Harakah diberi masa sehingga 8 Januari

Ng Boon Hooi dan Fathi Aris Omar

laporan lengkap : www.malaysiakini.com

8pm, RABU: Akhbar tabloid terbitan PAS, Harakah, hari ini mendedahkan Kementerian Dalam Negeri telah menyampaikan surat tunjuk sebab mengapa permit akhbar itu tidak boleh ditarik. Pengarangnya, Zulkifli Sulong, memberitahu malaysiakini bahawa KDN telah memberikan tempoh sehingga 8 Januari depan kepada Harakah sebelum pihak berkuasa itu mengambil tindakan. Kementerian, dalam suratnya kepada tabloid itu, menyatakan pihaknya sudah pun mengumpulkan bukti yang lengkap untuk bertindak.

KDN dalam suratnya mempertikaikan cara jualan Harakah kepada orang ramai yang bukan ahli PAS. Menurut kementerian, permit asal tabloid itu hanyalah untuk ahli-ahli parti dan ia sepatutnya dijual di markas dan pejabat PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, malaysiakini difahamkan majalah politik popular, Detik, juga menerima surat tunjuk sebab mengapa permit majalah itu tidak boleh ditarik. KDN mempertikaikan isi kandungan majalah itu yang memberikan liputan kepada parti-parti pembangkang dan, menurut kementerian, Detik telah melanggar syarat permit apabila menukar konsep penerbitan daripada pendidikan kepada politik.