Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PERHIMPUNAN HARAM: 11 MENGAKU TIDAK BERSALAH

KUALA LUMPUR, 26 Jan - Sebelas orang termasuk dua wanita hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua tuduhan mengadakan satu perhimpunan haram di sini semalam.

Mereka ialah pembantu setiausaha Pemuda Parti Keadilan Nasional Gobalakrishnan Nagapan, 40, Abdul Malek Husin, 44, Mohd Thariq Mohd Ali,18, Yah Weng Keong @ Yap Weng Keong, 27, Mohamad Sahibollah, 30, Mohd Rizal Nahari, 21, Sabran Mohd Hamzah, 26, Norazimah Mohamad, 25, Kahliah Shaik Mohamad, 28, Nelson Janggai Anak Sulau, 49, dan Pospan Linggam Sinakanu, 55.

Mereka dituduh mengingkari perintah untuk bersurai yang diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Mohd Khasni Mohd Noor di Arab Malaysian Finance, Jalan Tun Perak, pada pukul 10.20 pagi.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan kedua iaitu berada dalam perhimpunan haram itu yang diadakan apabila bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraannya terhadap tuduhan liwat yang disambung semula semalam setelah ditangguhkan selama dua bulan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Azhanis Teh Azman Teh menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes itu dan membenarkan kesebelasan mereka diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin. Mereka membayar jaminan itu.

Di Mahkamah Majistret lain, perbicaraan kes lapan orang termasuk pemimpin Parti Keadilan Nasional yang dituduh menyertai perhimpunan haram di Jalan Sultan Mohamed pada 11 Sept tahun lepas, ditangguhkan sekali lagi.

Kali ini, Majistret Norshila Kamaruddin menangguhkan perbicaraan itu sehingga 24 April ini selepas peguam C.V Prabhakaran yang mewakili Mohamed Azmin Ali memberitahu bahawa Azmin diperlukan sebagi saksi pada perbicaraan kes liwat Anwar.

Mahkamah telah menetapkan tiga hari mulai semalam untuk perbicaraan kes ini tetapi mahkamah yang sama telah menangguhkan kes itu ke hari ini atas permohonan Prabhakaran yang menyatakan pihaknya belum menerima dua dokumen yang diperlukannya.

Azmin, bekas setiausaha sulit Anwar, Ketua Pemuda Keadilan Mohamed Ezam Mohd Nor, 32, bekas aktivis pelajar Hishamuddin Md Rais, 48, kartunis Zulkiflee S.M. Anuarul Haque atau Zunar, Tan Soi Kow, 45, Zaharuddin Ayob, 34, Anuar Zalik, 47 dan Abdul Ghani Harun, 34 mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Mereka didapati berada dalam satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mohamed di sini pada kira-kira pukul 3.30 petang, 11 Sept lepas.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com