Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Bagai Digigit Anjing Gila

ADUN Berkecuali: UMNO/BN Tergugat dan Digigit?

Seperti sudah ditakdirkan ada saja isu dan kes mendatangi UMNO/BN hari-hari, minggu dan setiap bulan tanpa diundang dan tidak mungkin ia dirancang. Isu dan kes yang terjadi tiba-tiba meletup dalam pasaran media pengampu mereka sendiri. Kes SNAP di Sarawak belum selesai, isu bahasa Inggeris dengan subjek Matematik dan Sains belum semua rakyat puas hati, walaupun kabinet kepala batu pimpinan Mahathir berkeras mahu teruskan, kemudian projek BAKUN, kes PERWAJA dan banyak lagi...Tiba-tiba muncul dua ADUN berkecuali dari mengundi dalam DUN Pulau Pinang benar-benar memanaskan kem UMNO/MCA/GERAKAN/BN khususnya di Pulau Pinang. Kes ini umpama gigitan dan pukulan 'politik' kepada batang tubuh UMNO/BN, termasuk Pak Lah. Tentu bertambahlah sakit UMNO/BN dengan gigitan 'nyamuk' di Pulau Pinang negeri Pak Lah bakal PM selepas 23 Oktober, 2003 nanti. Itupun, belum tentu. Pak Lah juga terasa digigit. Bertambahlah sakit bila orang yang sudah digigit sekali, kemudian kena gigit lagi beberapa kali. Lagi bertambah teruk gigitan pertama tidak diubati, ditambah dengan gigitan kedua yang membawa parah. Akhirnya, lagi teruklah UMNO/BN menghadapi pemilu ke-11 bakal menjelang pada 2003.

Politik dalaman BN menjadi panas seketika. Mungkin mengambil lebih lama lagi untuk disejukkan.Ditambah lagi oleh sikap pemimpin utama BN yang begitu cepat melatah, ego dan gopoh. Mereka tidak langsung memikir risiko tindakan angkuh lagi ego mereka. Kemudian isu itu disambung pula oleh media pengampu dan pengipas. Memangpun kapal politik besar Malaysia itu tidak pernah aman dari ombak politik negara ini. Ribut UMNO yang mendominasi bahtera BN sendiripun belum reda. Ribut MCA, MIC, SNAP (di Sarawak), UMNO Sabah, UMNO pusat, GERAKAN dan terbaru isu dua ADUN MCA yang berkecuali dalam DUN Pulau Pinang. Adalah tanda-tanda ombak lebih besar bakal menggegar kapal besar BN sebelum pemilu ke-11 berlangsung.

Dua ADUN itu membawa amanah rakyat Pulau Pinang keseluruhannya. Penulis semacam tidak percaya kedua ADUN BN itu tidak memberi undinya dalam DUN Pulau Pinang ketika undi itu sangat diperlukan oleh DUN Pulau Pinang yang dikuasai majoriti 2/3 BN negeri pimpinan Dr Khoo Tsu Koon. Apatah lagi projek itu menelan kos billion ringgit. Sepatutnya habuan RM cukup lumayan itu yang bakal ditaburkan di bumi Pulau Pinang mesti diambil oleh rakyat Pulau Pinang dan pemimpin BN negeri. Orang semua tahu budaya RM dan kebendaan cukup kuat mencengkam seluruh jiwa, akal dan hati orang-orang BN terutama pimpinan mata duitan atau kebulur kebendaan dalam UMNO/BN. Mereka bernyawakan RM, kebendaan dan kemewahan. Tanpa itu seluruh pimpinan UMNO/BN dan penyokongnya seperti kehilangan nyawa. Kalaupun tidak mati, mereka sudah berada dalam keadaan separuh mati.

Kenapa pula, tiba-tiba dua ADUN MCA/BN itu mengambil sikap berkecuali. Dan ada beberapa lagi ADUN BN lain yang keluar dan tidak hadir sewaktu undian bagi menyokong atau menolak usul pembangkang yang dikemukakan oleh ADUN DAP, tidak diambil kira oleh Pak Lah dan kepimpinan BN negeri dan KL.

Hikmah Dibalik Berkecuali

Bagi mereka yang mahu menilai kes ini, berdasarkan kematangan politik, amalan demokrasi, kebijaksanaan, kewibawaan dan kebenaran fakta. Kita lupakan dulu untung politik itu sementara. Pemimpin BN sama ada Dr Mahathir, Pak Lah, Ling Liong Sik, Dr Khoo Tsu Koon KM Pulau Pinang atau siapa jua pimpinan BN. Ia wajar ditangani dengan musyawarah. Bukan menuding jari kepada dua ADUN yang berkecuali itu. Sampai ada yang mengusulkan supaya dua ADUN itu dipecat. Seorang ahli MT UMNO dari Sabah, Datuk Salleh Tun Said mantan KM Sabah bergilir yang kini kembali semula ke dalam kabinet negeri pimpinan Datuk Chong Kah Kiat, mengesyorkan kes dua ADUN BN Pulau Pinang itu dipecat sebagaimana pengalaman di Sabah dulu, apabila seorang ADUN parti pemerintah telah dipecat, kerana tidak mengundi ketika undinya diperlukan dalam DUN Sabah.

Apakah, tindakan memecat itu satu keputusan terbaik. Tidak adakah cara lebih baik dan amat toleran dalam menilai tindakan dua ADUN itu. Penulis melihat bahawa ada sesuatu yang tersirat, mungkin ia satu mesej betapa sebuah kepimpinan atau seorang pemimpin jangan terlalu ego dengan kuasa yang dipegang. Maka itu, mesej dari tindakan berkecuali dua ADUN berkenaan perlu dibedah siasat dan dinilai secara global atau dengan pandangan positif.

Dari satu segi, benar ia memalukan parti BN negeri dan keseluruhan organisasi BN. Tetapi bagi yang melihat dengan pandangan positif disebalik kejadian itu ada hikmahnya. Kata cerdik pandai; jatuhnya seorang ke dalam lubang atau longkang itupun ada hikmahnya buat dirinya. BN negeri masih utuh, sekalipun dengan tindakan dua ADUN itu BN Pulau Pinang pimpinan KM Dr Khoo seperti terpalit sedikit aib. Namun, ada hikmahnya kepada kem BN di Pulau Pinang. Juga ia berhikmah kepada parti pembangkang di Pulau Pinang.

UMNO/BN Semacam Terpukul!!!

Benar, disebabkan tindakan berkecuali dua ADUN BN itu seluruh kepimpinan UMNO, MCA dan rakan mereka dalam BN merasa benar semacam dipukul 'pukulan' tomoi siam. Hinggakan pimpinan UMNO yang menjadi kepala BN tidak duduk senang. Pak Lah semacam mengamuk dan marah-marah, lalu mengarahkan dibuat laporan untuk diserah pada Dr Mahathir pengerusi BN, sewaktu kejadian itu Dr Mahathir masih berada di Paris sambil bershopping untuk persiapan raya terakhirnya sebagai PM dan pengerusi BN. Sebab 23 Oktober 2003 adalah hari terakhir dia sebagai PM??? Pak Lah lupa itu bidang tugasnya berkaitan dengan disiplin parti UMNO/BN yang berada dibawah jagaannya??? Macam dia terlupa bidang tugasnya dalam kementerian dalam negeri.

Pukulan politik ala 'tomoi siam' itu menyedarkan kembali pimpinan UMNO/BN dari lamunan asyik mereka menghitung jumlah projek sekian banyak dan harga projek yang berbillion. Sekian untuk aku, sekian anak bini, sekian kroni dan sekian banyak kontraktor yang dapat projek. Dan sekian untuk dana dan derma pilihanraya. Hidup mereka cuma berkira bicara tentang KUASA, RM, PROJEK, PILIHANRAYA, MAHU MENANG PILIHANRAYA dan siapa BERKUASA, SIAPA SPONSOR DANA PILIHANRAYA dan siapa pula dapat sekian...sekian...komisen...komisen...

Pemimpin UMNO/BN Yang Mesra RM, Projek dan Kemewahan

Inilah, akibatnya bila kepimpinan yang dikuasai hawa nafsu yang serakah kepada projek, RM, kebendaan dan kemewahan. Kerana itu, mereka cuma bersikap mesra RM, projek, kebendaan dan kemewahan. Mereka juga sekadar terliur melihat jumlah besar berbillion ringgit satu-satu projek pembangunan. Tapi tidak pernah menitiskan air mata bila melihat derita rakyat marhaen yang dihimpit dan ditimbus oleh projek mega yang memboldozer semua harta benda rakyat.

Mereka, malah kebanyakan kepimpinan UMNO/BN lebih senang bermesra-mesraan dengan RM, projek, korporat/tauke, kebendaan, istana besar, mahligai yang menggila dan digilai, keseronokan dan kemewahan. Rakyat tidak dipandang lagi, kecuali musim kempen pilihanraya. Musim itu, kalau mahu melihat pemimpin UMNO/BN yang dermawan, mesra rakyat dan prihatin. Masa itulah.

Terlalu banyak projek atau pembangunan yang menyiksa rakyat marhaen. Kita tidak menentang pembangunan. Rakyat hanya mahu pembangunan yang memberi manfaat menyeluruh dan merata. Lebih utama pembangunan itu hendaklah mesra alam, mesra rakyat, mesra manusia dan menguntungkan semua orang dari segi budaya, alam, agama dan kemanusiaan.

Memang projek PORR yang menelan belanja berbillion ringgit itu demi untuk kemajuan dan pembangunan. Siapa yang tidak mahu pembangunan? Seluruh rakyat suka pembangunan dibuat ditempat mereka. Tetapi, sebelum pembangunan itu dilaksanakan ia wajar dikaji dan dinilai setelus mungkin. Pembangunan mesti mesra alam, mesra rakyat dan mesra semua. Pemimpin jangan sekadar mesra RM, untung, laba dan mewah.

Bukan satu kerugian besar bila sebuah projek terpaksa ditangguh atau dibatalkan. Lantaran kita melihat akan berlaku keburukan lebih besar dari kebaikan dari satu projek tersebut. Mungkin projek PORR itu lebih besar kesan keburukannya kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang. Apatah lagi projek itu sekadar untuk melaksanakan projek semata-mata bagi mengeluarkan jumlah sekian billion bagi diagih-agihkan untuk keuntungan kroni atau rakan bisnes pimpinan politik.

Itulah, kemungkinan punca sebenar kenapa dua ADUN MCA/BN itu duduk diam atau berkecuali dalam DUN Pulau Pinang. Ia tidak memberi keuntungan yang merata kepada rakyat Pulau Pinang.

Kes dua ADUN di Pulau Pinang bukan satu penderhakaan. Ia sekadar satu protes senyap yang mesti difahami oleh kepimpinan besar UMNO/BN yang terlalu berasa besar, berkuasa dan ego dengan kuasa yang ada.

Ibn Sabah,
4.12.2002M.






______________________
Terbitan : 8 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com