
KOTA BHARU, 4 Jan (Hrkh) - Kewibawaan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan Dewan Pemuda PAS Kelantan begitu dhaif sehingga tidak mampu untuk membendung gejala kurang sihat berlaku sepanjang sambutan alaf baru, baru-baru ini.
Ketuanya, Haji Takiyuddin Hassan berkata, keadaan itu berlaku yang menggambarkan bakal Perdana Menteri keenam begitu lemah untuk membendung gejala kurang sihat di negara ini.
"Inilah sikap bakal Perdana Menteri yang sebenar, tidak berupaya untuk mencorak moral sihat remaja pada masa akan datang," katanya di sini, sebelum majlis berbuka puasa anjuran Dewan Pemuda PAS Kota Bharu di Kubur Maras di sini.
Sambutan tahun baru di negara ini pada awal 1 Januari lalu tercemar dengan pelbagai aktiviti yang melalaikan dan bercanggah dengan Islam termasuk pesta arak serta hiburan melampau.
Sebelum ini, Pak Lah mengeluarkan kenyataan yang dipetik sebagai berkata, beliau tidak boleh membatalkan penganjuran pesta hiburan sambutan alaf baru untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Sehubungan itu, Haji Takiyuddin yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berharap rakyat yang mempunyai minda sihat menjadikan alaf baru sebagai masa untuk perjuangan Islam.
"Kita hendaklah menjadikan abab ke 21 sekarang sebagai abab bagi Islam," katanya.
Menurutnya, hanya Islam yang mampu mengatasi segala gejala yang berlaku dalam negara sekarang.
Anggota Parlimen Kubang Kerian, Haji Husam Musa berkata, alaf baru yang disambut sekarang hendaklah dijadikan sebagai abab bagi Islam.
Menurutnya, umat Islam hendaklah menonjolkan imej cemerlang yang lebih baik untuk dijadikan contoh oleh pihak lain.
Sementara itu, seorang guru agama, Mohamad Daud, 60 berkata, sambutan alaf baru seperti yang berlaku baru-baru ini begitu menyimpang dari syariat Islam dan pemuda pemudi yang mengikutinya hendaklah bertaubat segera.
"Perbuatan sedemikian itu adalah bukan kelakuan orang Islam. Sambutan alaf hendaklah disambut dengan sembahyang hajat dan berdoa agar dijauhkan segala bala," kata beliau.
Haji Hassan Alwi, 69 berkata, apa yang dilakukan di Kelantan dan Terengganu pada sambutan alaf baru amatlah sesuai dengan kehendak Islam dengan mengadakan acara berbuka puasa dan tahlil di masjid. .
Diubahsuai daripada HARAKAH Daily