
KUALA TERENGGANU, 21 Dis -
Kerajaan Pas Terengganu hari ini membentangkan belanjawan bagi tahun
2000 dengan lebihan sebanyak RM8.475 juta atau 1.22 peratus.
Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang yang
membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri
(DUN) berkata anggaran hasil bagi tahun depan adalah sebanyak
RM692.182 juta berbanding peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak
RM683.707 juta.
Beliau berkata anggaran hasil itu
menunjukkan peningkatan sebanyak 1.09 peratus berbanding dengan
hasil tahun semasa berjumlah RM684.710 juta, dan penyumbang terbesar
ialah royalti petroleum dan gas sebanyak RM530 juta.
Hasil
lain yang dijangka bertambah termasuk Hasil Bukan Cukai sebanyak
RM77.402 juta, perolehan dari Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM37.632
juta.
"Prospek ekonomi negeri Terengganu pada tahun 2000
adalah dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus,"
katanya.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negeri pada
keseluruhan tahun ini dijangka mencatat peningkatan sebanyak 4.0
peratus berbanding tahun lepas hanya 1.1 peratus.
Abdul Hadi
berkata kerajaan negeri juga menganggarkan kadar pengangguran di
negeri ini menurun kepada 4.1 peratus memandangkan prospek penawaran
kerja mengalami pertambahan dan dapat menampung keperluan guna
tenaga yang mencukupi.
Belanjawan kali ini juga menggariskan
beberapa perancangan seperti pelaksanaan sistem pajak gadai
berlandaskan `Muasasah Ahranh' di seluruh negeri serta pembentukan
sistem pengurusan akaun kewangan negeri mengikut perbankan Islam
berkuatkuasa 1 Jan.
Ia juga memastikan semua urusan pinjaman
kenderaan dan komputer kepada kakitangan kerajaan negeri diurus
mengikut sistem `Al-qardhul-hasan' iaitu faedah dan keuntungan akan
dikecualikan terhadap pinjaman semasa atau pinjaman baru bagi
mengelakkan riba.
Abdul Hadi berkata selain itu, bagi
mendaulatkan syariat Islam kerajaan negeri akan mengenepikan hasil
daripada sumber yang diharamkan.
Kerajaan memutuskan bahawa
semua hasil yang diperolehi daripada lesen-lesen hiburan yang
berunsur maksiat, arak, judi dan sebagainya tidak akan dipungut dan
dihapuskan selepas satu kajian mengenainya selesai, katanya.
Kerajaan negeri juga berjanji untuk membuka semula
permohonan tanah bagi dimajukan agar dapat menjana ekonomi negeri
serta memastikan setiap keluarga memiliki tapak rumah kediaman
masing-masing.
"Pemaustautin tanpa hak (tanah haram) akan
diselesaikan dalam sesingkat masa yang boleh dan penyusunan semula
kependudukan akan diberi perhatian serius," katanya.
Abdul
Hadi berkata daripada peruntukan perbelanjaan mengurus, sebanyak
RM80.604 juta disediakan untuk perbelanjaan tanggungan manakala
RM603.103 juta adalah perbelanjaan bekalan.
Sebahagian besar
perbelanjaan mengurus digunakan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran
Tetap iaitu sebanyak RM470.497 termasuk caruman kepada Kumpulan Wang
Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Bekalan Air dan Lembaga Tabung
Amanah Warisan Ngeri.
Selain itu, perhatian khusus diberikan
kepada pembangunan kawasan bandar serta mengemas kini jentera
pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan untuk meningkatkan kecekapan dan
prestasi mereka.
Abdul Hadi berkata kerajaan negeri juga
akan menilai dan menyusun semula Badan-badan Berkanun Negeri yang
berlaku pertindihan fungsi bagi meringankan beban perbelanjaan
mengurus.
Belanjawan negeri kali ini juga tidak mengenepikan
program pembangunan insan dan bimbingan kepada golongan belia dengan
menyediakan peruntukan khas di bawah Program Latihan Kemahiran yang
dikendalikan oleh jabatan dan agensi-agensi berkaitan, katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju meningkatkan
bantuan kebajikan kepada lebih 4,600 keluarga termiskin di negeri
ini untuk memberi peluang mereka berdikari melalui peruntukan
sebanyak RM16.6 juta di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Abdul Hadi berkata bagi sektor pendidikan kerajaan negeri
berhasrat menubuhkan satu dana khas dan menggerakkan agensi-agensi
kerajaan negeri yang terbabit dalam urusan pembiayaan pendidikan.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula beberapa
projek yang mempunyai unsur-unsur pembaziran, boros dan projek mewah
untuk dikawal selia dengan tidak menjejaskan kemajuan dan
pembangunan negeri.
Bagi projek pembangunan, sebanyak
RM163.471 juta diperuntukkan melibatkan 527 projek termasuk
projek-projek sambungan dan yang sedang dalam pelaksanaan manakala
projek-projek yang melibatkan peruntukan besar seperti pembinaan
Kompleks Sukan Negeri dan Masjid Negeri akan dinilai semula,
katanya.
Belanjawan 2000 Terengganu juga memberi tumpuan
kepada sektor pertanian dan perikanan. Ia bertujuan meningkatkan
komoditi selain mencapai tahap sara diri yang tinggi serta
penyusunan semula kawasan penempatan di bandar dan luar bandar
selain menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur.
Abdul
Hadi berkata kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM7.72 juta
untuk sektor pelancongan.
Beliau berkata memandangkan
kerajaan Barisan Nasional meninggalkan bebanan hutang lebih
RM731.334 juta, kerajaan Pas mewujudkan Lembaga Hisbah untuk menilai
semula sistem pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu,
konsep `Syura Rakyat' yang mewakili segenap lapisan masyarakat
diadakan untuk mendapat pandangan rakyat berkenaan sesuatu projek
yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, katanya.