Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Jangan persalah sekolah agama bila sekolah kebangsaan gagal

Oleh: Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS)

Pemikiran yang bercelaru kini sedang jelas berlaku dalam menilai pendidikan negara. Di awalnya Perdana Menteri menuduh sekolah agama Rakyat (SAR) sebagai sekolah yang tidak perlu ujud kerana kononnya ia tidak selaras dengan pendidikan kebangsaan dan yang lebih utama beliau menuduh SAR sebagai institusi yang tidak mengajar ugama tetapi mengajar membenci kerajaan.

Apa buktinya, PM tidak pula menjelaskannya. Kenyataan itu dianggap benar dan pengikut setianya hanya perlu mengiakan sahaja dan meneruskan agenda menghentam SAR semahunya.

Lalu PM pada 25 hb Oktober 2002 mengumumkan bantuan per kapita kepada SAR di seluruh negara dihentikan sebagai tindakan untuk menterjemah tuduhan beliau itu walaupun hampir semua SAR tidak mendapat bantuan tersebut sejak dari awal tahun pengajian 2002.

Jika terdapat kenyataan yang cuba meredakan reaksi marah yang ditunjukkan oleh guru-guru SAR, seperti yang cuba ditunjukkan oleh MB Kedah yang mengumumkan kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohanan SAR, namun laporan yang kami terima segala permohonan bantuan perlu mendapat sokongan dari Ketua Bahagian UMNO jika wakil rakyat dimana sekolah itu berada bukan dari UMNO.

Kenapa ini menjadi syarat dan kenapa ini tidak dilabel sebagai mempolitikkan SAR, semua rakyat hendaknya faham.

Apa yang lebih aneh lagi dan amat tidak bermoral ialah tindakan ini mengenepikan samasekali kuasa Raja-raja yang menjadi penaung kepada sekolah-sekolah agama.

Apakah tindakan ini mengambilkira perasaan Raja-raja dan adakah ia merujuk kepada Raja-raja untuk menjelaskan kenapa tindakan ini diambil , tidak dipedulikan samasekali.

Beberapa hari kemudian pula Perdana Menteri membuat lagi kenyataan, bahawa matlamat pendidikan sekolah kebangsaan sudah lari dari matlamat asal.

Katanya ramai di kalangan masyarakat yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah kebangsaan . Apakah kajian telah dibuat, apa buktinya, seperti biasa PM tidak merasa perlu untuk menjelaskannya.

Seperti biasa juga sekali lagi hampir semua pendapat yang menyusul selepas itu mengiakan pandangan beliau melalui media massa.

Katanya sebuah jawatankuasa yang akan dipengerusi oleh beliau sendiri akan ditubuhkan untuk merombak sistem pendidikan kebangsaan.

Yang jelas PM semacam tidak senang dengan tanda-tanda adanya terlalu banyak ciri-ciri keIslaman dan keMelayuan dalam sekolah kebangsaan (barangkali, contohnya hampir kesemua pelajar dan guru perempuan Melayu bertudung, amalan berdoa dan membaca asma ul-husna dalam perhimpunan, pelajar lelaki ada yang berkupiah, terdapat guru-guru yang menyebut-nyebut ayat-ayat Quran dalam kelas dan perhimpunan)

Dalam kecelaruan ini anehnya, sehingga artikel ini ditulis, tidak ada sepatahpun kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan yang satu-satunya dalam sejarah kementerian tersebut dilantik sendiri oleh PM yang bukan dari seorang wakil rakyat.

Semestinya menteri berkenaan perlu patuh sebulatnya kepada kehendak PM jika ia mahu terus menikmati kedudukannya sekarang. Seperti dijangka Timbalan Menteri Pendidikan yang sering mendahului keputusan menteri sendiri terus mengesahkan apa yang PM umumkan.

Apa rasionalnya, kenapa dengan tiba-tiba perkara ini ditimbulkan , tiada siapa yang tahu. Pokoknya bila PM bertitah maka seluruh jentera perlu menerima perintah tanpa soal.

Begitulah pendidikan negara dijadi bola yang disepak dan diterajang mengikut siapa yang menentukan peraturan permainannya.Jika ada dakwaan pendidikan jangan dipolitikkan, maka parti pemerintahlah yang paling mempolitikkannya.

Asalkan keputusan itu datang dari parti pemerintah semuanya dianggap tidak dipolitikkan padahal pertimbangan politiklah yang menjadi asas mereka mengambil tindakan tersebut .

Sedangkan perkara yang lebih utama seperti mengenai oriantasi guru, kurikulum, latihan pengajaran dan pembelajaran yang tidak bersepadu, kegagalan merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta kemudahan sekolah-sekolah di desa tidak pula diberi perhatian.

Ini kerana ia diperkira bukan memberi kesan menguntungkan kepentingan parti pemerintah.

Yang jelas masyarakat awam dibiar dalam terpingga-pingga dan dalam kegelapan untuk memahami apa masalah sebenarnya yang sedang dibahaskan.

Kenapa dengan tidak semena-mena tanpa kajian yang jelas dikeluarkan kepada awam , pihak kerajaan mengumumkan keputusan untuk menyekat bantuan kepada SAR dengan niat untuk mematikan institusi itu. Dalam masa yang sama pula diumumkan rombakan hendak dilakukan ke atas sekolah kebangsaan.

Sehingga ini tidak ada analisis yang benar-benar kritikal didedahkan untuk memberi perhatian kepada isu yang lebih besar iaitu ke mana sebenarnya arah tuju sistem pendidikan negara ini.

Pada satu ketika diumumkan nisbah 60 sastera : 40 sains ditukar kepada 40 sastera : 60 sains, kemudian diumumkan pula Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada matapelajaran sains dan matematik, seterusnya diumumkan pula sekolah berasrama penuh akan diberi laluan kepada pelajar bukan bumiputera, selepas itu diistiharkan pula sistem persekolahan perlu dirombak.

Apa kesan yang akan menimpa kepada seluruh pelajar dan guru di negara ini dan kemana sudahnya pendidikan negara tiada siapa yang tahu malah tiada siapa yang berani untuk mengambil tahu selain dari hanya menurut perintah.

Namun yang mengejutkan ialah tudingan terhadap sekolah agama pula tiba-tiba menjadi isu utama. Sekolah Agama Rakyat (SAR) dituduh menjadi sebab kegagalan sekolah kebangsaan mencapai matlamatnya.

Perdana Mentari mengenengahkan pendapat dan sikapnya yang selama ini terpendam dalam benaknya untuk membidas SAR. Sikapnya yang selama ini cuba disimpannya kini diluahkan dengan terus terang. Katanya sekolah agama tidak mengajar ugama, malah ia menjadi sarang pembangkang untuk membenci pemimpin.

Analisis apa pun yang kemudiannya diketengahkan oleh pihak lain, akhirnya analisis dangkal PM itu jualah yang menjadi rujukan walaupun jelas ianya tidak benar.

Maka penulis-penulis upahan di media massa dengan tidak berlengah lagi terus menyusun pena mereka menulis untuk merasionalkan apa sahaja pendapat PM itu.

Serangan dilancarkan ke atas SAR tanpa bukti dan kajian. Pelbagai pihak dikerah memberi pendapat yang selari dengan pendapat PM. Jika ada pendapat yang berlawanan akan di 'black out ' dari mendapat ruang dalam media massa.

Jelasnya hanya kerana ia diluahkan oleh seorang pemimpin nombor satu maka mereka mesti terus mengiakannya.

Soalnya kenapa bila sistem pendidikan nasional itu gagal melahirkan watak pelajar yang dimahukan, tiba-tiba SAR pula yang dipersalahkan. Tan Sri Murad, bekas Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, memberi analisanya dalam temubual Utusan Minggu (8 hb Disember 2002) beria-ia mempertahankan bahawa sistem sekolah kebangsaan bukan masalah.

Katanya yang bermasalah ialah sikap ibubapa Melayu dan Sekolah Kebangsaan di kampung-kampung yang sudah terlalu "dimelayukan".

Hujahnya ialah katanya kerana kebanyakan sekolah kebangsaan di kampung-kampung, pelajarnya 100 % Melayu, gurunya 100 % Melayu dan oleh kerana itu hilanglah ciri kebangsaan yang diharapkan.

Beliau mempersalahkan guru Melayu yang tidak mahu mengajar di Sekolah majoriti pelajar Cina dan guru Cina tidak mahu mengajar di sekolah majoriti Melayu.

Analisa Murad itu nampak ada logiknya, akan tetapi beliau lupa bahawa bukan faktor sikap ibubapa yang menjadi masalah kerana yang menjadi penentunya ialah Kementerian itu sendiri.

Siapa yang bertanggungjawab melaksanakan dasar jika tidak Kementerian Pendidikan sendiri. Bukankah kementerian sendiri yang menetapkan penukaran guru-guru dan pengujudan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK).

Secara komposisi penduduk sudah tentu di kampung-kampung mempunyai majoriti penduduk Melayu. Sementara kerajaan sendiri yang membenarkan kewujudan SRJK Cina dan Tamil, maka pelajar-pelajar dari etnik Cina dan India dengan sendiri mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaaan masing-masing sesuai dengan situasi setempat.

Namun untuk menuduh bahwa orang Melayu tidak mahu menghantar anak ke sekolah kebangsaan di kampung dan memileh sekolah agama adalah suatu tuduhan yang tidak berasas.

Soalnya berapa banyak sekolah-sekolah kebangsaan di kampung-kampung yang tidak mempunyai cukup pelajar untuk terus berfungsi ? Jika tidak ada , jadi apa masalahnya ? Menuduh sekolah kebangsaan di kampung menjadi sumber masalah hanya kerana pelajar Melayu lebih ramai dan dengan itu telah dimelayukan adalah salah.

Adalah silap dan tidak menunjukkan kefahaman yang betul bila Murad menuduh ada pengaruh politik dalam penghantaran anak ke sekolah agama.

Beliau menuding bahawa menghantar anak ke sekolah agama adalah untuk memancing undi. Katanya lagi disekolah agama hanya mengajar soal akhirat, mati …….jelas mempamirkan prejudis Murad yang sarat dengan sentimen pra sangka yang sangat mendalam terhadap sekolah agama.

Sejauhmana Murad meneliti proses pembelajaran dan pengajaran di SAR? Apa yang Murad tahu mengenai madah-madah yang diajar dan penerapan nilai kehidupan yang diterapkan oleh SAR.?

Apakah beliau merasa sudah cukup sempurna apa yang diajar di sekolah kebangsaan yang sarat dengan masalah salahlaku pelajar itu. Memperkecil pendidikan SAR dengan kata-kata pendidikan agama yang diajar itu sempit tanpa mengetahui apa yang dipelajari sangat tidak bertanggungjawab dan angkuh terutama apabila ia datang dari seorang bekas pentadbir pendidikan.

Orang seperti Tan Sri Murad yang mendapat pendidikan moden, dalam medium Inggeris dan melanjut pelajaran di barat tidak mempunyai asas moral untuk menilai sekolah agama sebegitu rupa.

Dengan seenaknya menuduh sekolah ugama yang dikatakan sempit itu beliau sendiri seolah-seolah mengatakan bahawa sekolah kebangsaaan itu sudah serba lengkap dan paling sempurna.

Dalam keadaaan sekolah ugama yang sememangnya tidak lengkap dan ada kelemahan tertentu tidak boleh menjadi asas tanpa bukti untuk mendakwa bahwa sekolah ugama itu tidak melahirkan manusia pelajar yang cemerlang dalam kehidupan.

Apakah kecemerlangan yang beliau dapat buktikan dilahirkan oleh sekolah kebangsaan yang mempunyai lebih dari 4 juta pelajar itu?

Pemikiran dangkal dan prejudis ini jelas telah mempengaruhi pandangan orang seperti Murad. Beliau nampak agak marah mengenai pandangan bahawa sekolah kebangsaan adalah sekolah sekular. Soalnya adakah beliau jelas apa maksud sekular. Bolehkah kita benar-benar mengatakan sekolah kebangsaan itu sepenuhnya menepati kehendak pendidikan Islam.

Dengan alasan bahawa kita perlu mengekalkan sifat kebangsaan pada sekolah-sekolah yang ada atas nama mencapai intergrasi kaum adakah kita boleh mendakwa bahawa kita menepati semua kurikulum dan oriantasi pelajar dan guru mengikut kehendak Pendidikan Islam yang sebenar?

Kurikulum dan proses P&P yang tidak selaras kandungannya dengan konsep-konsep kunci dalam Islam belum boleh didakwa bahawa ia sudah menepati pendidikan Islam.

Kami berpendapat Murad dan mereka yang nampaknya beria-ia benar untuk menutup SAR adalah orang yang komited untuk mempertahankan sistem sekular kerana mereka sendiri tidak cukup masak memahami apa itu pendidikan Islam baik dari segi falsafah, oriantasi , kandungan dan matlamatnya.

Perpaduan kaum tidak boleh menjadi satu-satunya matlamat penentu kepada bentuk sekolah yang hendak didirikan. Keutamaan pendidikan Islam tidak boleh ditentukan oleh sifat masyarakat berasaskan kaum tetapi ia jauh labih tinggi dari itu iaitu ia ditentukan oleh matlamat untuk membawa manusia kepada kepatuhan sebulatnya kepada Allah S.W.T.

Jika sistem pendidikan yang mahu dilaksanakan adalah untuk mengelakkan masalah polarisasi kaum maka betulkan apa yang sedia ada dalam sistem pendidikan kebangsaan itu sendiri, bukan dengan melenyapkan SAR.

Jika sekolah kebangsaan yang ditaja pihak kerajaan dengan segala prasarana dan tenaga pendidik yang dilatih yang dikata serba sempurna itu dirasa tidak popular lagi, bukankah secara rasionalnya menyelidik apa yang tidak kena dengan sistem yang dilaksanakan adalah lebih tepat dari menuding jari kepada SAR sebagai punca masalah.

Kenapa pula SAR yang diusahakan oleh rakyat dengan bantuan yang sangat minima malah dikatakan secara ehsan semata-mata pula yang didera dengan tuduhan yang liar dan tidak berasas.Kenapa sumbangan SAR yang dilanjutkan oleh para alim ulama sejak zaman berzaman itu tidak dilihat sebagai kekuatan untuk melengkapkan sistem pendidikan dinegara ini.

Jika dalam soal lain kita beria-ia benar mempertahankan kepelbagaian kenapa dalam soal sistem pendidikan Islam kita tidak mahu memberi ruang kepada kepelbagaian yang manasabah bagi memberi ruang kepada rakyat untuk menbuat pilihan. Kenapa hanya satu sistem sahaja yang mahu dipaksa ke atas rakyat?

Jelasnya, mempersalahkan SAR apabila sistem nasional sendiri menghadapi keserabutan adalah tidak samasekali professional.Tidak salah jika dengan itu rakyat semakin sangsi dengan tindakan kerajaan dan membuat keputusan untuk menarik semula kepercayaan dan mandat yang diberi untuk terus memerintah.






______________________
Terbitan : 18 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com