|
KUALA LUMPUR, 22 Dis - Selepas
Presiden PAS Datuk Fadzil
Noor (PAS-Pendang) semalam mengumumkan penubuhan
jawatankuasa-jawatankuasa mengikut Kementerian, hari ini DAP pula
mengikut langkah yang sama.
DAP telah menyenaraikan siapa
wakil Parlimennya yang ditugaskan mengawasi setiap Kementerian,
Dr
Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) hari ini mengedarkan kepada pemberita di
Parlimen senarai anggota Parlimen DAP yang akan mengawasi setiap
Kementerian.
Ketika ditanya apakah langkahnya itu mengikut
rakannya dari PAS, beliau berkata memberi tugas kepada setiap wakil
rakyat DAP mengawasi Kementerian tertentu bukanlah perkara baru.
"Kita ada dah sebelum ini pun," katanya dengan menegaskan
bahawa memandangkan hanya 10 wakil DAP di Parlimen, setiap anggota
terpaksa dipertanggungjawabkan dengan dua hingga empat Kementerian.
Selaku ketua anggota Parlimen DAP, seperti yang tertera di
senarai yang diberi kepada pemberita, Dr Tan akan "mengawasi"
Jabatan Perdana Menteri, Perusahaan Utama, Pertahanan dan
Pembangunan Usahawan.
Kerk Kim Hock (Kota Melaka) --
Pengangkutan, Pendidikan, Penerangan.
Tan Kok Wai (Cheras)
-- Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kesihatan, Belia
dan Sukan.
Lim Hock Seng (Bagan) -- Kerja Raya, Kementerian
Dalam Negeri.
Fong Kui Lum (Bukit Bintang) -- Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Kewangan.
Chong Eng (Bukit
Mertajam) -- Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat,
Sains,Teknologi dan Alam Sekitar.
Teresa Kok Suh Sim
(Seputeh) -- Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Luar.
Chow Kon Yeow (Tanjong) -- Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
Sumber Manusia.
Fong Po Kuan (Batu Gajah) -- Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan, Pembangunan Luar Bandar.
Goh Kheng
Huat (Nibong Tebal) -- Pertanian, Tanah dan Pembangunan Koperasi.
Semalam, Presiden UMPG Datuk Dr Jamaluddin Jarjis berkata
senarai anggota Parlimen penyokong kerajaan yang akan menganggotai
jawatankuasa itu akan disiapkan sebelum persidangan Dewan, Februari
depan.
Jawatankuasa itu bagi membantu wakil rakyat Barisan
Nasional (BN) meningkatkan mutu dan tahap perbahasan mereka.
|