|
KUALA TERENGGANU, 23 Dis -
Kerajaan PAS Terengganu membenarkan ternakan babi di negeri itu
kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan ia juga hak bukan
Islam, kata Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata dalam hal yang berkait dengan
masyarakat bukan Islam, terdapat perkara-perkara mengenai hak
individu yang tidak boleh diganggu oleh masyarakat Islam.
"Kerajaan yang mengamalkan dasar pemerintahan Islam hanya
boleh memberi kawalan agar tidak mengganggu masyarakat Islam dan
masyarakat lain," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai
belanjawan negeri untuk tahun 2000 pada persidangan Dewan Undangan
Negeri di sini hari ini.
Haji Abdul Hadi berkata kerajaan Islam
terpaksa membenarkan ternakan babi dibuat tetapi dengan menetapkan
beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Antara syarat-syarat
yang ditetapkan ialah penternakan babi tidak mengganggu masyarakat
Islam, kebersihan yang terjamin dan ia tidak menyebabkan sebarang
wabak penyakit.
"Jika mereka boleh jamin hal-hal itu, kita
benarkan...itu adalah hak mereka," katanya.
Isu ternakan
babi di Terengganu timbul apabila Haji Abdul Hadi membuat kenyataan
bahawa kerajaan PAS Terengganu akan membenarkannya sedangkan
kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Terengganu sebelum ini
tidak membenarkan penternakan khinzir.
Haji Abdul Hadi berkata
apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri kini bukanlah satu perkara
yang dibuat-buat tetapi benar-benar berlandaskan Islam.
Beliau berkata kerajaan PAS Terengganu adalah sebuah
kerajaan yang baru dan sebarang perubahan yang dibuat walaupun tidak
banyak adalah berlandaskan Islam sebagai dasarnya.
"Dalam
hal Islam, (kerajaan) akan bertegas (untuk) jadikan Islam sebagai
dasar," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan
memulakannya dengan merealisasikan beberapa perkara yang boleh
dilaksanakan dengan segera, antaranya ialah skim pinjaman tanpa riba
yang turut ditawarkan kepada masyarakat bukan Islam.
"Kerajaan menganggap mereka yang memohon pinjaman adalah
golongan yang berhajat dan tidak berkesempatan untuk menjadi orang
korporat...mereka ini perlu diberi pinjaman secara membantu dan itu
adalah semangat Islam," katanya.
Abdul Hadi juga berkata
penubuhan syura rakyat dibuat kerana kerajaan berpendapat bahawa
dalam pemerintahan sesebuah kerajaan, ia mesti mempunyai dasar
hormat menghormati dan saling nasihat menasihati antara satu sama
lain.
"Orang ramai termasuk kakitangan kerajaan boleh
mengkritik serta menegur sebarang tindakan yang dirasakan salah dan
kerajaan akan menerima semua teguran itu dengan terbuka," katanya.
Beliau juga berkata langkah kerajaan negeri menghapuskan tol
dan beberapa cukai lain merupakan sumbangannya secara langsung
kepada rakyat dan kerugian hasil yang dialami oleh kerajaan negeri
akibat tindakan itu boleh ditampung daripada pendapatan
sumber-sumber lain termasuk perdagangan.
Haji Abdul Hadi berkata
kerajaan negeri juga bercadang menghapuskan cukai tanah dan diganti
dengan bayaran lain kepada masyarakat Islam dan kharaj untuk bukan
Islam.
Beliau berkata bagaimanapun, perkara itu masih di
peringkat kajian kerana dalam Islam seseorang itu tidak boleh
dibebankan dengan cukai dalam dua perkara.
"Islam haramkan
kita ambil dua cukai dari rakyat," katanya.
Haji Abdul Hadi
berkata cuti dua hari seminggu bagi kakitangan kerajaan negeri
adalah sebagai sokongan moral dalam usaha memingkatkan produktiviti
kakitangan kerajaan negeri dan memberi peluang yang lebih kepada
mereka bersama keluarga.
Beliau berkata bagi mengatasi
masalah sosial pula, kerajaan negeri akan melihat perkara yang dasar
terlebih dahulu iaitu menekankan pendidikan dan menghapuskan
sumber-sumber hasil yang haram.
|