ALOR SETAR,
PAS membuka pintu seluas-luasnya kepada ahli Umno yang bakal menjadi sasaran balas dendam pimpinan parti itu kerana dianggap belot dalam pilihan raya lalu.
Presiden PAS Dato' Haji Fadzil Mohd Noor berkata, mereka tidak perlu tunggu lagi kerana parti mereka tidak lagi mengenang jasa mereka sehingga menganggap mereka sebagai pembelot.
"Tidak perlu tunggu lagi, mereka akan jadi sasaran balas dendam pemimpin Umno, lebih baik menyertai PAS," tegas Ustaz Fadzil.
Katanya, balas dendam atau berdendam adalah amalan Umno. Bagi PAS kita sanggup menerima siapa saja demi kebaikan dan menjauhi dari amalan yang tidak baik itu.
Ustaz Fadzil berucap demikian dalam ceramahnya di Dataran Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena, dekat sini sempena kunjungan Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke negeri ini.
Ustaz Fadzil menyatakan ini sebagai mengulas kenyataan pemimpin Umno bahawa tindakan akan diambil ke atas beberapa senarai nama ahli Umno yang telah dikenal pasti belot dalam pilihan raya baru-baru ini.
Kedah adalah negeri pertama yang dikunjungi Tuan Guru Abdul Hadi sebagai Menteri Besar, beliau turut menyampaikan ceramah di majlis tersebut. Turut berceramah ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Razak, Cikgu Mustafa Long dan beberapa Adun.
Selain itu, kata Ustaz Fadzil, ancaman oleh pimpinan Umno itu juga membayangkan mereka tidak boleh menerima kekalahan dan kemerosotan undi dalam pilihan raya 29 November lalu.
"Tidak perlu balas dendam, itu pilihan raya, menang mereka senyum tetapi bila kalah mereka menyalahkan pihak lain, inikah pemimpin yang masih dihormati oleh ahli dan penyokong Umno?" kata beliau lagi.
Sementara itu beliau turut mempersoalkan di mana benarnya tuduhan pihak tertentu yang kononnya semasa kempen pilihan raya lalu, PAS telah menggunakan masjid sebagai tempat berkempen.
"Lihat apa yang berlaku di Masjid Negara pada 26 November lalu, kita diberitahu kebanyakan jemaah bangun meninggalkan masjid dan kesal dengan tindakan khatib yang berkempen dalam khutbahnya."
"Para muslimat kebanyakannya menonton TV dan mereka akui lihat perkara ini, jadi sahlah bahawa Umno/BN yang selama ini menggunakan masjid dan seluruh jentera kerajaan untuk tujuan kempen," jelas beliau.
Majlis yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar menyaksikan puluhan ribu hadirin didahului dengan majlis berbuka puasa yang turut disertai Ustaz Fadzil dan Tuan Guru Abdul Hadi.