Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kerajaan Pusat Malu tiru Cuti Hari Sabtu

KUALA TERENGGANU : Timbalan Presiden Parti keADILan Nasional, Dr Chandra Muzaffar menyifatkan Kerajaan Pusat malu untuk meniru cuti Sabtu setiap minggu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan Pusat sepatutnya tidak malu untuk meniru cuti mingguan Sabtu seperti yang diamalkan oleh kedua-dua negeri di bawah pemerintahan PAS itu.

"Yang baik kita tiru, yang jahat jangan tiru," ujarnya ketika menyampaikan ceramah di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, di sini, Jumaat lalu.

Beliau turut memuji langkah yang diambil oleh para pemimpin kerajaan negeri ini yang diketuai oleh Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana mengisytiharkan harta mereka.

Katanya, pengisytiharan harta pemimpin kerajaan tidak dilakukan oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional di negeri-negeri lain sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan.

Selain itu, tambahnya, pewujudan Jawatankuasa Hisbah oleh kerajaan negeri adalah satu tindakan yang tepat yang tidak dilaksanakan di negeri lain.

"Hisbah yang menjadi tempat untuk rakyat mengadu kepada kerajaan bagi menyiasat pemimpin adalah kali pertama dilaksanakan di Terengganu," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan negeri mengambil dua langkah untuk membuktikan bahawa apa yang dilaksanakan menepati prinsip keadilan dan kemanusiaan.

Katanya, perkara pertama ialah suruhanjaya bagi menyiasat penyelewengan sepanjang pemerintah BN hendaklah perlulah menjalankan tugas dengan berani dan tegas.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak kompromi dengan rasuah dan salahguna kuasa," katanya.

Di samping itu, ujarnya, kerajaan negeri juga perlu mengemukakan laporan tahunan tentang keperluan asas rakyat dan prestasi dalam melaksanakan dasar keperluan asas itu.

Tambahnya, laporan itu boleh dibentangkan di persidangan Dun termasuk mengenai pencapaian hospital, klinik, sekolah dan lain-lain.

"Ini untuk membuktikan kepada rakyat seluruh negara bahawa kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah rakyat," katanya.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com