Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kenyataan Media Presiden PAS - Bahasa Baku BN Celaru

PAS menyifatkan keputusan kabinet memansuhkan penggunaan bahasa baku di stesen radio dan TV sebagai satu keputusan yang cukup tidak wajar sekaligus memaparkan kecelaruan pemikiran yang sedang melanda kepimipinan UMNO/Barisan Nasional khasnya pemangku Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Badawi.

Keputusan kabinet yang diumumkan oleh Datuk Dr. Rais Yatim, menteri di Jabatan Perdana Menteri diikuti oleh pengumuman Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad yang akan mengarahkan pemansuhan penggunaan bahasa baku di sekolah sekolah. Polisi yang mengejutkan ini, mengingatkan semua pihak bahawa Menteri Pendidikan baru, yang diharap-harapkan akan lebih berfikiran matang dan bijak serta bertindak lebih “knowledge and research-based” membawa ingatan lama kementerian pendidikan yang dikenali dengan ciri polisi “knee-jerk” yang lebih bersifat spontan dan ad-hoc seumpama peperiksaan terbuka, sekolah satu sesi, isu sekolah agama rakyat dan sebagainya.

Kita juga hairan bagaimana Dewan Bahasa dan Pustaka yang diamanahkan menjaga persoalan berkaitan bahasa telah dikesampingkan serta tidak tahu menahu berkenaan keputusan kabinet tersebut, sebagaimana yang diakui oleh Ketua Pengarahnya sendiri baru-baru ini.

"Sekiranya kabinet mengubah sikapnya pada masa akan datang, terpulang pada asas yang lain pula. Saya kira ini bukan polimik bahasa yang meruncing, kita ada hal dan tanggungan yang lebih berat daripada itu." - Dato' Dr Rais Yatim, 22 Jan 2000.

Kenyataan di atas oleh Datuk Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya menjaga soal undang-undang bukan soal bahasa atau penyiaran, seolah-olah mengambil mudah perkara bahasa lantas menunjukkan tahap ketidakcekapan barisan pimpinan kerajaan yang ada kini. Sedangkan beliau sepatutnya sedar bahawa keputusan sebegini mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap bidang penyiaran, tetapi terhadap sistem pendidikan negara.

Kita juga masih ingat akan keluhan dan kritikan banyak pihak termasuk Encik Siva Subramaniam Presiden Cuepacs sedikit masa lalu akan gejala keruntuhan moral dan peningkatan jenayah juvana dikalangan pelajar lantas menuntut supaya dasar pendidikan negara dikaji dan digubal semula. Dengan membangkitkan isu bahasa baku sekaligus membayangkan kepada seluruh masyarakat bahawa Menteri Pendidikan khususnya dan kabinet seluruhnya sudah hilang kepekaan dan keprihatinan terhadap isu yang lebih besar dan mendasar yang perlu didepani dalam cabaran pendidikan kini.

Atas sebab itu, PAS menyarankan kajian yang lebih mendalam dan mendasar perlu dilakukan. Aspek dasar, kurikulum dan perlaksanaan perlu diberikan keutamaan. Kalau pun isu bahasa baku ingin diteruskan, adalah disarankan supaya pandangan-pandangan pakar bahasa terutama DBP, ahli ahli akademik tempatan seterusnya pihak awam perlu diambil kira sebelum kabinet mengambil sebarang tindakan susulan atas keputusan yang dibuat berkenaan isu bahas baku ini. PAS menyarankan agar kabinet menarik balik keputusan tersebut supaya satu keputusan yang lebih wajar dan bijak dapat dicapai setelah mengkaji dan mengambil kira pandangbalas semua lapisan pihak.

PAS juga cukup kecewa dan mempersoalkan motif Dr. Rais mengkaitkan asal-usul bahasa baku ini dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim. Walaupun kita difahamkan Dr Rais sedang dalam keghairahan merebut jawatan tinggi dalam UMNO, kita mengingatkan beliau agar berhati-hati membuat sebarang kenyataan. Dr Rais mungkin telah membaikpulih 'jambatan yang dibakar hangus' olehnya dahulu dengan UMNO. Namun, kita bimbang beliau sedang 'membakar jambatan' dengan seluruh rakyat Malaysia dengan sikap anti-Anwarnya yang tidak habis-habis.

DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
Ketua Pembangkang.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com