SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Pelan Sosial bentuk masyarakat madaniKUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri melancarkan dua pelan sosial termasuk Dasar Pembangunan Sosial dan Pelan Tindakan PEMADAM Terengganu baru-baru ini bagi mewujudkan masyarakat bertaqwa, berdisiplin, bermaruah, berhemah tinggi, beramanah, harmonis dan berpegang dengan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar. Kerajaan juga berhasrat melihat lahirnya masyarakat madani yang bebas dari gejala penyalahgunaan dadah. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan, Haji Abu Bakar Abdullah berkata, dengan dasar pembangunan sosial itu, kerajaan akan dapat membina masyarakat yang jelas wawasannya, bercita-cita luhur, bermuafakat, adil, bertanggungjawab serta saling hormat menghormati sesama insan tanpa mengira etnik, budaya dan agama bagi menjamin kesejahteraan sejagat. Ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Iman beliau berkata, visi dasar itu ialah masyarakat madani. Majlis Pelancaran Dasar dan pelan Tindakan Pembanguan Sosial itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Pentadbiran Awam, Dato Haji Wan Abdul Muttalib Embong di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini. Haji Abu Bakar berkata, sementara misinya pula ialah, membina anggota masyarakat yang berpegang teguh dengan prinsip agama dan melaksanakan amalannya di kalangan anggota masyarakat; melahirkan anggota masyarakat yang berakhlak mulia; membentuk masyarakat yang mempunyai jati diri yang tinggi sebagai benteng menghadapi gejala sosial; mencorak fikrah masyarakat yang positif terhadap agama dan; mempertahankan masyarakat yang harmoni, tenteram dan sejahtera. Dasar itu katanya, bermatlamatkan untuk mengukuhkan pegangan dan amalan beragama, mempertahankan identiti keluarga dan masyarakat berteraskan nilai agama, melahirkan masyarakat yang mempunyai rasa tanggungjawab sosial yang tinggi berasaskan kasih mesra (mawadah warahmah) dan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan mencegah segala keburukan). Di samping itu ia juga bermatlamatkan untuk memantapkan fikrah insaniah alamiyyah sejajar dengan fitrah semula jadi manusia, mewujudkan suasana yang harmoni dan masyarakat yang berpegang teguh dengan prinsip agama, berketrampilan serta berdaya saing. Sementara itu, Pelan Tindakan PEMADAM pula mempunyai visi untuk melahirkan masyarakat bebas dari dadah menjelang tahun 2015 dan masyarakat Madani tanpa dadah. Misinya pula ialah, pelaksanaan proses pendedahan dan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah; pelaksanaan aktiviti pencegahan amalan di setiap lapisan masyarakat membanteras kegiatan berkaitan penyalahgunaan dadah; pelaksanaan kaedah pemulihan berteraskan syariat Islam dan; pengoperasian penyelidikan ke arah masyarakat yang bebas dari ancaman dadah. Katanya, strategi yang diatur meliputi rangka kerja lima tahun untuk melicinkan segala pengurusan, perancangan, kegiatan, aktiviti dan segala keperluan lain bagi memastikan tugas mengawal dan membangunkan masyarakat sama ada yang terbabit dengan gejala sosial atau yang memerlukan penghayatan dalam kehidupan yang hormani dan sejahtera dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Diterbitkan oleh : |