|
KUALA LUMPUR, 22 Dis - Kabinet
hari ini bersetuju untuk meneruskan projek pembinaan Lebuhraya
Pantai Timur (LPT) di Terengganu jika kerajaan pimpinan PAS di
negeri itu bersetuju membenarkan kutipan tol dikenakan kepada
penggunanya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy
Vellu berkata kerajaan pusat sebaliknya sedia untuk tidak mengenakan
tol sekiranya kerajaan Terengganu sanggup membayar sejumlah pampasan
kepada kerajaan pusat dan syarikat konsesi sebagai ganti rugi kepada
bayaran tol yang sepatutnya dikutip.
"Atau jika mereka tidak
mahu jalan bertol dan mereka sanggup pula membiayai dan membinanya,
mereka boleh berbuat demikian. Kerajaan pusat tidak ada halangan,"
katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau
berkata sekiranya kerajaan Terengganu bersetuju dengan pilihan yang
diberikan, maka pembinaan projek LPT di negeri itu boleh dimulakan
serentak dengan pembinaan fasa pertama LPT di Pahang antara Karak
dan Temerloh.
Fasa pertama LPT di Terengganu ialah antara
Chendering dan Bukit Besi. Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Noor
dalam satu kenyataan berkata Barisan Alternatif menerima penjelasan
kerajaan pusat bahawa pembinaan LPT perlu dikenakan tol kerana ia
dibuat secara penswastaan.
"Barisan Alternatif berharap tol
yang bakal dikenakan di Terengganu nanti tidak membebankan rakyat
dan ianya perlu mengambil kira semua aspek termasuk kedudukan negeri
itu yang baru masuk ke fasa pembangunan," katanya.
Beliau
meminta kerajaan pusat membebaskan sebahagian daripada lebuh raya
itu daripada tol bagi bahagian-bahagian yang digunakan oleh penduduk
setempat untukberulang-alik seperti yang dilaksanakan di Lebuhraya
Utara Selatan.
"Selanjutnya, Barisan Alternatif juga
menuntut supaya kerajaan dapat meneruskan pembinaan LPT tersebut
terus ke Kelantan bagi kepentingan dankemudahan rakyat di sana,"
katanya.
|