KUALA LUMPUR, 29 Dis - DAP dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menentang sebarang usaha untuk mengharamkan Harakah, akhbar rasmi PAS, dengan berkata kerajaan patut membiarkan pembaca membezakan berita yang benar dan yang palsu.
Setiausaha agung DAP Kerk Kim Hock hari ini berkata Harakah dan Rocket, lidah rasmi DAP, dibenarkan dijual secara bebas kepada orang ramai sehingga Kementerian Dalam Negeri memutuskan beberapa tahun lepas bahawa ia hanya boleh dijual kepada anggota parti.
"Sudah pasti tindakan terbaru kerajaan yang bertujuan menyekat jualan penerbitan parti-parti pembangkang tidak menyakinkan orang ramai bahawa ia bersedia mempraktikan apa yang dikatakan atau yang dipercayai," katanya dalam satu kenyataan di sini.
"Demokrasi tulen ialah apabila ada kebebasan bagi parti-parti politik menyebarkan maklumat kepada orang ramai supaya mereka boleh membuat pilihan," katanya ketika mengulas amaran kerajaan kepada Harakah supaya menjual akhbar berkenaan kepada anggota parti sahaja.
Harakah yang diterbitkan dua kali seminggu boleh didapati dengan mudah di gerai-gerai surat khabar dan edarannya dikatakan sekitar 400,000 naskah.
Kerk juga berkata pilihan raya umum lepas membuktikan rakyat menuntut perubahan politik di negara ini dan pentingnya rakyat yang bermaklumat bagi demokrasi yang bersemangat.
Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman berkata rakyat Malaysia sudah melalui proses kematangan yang lama dan kini telah mampu melakukan penilaian yang objektif antara kebenaran dan kepalsuan.
"Kerajaan tidak harus berasa gusar terhadap pengaruh akhbar ini. Sekiranya ia terus menerus menerbitkan unsur-iunsur fitnah dan hasutan sebagaimana yang didakwa oleh kerajaan, rakyat sendiri yang matang akan menolak Harakah sebagai sumber pengetahuan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Azam berkata sikap berjiwa besar kerajaan dalam menangani persoalan ini penting bagi memelihara asas demokrasi dalam negara kerana hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan adalah satu hak asasi seluruh rakyat negara ini.
Merujuk gesaan sesetengah pihak agar Harakah diharamkan, beliau berkata:
"Pengharaman yang digesa tidak akan menyelesaikan punca masalah memandangkan masyarakat akan menggunakan saluran lain seperti Internet untuk memperolehi bahan dan maklumat".
Katanya mengharamkan Harakah adalah suatu tindakan yang mundur, balas dendam dan marah serta singkat fikiran.
Beliau juga mahu akhbar-akhbar arus perdana supaya lebih berani dan terbuka agar diterima oleh segenap lapisan masyarakat yang matang sebagai alternatif maklumat yang tepat dan benar kerapa kepada rakyat.