KUALA TERENGGANU, 25 Jan - Majalah Buletin Darul Iman, yang merupakan majalah rasmi kerajaan negeri Terengganu, akan dikeluarkan setiap minggu tidak lama lagi sebagai saluran maklumat kerajaan negeri kepada rakyat.
Buletin itu semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah diterbitkan setiap tiga bulan sekali.
Ketua Pengarangnya Zahari Mohamed berkata pengedaran buletin itu yang diberikan secara percuma akan dilakukan di pejabat urusetia penerangan di setiap pejabat daerah.
"Buletin itu akan menyiarkan aktiviti dan perkembangan terbaru kerajaan negeri dan setiap daerah akan dibekalkan dengan sebanyak 2,000 naskhah," katanya di sini hari ini.
Zahari, yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang, berkata pada masa sekarang pihak penerbitan buletin itu sedang menguruskan beberapa masalah teknikal bagi melicinkan kegiatannya sebelum pengeluaran buletin itu dilakukan.
"Dengan adanya buletin mingguan itu ia akan dapat melaporkan setiap kegiatan kerajaan negeri yang merangkumi pembangunan, pembentukan sahsiah, agama, fokus, budaya dan sebagainya," katanya.