3 hektar yang dibangunkan dengan projek perumahan. ii) mengenakan harga jualan maksima mampumilik sebanyak RM30,000.00 seunit. iii) membantu dan memperbanyakkan Program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kerajaan untuk golongan yang berpendapatan rendah. iv) memberi galakan dan sokongan kepada badan berkanun seperti PMINT dan UDA di dalam pelaksanaan projek- projek perumahan. v) membangunkan sektor perumahan secara penswastaan. vi) mengenalpasti dan menyediakan tanah-tanah untuk tapak perumahan. vii) menubuhkan Konsortium Perumahan Negeri. viii) menubuhkan 'one-stop agency' bagi pelaksanaan projek-projek perumahan. Pembangunan Prasarana Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan pelbagai kemudahan asas bagi keselesaan rakyat selaras dengan perkembangan pembangunan yang semakin meningkat. Justeru, pendekatan dan strategi yang dilaksanakan secara berperingkat akan mencerminkan kesungguhan Kerajaan bagi memastikan setiap projek yang dihasilkan adalah melalui perancangan yang teliti. Pada masa ini semua rakyat Negeri Terengganu telah menikmati tenaga elektrik, 86.5% pula mendapat bekalan air bersih. Selain itu, hampir semua desa dihubungkan dengan rangkaian jalan raya. Secara keseluruhannya, prasarana-prasarana di Terengganu masih perlu ditingkatkan mengikut keperluan semasa dan pertambahan penduduk. Peranan utama yang dimainkan oleh halacara-halacara pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam ialah memastikan pelaksanaan segala dasar dan program pembangunan prasarana negeri dapat memanfaatkan dan sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat. Bagi menjayakan setiap perancangan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, ia bergantung kepada peruntukan yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri. Ketiadaan wang royalti petroleum dan juga peruntukan Kerajaan Persekutuan yang telah ditarikbalik telah menyebabkan sebahagian besar projek-projek yang dirancang terbantut pelaksanaannya. Projek motorway Jabor Kemaman-Jerteh Besut secara penswastaan akan dilaksanakan segera pada tahun 2003. Kerajaan Negeri telah memberi persetujuan secara dasar kepada sebuah syarikat konsesi untuk melaksanakan cadangan projek ini. Walaubagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada hasil-hasil kajian teknikal serta komersial dan perjanjian penswastaan yang akan dipersetujui kelak di antara Kerajaan Negeri dengan syarikat konsesi tersebut. Sehingga kini, syarikat konsesi ini telah menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri. Kerja-kerja teknikal sedang giat dijalankan. Sekiranya semua kerja-kerja ini dapat diselesaikan pada akhir tahun ini, besar kemungkinan projek ini dapat dilaksanakan secara fisikal selewat-lewatnya pada awal 2003. Pelaksanaan projek ini dibuat secara penswastaan yang mana pembiayaan projek ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat berkenaan dengan tempoh konsesi yang telah dipersetujui bersama dengan Kerajaan Negeri. Dalam tempoh konsesi ini, Kerajaan Negeri akan dibayar royalti hasil dari kutipan tol dan selepas tamat tempoh konsesi, pihak syarikat akan menyerahkan semua saham milik syarikat kepada Kerajaan Negeri. Strategi pembangunan bekalan air akan terus berpandukan kepada objektif kerajaan itu untuk membekalkan air yang bersih dan mencukupi kepada semua pengguna penduduk di seluruh Terengganu. Pertumbuhan pembangunan yang pesat terutama di sektor industri petroleum dan perumahan telah meningkatkan pembangunan ekonomi sekitar dan dengan ini Kerajaan perlu menyediakan infrastruktur bekalan air yang mampu membekalkan air untuk kegunaan industri dan pelancongan. Pada tahun 2002, pelaksanaan projek-projek pembangunan bekalan air yang tidak siap tahun-tahun sebelumnya akan diteruskan di samping melaksanakan projek baru. Tumpuan adalah diberi untuk memperluas bekalan air ke kawasan luar bandar, memperbaiki sistem agihan paip dalam bandar, membaikpulih dan menaiktaraf loji air bagi mempertingkatkan kadar keperluan air. Walaupun Kerajaan Negeri menghadapi masalah kewangan, projek-projek pembangunan infrastruktur air masih diteruskan dan usaha ini akan berterusan memandangkan masalah gangguan air kemungkinan akan sering berlaku beberapa tahun yang akan datang akibat daripada pertambahan penduduk, kewujudan penempatan- penempatan baru, perkembangan kawasan industri, sekolah-sekolah baru dan institusi pengajian tinggi dan sebagainya. Sebahagian projek-projek menaiktaraf loji air yang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2003 telah diawasi dan dimantau dengan baik supaya ianya disiapkan mengikut jadual. Adalah diharapkan isu air tidak dipolitikkan sebagaimana projek yang dirancang lebih awal sebelum ini telah dipolitikkan seperti Lebuh raya Pantai Timur, menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang telah dihentikan begitu sahaja. Kedua-dua projek ini hanya diwarwarkan oleh Kerajaan Persekutuan semasa kempen pilihanraya sahaja. Kerajaan juga melaksanakan projek bekalan air Sungai Dungun ke Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh (KIPC) oleh Petronas. Peruntukan bagi membiayai projek air ini ditanggung oleh Petronas. Projek telahpun siap dan perjanjian konsesi telah ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan Petronas. Kerajaan Negeri telah mendapat hasil melalui 'tribute', dengan izin ke atas penggunaan air mentah yang diambil daripada sungai yang telah dibayar oleh pihak Petronas kepada Jabatan Bekalan Air Negeri Terengganu. Pendidikan dan Dakwah Pembentukan Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah menunjukkan komitmen kerajaan terhadap aspek-aspek pendidikan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti berkaitan agama dan hukum hakam agama Islam. Aktiviti serta dasar-dasar berkaitan pendidikan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Perpustakaan Awam Terengganu, KUSZA, TATI serta Jabatan Pendidikan Negeri. Dari aspek keagamaan yang merangkumi kegiatan-kegiatan dakwah dan Pelaksanaan Syariah, ianya dirancang serta dilaksanakan oleh Jabatan Ehwal Agama Islam Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), Yayasan Islam Terengganu dan lain-lain agensi kerajaan Persekutuan yang terlibat secara langsung dan secara tidak langsung seperti JAKIM, Bahagian Keselamatan Negara Negeri Terengganu dan lain-lain. Fungsi utama YT merangkumi aspek untuk meluas dan mempelbagaikan peluang pendidikan dan latihan di Terengganu menerusi penajaan. Bagi maksud membiayai aktiviti penajaan dan pembangunan pendidikan, YT akan memperuntukkan sejumlah RM44.1 juta bagi tahun kewangan 2003. Anggaran perbelanjaan yang diperlukan untuk aktiviti penajaan bagi tahun 2002 berjumlah RM33.6 juta. Perbelanjaan tersebut merangkumi aktiviti-aktiviti tajaan ke IPTA/IPTS Tempatan, IPT Luar Negara dan Institusi Latihan Kemahiran dan Skim Pinjaman Pendahuluan Yayasan Terengganu. Tajaan ke IPTA/IPTS Tempatan, IPT Luar Negara dan Institusi Latihan Kemahiran sebanyak RM32.8 juta diperuntukkan untuk dibelanjakan dalam tahun kewangan 2003. Bagi sesi pengajian 2002/2003, Yayasan Terengganu memberi keutamaan penajaan kepada Institusi-institusi Pengajian yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri seperti KUSZA, Kolej Yayasan Terengganu, TESDEC (Pra ILP), ILP, TAT I , Kolej Seri Iman dan TITC. Tajaan ke Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara seperti Universiti AI-Azhar, Mesir dan Jordan juga diadakan. Skim Pinjaman Pendahuluan Yayasan Terengganu juga merupakan program tajaan Yayasan Terengganu. Skim ini dijangkakan akan diteruskan seperti biasa dan sebanyak RM800,000 diperlukan untuk dibelanja bagi tahun 2002 dan juga untuk tahun 2003. Program Pembangunan Pendidikan melibatkan bantuan dan kebajikan pelajar-pelajar dan ia lebih memberi fokus kepada usaha membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan terutamanya dari segi kewangan. Jenis-jenis bantuan ini adalah seperti bantuan persediaan persekolahan, bantuan peperiksaan, bantuan untuk murid miskin, bantuan untuk murid-murid cacat pendengaran, bantuan kecil Yayasan Terengganu, bantuan sekolah angkat Yayasan dan anugerah pingat emas dan sagu hati pelajar-pelajar cemerlang. Yayasan Islam Terengganu turut memainkan peranan dalam menampung khidmat masyarakat dakwah dan pendidikan. Yayasan itu telah merangka satu program baru iaitu penubuhan Pusat Tarbiyah dan Akademik sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk membangun menurut Islam. Untuk itu, Pusat Pendidikan Yayasan Islam Terengganu akan diubah operasi dan kurikulumnya untuk dijadikan Pusat Tarbiyah dan Akademik. Peruntukan bagi Pusat Tarbiyah dan Akademik ialah dianggarkan sebanyak RM1 juta. Buat masa sekarang YIT telah membuka sebanyak 19 buah Sekolah Tadika dengan bilangan murid seramai 1,332 orang bagi tahun 2002 dan peruntukan yang dibelanjakan sebanyak RM2 juta. Pada tahun 2003 dianggarkan bilangan murid bertambah seramai 2,010 dengan tambahan peruntukan RM2.5 juta. Yayasan Islam Terengganu juga mengadakan sebanyak 12 program Dakwah seperti Kursus Al-Qiadah, Metodologi Dakwah, Kursus Tasawwur Islam A Guru PPU Marpanita/Tadika, Kursus Kepimpinan (Usrah) dan Qiamullail, Operasi Khidmat Masyarakat (Anak Angkat), Kursus Tilawah Al-Quran kepada kakitangan, Pembangunan Spiritual Anak-Anak Mualaf (Program Luar), Pembangunan Spiritual Orang Asli, Kelas al-Quran Kakitangan dan Program Bersama Masyarakat Kampung Cina yang dianggarkan peruntukan sebanyak RM130,000 untuk tahun 2003. Pada tahun 2003, Yayasan Islam Terengganu merancang dengan Marpal/Marpanita (Markas Pengajian Agama) akan menjadi pusat pendidikan agama yang terunggul di Negeri Terengganu dengan peruntukan yang dianggarkan sebanyak RM530,000 manakala program KAFA akan diteruskan seperti biasa dengan peruntukan sebanyak RM8.3 juta. Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu memainkan peranan utama mengenai pendidikan agama di Terengganu. Pada masa ini, Jabatan berkenaan masih menguruskan pentadbiran untuk 12 Sekolah Menengah Agama Terengganu dan Maahad Tahfiz. Dari dahulu sehingga sekarang, semua sekolah itu telah banyak memberikan jasa kepada rakyat Negeri Terengganu dengan mengeluarkan pelajar-pelajar yang berilmu dalam hal-hal agama dan mereka disanjung tinggi dalam masyarakat. Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PAS ini tetap akan mempertahankan semua sekolah tersebut dengan mengekalkan fungsi asalnya iaitu mendidik rakyatnya ke arah fasih dalam menguasai bahasa Arab dan berilmu dengan bertakwa kepada Allah SWT. Pada masa ini, pihak Kerajaan Persekutuan secara halus cuba merombak sistem pendidikan yang sudah lama bertapak di Sekolah-Sekolah Menengah Agama itu dengan cara menawarkan wang ihsan, kononnya sebagai bantuan perbelanjaan pengurusan sekolah berkenaan. Berbagai-bagai syarat dikenakan antaranya pihak pengurusan sekolah hendaklah mengikut telunjuk dan arahan dari Kerajaan Persekutuan dari masa ke semasa. Saya izinkan bantuan itu diterima tetapi tidak hal-hal sekolah diganggu gugat pentadbirannya. Pentadbiran Negeri telah mahir menguruskannya dan tidak perlu campur tangan pihak luar. Saya kurang senang melihat sistem pendidikan di sekolah-sekolah agama di negeri ini diharubirukan kerana tindakan-tindakan bersifat politik dan dipengaruhi anasir luar selepas 11 September. Bagi tujuan membiayai perbelanjaan Sekolah-sekolah Menengah Agama ini, maka dalam Belanjawan 2003 ini saya mencadangkan wang sebanyak RM46 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk tujuan tersebut. KUSZA dan TATI, dua buah institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri yang memberi sumbangan penting terhadap perkembangan pendidikan tinggi di Negeri ini. KUSZA mempunyai perancangan sendiri. Pada masa ini, institusi ini sedang memantapkan tenaga pengajar dan semua kakitangan pengurusan. Pada masa ini, KUSZA mempunyai tenaga pengajar lebih 200 orang yang berkelulusan dari beberapa peringkat, Ph.D, Sarjana dan Sarjana Muda. Dari masa ke semasa KUSZA memberi peluang latihan kepada tenaga pengajarnya untuk mengikuti kursus jangka panjang ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan itu saya percaya, satu hari nanti KUSZA boleh dinaikkan tarat ke peringkat universiti. Begitu juga dengan TATI yang menawarkan kursus teknikal dan protesional mempunyai matlamat yang sarna dengan KUSZA. Dalam keadaan berjimat cermat, Kerajaan memperuntukkan untuk kedua-dua institusi ini untuk belanja pengurusan hampir RM50 juta setahun. Sebagaimana yang telah kita janjikan, Kerajaan tetap akan berusaha untuk memperluaskan perlaksanaan hukum Syariah dalam pentadbiran Negeri Terengganu. Ketinggian Syariah dan keluhuran keadilan Islam menjadi matlamat utama Kerajaan. la terbukti sejak PAS memimpin pentadbiran Negeri beberapa Enakmen Syariah telah dibuat dan diluluskan oleh Dewan yang mulia ini. Enakmen-enakmen tersebut ialah: i) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M. ii) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. iii) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. iv) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. v) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah. vi) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. vii) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Oisas) (Terengganu) 1422H/2001 M. Enakmen terakhir yang dibentangkan iaitu mengenai Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Oisas) (Terengganu) 1422H/2001M telah mendapat tentangan yang hebat daripada pihak pembangkang. Tentangan itu menunjukkan mereka kurang peka tuntutan dalam hukum Syariah yang perlu kita laksanakan dalam pentadbiran Islam. Alhamdulillah, enakmen ini telah diluluskan dan pada masa ini ia dalam tindakan untuk mewartakannya. Apabila selesai, insya Allah undang-undang tersebut boleh dilaksanakan mulai tahun 2003 yang akan datang ini. Marilah kita berdoa, semoga usaha yang kita jalankan selama ini mendapat restu dari Allah SWT. Kebajikan Bagi Perkhidmatan Kebajikan Sosial disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti bantuan kewangan bulanan kepada fakir dan miskin, orang yang berpenyakit kronik, bantuan bencana alam, pembinaan rumah dan sebagainya. Rakyat kita masih ramai lagi yang miskin walaupun indeks ekonomi menunjukkan KDNK Terengganu berada di tempat ketiga tertinggi di Malaysia. Indeks ekonomi ini dari dahulu ditunjukkan sedemikian tetapi kenyataan sebenar rakyat bertentangan dengan indeks itu. Bagi tahun 2002, Kerajaan Negeri melalui Dewan yang mulia ini telah memperuntukkan sejumlah RM22.5 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri untuk tujuan bantuan-bantuan yang disebutkan. Jumlah ini meliputi sebanyak 10.5% berbanding dengan peruntukan tahun 2001. Bagi tahun 2003, jumlah yang sam a dikekalkan. Selain daripada Jabatan itu, MAIDAM dan Tabung Darul Iman terlibat menyumbangkan manfaatnya kepada masyarakat di Negeri ini. MAIDAM menggunakan wang zakat membahagikan kepada mereka yang berhak mengikut asnaf yang ditetapkan oleh hukum syarak. MAIDAM telah menjalankan kempen secara bersungguh-sungguh di kalangan umat Islam tentang zakat dan kepentingannya untuk umat Islam. Hasilnya memberangsangkan. Adalah dijangkakan wang zakat dapat dipungut sehingga akhir tahun ini sebanyak RM35 juta. Baru-baru ini Kerajaan telah menubuhkan Dana Kebajikan Darul Iman yang dikenali sebagai Tabung Darul Iman (TDI). Tabung ini diisi dengan wang derma orang ramai yang bertujuan untuk memberi kebajikan dan mendapat pahala dari Allah SWT. Antara tujuan tabung ini adalah untuk membantu meringankan beban rakyat yang kurang bernasib baik serta memupuk dan menggalak orang ramai untuk menderma dan ambil bahagian dalam kerja-kerja kebajikan. Pada tahun ini, tabung ini telah diluluskan hampir RM1 juta untuk bantuan dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan terutama bantuan malapetaka dan bantuan perubatan. Belanjawan 2003 yang saya bentangkan ini telah mengandungi program dan aktiviti untuk pembangunan. Belanjawan yang dibuat ini telah dikaji dan ia dibentangkan di Dewan yang mulia ini mengikut kemampuan kewangan yang terhad. Belanjawan 2003 adalah belanjawan defisit tetapi insya Allah mampu mengurus dan mentadbir negeri Terengganu Darul Iman ini dengan baik. Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan padu kepada Kerajaan Barisan Alternatif pimpinan PAS kerana sesungguhnya inilah yang telah memberi sokongan semangat kental untuk berhadapan dengan berbagai kerenah pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang. Saya juga mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana negeri ini kekal sebagai sebuah negeri yang aman damai hasil kerjasama pihak pasukan keselamatan termasuk tentera dan polis. Kepada pegawai dan kakitangan yang telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri secara profesional gigih dan penuh selia sehingga pentadbiran Negeri berjalan dengan cekap dan diucapkan terima kasih serta syabas. Kepada Ahli Dewan Negeri yang bekerja bertungkus lumus dalam mewujudkan hubungan mesra rakyat juga diucapkan syabas dan teruskanlah perjuangan anda dalam menegakkan syiar agama. Marilah kita menadah tangan memohon restu Ilahi semoga segala cita-cita dan harapan kita menjadi kenyataan. Dengan penuh bertawakal kepada Allah SWT, Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua saya mencadangkan.
Diterbitkan oleh : |