Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Terengganu bebas perdaya politik asrama Perkaya

MIN AINA ILA AINA

Oleh Subky Latif

ANAK-anak yatim yang menghuni asrama anak yatim Perkaya di Pulau Kerengga, Marang antara yang dipilih menjadi jurucakap untuk mempertahankan pentadbiran asrama anak yatim itu daripada ditadbirkan terus di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu.

Ibu-ibu mereka juga mempertahan keadaan itu dengan alasan asrama tersebut ada membuat kejayaan. Tidak dinafikan ramai anak yatim yang tinggal di asrama itu berjaya dalam pelajaran.

Tetapi kerajaan Terengganu yang menjadi penyumbang terpenting dalam sistem asrama itu tidak dapat membenarkan usaha asrama Perkaya untuk membebaskan diri dari sebarang ikatan kerajaan negeri. Asrama itu didirikan atas tanah kerajaan dan ia dibina dari wang kerajaan negeri. Sehingga ini kerajaan negeri masih memberi peruntukkan tahunan kepadanya.

Bukan kerajaan negeri tidak bersyukur jika NGO Perkaya itu berdikari seratus peratus dalam tanggungjawab kewangannya dan lain-lain, tetapi kerajaan negeri tidak dapat melepaskan langsung badan itu dari pengetahuannya.

Apatah lagi dalam masa tiga tahun di bawah kerajaan baru, asrama itu dijadikan sarang politik anti kerajaan negeri. Jika kerajaan Persekutuan begitu sensitif dengan pentadbiran kelas tadika bukan tajaannya dan penyokong-penyokongnya sedang ia tidak berbelanja sesen pun, maka apakah kerajaan negeri sanggup membenarkan asrama yang kerajaan negeri ikut membiayainya menjalankan kegiatan anti kerajaan negeri?

Anak-anak yatim itu masih bersekolah di kawasan sekitarnya. Kalau abang dan kakak mereka di kampus dilarang berpolitik mengikut pilihan sendiri, apakah anak-anak yang masih bersekolah rendah dan menengah boleh berpolitik anti kerajaan negeri mengikut acuan pentadbir asrama? Sedang asrama itu adalah milik kerajaan negeri dan ia masih menerima sumbangan kewangan kerajaan negeri.

Perkaya adalah NGO yang ditegakkan oleh tokoh Umno tertentu di zaman ia berkuasa dulu untuk politik kumpulannya. Biasalah bagi penganjur politik mewujudkan sayap politik. Dalam keadaan Umno berkuasa, ia menjadi alat politik menghadapi tokoh dan puak Umno yang lain.

Dalam keadaan Umno tidak berkuasa, sayap-sayap seperti itu melucutkan senjata sama sendiri. Tetapi ia tetap menjadi pusat kegiatan politik kumpulan yang menajanya. Ia mengurangkan krisis terbuka sesama sendiri dalam masa tidak berkuasa, tetapi ia menumpukan politik anti kerajaan negeri.

Selama tiga tahun kerajaan negeri memberi kebebasan kepada pentadbiran itu dan ia tidak dapat laporan yang diminta. Tanah dan bangunan kerajaan digunakan, peruntukan diberi, tetapi ia tidak diberi laporan yang diminta. Sebaliknya ia mahu melepaskan diri dari sebarang ikatan dengan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri tahu ia boleh dapat apa yang pihak lain boleh dapat dari longgokan wang ehsan - rampasan ghanimah royalti petroleum Petronas. Tetapi sejak dari mula ia dibangunkan dengan duit kerajaan negeri. Maka kerajaan negeri yang berhak menentukan statusnya.

Jika kerajaan negeri menuntut balik apa yang diberi selama ini termasuk tapak dan bangunannya, nescaya semua eset Perkaya dari lain-lain kegiatan tidak akan dapat menampungnya.

Mungkin tindakan kerajaan negeri juga tidak bebas dari pengaruh politiknya, tetapi politik kerajaan adalah mengatasi politik lain. Mungkin PAS yang mempengaruhi kerajaan negeri bertindak. Tetapi makanisma kerajaan negeri yang bertindak mengikut saluran dan peraturan kerajaan.

Apabila kerajaan negeri bertindak, asrama tidak diroboh, tiada anak yatim dikeluarkan dari asrama, pelajaran dan kegiatan harian mereka tidak diganggu. Yang bertukar ialah pentadbir. Pegawai jabatan kebajikan masyarakat negeri akan datang mentadbirkannya sama seperti khidmat pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Maka peruntukan asrama itu sudah tentu menjadi tanggungjawab kerajaan sepenuhnya. Ia boleh menerima sumbangan lain-lain pihak seperti sekarang, tetapi ia adalah asrama yang ditadbirkan oleh kerajaan.

Asrama itu tidak lagi jadi markaz parti politik dan politik klik sesama orang politik yang tidak berkuasa. Ibu-ibu yang anaknya ada di asrama tidak perlu bimbang anak mereka akan terbiar, malah jika ada lagi anak yang perlukan asrama, boleh terus dihantar ke situ.

Perkaya sebagai NGO boleh meneruskan politik dan lain-lain kegiatan di luar asrama. Mana-mana hartanya yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri tidak diganggu. Dan mungkin kerajaan negeri juga tidak berniat membuang kalimah Perkaya digunakan terus.

Kalimah itu tidak cacat dan ia boleh digunakan dan dikekalkan. Yang penting bagi kerajaan ialah hendak memastikan pentadbirannya mengikut kepentingan kerajaan sesuai dengan amanah yang rakyat beri dan wang yang kerajaan telah sumbangkan kepadanya.

Bodohlah kerajaan negeri membiarkan tanah, bangunan dan sumbangannya digunakan untuk menikamnya. Perkaya boleh meneruskan politik anti kerajaan negeri sekarang melalui rangkaian lain yang bebas dari ikatan dengan kerajaan negeri.

Tidakkah itu satu kegiatan politik demokrasi terbuka yang sihat?






______________________
Terbitan : 23 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com