Pemuda Terengganu akan bantu kerajaan

 


Pertemuan antara kepemimpinan Pemuda PAS negeri dengan Ustaz Wan Hassan, Haji Abdul Wahid dan Ustaz Abu Bakar.

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu mengadakan kunjungan hormat menemui beberapa Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di sini, Rabu lalu.

Ketuanya, Zakaria Dagang yang mengetuai rombongan itu memberi-tahu, antara tujuan kunjungan itu adalah untuk mendapat maklumat daripada Exco-exco berkenaan mengenai tindakan susulan yang boleh dilakukan oleh dewan itu.

"Sebagai golongan yang menjadi agen perubahan dalam masyarakat, kami daripada Pemuda negeri merasa bertanggungjawab untuk membantu kerajaan negeri dalam bidang-bidang tertentu," ujarnya kepada Harakah.

Pada pertemuan itu juga, pihak Pemuda PAS negeri turut memberi pandangan awal kepada Exco berkenaan mengenai tindakan yang boleh dilakukan dalam usaha untuk menyalurkan maklumat daripada kerajaan kepada masyarakat.

"Majlis itu adalah yang pertama bagi pihak Pemuda dan akan diteruskan pada masa akan datang untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan usaha yang boleh kami lakukan untuk membantu Exco dan kerajaan ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil kepada semua lapisan rakyat," katanya.

Ini, katanya selaras dengan manifesto PAS dalam pilihan raya umum lalu di mana kerajaan berusaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat bertakwa, berdisiplin, bermaruah, berhemah tinggi, beramanah, harmonis dan berpegang dengan konsep amar makruf nahi mungkar.

Selain itu, tambahnya Pemuda negeri akan membantu kerajaan untuk membudayakan masyarakat dengan kebebasan berbicara berasaskan ajaran Allah dalam menghapuskan budaya fitnah dan konspirasi.

"Insya -Allah, Pemuda negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membantu kerajaan dalam membentuk kerukunan masyarakat, kemesraan berjiran dan saling hormat menghormati antara insan tanpa mengira etnik, budaya dan agama," ujarnya.

Exco yang sempat ditemui pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib, Pengerusi Jawatankuasa Pembangu-nan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelan-congan negeri, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

 

dipetik daripada HARAKAH