Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang keputusan kabinet melarang penggunaan bahasa baku amat mengejutkan. Ternyata UMNO lebih mementingkan politik daripada perpaduan rakyat. Dr. Rais tidak lebih dari ingin membalas dendam.
Saya masih ingat ucapan Dr. Rais dalam salah satu ceramahnya di Taman Dato' Ahmad Razali sekitar tahun 1989 ketika beliau menjadi Naib Presiden S46. Selain mencaci dan mencerca Dr. Mahathir beliau turut mengutuk DSAI. Antara lain beliau berkata :
"....Ada seorang menteri yang berasal dari Pulau Pinang. Lidahnya pekat lidah Penang. Bercakap dengan sesiapa pun bunyi Penang.Untuk menyembunyikan kelemahannya, dia menggunakan kuasa sebagai Menteri Pelajaran untuk memaksa semua orang bercakap mengikut slang kampung dia.Ada ka patut (cuba meniru sebutan baku dan disambut oleh hilai tawa pnyokongnya) Tak apa...kalau den jadi Montoghi Pelajaghan esok, den paksa pulak semuo
oghang cakap ikut bahaso kampung den...."
Setelah menunggu lebih 10 tahun, akhirnya impian Rais tercapai juga walaupun setakat menyekat penyebaran bahasa baku. Itu pun kerana dia tidak menjadi Menteri Pendidikan.Kalau tidak habislah kita semua terpaksa cakap ikut bahasa kampung dio. Camno gek'e...
UMNO sebagai sebuah parti yang 'kununnya' memperjuangkan bangsa Melayu sepatutnya meneruskan usaha pembakuan tersebut walau bagaimana benci sekalipun terhadap orang yang memperkenalkannya. Jelas UMNO mahu menghapuskan terus nama DSAI dari sejarah. Ini adalah taktik Marxis yang menjadi idola PM kita.
Perpaduan yang cuba dipupuk melalui bahasa baku dihapuskan hanya semata-mata kerana ia adalah idea Anwar Ibrahim. Zaaba pernah berkata BAHASA JIWA BANGSA. Bahasa yang tidak seragam menggambarkan jiwa rakyatnya yang tidak bersatu.Bahasa 'rojak' sudah pastilah jiwa bangsanya juga 'rojak' atau mungkin juga 'passembur'.
Realiti masyarakat (yang menggunakan bahasa rojak) itulah yang cuba dipertahankan oleh Dr. Rais dan UMNO.Setelah lebih 10 tahun Bahasa Baku diperkenalkan oleh DSAI sejak 1988, majoriti masyarakat Malaysia semakin menerimanya. Beribu-ribu pelajar sekolah (bermula dari yang memasuki darjah satu tahun 1988) telah mahir menggunakannya. Begitu juga dengan kakitangan Kementerian Pendidikan termasuk guru-guru dan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saya sendiri begitu senang melihat anak saya dan kawan-kawannya bercakap menggunakan bahasa baku.Saya bangga melihat kakitangan DBP dan beberapa orang sasterawan menggunakan bahasa baku ketika bercakap di khalayak ramai.Saya kagum dengan kemampuan pembaca berita TV3(Dr. Rais sebut TV Tigo) menggunakan bahasa baku.
Kata Dr. Rais, ada beberapa perkataan yang janggal kerana terlalu mengikut ejaan. Bukankah 'menyebut mengikut ejaan' itu cara yang terbaik? Kalau tidak mengikut ejaan apa kaedah yang harus digunakan. Sejak darjah satu lagi saya diajar membaca mengikut ejaan.
Mungkin ada perkataan yang terasa janggalnya terutama perkataan-perkataan yang berasal daripada bahasa Inggeris, tetapi kita harus membiasakannya Kata pepatah Melayu, 'Alah Bisa Tegal Dek Biasa'.Bisa pun boleh dialahkan,apa lagi kalau setakat janggal. Adibah Amin pernah menyebut,
"Betulkan yang Biasa...Biasakan yang betul." Kalau dah biasa pasti hilang kejanggalannya.
Malangnya ketika pohon bahasa mula membesar, ada tangan kejam mencabutnya. Malang sungguh bahasaku.
pak_sheikh@hotmail.com