KUALA TERENGGANU, 21 Dis -
Kakitangan kerajaan Negeri Terengganu akan menikmati lima hari
bekerja seminggu serta cuti bersalin selama 90 hari kepada isteri
dan tujuh hari untuk suami berkuatkuasa Januari ini.
Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang membuat pengumuman itu
sewaktu membentangkan Belanjawan Tahun 2000 pada mesyuarat pertama
penggal persidangan Dewan Undangan Negeri ke sepuluh, di sini, hari
ini.
"Ini bermakna kakitangan kerajaan akan bekerja dari
Ahad hingga Khamis manakala hari Jumaat dan Sabtu adalah cuti umum,"
katanya.
Kerja lima hari seminggu dan cuti bersalin 90 hari
kepada isteri dan tujuh hari untuk suami adalah antara janji PAS
dalam manifestonya pada pilihan raya umum lepas.
Beliau
berkata Kerajaan Negeri juga bersetuju meluluskan bayaran bonus pada
kadar sebulan gaji kepada semua peringkat kakitangan dengan bayaran
minima sebanyak RM1,000.
Bayaran pertama sebanyak RM400
merupakan sebahagian daripada bayaran bonus itu telah dibuat pada
November lepas dan bakinya akan dibayar dalam dua bayaran iaitu pada
bulan ini dan bulan hadapan, katanya.
Abdul Hadi berkata,
Kerajaan Negeri juga telah menunaikan sebahagian daripada janjinya
dalam manifesto PAS Terengganu pada pilihan raya umum lepas dengan
menghapuskan bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud dan cukai bakul
kepada peniaga kecil.
Di samping itu Kerajaan Negeri juga
telah bersetuju dan memutuskan supaya bayaran lesen perahu, permit
pindah dan lesen haiwan akan dikaji untuk dikecualikan, katanya.
Beliau berkata, bagi menggerakkan tenaga dan merealisasikan
objektif manifesto lepas, Kerajaan Negeri juga antara lain membentuk
dan memperkenalkan portfolio baru iaitu Pelaksanaan Syariah, Hal
Ehwal Wanita, Hal Ehwal Bukan Islam dan Hisbah.
"Walaupun
matlamat kerajaan Terengganu untuk menjadikan Islam sebagai Ad-din
dan mengembalikan kedaulatan Darul Iman, ianya tidak akan
mengenepikan atau memperkecilkan konsep kebebasan beragama,
berpersatuan, hak kesamarataan di sisi undang-undang dan demokrasi
berParlimen," katanya.
Terdahulu semasa persidangan dewan,
Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan
(2000) 1999 untuk bacaan kali pertama.
Persidangan dewan
yang bermula semalam dengan majlis angkat sumpah semua anggota dewan
dan pelantikan Yang Dipertua akan berakhir Khamis ini.
Persidangan dewan ditangguhkan esok untuk perbahasan.