USTAZ FADHIL CIPTA SEJARAH

ALOR SETAR, 26 Dis - Presiden PAS Datuk Fadzil Noor mencipta sejarah apabila menjadi ketua pembangkang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Kedah.

Walaupun secara rasminya tiada jawatan ketua pembangkang di DUN Kedah namun Fadzil akan mengetuai barisan 12 anggota DUN PAS di dewan negeri itu.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk memegang kedua-dua jawatan itu walaupun secara rasmi jawatan ketua pembangkang di DUN Kedah tidak wujud," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah para anggota DUN Kedah, di sini.

Katanya, beliau akan terus memberi pandangan membina dan teguran terhadap perkara-perkara yang difikirkannya sudah terkeluar daripada landasan yang sepatutnya.

Fadzil berkata Haji Azizan Abdul Razak (PAS-Sala) akan mengetuai barisan pembangkang di DUN Kedah sekiranya terdapat pertindihan persidangan Parlimen dan DUN Kedah.

Presiden PAS itu juga berkata parti itu akan memperkenalkan sistem exco di kalangan barisan pembangkang di DUN Kedah.

Ini bertujuan untuk membolehkan setiap anggota DUN PAS mengikuti perkembangan portfolio yang dipegang oleh exco-exco negeri, katanya.

Fadzil juga meminta supaya tempoh persidangan dewan negeri mengenai Belanjawan 2000 dilanjutkan bagi membolehkan lebih ramai anggota DUN membahaskannya secara menyeluruh.

Menteri Besar Datuk Syed Razak Syed Zain dijadualkan akan membentangkan belanjawan itu pada Selasa ini. Tiada tempoh perbahasan ditetapkan.

DUN Kedah mempunyai daripada 24 anggota Barisan Nasional dan 12 anggota PAS.