BOM JANGKA II DI MALAYSIA

Sepanjang 18 tahun pemerintahan DrM, pelbagai insiden pelik dan ganjil serta peristiwa penuh misteri berlaku. Di samping berpuluh-puluh insiden kecil yang terlalu panjang untuk disenaraikan di sini, tiga yang terbesar ialah:-
i. insiden pembunuhan pejuang-pejuang Islam di Kg. Mamali, Baling, Kedah
ii. isu perlembagaan untuk menghadkan imuniti raja-raja
iii. pemecatan dan pemenjaraan DSAI

Walaupun kejadian seperti jeti runtuh di Pulau Pinang, tumbangnya Highland Towers di Kuala Lumpur, perlanggaran dua helikopter TUDM di Sipitang, bencana ribut Greg di Keningau, terhempasnya pesawat MAS di Tawau (kesemua insiden ini berlaku di Sabah), terkuburnya berpuluh-puluh kenderaan akibat tanah runtuh di Genting Highlands, Pahang, banjir lumpur di Pos Kuala Dipang, Perak, serangan virus JE di ladang penternakan babi di Negeri Sembilan, pecahnya tangki air utama di sebuah kawasan rumah pangsa di Johor Baharu dan tumpahan minyak di pantai Mersing, Johor, kebakaran tempat menyimpan minyak milik Syarikat Shell di Miri, Sarawak, karamnya feri penumpang di Kuala Kedah, Kedah, ribut puting beliong di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat dan Kg. Lubuk Sirih, Padang Besar (U), Perlis, kemarau air bersih di Lembah Kelang, Selangor, karamnya bot pendatang asing di perairan Melaka, serta kejadian jerubu yang melanda seluruh negara beberapa kali tiga tahun lalu, semuanya bolehlah dianggap berpunca sama ada dari kelalaian manusia ataupun semata-mata bencana alam, namun insiden-insiden ini seolah-olah memberi amaran kepada kita akan kedatangan bala yang lebih besar dan hebat pada masa akan datang.

Sementara insiden-insiden yang diketegorikan sebagai misteri dan menimbulkan banyak persoalan ialah nahas udara pesawat TUDM yang bakal dinaiki oleh DSAI di Pulau Pinang, kemalangan pesawat milik persendirian yang membawa Dato’ Yahya (salah seorang rakan karib DSAI) di Pahang, cubaan membunuh DSAI oleh mantan KPN, kes keracunan arsenik DSAI, proses perbicaraan DSAI di mahkamah yang penuh dengan ‘hankie-pankie’, keputusan pilihan raya ke 10 yang amat meragukan, kes Mona Fendi yang belum lagi dihukum gantung, pemenjaraan Lim Guan Eng yang membela mangsa rogol, pembebasan progol bersiri Rahim Thamby Chik dari sebarang tuduhan salahlaku seks, membiarkan perasuah dan penyalahguna kuasa Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz bebas tanpa sebarang pendakwaan, kes Eric Chia dengan isu penyelewengan berbilion ringgit wang Perwaja yang tidak disiasat, penangguhan perbicaraan kes Rahim Nor yang begitu lama, penyelesaian kes khalwat Azizan yang begitu singkat (lebih kurang dua minggu sejak ditangkap, dinikahkan dan kemudian ‘dipenjarakan’) berbanding kes biasa sepertinya yang memakan masa berbulan-bulan dan ada yang bertahun-tahun), dan banyak lagi kes yang agak penjang hendak disebutkan di sini yang semuanya memerlukan jawapan yang jelas dan memuaskan daripada DrM sebagai ‘dalang’ di sebalik semua insiden tersebut di atas.

Dengan kes rogol yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun, penagihan dadah yang tidak pernah berkurang malah semakin bertambah dari sehari ke sehari, kadar kemalangan jalan raya yang masih tinggi, perbuatan maksiat yang semakin berleluasa di kalangan remaja dan juga orang dewasa, magnitud kes salah laku disiplin pelajar- pelajar sekolah yang kian besar, amalan budaya samseng dan lanun oleh perasuah dan penyangak moden yang bermaharajalela, mampukah kita membina suatu bangsa Malaysia yang maju yang mempunyai ciri-ciri masyarakat madani dalam tempoh 20 tahun dari sekarang?

Persoalan ini haruslah para reformis fikirkan secara serius dan bersungguh-sungguh. Perkembangan terakhir dalam kancah politik, ekonomi dan sosial masyarakat telah memperlihatkan kepada kita yang tidak buta mata dan hati akan segala bentuk penipuan, pembohongan, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, demi kesinambungan kuasa yang zalim, rakus, tamak haloba dan tidak bertamadun. Sesungguhnya kita tidak lagi memerlukan sebarang pembuktian di mahkamah yang sudah terhakis fungsinya dari menegakkan keadilan dan kesaksamaan.

Dengan pendakwaan yang berpilih-pilih di bawah pelbagai akta ciptaan DrM, kita tidak lagi menaruh keyakinan terhadap institusi perundangan dan kehakiman di negara kita. Apa yang kita bertambah yakin ialah bahawa DrM akan terus mencipta akta baru atau meminda mana-mana akta sedia ada bagi memperkemaskan sistem perundangan dan kehakiman demi menjamin kelancaran agenda peribadinya yang belum selesai. Tidak mustahil pada kita bahawa suatu hari nanti, akta Koridor Raya Multimedia khusus bagi mengawasi penggunaan internet juga akan digubal dan dilaksanakan.

Prinsip kedaulatan undang-undang dalam Rukun Negara kita sudah tercemar dan dilacurkan. Sindrom tidak menghormati undang-undang semakin ketara dan merebak pantas khususnya di kalangan kepimpinan negara di pelbagai peringkat. Prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ begitu kuat dipegang. Kalaulah rasa hormat pada perlembagaan negara sudah terhakis dari dalam diri ahli-ahli yang berhormat, percayalah bahawa kita akan menyaksikan betapa kemuliaan Dewan Rakyat dan Parlimen itu sendiri lambat laun akan diinjak-injak oleh para pemimpin kita. Akhirnya, rasa hormat pada YDPA pun akan beransur-ansur hilang. Tingkah laku DrM yang tidak bangun berdiri ketika YDPA menyampaikan hadiah dalam majlis musabaqah peringkat antarabangsa baru-baru ini menggambarkan dengan jelas tentang sikap tidak ambil kisah untuk mematuhi protokol. Sekurang-kurangnya DrM hormat sedikit pada tetamu agung itu. DrM marah kalau orang tidak beri sambutan permidani merah kepadanya.

Apabila semua orang tidak lagi menghormati perlembangaan dan YDPA, ketika itu usahlah kita bercakap lagi tentang ketuanan Melayu. Ke arah merealisasikan konsep ‘Malaysian Malaysia’ pun akan menjadi satu igauan ngeri yang tidak kesampaian tanpa jaminan ketuanan Melayu dan hak-hak keistimewaan mereka. Semangat ketuanan Melayu janganlah disalahertikan dan disalahgunakan. Ia haruslah diterjemahkan secara bersepadu dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ di bawah naungan payung Negara Islam yang berteraskan keadilan, kesaksamaan dan kesamarataan untuk seluruh rakyat tanpa mengira suku kaum, agama dan warna kulit. Semua warga negara yang ketaatsetiaannya hanya sanya kepada negara ini wajib dilindungi di bawah perlembagaan. yang luhur. Keluhuran perlembagaan saja tidak akan membawa apa-apa makna tanpa kedaulatan undang-undang. Sementara kedaulatan undang-undang pula menuntut kepatuhan secara total dari setiap rakyat tanpa mengira status dan kedudukan.

Pada 13 Mei, 1969, terjadilah letupan bom jangka pertama di negara ini setelah mengambil masa sekian lama untuk meletup. Ketidakseimbangan antara kaum dalam sektor ekonomi, pendidikan, sosial dan kebudayaan yang dibiarkan tanpa pembelaan secara bersungguh-sungguh dan nyata menjana rasa dendam dan irihati yang terpendam. Namun kaum yang tersisih dan tertindas khususnya orang Melayu mampu bertahan dengan tahap kesabaran yang tinggi berteraskan ajaran agama mereka yang menuntut rasa saling hormat menghormati serta berbaik sangka antara sesama manusia tanpa mengira sesiapa. Namun, kesabaran mereka ada batasnya. Kalaulah tidak kerana tingkah laku orang-orang Cina menghina orang-orang Melayu semasa mereka berpesta menyambut kemenangan dan kejayaan besar dalam pilihan raya ketiga itu, tentulah tidak tercetus sebarang pergaduhan kaum yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara.

Kita harus besyukur kerana peristiwa tersebut benar-benar mendewasakan kita. Perpaduan yang kita nikmati hari ini sebagai satu bangsa Malaysia yang ingin bergerak ke arah kemajuan tidak mungkin tercapai kalau kita tidak pernah berkonflik dan berkrisis. Tanpa konflik langsung tentulah kita tidak saling faham memahami dan saling hormat menghormati. Hal ini berlaku di seluruh dunia sejak zaman berzaman. Syaratnya, janganlah setelah kita faham, kita buat-buat tidak faham pula seumpama bangsa Yahudi yang sentiasa terus menindas orang-orang Palestin.

Konflik itulah yang membawa kepada reformasi dan perubahan. Sebenarnya, kemajuan tidak akan tercapai tanpa perubahan, dan perubahan pula bertitik tolak dari kesilapan dan kelemahan yang perlu dibaiki. Jika kita telah melakukan kesilapan dan sedar pula di atas kesilapan itu serta sanggup bertanggungjawab, maka tidak berlakulah pergeseran dan konflik. Malangnya, jika kita yang melakukan kesilapan masih mahu mempertahankan kesilapan kita, konflik dan penentangan akan wujud. Lebih malang lagi kerana kita tidak ambil iktibar dan pengajaran dari koflik yang terjadi antara kita.

Kini, 30 tahun sudah berlalu sejak peristiwa berdarah itu. Kenapakah, kerana hendak menjaga kepentingan peribadi masing-masing, masih kedengaran suara-suara sumbang tetapi lantang menimbulkan isu-isu perkauman yang tidak relevan? Isu sekarang ialah isu penindasan dan ketidakadilan, rasuah dan penyelewengan, penipuan dan salahguna kuasa yang, jika tidak disekat, akan membawa padah kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kenapakah dalam saat-saat kita memperjuangkan agar dikembalikan keadilan dalam sistem sosial dan kehidupan kita di samping usaha membendung gejala-gejala tersebut di atas, ada pihak yang sanggup menangguk di air yang keruh dengan membuat pelbagai tuntutan yang menguntungkan sesuatu kaum dan menafikan kaum-kaum yang lain?

Usaha kita menuntut reformasi ialah untuk menghalang terjadinya letupan bom jangka yang kedua. Namun, di pihak kepimpinan negara pula sedang rancak menyumbat bahan-bahan api dalam bom jangka tersebut. Takdir telah menentukan bahawa BN boleh memerintah lagi walaupun melalui segala bentuk penipuan sebelum dan semasa pilihan raya. Sepatutnya, setelah BN berjaya mengekalkan tampuk pemerintahan, hentikanlah segala tindakan kotor dan tidak bermaruah yang dulu itu. Apalah faedahnya memecat orang sana, memecat orang sini sehingga orang hendak belajar agama pun dikawal dan disekat. Hentikanlah usaha menyekat kebangkitan Islam di Malaysia ini. Janganlah bercita-cita hendak menjadikan negara ini seperti Turki pula. Insaflah dan minta maaflah pada sesiapa saja yang telah dianiayai dan dizalimi. Bill Clinton pun sanggup memohon maaf secara terbuka pada rakyatnya setelah dia sedar bahawa dia tersilap melakukan salah laku seksual dengan rakyatnya sendiri.

Kalau sudah tersilap dan terlanjur, akuilah kesilapan. Manusia mana yang tidak pernah melakukan kesilapan. Nabi Muhammad pun pernah tersilap dan ditegur oleh Allah SWT kerana kurang melayan orang buta (Ibnu Ummi Maktum). Khalifah Umar Alkhattab pun minta ditegur jika baginda melakukan kesilapan. Itulah kepimpinan yang perlu diteladani. Di manakah hilangnya slogan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ DrM itu? Adakah DrM lebih hebat daripada Nabi dan Khalifah Umar?

Peluang untuk DrM menjadi PM selamanya adalah mustahil. DrM cantaslah sesiapa pun yang DrM rasa tidak sealiran dengan DrM. Sebanyak mana pun yang DrM cantas, pasti tidak akan habis-habis orang yang akan menentang DrM. Bayangkan nasib orang-orang yang selama ini bernaung di bawah ketiak DrM setelah kejatuhan DrM nanti. Apakah akan terjadi pada mereka tanpa DrM? Tidakkah mereka juga terfikir akan nasib mereka setelah ketiadaan DrM nanti? Orang-orang yang DrM lindungi sekarang pasti akan melakukan “turning over” dan menghentam DrM balik sama ada secara langsung atau tidak, sama ada berdepan atau di belakang.

Untuk DrM turun dan melepaskan jawatan DrM secara terhormat sudah tidak ada harapan lagi. Kerosakan pada imej diri DrM di mata rakyat sudah begitu parah. Penghinaan DrM kepada Nabi Muhammad dan para ulamak di samping sikap DrM yang memperlekehkan Islam serta cendikiawan dan pelajar-pelajar Melayu amat mengguris perasaan bangsa sendiri.

Cuma satu perkara saja yang boleh DrM lakukan demi mengemis simpati dan keyakinan rakyat terhadap DrM iaitu dengan bertaubat dan berhenti menghina Nabi kita di samping memohon maaf di atas segala kesilapan DrM kepada DSAI dan keluarganya, Dato' Ishak Baharum, Prof. Dato’ Dr. Harun Din, Tuan Guru Nik Aziz, Lim Guan Eng, Tg. Razaleigh Hamzah, Dato’ Musa Hitam, ahli keluarga para mujahid yang terbunuh di Mamali, dan juga arwah YTM Tunku Abdul Rahman. Minta maaflah kepada rakyat secara terbuka dan ikhlas di atas segala pembohongan dan penipuan yang DrM lakukan selama ini. Takutlah pada Allah kerana satu hari nanti kita akan kembali kepada-Nya jua.

Anwar Selamat