KUALA LUMPUR : Rakyat negara ini diajak memboikot tiga media utama negara iaitu Utusan Malaysia, New Straits Times dan pengiklan TV3 selama tiga bulan mulai Februari ini sebagai bantahan terhadap sikap mereka sepanjang kempen pilihan raya lepas.
Satu majlis pelancaran kempen itu akan dibuat secara besar-besaran pada 1 Februari ini di pekarangan Pejabat KeADILan Bahagian Gombak, Desa Melawati, Kuala Lumpur iaitu hari permulaan boikot selama tiga bulan itu.
Majlis akan bermula dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam.
Orang ramai dijemput untuk menandatangani satu kain rentang bantahan yang dijangka akan memecahkan rekod nota bantahan terpanjang dalam dunia.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Boikot itu, Rustam A Sani, para pemimpin kanan Barisan Alternatif serta pemimpin NGO yang menyertai kempen ini akan memberikan ucapan dalam majlis pelancaran tersebut.
Menurut Rustam, ini adalah tindak balas kepada media yang melanggar segala etika yang disepakati bersama oleh mereka sendiri sebelum ini.
"Kita juga memberikan amaran kepada akhbar-akhbar lain bahawa mereka juga tidak akan terlepas jika terus bersikap tidak beretika," kata Rustam.
Rustam menyifatkan, tindak tanduk media ini sepanjang kempen pilihan raya lepas sebagai hina demi untuk mencapai tujuan politik mereka.
"Mereka sanggup melakukan apa saja asalkan niat mereka tercapai," katanya.
Antaranya memutar belitkan fakta, mengancam dan menggertak, Islam telah digambarkan sebagai bersifat primitif dan liar, janjikan rusuhan dan sengketa antara kaum jika kerajaan yang ada gagal mempertahankan kelebihan suara dua pertiga dan sebagainya.