Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Tidak perlu kebebasan akhbar

Hishamuddin Rais

Laporan sepenuhnya : malaysiakini.com

Jan 15: Seminggu sebelum sambutan Hari Raya telah tersebar berita tentang langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menyusah, menyempit dan akhirnya mengkambuskan beberapa majalah dan akhbar yang membawa pandangan yang tidak selari dengan budaya politik Umno. Akhbar-akhbar yang diganggu itu ialah Harakah, akhbar rasmi PAS, dan empat lagi penerbitan.

Semua yang berlaku itu tidak harus memeranjatkan kita. Tetapi jika masih ada orang yang terperanjat apabila mendengar permit Detik, Wasilah, Harakah atau Tamadun ditarik kembali bermakna individu-individu ini masih belum sedar dan kurang faham tentang kedudukan politik negara ini dan makna kebebasan bersuara di Dunia Ketiga.

Pasti ada juga individu atau kelompok yang membantah tindakan kerajaan ini dengan alasan kebebasan akhbar atau freedom of the press. Golongan ini menuntut agar media di negara kita menjadi satu lembaga yang bebas. Kumpulan ini termasuklah mereka yang kurang jelas tentang peranan daulah (state) dan peranan modal (capital).

Pada hakikatnya tidak wujud kebebasan akhbar di Barat atau di Timur, di negara maju atau di negara Dunia Ketiga. Di negara-negara kapitalis seperti Amerika Syarikat, Australia atau Jerman memang dilihat wujud kebebasan akhbar. Kebebasan ini bagaimanapun hanya pada satu tahap saja. Selagi akhbar-akhbar ini tidak mengancam kepentingan modal dan para pemodal, maka akhbar-akhbar ini boleh bertempik siang dan malam.

Kritikan-kritikan di akhbar-akhbar ini akan digunakan untuk memperkuatkan keyakinan umum terhadap kewujudan demokrasi di negara-negara itu. Demokrasi yang wujud di Barat adalah demokrasi modal untuk para pemodal. Selagi para pemodal dan tuan punya saham tidak terganggu, maka "kebebasan akhbar" seperti ini boleh wujud.

Apa yang wajib diperjuangkan di negara Dunia Ketiga seperti Malaysia bukan kebebasan akhbar tetapi kebebasan untuk menulis, menerbit dan mencetak. Inilah asas demokrasi yang tulen. Sesiapa saja boleh menulis, mencetak dan mengedar apa saja pandangan. Pandangan ini boleh pula dihujah secara bebas. Inilah ciri masyarakat madani yang berpandukan demokrasi tulen.

Justeru dalam demokrasi tulen, hanya penulis yang fasih, berwibawa menulis, bijak berhujah dengan lenggok bahasa yang menarik atau dapat memaparkan hujah dengan fakta-fakta yang tepat yang akan dapat menarik pembaca. Idea yang jitu, ilmiah, rasional dan munasabah akan berkembang. Idea yang karut, tahyul dan tidak masuk akal akan diketepikan. Dalam suasana seperti ini, neraca kebenaran dan kata pemutus dipegang oleh pembaca. Pembacalah yang akan menjadi hakim dan juri.

Hari ini, apa yang berlaku pada kepada media-media kita bukanlah sesuatu yang tidak sihat. Penarikan lesen mahu pun penutupan majalah wajib dilihat sebagai satu fenomena yang positif. Tindakan kerajaan ini telah menyebabkan lebih ramai pembaca beralih untuk melihat laman-laman web. Ini adalah satu kenyataan ilmiah. Sehari sesudah berita Harakah diganggu Kementerian Dalam Negeri tersiar kepada umum, bilangan pembaca Harakah edisi Internet melonjak. Dari kajian, statistik menunjukkan Harakah edisi siber menjadi laman web bukan perniagaan yang kedua paling popular di dunia selepas Laman Reformasi (lebih popular, mahazalimtwo). Perkembangan ini membuktikan tindakan KDN apabila dibantu teknologi perkomputeran hari ini telah membawa satu anjakan yang positif.

Teknologi internet yang wujud hari ini membolehkan sesiapa saja menjadi penerbit, pencetak dan penulis sekali gus. Ia tidak mungkin terjadi sepuluh tahun dahulu. Tidak mungkin ada satu kuasa di dunia ini yang dapat menghadkan idea dan pendapat dari sesiapa pun untuk berkembang. Laman web di internet tidak memerlukan kebenaran dari sesiapa pun di dunia ini. Kebebasan menulis di laman web kini menyusur kepada falsafah demokrasi tulen. Laman web dan akhbar web adalah masa depan manusia.

Teknologi ini membuka satu ledakan -- revolusi ini setaraf dengan ledakan Revolusi Industri seratus tahun dahulu.

Turut dibuktikan ialah bilangan pembaca akhbar bercetak semakin menurun di seluruh dunia. Dan mungkin satu masa nanti akhbar cetak akan menjadi satu yang tidak relevan lagi. Di negara kita suasana peralihan ke laman web ini dibantu oleh budaya politik Umno dan disokong pula oleh sikap media arus perdana. Justeru kita tidak perlu menghabiskan masa dan daya fikir mengkritik media arus perdana kita. Atau meminta mereka bersikap adil dan melaporkan berita secara seimbang. Ini tidak mungkin terjadi.

Semua media memihak dan membawa satu pandangan politik. Yang membezakan sesebuah akhbar dengan akhbar yang lain hanyalah sama ada akhbar itu propemodal, antirakyat atau antidemokrasi.

Dalam budaya politik kita hari ini, kita wajib mempopularkan dan menggalakkan orang ramai mencari sumber berita dari laman-laman web. Sempena sambutan Hari Raya kali ini, kita harus berterima kasih kepada kerajaan kerana langkah yang diambil telah mendorong lebih ramai lagi pelayar baru memasuki ruang siber. Untuk kerajaan dan pengendali media arus perdana, mari kita sama-sama menyanyikan lagu "Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan."




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com