Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Suara Wanita: Aurat atau Bukan?

Assalammualaikum wbk.

Terlebih dahulu izinkan saya panjatkan rasa syukur dan puji-pujian ke hadrat Allah swt. di atas restu dan izinNya yang mengatur dan memberi kekuatan untuk terus menyumbang dan bersama-sama para sahabat yang dirahmati. Selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad ibni Abdullah saw., kepada para ahli keluarganya dan para sahabat baginda, para tabi'in dan tabi' attabi'in serta seluruh muslimin dan muslimat yang dirahmati dan dikasihi Allah swt. Kepada semua penggerak wadah egroups tercinta, saya doakan agar kalian terus-terusan mendapat panduan, kerahmatan dan bantuan dari Allah swt. Tidak lupa juga salam kerberkatan untuk semua sahabat yang lain yang mencintai akan kebenaran dan memperjuangkan akan keadilan. Dan kepada sahabat yang bukan beragama Islam, salam ceria dan sejahtera diucapkan.

Dengan izin moderator budiman. Secara kolektifnya, dalam kaedah falsafah dan prinsip mengikut kefahaman saya yang serba daif, suara wanita itu tidak dikira aurat JIKA menepati hukum dan tempatnya.

Tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, suara percakapan dan pertuturan adalah satu medium atau perantaraan berkomunikasi yang paling mudah, senang dan utama yang dianugerahkan oleh Allah swt. kepada hambaNYA.

Islam itu mudah dan sederhana serta tidak menyulitkan penganutnya. Jika suara wanita itu termasuk di dalam bahagian-bahagian aib (aurat) wanita, ini bermakna kita telah meletakkan satu beban dan kesusahan kepada kaum Hawa. Bagaimana harus wanita-wanita Islam mahu berkomunikasi dengan rakan sekerja ketika di tempat kerja? Bagaimana dengan nasib pendidik wanita yang mendidik anak bangsa? Bagaimana dengan ibu-ibu kita yang menjalankan urusan jual beli di pasar? Adakah mereka ini berdosa kerana menunaikan tanggungjawab mereka kerana Allah swt?

Firman Allah swt. di dalam Surah Al-Ahzaab ayat 32:

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”

Di dalam ayat di atas sudah cukup nyata dan jelas betapa suara wanita itu bukannya bahagian-bahagian aib (aurat) wanita. Perintah Allah swt. bahawa perlunya wanita itu bertutur (bersuara) dengan perkara-perkara makruf (baik) dan kena pada tempat dan waktunya.

Pada zaman Rasulullah saw. terdapat ramai di kalangan para sahabat dan kaum Hawa yang hadir, bertanyakan soalan dan berhujah dengan Baginda saw. Kaum Hawa mengajukan soalan kepada Baginda saw. mengenai hukum-hukum agama dan ini juga telah didengari oleh sahabat-sahabat Baginda saw. yang lain. Tidak ada sesiapa pun yang melarang mereka (kaum Hawa) mereka daripada bercakap.

Dr. Yusof al-Qardhawi dalam Fatwa Muasirah memetik satu dalil. Kata beliau:
“Suara wanita bukan aurat. Katanya, Al-Quran sendiri mengandungi ayat yang membenarkan wanita berdialog dengan Nabi Muhammad saw.

Cuma apa yang perlu diperjelaskan di sini adalah suara kaum Hawa itu boleh jatuh kepada bahagian-bahagian aib (aurat) jika bersabit dengan beberapa perkara, antaranya ialah:

1. Bercakap antara kaum Adam dan Hawa yang bukan muhrim akan perkara yang sia-sia, mengajak kepada perkara maksiat serta melalaikan

2. Sesungguhnya suara wanita bukanlah aurat kecuali ketika dia menyanyi. Maka pada saat itu suaranya aurat [Imam al-Ghazali]

3. Syeikh Atiyah juga memetik beberapa pendapat ulama terdahulu mengenai perkara ini. Al-Qurtubi berkata, suara wanita ketika berkata-kata bukanlah termasuk aurat, kecuali ketika dia menyanyi, maka pada saat itu suaranya aurat

Seperti yang telah diperjelaskan di atas, suara wanita tidak jatuh kepada (bahagian-bahagian aib) aurat wanita selagi ianya berpegang kepada perkara-perkara berikut:

1. Kaum Adam dibolehkan bercakap atau berdialog dengan kaum Hawa dengan suatu hajat yang perlu sahaja

2. Kaum Hawa tidak boleh bermanja-manja, memerdukan, melembut-lembutkan suaranya pada saat bercakap dengan lelaki yang bukan muhrimnya kerana ianya boleh menimbulkan nafsu berahi dan fitnah orang

3. Wanita tidak boleh mengeluarkan suara sewenang-wenang; tidak disyariat kepada wanita untuk azan bagi mendirikan sembahyang, kecuali di kalangan mereka sendiri

4. Apabila seorang wanita ingin menegur kesalahan yang dilakukan imam dalam sembahyang tidak boleh dengan melafazkan tasbih seperti yang dilakukan oleh lelaki tetapi memadailah dengan menepuk tangannya saja

5. Kaum Hawa juga tidak boleh membaca nyaring dalam bacaan solat

6. Di antara fitnah dalam suara wanita ialah hilai ketawa, suara yang memberahikan, nyanyian yang bertujuan menggoda dan melalaikan. Ia dilarang bagi menjaga martabat sebagai seorang wanita

7. Wanita yang ingin mempelajari Al-Quran secara berlagu tidaklah dilarang. Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya Riadhus Salihin mengenai galakan belajar Al-Quran berlagu.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud:

“Allah tidak senang mendengar sesuatu selain daripada mendengar seseorang yang sedang melagukan bacaan al-Quran dengan suara lantang dan merdu” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ibnu Abbas juga menyatakan, Rasulullah saw. bersabda bermaksud:

“Sesiapa yang tidak suka berlagu (mengelokkan bacaan) Al-Quran maka dianya bukanlah daripada golonganku” [Riwayat Abu Daud]

Secara ringkasnya, suara wanita bukanlah aurat selama mana pertuturannya masih berada di dalam batas-batas hukum agama dan tidak pula bertujuan mempengaruhi orang lain akan perkara-perkara yang sia-sia dan maksiat dengan kemanjaan dan kemerduaan suaranya. Wallahualam bissawab.

Jazakalahu khairan katsira wassalammualaikum wbk.

Shamsul Kamal bin Main
03:55 AM

Nota: Sila lawat laman yang saya sisipkan di bawah ini bagi mendapat jawapan dan fatwa mengenai suara wanita di telefon. Diharap membantu sahabat semua, insyaallah.

http://www30.brinkster.com/islamicsquare/fatwa/fatwa3.htm
Suara Perempuan

http://unity99.tripod.com/suara.html
Suara Wanita: Aurat atau Bukan?

Laisla Bonita wrote:

Subject: Assalamualaikum wr wb
Date: Sat, 21 Dec 2002 21:46:28 -0800 (PST)
From: Laisla Bonita To: skamal@xybase.com

Assalamualaikum wr wb

Salam hurmat dari saya kepada abang shamsul kamal. Saya ada mengajukan soalan ini kepada sebuah lelaman dan jawapannya yang diberikan ada saya selitkan sekali.

Saya masih kurang jelas dengan hujjah2 yang diberikan.

Saya amat tertarik dengan cara abang shamsul. Saya harap abang dapat memberikan serba sedikit lagi penerangan untuk saya.

Terima Kasih

Soalan :-

Saya ingin mendapatkan sedikit maklumat tentang "suara wanita , sebagai aurat" . Batas-batas wanita bercakap dalam talipon dan sebagainya kerana sejak ledakan handphone bermula , ramai pasangan yang kerap "bercumbu-cumbu" melalui handphone.

Saya harap dapat nyatakan Nas dan Dalilnya sekali, suara wanita sebagai aurat.

Jawapan :-

Suara perempuan adalah bukan aurat pada pendapat jumhur ulamak fiqah tetapi hukum bercakap dengan lelaki yg bukan mahram ada perinciannya seperti berikut:-

-Jika bercakap pada perkara yg perlu dan hajat seperti belajar,jual beli ata seumpamanya maka hukumnya adalah harus.

-Jika bercakap pada perkara2 yg bukan hajat seperti berbual didalam telefon sebagaimana didalam soalan maka hukumnya adalah tidak harus kerana ada padanya melunakkan kata2 atau pujuk rayu atau kata2 kaseh dan cinta atau seumpamanya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ahzab ayat 33 : "Janganlah kamu wahai sekelian perempuan melembutkan suara apabila bercakap2....

Ulamak2 tafsir yg muktabar seperti Ibn Kasir,Qurtubi,Fakhrurrazi menyebut dalam tafsir mereka maksud ayat ini Allah s.w.t. melarang kaum perempuan melembutkan kata2 semasa bercakap dengan kaum lelaki yg bukan mahram mereka kerana melembutkan kata2 atau melunakkannya dapat menimbulkan berahi atau menaikkan nafsu. Olih itu hukum berbual lelaki dan perempuan dalam telefon sebagaimana yg berlaku sekarang hukumnya adalah haram.






______________________
Terbitan : 23 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com