Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Renungan dan Doa Di Penghujung Ramadan (1423H)

Assalamu'alaikum warrahmatullahi wabarokatuh.

KHALID ibn al-Walid menceritakan dialog antara Nabi Muhammad S.A.W dengan seorang badawi seperti berikut:

Orang badawi: "Aku datang bertanya kepada mu perkara yang boleh menguntungkanku di dunia dan akhirat."

Nabi: "Tanyalah apa yang anda mahu."

Orang badawi: "Bagaimana caranya aku menjadi orang paling alim?"

Nabi: "Bertakwalah anda kepada Allah nescaya anda menjadi seorang yang paling alim."

Orang badawi: "Bagaimanakah caranya aku boleh menjadi orang yang paling kaya?"

Nabi: "Berpadalah dengan apa yang anda ada nescaya anda menjadi orang yang paling kaya."

Orang badawi: "Bagaimana caranya aku boleh menjadi orang yang paling adil?"

Nabi: "Relailah apa yang diperolehi orang lain seperti anda suka memperolehinya nescaya ada menjadi orang yang paling adil."

Orang badawi: "Bagaimana caranya aku boleh menjadi orang yang paling baik?"

Nabi: "Jadilah orang yang memanfaat kepada orang lain nescaya anda menjadi orang yang paling baik."

Orang badawi: "Bagaimana caranya aku boleh menjadi orang yang paling istimewa di sisi Allah?"

Nabi: "Perbanyaklah mengingati Allah nescaya imanmu menjadi sempurna."

Orang badawi: "Bagaimanakah aku boleh menjadi orang yang Muhsinin (baik)?"

Nabi: "Sembahlah Allah seolah-olah anda melihat-Nya. Jika anda tidak mampu melihat-Nya maka yakinlah bahawa Dia melihatnya nescaya anda tergolong dalam kalangan Muhsinin."

Orang badawi: Bagaimanakah aku boleh menjadi golongan orang ta'at?"

Nabi: "Tunaikan segala yang diwajibkan Allah kepadamu nescaya anda menjadi golongan orang yang ta'at."

Orang badawi: "Bagaimanakah caranya aku boleh bertemu Allah dengan keadaan bersih daripada dosa?"

Nabi: "Mandilah apabila anda berjunub untuk bersuci nescaya anda bertemu Allah dalam keadaan bersih daripada dosa."

Orang badawi: "Bagaimanakah caranya aku dihimpunkan pada hari kiamat dalam limpahan cahaya?"

Nabi: "Janganlah anda menganiaya sesiapa pun jua nescaya anda dihimpunkan kelak di tengah-tengah cahaya."

Orang badawi: "Aku mahu dikasihani Tuhanku pada hari kiamat kelak."

Nabi: "Kasihanilah hamba-hamba Allah nescaya Tuhan mengasihani anda pada hari kiamat."

Orang badawi: Bagaimana caranya dosaku berkurangan?"

Nabi: "Banyakkanlah beristighfar nescaya berkurangan dosa anda."

Orang badawi: "Bagaimana caranya aku boleh menjadi orang yang paling mulia?"

Nabi: "Jangan mengadu kepada makhluk apa jua kesulitan anda nescaya anda menjadi orang yang paling mulia."

Orang badawi: "Bagaimanakah caranya aku boleh menjadi orang yang paling kuat?"

Nabi: "Bertawakkal-lah kepada Allah nescaya anda menjadi orang yang paling kuat."

Orang badawi: "Bagaimanakah caranya Allah melapangkan rezekiku?"

Nabi: "Hendaklah anda sentiasa dalam taharah nescaya Allah melapangkan rezeki anda."

Orang badawi: "Bagaimana aku menjadi kekasih Allah dan Rasul-Nya?"

Nabi: "Sukailah apa yang disukai Allah dan Rasul-Nya nescaya anda menjadi kekasih Allah dan Rasul-Nya."

Orang badawi: "Bagaimanakah caranya aku terhindar daripada murka Allah pada hari kiamat?"

Nabi: "Janganlah anda marah kepada sesiapapun daripada makhluk Allah nescaya anda terhindar dari dimurkai Allah pada hari kiamat."

Orang badawi: "Aku suka doaku dimakbulkan Allah?"

Nabi: "Hindari makan barangan yang diharamkan nescaya doa anda dimakbulkan."

Orang badawi: "Bagaimana caranya Tuhan menutup aibku pada hari kiamat?"

Nabi: "Tutupilah cacat cela saudara anda nescaya Allah menutupi aib anda pada hari kiamat."

Orang badawi: "Apakah kebaikan yang paling besar sekali di sisi Allah?"

Nabi: "Akhlak yang baik, merendahkan diri dan sabar atas segala kesusahan."

Orang badawi: "Apakah kerosakan yang paling besar di sisi Allah?"

Nabi: "Perangai yang buruk yang diikuti sifat kedekut."

Orang badawi: "Apakah yang boleh meredakan kemurkaan Tuhan di dunia dan akhirat?"

Nabi: "Sedekah yang dirahsiakan dan silaturrahim boleh memadamkan api neraka pada hari kiamat dan ketabahan hidup di dunia menghadapi segala bencana dan penderitaan."

- (Hadith Riwayat. Ahmad)

Demikianlah sebuah dialog yang sangat berharga untuk dijadikan renungan akhir Ramadan. Doa:-

Ya Allah, demi kebenaran puasa kami tahun ini di-mana dugaan-Mu kami terima dengan penuh reda dan rela, penuh keimanan dan kesabaran selamatkanlah kami daripadanya. Berikanlah kami jalan penyelesaian yang engkau redai dan restui. Berkatilah kami dalam berjimat cermat dan kembalikanlah saudara-saudara kami yang dzalim kepada cahaya petunjuk dan kepangkuan Mu. Amin!

PEDOMAN: Apa yang tersembunyi dalam rahsia ghaib yaitu yang berupa Nur Ilahi dan ma'rifat, pasti akan tampak bekas (pengarohnya) pada anggota lahir. Bagus adab sopan lahir, membuktikan adanya adab yang didalam bathin. Rasullullah S.A.W. ketika melihat seorang yang bermain-main tangannya ketika sembahyang, maka Rasullullah bersabda: "Andaikan kyusuk hati orang itu, nescaya kyusuk semua anggota badannya."

"Selamat Menjalani Ibadah Puasa Ramadan. Semoga saudara-saudara-ku Muslimin dan Muslimat mendapat rahmat dan keampunan dari Allah SWT."

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa lilla hil hamd.

Wassallam.

Zulkifli Hashim






______________________
Terbitan : 2 Dis 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com